Followers

29 May 2008

Lebih banyak risiko lebih banyak keuntungan


Penulis tertarik dengan satu artikel berkenaan dengan Petua Kejayaan Peniaga Cina – oleh Ann Wan Seng, Pakar Motivasi Perniagaan (Wang Seng memeluk Islam 12 tahun yang lalu & sehingga kini telah menghasilkan 30 buah buku motivasi).

Berikut adalah kata-kata Wang Seng yang penulis rasa amat menarik untuk direnungi bersama. Bagi penulis, petua ini sebenarnya boleh juga dipraktikkan dalam apa jua persekitaran kerja.

Antara petikan tersebut:

“Bangun seawal subuh kerana sumber rezeki bermula awal pagi. Suruhan ini dititikberatkan dalam Islam, tetapi masyarakat Cina turut mengamalkannya”

“Seseorang peniaga perlu bersikap mesra, ‘ringan mulut’, kemahiran komunikasi yang baik, hormat dan tidak kedekut senyum”

“Peniaga perlu meminta maaf kepada pelanggan jika terlambat, tersilap, kehabisan barang atau perkhidmatan kurang memuaskan supaya pelanggan ‘sejuk hati’ dan sedia bertolak ansur dengan peniaga”

“Kemahiran yang dipelajari secara teori iaitu melalui bahan bacaan serta tunjuk ajar semata-mata tidak akan membantu peniaga mencapai kejayaan sebaliknya kemahiran terbaik hanya diperoleh apabila teori itu dipraktikkan”

“Kemahiran akan bertambah jika seseorang peniaga pernah gagal kerana ia akan membantunya memperbaiki kesilapan dan 99 peratus ahli perniagaan yang berjaya ketika ini pernah gagal hingga ada yang hampir muflis”

“Masyarakat Cina berani mengambil risiko dalam perniagaan dan bagi mereka, lebih banyak risiko bermaksud lebih banyak keuntungan akan diperoleh, tetapi kena bijak, ada perancangan serta sentiasa ingin maju”

“Bersaing secara sihat adalah faktor kejayaan dalam perniagaan, tetapi kebanyakan masyarakat lain gemar bersaing secara kotor dan dengki melihat orang lain maju serta cuba menjatuhkannya…”

“Peniaga Cina bijak menguruskan wang dengan membuat kira-kira keuntungan setiap hari dan menyediakan wang tukar secukupnya untuk berniaga keesokan harinya. Peniaga juga mesti rajin berniaga dan tidak ambil kisah jika tidak mempunyai masa yang banyak untuk rehat”

“Setiap individu yang menceburi perniagaan perlu mengikis sikap malu kerana jika keterlaluan, ia bukan saja gagal melariskan jualan, malah perniagaan mereka tidak akan maju”

“Sesetengah peniaga kurang menyedari kesilapan mereka dalam perniagaan. Mereka hanya tahu menyalahkan pihak lain tanpa menuding jari kepada diri sendiri jika gagal dalam perniagaan”

p/s - Artikel di atas dipetik oleh penulis dari akhbar Berita Harian, 27 Mei 2008, hlm. 9.

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search