Followers

29 July 2008

Muda-muda dah kena penyakit...

Sekitar jam 12.30 tengahari (28 Julai 08), aku didatangi dua orang pelajar.

Salah seorang darinya adalah pengawas sekolah. Mereka melaporkan bahawa kawan mereka sakit. Sakit di bahagian pinggang.

“Sakit pinggang?” Aku sedikit hairan.

“Ya, cikgu”

“Kenapa?”

“Dia memang ada penyakit buah pinggang cikgu”

“Yake.. dah jumpa dengan guru bertugas?”

“Belum cikgu…”

“Takpa, cikgu turun nanti. Tunggu cikgu di kelas”

Aku terus ke kelas yang dimaksudkan. Risau juga. Bila sampai di kelas, aku lihat beberapa pelajar perempuan sedang menggerumuni pelajar yang sakit. Nor Fika namanya.

“Masih sakitke… tak boleh tahan? ” Tanyaku.

“Boleh tahan lagi cikgu..” balas Nor Fika. Perlahan.

“Betul? Cikgu sekarang ada kelas. Kalau sakit lagi, jumpa dengan guru bertugas, cikgu Siti Murni atau Ustazah Wan Rohana. Kalau tak jumpa juga cari cikgu di kelas 4PA”

Aku terus ke kelas 4PA untuk mengajar seperti biasa. Tidak sampai 15 minit mengajar, aku didatangi oleh 2 orang pelajar perempuan tadi.

“Cikgu, Nor Fika tadi sakit lagi cikgu. Dia sekarang berada di sebelah tandas. Dia menangis. Dia kata tak boleh tahan lagi cikgu”

“Dah jumpa Ustazah?”

“Belum cikgu”

“Okeylah, takpa cikgu urus”.

Setelah memberikan tugasan kelas, aku terus melangkah keluar.

Aku lihat Nor Fika sedang menangis. Terisak-isak. Kedua-dua tangannya sedang memegang pinggang sebelah kiri. Dua orang pekerja PAR perempuan sedang bersamanya. Membantunya.

“Okey macam nilah. Bawa dia ke kereta cikgu. Cikgu bawa ke hospital. Kamu pergi sama. Tolong papah dia” Aku meminta seorang pengawas perempuan membawa pelajar tersebut ke kereta.

----------------------

Dalam perjalanan ke hospital...

“Dulu cikgu ada juga cita-cita nak jadi doktor”

“Ya ke cikgu”

“Ya, kalau cikgu jadi doktor, kamu datang hospital, cikgu yang suntik kamu. Cikgu bedah kamu…”

“hee hee” kedua-dua pelajar ketawa.

‘Aik, sakit-sakit boleh ketawa lagi” aku tersenyum.

--------------------

Lebih kurang jam 1.15 tengahari, aku sampai di hospital, terus ke bahagian unit kecemasan. Nor Fika terus dibawa ke dalam oleh seorang nurse. Hampir 15 minit, nurse tadi keluar mendekati aku.

“Cikgu, kami ambil air kencing. Kena tunggu keputusan keluar”

“Okey”

Aku cuba telefon ibu bapa Nor Fika. Tapi tak dapat. Maka menunggu setialah aku di sana. Hampir 2 jam (jam 1.15 ptg – 3.15 ptg).

Sekali lagi aku cuba hubungi ibu bapanya… dan alhamdulillah akhirnya dapat juga aku bercakap dengan bapanya.

“Pakcik, Nor Fika sakit pinggang tadi. Menangis. Saya dah bawa ke hospital. Tadi saya cuba hubungi tapi tak dapat...”

“Takpalah cikgu. Cikgu bawa je”

“Saya sekarang ni dah ada di hospital. Unit kecemasan. Pakcik datanglah sini”

“Okey, nanti saya pergi”

---------------------

Setengah jam kemudian, bapanya sampai di hospital. Aku menyapanya. kami berbual mesra.

“Cikgu. Fika tu memang dah lama sakit buah pinggang. Seminggu tu kadang kadang 2 -3 kali dia sakit. Bila dia sakit, saya bawa ke klinik. Kadang-kadang ke hospital. Selepas kena suntik, Fika tu okeylah”

“hmm hmm”

“Entahlah cikgu. sayapun tak tau nak buat camana…”

“Sabar je lah pakcik”

“Oh ya, cikgu baliklah, nanti saya bawa balik Fika ni”

“Okeylah macam tu”

Aku terus memandu balik ke sekolah. Terlintas dalam fikiran aku – ‘muda-muda dah kena penyakit buah pinggang’…

---------------------

26 July 2008

Kecantikan: Benarkah Wanita Lebih Prihatin Berbanding Lelaki?

Dalam perjalanan ke Bachok, aku buka siaran radio (entah apa siarannya?). Yang jelas, DJ perempuan sedang berbual dengan pendengar. Rancak bunyinya. Aku terus memasang telinga. Wah!! isu yang menarik. Isu berkenaan kecantikan. Kaum wanita dikatakan lebih prihatin berbanding dengan lelaki dalam soal menjaga kecantikan.

Aku senyum mendengar coloteh antara DJ dengan pendengar. Rata-rata pendengar perempuan yang menelefon memberikan komen bahawa lelaki sekarang tak pentingkan kecantikan. Faktanya, hanya berapa peratus je lelaki yang pergi ke salon kecantikan dan SPA. Malah dikatakan lelaki bila mandi, mereka hanya menggunakan sabun biasa je, tak pernah guna sampoo yang mahal, tidak pernah guna krim muka dan sebagainya.

Dalam hati aku berbisik, “Ahh, DJ perempuan nampaknya menyebelahi pendengar perempuan je. Tak adil. Tak adil”.

Aku seronok mendengar fakta dari lelaki. Bermati-matian mereka mempertahankan bahawa mereka juga menjaga kecantikan. Cuma bagi aku, faktanya tidak cukup kuat. Antaranya lelaki ni rileks, tidak suka menunjuk-nunjuk.

Hati aku tiba-tiba berbisik, “Kalah la macam ni. Kurang fakta!”.

Sebaliknya kaum pendengar lelaki terus menyerang kaum perempuan. Antaranya mereka mengatakan bahawa perempuan yang kurang menjaga kecantikan. Faktanya, isteri mereka bila di rumah, tak suka berhias. Pakaianpun ala kadar je. Hilang mood diorang. hee hee.

Dalam tersenyum tu, aku terfikir: “Benarkah lelaki tidak pentingkan kecantikan?”

Memanglah orang perempuan terlalu prihatin dalam soal kecantikan. Malah mereka akan berasa risau dan resah gelisah seandainya jerawat tumbuh di muka walaupun hanya sebiji je. Pelbagai cara dan ubat digunakan untuk menghilangkan sebiji jerawat tu. Malah boleh dikatakan selagi jerawat itu tidak hilang, hidup mereka serba tidak kena. Jiwa tidak tenteram. Asyik mood tak baik je (betulkan?).

Malah aku pernah terbaca dalam sebuah buku, dikatakan perempuan ini sekiranya terjumpa sehelai uban di rambut, maka orang perempuan ini tidak lalu makan, tidur tak lena, mandi tak basah. Gara-gara sehelai uban je. Betapa halnya sekiranya pinggang dan pinggul mereka menjadi semakin temban. Mereka akan kawal makan. Bimbang pinggang kembang jadi 40-43-45 (yake ni?). Nah jelas terlihat betapa prihatinnya kaum perempuan terhadap kecantikan.

Berbeza dengan lelaki, kalau hanya jerawat mereka tidak kisahpun. Tumbuhlah jerawat walau sebesar penumbukpun, orang lelaki ni buat ‘dhek’ je. Uban tumbuh bagai bunga lalangpun mereka tidak kisah, malah mereka berbangga kerana ‘uban’ lambang kematangan dan keprofesionalan mereka. Perut buncit, pinggang saiz XXXL, punggung seperti busut jantanpun mereka buat tak kisah je. Janji RM padat. Cukup. Sebab itu kehidupan lelaki ni aman tenteram dan ceria selalu. hee hee, hidup lelaki!!!!

25 July 2008

Aku di kala kesendirian (part 2)

Malam ini aku terasa begitu sunyi sekali. Biasanya ada-ada je kerja yang nak dan perlu dibuat. Tapi malam ini timbul rasa sunyi. Boring. Sambil tengok TV3 aku capai laptop. Buka laptop – mau dengar lagu. Mau pasang kuat-kuat sikit. Maklumler duk sorang-sorang ni sunyi semacam jer. Walaupun dah biasa dalam kesendirian tapi malam ni aku terasa begitu sunyi pula. Tak tau nak buat apa?

Terasa pula nak keluar & minum kat kedai.

“Ah, sikit lagilah aku keluar..”

Sebenarnya aku bukannya lapar sangat. Cuma nak hilangkan rasa sunyi jer…

Aku tengok jam – dah 9.35 malam. TV3 pula sedang menayangkan filem ‘seram’. Cerita Melayu seram. Anaknya sedang kesedihan kerana ibunya baru je meninggal.

“Don’t go back... Promise…”

Seram semacam jer suara dalam filem ini. Arghh!!! dah lah aku tengah sunyi – cerita pula macam tu. ishhh!!!!!!

Sebelum keluar sempat aku buka klip lagu kesukaan aku. Bagi aku, klip lagu ni dapat memberi semangat kepada aku di kala aku ‘sunyi’. Macam bagi motivasi pada diri sendiri. Dan yang pastinya, aku sentiasa cari sesuatu untuk memotivasi diri sendiri. Supaya aku terus melangkah gagah…

Yes!!!! Setelah melihat & mendengar klip lagu ni – aku terus capai kunci kereta & keluar >>>> utk makan minum apa yang patut sambil perhatikan gerak manusia & kerdipan bintang-bintang (jika ada – harap langit malam ni cantik - tak hujan).


Klip lagu untuk aku melangkah gagah...

22 July 2008

Walaupun sudah nampak tua tapi …

20 Julai 2008. Aku menghadiri kursus peningkatan profesionalisme, bertempat di Pengkalan Chepa, KB. Kursus berlangsung selama 1 hari (bermulai jam 8.00 pagi – 5.00 petang). Sepanjang kursus, aku amat tersentuh dengan apa yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Hj. Abdul Razak, bekas Timbalan Pengarah Hospital KB. Kini, setelah pencen, beliau melibatkan diri sepenuhnya dengan pertubuhan NGO’s sukarela (termasuklah Global Peace).

Kehidupan beliau kini penuh dengan pengembaraan di seluruh dunia.. Pernah terlibat membantu mangsa gempa bumi di Kashmir Pakistan, Tsunami di Indonesia dan tragedi di Darfur Sudan. Beliau turut terlibat dalam membantu penubuhan dan pembangunan rumah anak-anak yatim dan penubuhan Sekolah Rendah Rohingya, Cheras Baru.

Antara buah bicaranya yang sempat aku petik dan menarik untuk direnungi bersama:

1. Di Acheh, beliau telah melihat bagaimana bangunan 4 tingkat tenggelam di telan bumi. Apabila ditanya kepada penduduk setempat, dikatakan bangunan itu adalah tempat minum-minum (mabuk).

2. Semasa tragedi Tsunami Indonesia, terdapat bekalan makanan disediakan oleh negara Barat. Apa yang menyedihkan, terdapat bekalan makanan yang di tempatkan di gereja. Penduduk dikehendaki berbaris mengambil makanan di gereja. Malah ada antaranya dikehendaki sembahyang di gereja terlebih dahulu barulah makanan diagihkan… (???).

3. Walaupun Indonesia adalah antara negara Islam terbesar tetapi dikatakan penduduknya masih memerlukan 70 juta naskah al-Quran. Di Acheh, sebelum Tsunami melanda – nak cari al-Quran dalam rumahpun susah.

4. Maaf! – Beliau yang sering memasuki kampung orang Asli sedih kerana mendapati bahawa masyarakat orang asli kini ramai yang telah dikristiankan oleh mubaligh luar.

5. Beliau pernah membuat kajian di kelab-kelab malam – didapati terdapat kelab malam misalnya di Ipoh dan Kuala Lumpur yang menawarkan keahlian kelab secara percuma kepada orang Islam.

6. Dapatan kajian yang dijalankan di pusat pemulihan didapati bilangan penagih dadah di Malaysia kini sudah menjangkau lebih satu juta (walaupun dinafikan oleh sesetengah pemimpin).

7. Dapatan kajian – 70% pelajar di sekolah rendah tidak boleh sembahyang dengan sempurna (tidak boleh membaca fatihah dan tahiyyat). Kebanyakan lupa kerana jarang-jarang sembahyang.

8. Di Malaysia sekarang terdapat lebih 70 ribu anak-anak di jalanan termasuklah 5 ribu di sekitar jalan Chow Kit. Kebanyakan anak-anak jalanan ini adalah anak pelacur!

9. Terdapat lebih 150 ribu pelarian Islam Rohingya, Myanmar berada di Malaysia. 5 ribu darinya terdapat di Selayang. Yang pastinya, pelarian Islam Rohingya ini akan hidup selama-lamanya di Malaysia. (cttn: Anak2 Rohingya ini tidak mendapat peluang untuk belajar di sekolah tempatan, kerana status mereka sebagai pelarian berdaftar bawah UNHCR. Anak-anak pelarian ini tidak mendapat hak untuk belajar, bekerja dan sebagainya. Kesemuanya perlu ambil inisiatif sendiri untuk survive).

p/s – Teringat pesanan akhir Dato’ Dr. Hj. Abdul R : “Apapun pekerjaan kita, jangan lupa kita adalah sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, kita perlu menyumbang sesuatu kepada masyarakat…”. Aku salute pada Dato’ kerana walaupun sudah nampak tua (dah pencen pun) tapi semangatnya masih kuat …

19 July 2008

Senyum untuk kesihatan

Ehwan dgn 100 ekor ayam

Pada suatu hari ada seorang lelaki kaya ingin mengadakan
kenduri untuk anaknya. Untuk itu dia ke bandar untuk membeli ayam di kedai Pak Romee.

Lelaki kaya: "Saya ingin memesan 100 ekor ayam untuk esok, ini alamat saya (seraya memberikan kadnya)."

Pak Romee: "Baik tuan, saya akan suruh anak buah saya untuk menghantarkannya ke rumah tuan."

Selepas itu, Pak Romee memanggil anak buahnya yang bernama Ehwan Afendi dan memberikan arahan...

Pak Romee: "Wan, tolong hantar 100 ekor ayam esok ke alamat ini (sambil memberikan kad lelaki kaya tadi)."

Ehwan : "hantar ayam? Beres Tuan !"

Esoknya dengan menunggang motor si Ehwan pergi menghantar100 ekor ayam tersebut. 50 ekor diletakkan di sebelah kanan dan 50 ekor lagi diletakkan di sebelah kiri. Akan tetapi malangnya, di tengah perjalanan dia terjatuh dari motornya..., ayam-ayam yang dia bawa langsung terlepas dan lari bertempiaran. Orang ramai datang untuk mengetahui keadaan si Ehwan. Tetapi si Ehwan tidak apa2 malah ketawa terbahak-bahak. Seseorang di antara mereka datang bertanya, mungkin dia merasa khuatir kerana melihat si Ehwan ketawa ...

Orang yg bertanya : "Bang, abang tak apa-apa kan... ? Kepalanya tak sakit kan?"

Ehwan : "Ha... ha... ha... !"

Orang yang bertanya : "Bang, kenapa bang?"

Ehwan: "Ha... ha... ha..., dasar ayam-ayam bodoh, mereka nak lari ke mana? alamatnya kan ada pada aku... Hua.. ha.. ha.. ha....."

............................

Doktor dgn pesakit mental

Seorang lelaki sakit mental menganggap dirinya adalah jagung dan terlalu takut dengan ayam. Jika ternampak haiwan itu, dia akan lari lintang pukang kerana menyangka ayam akan memakannya. Akhirnya, lelaki itu dimasukkan ke rumah sakit jiwa. Setelah beberapa bulan, doktor pun melakukan ujian ke atas lelaki itu bagi mengenal pasti apakah dia telah pulih ataupun tidak.

Doktor : Adakah kamu tahu siapa diri kamu sekarang?
Lelaki : Ya doktor.
Doktor : Siapa kamu sebenarnya.
Lelaki : Saya ini manusia doktor.
Doktor : Ya ke? Bukan jagung?
Lelaki : Bukan, saya manusia doktor.
Doktor : Kamu takut dengan ayam?
Lelaki : Tidak doktor.
Doktor : Hmm.. bagus. Nampaknya kamu dah sembuh.
Lelaki : Tapi doktor, saya ada satu pertanyaan.
Doktor : Apa dia?
Lelaki : Ayam tahu tak yang saya ni dah berubah jadi manusia.
Doktor : "??$$??"

p/s - tersenyum aku sorang-sorang bila sekali-sekala baca kisah-kisah seperti ini.. baik untuk kesihatankan?

15 July 2008

Bahayanya halusinasi si penagih

Kelmarin pada masa perhimpunan pagi, satu ceramah berkenaan Bahaya Dadah telah disampaikan oleh pegawai dari Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK). Ceramahnya telah berlangsung selama lebih 1 jam setengah.

Bagi aku, ceramah yang disampaikan sungguh berkesan sekali. Aku lihat semua rakan guru dan para pelajar memberi penuh perhatian. Penuh minat. Mungkin tertarik dengan gaya penyampaiannya yang lebih berupa ‘kisah benar’ yang dialaminya bersama para penagih dadah. Menurut pegawai tersebut, selain daripada namanya dadah; hidu gam, pil ecstacy, pil kuda, 'ubat batuk' adalah juga termasuk kategori penagihan dadah.

Berikut antara ‘kisah benar’ yang disampaikan…

“Orang yang mengalami ketagihan dadah akan berasa sangat gian, ‘rindu dan mengidam’ yang keterlaluan. Rasa gian itu kalau tidak dipenuhi, penagih akan berasa seperti hampir menemui ajal. Teramat siksa. Itu sebab penagih ini sanggup melakukan apa saja termasuklah membunuh!”

Kisah anak dengan emaknya

Peristiwa ini berlaku di Kelantan. Seorang pemuda penagih pil kuda sedang berhalusinasi. Pemuda itu berada dengan emaknya di rumah. Emaknya baru je habis sembahyang dan masih memakai kain sembahyang putih. Tiba-tiba pemuda tersebut bangun dan mengambil pisau (sabit?) lalu bertindak menyembelih leher emaknya. Emaknya sempat keluar rumah dan melaung-laung minta tolong. Orang kampung segera mendekati rumah tersebut. Pemuda tadi telah ditangkap oleh orang-orang kampung.

Berikut soal-jawab yang berlaku:

“Kamu buat apa dengan pisau tu?” - orang kg

“alaaa nak makan sikit je?” – pemuda

“Kamu nak makan apa?” – orang kg

“alaa sikit je tak boleh ke?” - pemuda

“Nak makan apa?” – orang kg

“Nak makan daging rusa!!!” - pemuda

(Tengok! Penagih pil kuda sangat kuat berhalusinasi. Dia nampak emaknya seperti rusa!”)

……………………………….

Kisah dua banduan di Pusat Serenti

Peristiwa ini berlaku di Sabah - waktu banduan sedang berkebun.

Seorang pemuda sedang memegang cangkul dan seorang lagi sedang memegang sabit rumput. Mereka sedang berkebun berdekatan antara satu sama lain Tiba-tiba pemuda yang memegang cangkul itu terus pergi ke tempat pemuda yang sedang menyabit rumput lantas menghayun cangkul… di kepala - beberapa kali. Pemuda yang memegang sabit tadi rebah. Tidak bernyawa. Pemuda tadi ditangkap!

Berikut soal-jawab yang berlaku:

“Kenapa kamu menetak kepala si anu?”

“Mana ada?. Saya mencangkul tanah… saya buat kerja mencangkul tanah tu je. Tapikan… sedang saya tengah asyik mencangkul tadi, tiba-tiba saya nampak biawak melintas di depan. Biawak besar. Apa lagi saya cangkullah kepala biawak tu!”

(Tengok! kepala rakannya sendiri dicangkulnya ekoran halusinasi – nampak seperti biawak!”)

p/s –wakil AADK itu juga menyentuh tentang bahayanya rokok. Antara racun yang ada dalam rokok ialah racun semut, bahan pelarut cuci tandas, kapur baruh (diguna untuk mayat), asap roket dsb. Laporan WH0 – nikotin dalam rokok adalah dadah jenis ringan… itulah sebabnya rasa ketagih. Oleh itu jauhilah penagih & rokok!!!

11 July 2008

Sembang Guru Dengan Pelajarnya

10 Julai, Khamis - Jam 2.00 petang. Aku terus ke kantin. Aku tengok tiga pelajar perempuan sedang mengemaskan beg pakaian masing-masing.

“Cepat! cepat! mana yang lain lagi?” aku bersuara.

“Mereka tengah sembahyang cikgu” jawab pelajar tersebut.

“Cikgu, kita sebenarnya nak ke mana ni?” salah seorang pelajar perempuan bertanyakan soalan.

“Eh, kamu tak tahu ke mana nak pergi ni?” aku terkejut dengan pertanyaan itu.

“Tak tau cikgu. Cikgu Azizi minta kami balik rumah tadi. Buat persiapan. Bawa pakaian. Kata nak ke kem”

“Yake?” aku ketawa kecil. Lucu pula rasanya.

Baru sekejap tadi aku dimaklumkan oleh Cikgu Azizi (Guru Disiplin), seramai 10 orang pelajar, 5 lelaki dan 5 perempuan akan dihantar mengikuti Kem Waja Diri. Menurut Cikgu Azizi, surat dari PPD baru je diterima pagi tadi dan pelajar yang dipilih adalah pelajar yang bermasalah dari segi disiplin. Sebahagian besar mereka adalah terdiri dari pelajar tingkatan 2 dan 3. Oleh kerana tiga buah kereta diperlukan untuk menghantar pelajar tersebut, aku menawarkan diri untuk membantu menghantarnya.

....................

Jam 2.10 minit, semua pelajar sudah berkumpul di kantin. Sempena menunggu sebuah lagi kereta sampai (Cikgu Zainuddin M), sempat aku sembang-sembang dengan pelajar tersebut.

“Okey. mari berkumpul depan cikgu semua. Kamu tahu tak, kamu semua ni dipilih khas oleh pihak sekolah ke kem tersebut. Kamu ni cikgu panggil pasukan Elit. Kalau dalam pasukan polis dipanggil pasukan Gerak Khas. Itu sebab cikgu-cikgu yang menghantar kamu semua ini adalah juga cikgu yang dipilih khas.” Aku berseloroh. Semua pelajar ketawa.

“Semasa di kem nanti, jangan lupa tunjukkan contoh yang baik. Disiplin yang baik. Tepati masa. Kalau boleh cuba mendahului masa. Sentiasa jadi orang yang pertama dalam sebarang aktiviti. Jangan jadi orang yang terakhir pula. Masa sembahyang tu, sembahyang. Jangan lewat. Kalau boleh yang lelaki tu jadi Tok Bilal. Laung azan” Aku terus memberi nasihat.

“hee heeee Tok Bilal cikgu…” Semua pelajar ketawa..

....................

Aku membawa 4 orang pelajar perempuan. Seorang pelajar tingkatan 1 dan 3 orang lagi pelajar tingkatan 2. Dalam perjalanan ke kem tersebut, aku terus sembang-sembang dengan pelajar yang dikatakan mempunyai masalah disiplin tersebut.

“Sebenarnya kamu tau tak kenapa kamu dipilih ke kem ini?” aku menduga lagi.

“Tau cikgu. Sebab kami pelajar bermasalah” jawab seorang pelajar tersebut.

“Eh, bukanlah. Kamu semua ini dipilih untuk wakil sekolah tau!” aku cuba mengubah persepsi pelajar. Aku mau mereka ini bersemangat ke kem tersebut.

“Kami tau cikgu. Kami kenal antara satu sama lain. Semuanya ada masalah kat sekolah” jawab seorang lagi pelajar. Jujur bunyi suaranya.

“Kamu di rumah macamana. Emak dan ayah tidak ada bagi nasihatke? Aku bertanya.

“Ada cikgu. Selalu mereka bagi nasihat. Tapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri”

“Mereka selalu marah kami cikgu. Suruh belajar rajin-rajin. Mereka suruh kami belajar sebab tidak mau kami bodoh seperti mereka” seorang pelajar memberi respon.

“Tak baik cakap macam tu” aku bersuara lembut.

“Betullah cikgu. Mereka tak mau kami jadi bodoh macam mereka. Mereka tu bodoh. Mereka belajar pun mungkin setakat darjah 6 je cikgu” Pelajar tadi terus mengiyakan kata-katanya tadi.

“Sebenarnya, ibu dan ayah kamu tu mahu kamu belajar rajin-rajin. Belajar supaya lebih hebat dari mereka. Mereka tak mau kamu senasib dengan mereka. Harapan mereka tinggi…”

....................

Aku terus memandu kereta. Aku tengok ada sebuah lori ingin melintas kereta yang aku pandu. Aku memperlahankan kereta.

“Cikgu, jangan bagi lori itu lintas cikgu. Kalau saya, saya tak bagi dia lintas cikgu. Saya akan bawa kereta ke tengah ke tepi cikgu. Saya akan main-mainkan dia” Pelajar di sebelah aku bersuara. Penuh bersemangat.

“Eh, tak boleh macam tu” aku balas spontan.

p/s –Masih tergiang-giang di telinga akan kata-kata salah seorang pelajar tersebut: “kami tau cikgu, kami pelajar yang bermasalah…”

Clip video untuk ingatan bersama


Clip video di bawah ini adalah antara yang paling aku suka tengok. Ini kerana ia akan sentiasa mengingatkan aku tentang pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu.

Sesungguhnya tiada yang dapat menandinginya dari segi kasih sayang…

Apa yang paling penting ialah dengan melihat clip video ini ia akan mengingatkan aku supaya jangan sesekali melukai hati ibu dan “Jangan sampai kita dikejutkan…”

 


09 July 2008

Jangan sampai kita dikejutkan ...

"Aku sibuklah… banyak kerja".
“Minta maaf, tak dapat… sibuklah”

Seringkali kita mendengar keluhan di atas. Sama ada dari teman-teman mahupun kita sendiri yang meluahkan ucapan tersebut.

Memang jika dihitung hari, boleh dikatakan kita sentiasa sibuk. Kita sibuk dengan kerja dan tugas seharian. Balik saja dari kerja, biasanya kita terus menyandar badan di kerusi. Badan letih. Minda penat. Kadang-kadang kerana terlalu letih, kita terus tertidur dengan tidak sempat menukar baju kerja. Bagi yang okay sikit letihnya itu akan sempat menyalin pakaian, mandi dan kemudiannya baru berehat.

Begitulah rutin kehidupan kita seharian pada hari bekerja. Hujung minggu pula, bagi yang sudah berkeluarga, biasanya akan mengambil peluang untuk bersama ahli keluarga. Keluar bersiar-siar atau paling tidakpun berehat kat rumah je. Rileks bersama keluarga. Layan karenah anak-anak. Layan isteri (tolong mana yang patut!). Manakala bagi yang masih 'single' tu, apa lagi hujung minggu adalah masa untuk bersama kawan-kawan atau bersama 'sidia' keluar jalan-jalan sambil makan-makan, 'shopping', tengok wayang dsb. Rileks minda katakan...

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Masa terus berlalu. Pantas sekali. Sedar tidak sedar kita sudah semakin berumur…

Aku terfikir, dalam kesibukan kita bekerja seharian ini adakah kita terlintas dengan ibu dan ayah kita? Sihatkah mereka ini? Bagaimanakah keadaan mereka ketika kita ketawa bersama kawan-kawan? Aku bimbang dalam kita terlalu sibuk bekerja, kita terlupa untuk menjengah (sekurang-kurangnya menelefon) kedua-dua insan yang paling bernilai dalam hidup kita.

Aku bimbang dalam keasyikan kita menonton kehidupan seharian di tempat kerja, kita leka sehinggalah kita dikejutkan dengan satu berita. Berita yang akhirnya akan membuatkan kita menyesal. Berita tentang dua insan kesayangan kita sudah tidak lagi bersama kita… kita tidak berpeluang lagi untuk menatap wajah mereka. Wajah yang penuh kedutan. Wajah ibu dan ayah kita…

Aku terfikir, sesibuk mana kerja kita, kita perlu sering bertanyakan khabar mereka. Percayalah, ibu dan ayah kita tidak suka ‘menganggu’ kehidupan kita. Namun kita adalah kehidupan seharian mereka. Kita sentiasa menjadi buah bicara mereka. Kita sentiasa di hati mereka…hingga ke akhir hayatnya.

06 July 2008

Jangan kita dikalahkan dengan hal yang remeh-temeh

Dale Carnegie ada menceritakan tentang pengalaman yang dilalui oleh pohon besar (pohon raksasa) yang sudah berumur empat ratus tahun (empat kurun). Menurut Dale Carnegie:

Selama empat kurun yang dilaluinya, masa hidupnya yang panjang itu, pohon tersebut telah mengalami empat belas kali disambar petir, manakala hujan salji dan badai taufan tentu tidak terhitung lagi. Tetapi pohon tersebut tetap gagah dan kuat seolah-olah gunung yang teguh. Sampailah pada suatu hari datanglah sepasukan besar serangga kumbang. Pasukan serangga itu memakan bahagian dalam kulit pohon tersebut secara perlahan-lahan. Inti pohon tersebut akhirnya hancur. Hingga akhirnya dalam waktu yang singkat, tumbanglah pohon raksasa tersebut menjadi rata dengan tanah tanpa meninggalkan bekas.

Pohon kayu yang besar dan rimbun itu yang mampu menghindari kekeringan walau usianya sudah tua, mampu bertahan dari hentaman petir dan badai taufan. Namun, akhirnya ia jatuh tersungkur di depan serangga yang begitu kecil sekali.

Renungilah persoalan berikut,

1. Adakah kita gagah seperti pohon raksasa hutan tersebut?
2. Adakah kita mahu membiarkan diri kita terganggu oleh sesuatu hal yang boleh kita elakkan?
3. Adakah berbaloi kita biarkan ikatan persahabatan terputus ekoran gangguan dan salah faham?
4. Berbaloikah kita membiarkan kehidupan, kesihatan, ketenteraman, kebahagiaan dan keceriaan kita terganggu dengan usikan dan bahan bicara orang lain?

Jika perkara remeh-temeh itu dapat mengancam kehidupan kita, begitu jugalah membesar-besarkan hal yang kecil akan juga mendatangkan keburukan...

Namun sayang sekali, kebanyakan hal yang kecil dan remeh-temeh ini akhirnya menidakkan ikatan suci antara dua hati dan nilai persahabatan yang sudah terjalin lama.

p/s – Perlunya kita mempunyai kejujuran, keikhlasan dan kekuatan dalam mengekalkan ikatan persahabatan. Percayalah, hidup kita akan kesunyian jika kita kehilangan seorang kawan yang baik. Seorang kawan yang selalu memberi sokongan kepada kita di kala senang mahupun susah.

01 July 2008

Jadilah seorang yang prihatin

Jam 10.30 malam. Balik dari fun fair, aku singgah kejap di kedai makan yang terletak di tepi jalan Guchil. Di situ aku selalu menikmati makanan kegemaranku, kue tiaw lakna. Sudah menjadi kebiasaan, sambil makan-makan tu, aku suka melihat gelagat orang-orang di depan mata.

Aku mengambil tempat makan di satu sudut. Di depan aku, ada tiga orang lelaki sedang makan sambil berbual-bual. Rancak bunyinya. Aku lihat ada pelbagai jenis lauk pauk dan sayur yang terhidang di meja kumpulan lelaki tersebut. Orang kelantan kata ‘makan hidang’.

Diringkaskan cerita…

Selang tak lama selepas itu, salah seorang lelaki tadi memanggil tauke kedai.

“Kak, berapa harga semua?” kedengaran agak kuat. Maklumla kakak itu (tauke kedai) asyik berada di dapur. Dapur itu hanya berada di sekitar 4 depa je dari meja makan pelanggan.

Kakak itu pantas menjawab, “RM28.00 semua bang”.

“Hah, RM28.00. Betulke? Lelaki tadi bersuara kuat. Spontan.

“Betullah tu. RM28.00 semua sekali,” Kakak itu juga bersuara kuat. Penuh yakin.

“Mari. Mari sini kira!!!” lelaki itu terus bersuara. Seakan tidak puas hati dengan jumlah harga yang dibagitau oleh kakak itu.

Aku melihat situasi itu dengan penuh minat. Dalam hati, terdetik:

“Ah, lelaki ini lebih-lebih pula…”

Tapi tiba-tiba hati berbisik:

“Ah, biarlah. Itu hak dia. Dia ada hak sebagai pelanggan!!!”

Aku cuba berfikiran positif. Hati berbisik lagi.

“Bagus juga lelaki ini. Jarang aku lihat ada pelanggan yang berani mempersoalkan harga makan di kedai makan mahupun di restoran.”

Aku lihat kakak itu terus bergerak ke meja makan kumpulan lelaki tadi. Kali ini dia membawa kalkulator. Terus dikiranya setiap satu-satu jenis hidangan yang ada di atas meja tersebut.

“Berapa?” Tanya lelaki tadi.

“Hmmm RM26.50.” Kakak tadi bersuara perlahan. Malu mungkin.

“Hah, tadi kata RM28.00. Sekarang RM26.50. Kalau kira sekali lagi, lain pula harganya!!!!” Lelaki tadi bersuara. Agak keras bunyinya….

p/s – Situasi ini mengingatkan aku, perlunya kita prihatin dengan harga makan kita. Dan perkara ini mungkin telah dan selalu berlaku pada kita jika kita jenis orang yang tidak pernah ambil peduli tentang harga semasa ‘makan hidang’… terutama kaum lelaki seperti aku…



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search