Followers

12 May 2008

Ingatan adalah seumpama baju yang indah…

Kita sering lupa. Lupa apa yang kita baca (khususnya berupa fakta), lupa tarikh penting, lupa telefon kawan, lupa balas sms, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi.

Kenapa ya kita sering lupa?

Saya memetik pandangan Hermine Hilton, seorang pakar dalam bidang daya ingatan. Beliau memberi kunci daya ingatan yang pada pandangan saya ‘simple tapi menarik untuk direnungi bersama’.

Menurut Hermine Hilton,

“Ingatan adalah seumpama baju yang indah. Semua orang mampu memilikinya tetapi tidak semua orang menggunakannya dengan sebaik mungkin. Jika baju yang cantik hanya disimpan di dalam almari, sampai bilapun orang tidak akan dapat menilai keindahannya. Jika baju itu anda pakai dan peragakan baharulah orang dapat menilai keindahannya dan anda dapat merasa keselesaannya. Oleh itu kunci daya ingatan adalah sama ada anda menggunakannya atau tidak. Lebih banyak anda menggunakannya maka lebih tajamlah daya ingatan anda…”

Tips menajamkan daya ingatan:

1. Amalkan Tidur Yang Cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat / data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

2. Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa kita tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan terganggu. Kita akan ebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Kita juga tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan dengan baik seperti membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya (merenung bintang…hee hee).

3. Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

4. Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup kita tidak ceria. Kita sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan kita dan membuat kita tidak hirau dengan apa yang terjadi di persekitaran. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

5. Awasi Pengambilan Ubat
Daya ingatan mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

6. Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya ikutserta menghasilkan ‘blog’, berkursus tentang kemahiran tertentu atau menghadiri ceramah dan motivasi.

7. Bermain
Bermain sesuatu permainan yang dapat merangsang minda. Banyak permainan berteknologi kini boleh diperolehi secara percuma mahupun berbayar. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

8. Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

9. Katakan Berulang Kali
Untuk meningkatkan daya ingatan tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga kita benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

10. Fokus
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya kita sering fokus dalam sesuatu perkara, contohnya matlamat hidup. Kita juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

11. Bermain Dengan Angka
Dalam mengingati angka, kita mesti asah minda dengan cuba bermain dengan angka-angka tersebut seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan, nombor kereta dsb.
Selain itu, kita boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

12. Membaca Al-Quran
Amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

(p/s - petua membaca al-Quran ni diamalkan oleh Siti Fatimah Mukhtar, Pelajar cemerlang SPM 2006 dari Kelantan – dari SMA Maahad Muhammadi Perempuan. Beliau berjaya mendapat 17A1 dan 1A2)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search