Followers

28 October 2008

Latihan Tentera

Selama satu minggu (21/10/08 – 27/10/08), aku tidak berinternet. Maklumlah pergi menyahut panggilan negara. hehe. Gurau jer. Sebenarnya, sepanjang tempoh tersebut aku terlibat dengan latihan ketenteraan di Kem Gemas, Negeri Sembilan. Latihan di bawah Rejimen 506 Kelantan ini melibatkan 3 Batalion, iaitu Batalion 1 (Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu), Batalion 2 (Kem Machang) & Batalion 3 (Kem Sg Durian, Kuala Krai). Pada tahun ini, anggota yang terlibat begitu ramai sekali, iaitu hampir 700 orang.

Latihan selama seminggu ini lebih kepada latihan menembak termasuklah Latihan Tembak Tempur Individu dan Latihan Tembak Lorong Hutan.

Badan masih lagi letih. Tak larat rasanya nak bercerita panjang. Ahhhh, layan gambar jelah. kan gambar itu bisa menceritakan segala-galanya… hehe.

Pergi ke Gemas - keretapi menjadi pilihan. Perjalanan hampir 9 jam. Bercampur dengan orang awam pula tu. Terpaksa kawal pergerakan 'anak buah' dalam keretapi - maklumlah perangai mereka ni sikit 'gila-gila'. Bersama 'anak buah' yang sentiasa setia menurut perintah



Inilah kawasan penginapan 'anak buah' seramai beratus-ratus orang tu.
Pandai-pandailah bina sendiri janji tak basah jika hujan

Nah, inilah bilik penginapan aku bersama pegawai-pegawai yang lain.
Kalah hotel bertaraf 5 bintang. hehe.

Senaman pagi dah jadi rutin bagi 'anak buah'. Pumping pula adalah aktiviti wajib - kuatkan otot lengan. Bagi gagah semasa nak menembak nanti.

Anggota siang malam berbaris. Celik mata, baris. Nak tidurpun baris. Nak makanpun baris..

Jalan lasak

Sempat lagi berposing. Apa punya pegawai...



Anggota khusyuk mendengar taklimat

Ini pula kenderaan yang banyak jasanya.. ke sana sini membawa anggota

20 October 2008

Malaysia negara ke-2 paling biadab di dunia?

Sedih aku mendengarnya. Antara tak percaya dan percaya. Fikiran bercampur-baur. Tapi aku cuba positifkan minda untuk menilainya. Tak salah kita memerhatikan persekitaran dan menilainya untuk mendapatkan kepastian tentang pernyataan ini.

Maklumat dan pernyataan Malaysia negara ke-2 paling biadab di dunia diperolehi dari IIM. Dinyatakan bahawa sebuah badan NGO’ s Barat yang agak terkenal telah membuat satu pemerhatian ke atas tindakan dan reaksi rakyat Malaysia. Pemerhatian rambang tersebut dibuat melibatkan 4 aspek.

1. Soal kebersihan. Satu ujian telah dibuat di mana 'sampah ringan' telah diletakkan / dibuang pada satu-satu lokasi yang menjadi laluan orang ramai. Hasil pemerhatian, badan NGO’s itu mendapati tiada seorangpun yang telah melalui kawasan berkenaan secara sukarela untuk mengutip sampah tersebut.

2. Barang berharga seperti handphone telah diletakkan di kawasan laluan orang ramai. Bila diletak maka petugas NGO’s ini akan perhatikan siapa yang mengambilnya. Sebaik saja handphone itu diambil maka ‘si petugas’ tadi akan mendail nombor handphone tersebut. Hasil pemerhatian, tidak ada seorangpun yang cuba mengembalikan barang @ handphone yang dijumpai itu kepada pemiliknya walaupun telah tertera ‘miss call’ dan ‘sms’ berpuluh-puluh banyaknya.

3. Berkenaan dengan pintu masuk (pintu utama) bagi beberapa pejabat kerajaan mahupun swasta yang selalu menjadi tumpuan orang ramai keluar masuk. Kajian mereka mendapat apabila seorang membuka pintu, dia tidak pernah mempedulikan orang lain yang berada di belakangnya. Sebaik saja dia masuk maka pintu tersebut akan dilepaskan, tidak peduli sama ada orang di belakangnya ada atau tiada.

4. Potong baris. Pemerhatian dilakukan semasa orang ramai menunggu dan menaiki bas. Didapati bahawa ramai antara mereka yang menaiki bas tidak berbaris. Malah berebut-rebut untuk menaiki dulu ( padahal dia baru saja sampai). Begitu juga apabila jalan sesak, lorong 2 baris akan jadi 4 baris gara-gara pemandu kereta tiada kesabaran.

5. Ucapan terima kasih. Pemerhatian yang dibuat mendapati rakyat Malaysia terlalu payah nak ucapkan terima kasih atas sebarang pemberian & khidmat. Yake?

p/s - Suka dengan pelbagai kajian yang dilakukan kerana hasilnya dapat mencerminkan sikap & sifat sesuatu bangsa. Walaupun kajian ini bersifat subjektif dan tidak menyeluruh tapi sekurang-kurangnya dapat membuka minda…

14 October 2008

Kisah 4 Syaitan Berpangkat Jeneral

Sekadar gambar hiasan

Kelmarin aku ke SYP 1, mengikuti satu seminar Integriti anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM). Seminar berlangsung dari jam 8.00 pg - 1.30 ptg. Tiga orang pegawai bertindak sebagai penceramah;

1. Ybhg Dato’ Hj. Abdul Raof Hussin, mantan Timbalan Pengarah Pelajaran Malaysia
2. En. Mohammad Diah Wahari, Pengarah Sektor Awam IIM
3. En. Salahuddin Ghozali, Penolong Setiausaha KPM

Ceramah yang disampaikan begitu menarik sekali. Macam-macam persoalan tentang integriti dibincangkan. Ceramahnya menarik kerana disampaikan oleh ‘orang-orang kuat’ organisasi bersandarkan pengalaman masing-masing. Malah petikan video yang dipersembahkan menambahkan lagi minat para peserta.

Pada slot pertama, jam 8.30-10.00 pagi, aku lihat semua peserta begitu bersemangat sekali. Semua mata bertumpukan kepada penceramah di pentas. Penuh minat. Begitu juga pada slot kedua, jam 10.30-12.00 tgh. Tapi masuk saja slot ketiga, jam 12.00-1.30 tgh, aku tengok kebanyakan peserta dah semacam je. Mengeliat sana sini. Malah aku tengok ada juga yang dah lena, tersengguk-sengguk (hehe, jahatnya aku, asyik duk perhatikan gelagat orang tidur je).


Kisah 4 Syaitan Berpangkat Jeneral

Bicara tentang tidur (tertidur?) dalam majlis ilmu ini (seminar, kelas, kuliah & seumpamanya) teringat aku kepada cerita seorang Tok Guru. Menurut Tok Guru;

“Dalam majlis ilmu, akan hadir 4 jenis syaitan berpangkat Jeneral. Wah, bukan calang-calang pangkat ni. Masing-masing mempunyai kepakaran khas. Syaitan yang pertama bernama Jeneral Akrobatik. Kemahirannya adalah dari segi lompat melompat dan bergayut. Jeneral ini suka sangat bergayut pada kelopak mata. Bila saja jeneral ini bergayut maka mata secara perlahan-lahan akan terkatup, mengantuk. Kemudian terus lelap.”

“Syaitan kedua bernama Jeneral Karate. Kepakaran khasnya adalah mengkarate. Masalahnya jeneral ini hanya suka meng ‘karate tengkuk’ dari belakang. Jika sesiapa yang kena karate oleh jeneral ini maka kepalanya akan tersengguk-senguk kemudian rebah ke depan (tak lah sampai putus..). Akhirnya akan tewas. Tertidur jugalah jawapannya.”

“Syaitan ketiga pula bernama Jeneral Judo. Sebut je judo memang kerjanya suka sangat menendang. Masalahnya jeneral ini hanya suka menendang bahagian dahi saja. Oleh itu sesiapa yang kena penangan judo jeneral ini maka kepalanya akan rebah ke belakang. Ringkasnya tertidur lah juga.”

“Nah, syaitan yang keempat. Paling senior. Oleh kerana paling senior maka kepakarannya adalah yang paling hebat sekali. Namanya Jeneral Pekasam (ada yang panggil jeruk). Kehebatan jeneral ini ialah boleh menyebabkan mangsanya mengeluarkan bunyi dan memeranjatkan orang yang berada di sebelah. Bunyi yang dikeluarkan itu dipanggil dengkur. Siapa yang terkena penangan jeneral ini maka susah sikit nak ubatinya. Susah kerana bila dah sampai tahapnya (dah meleleh liur basi tu.. hehe) maka lena dia itu adalah lena yang tersangat susah nak dikejutkan.”

Bila aku teringat cerita Tok Guru ini maka aku tersenyum sorang-sorang… senyum gelihati. Untuk kawan-kawan yang tertidur tu, maafkan diri ini kerana tiba-tiba tersenyum melihat kalian ‘tewas di tangan Jeneral-Jeneral’ tu.. hehe.

p/s – Risau andai kata 4 Jeneral itu bergabung tenaga. Mungkinkah makin ramai lagi yang akan tewas (tertidur) dalam apa saja majlis ilmu. huhuhuuuu minta dijauhkan sama sekali. Sekadar untuk mengingatkan diri sendiri...

11 October 2008

Menangislah...

Petang tadi aku melihat cerita Wulan di RTM 1. Seronok juga aku menontonnya. Bagi aku jalan ceritanya agak kompleks. Kisah tentang kecekalan, kesedihan, kekecewaan, kemarahan, kejujuran, kegembiraan dan kelucuan.

Tertawa dan menangis adalah sebahagian dari diari kehidupan kita. Dalam menjalani kehidupan seharian, kita dilingkari dengan pelbagai peristiwa dan warna-warni kehidupan. Peristiwa yang lucu dan menggelikan hati akan membuatkan kita tersenyum dan ketawa (hingga lupa dunia... hehe).


Tapi sebagai manusia kita juga pastinya akan berdepan dengan peristiwa pahit, tidak terjangka dan menyedihkan hati. Pelbagai reaksi spontan dapat dilihat dalam menghadapi situasi sebegini. Namun bagi sesetengah orang, dia tetap kuat.
Malah ada juga yang mampu sembunyikan kelukaan. Apa yang pasti dia tidak mau pamerkan kedukaan dan kesedihan yang dialaminya kepada orang lain. Sebaliknya dia terus menzahirkan senyuman...

Tapi kekadang, walaupun kita kelihatan kuat dan cekal, kita sebenarnya perlu juga berikan ruang dan masa kepada diri (dan juga kepada orang lain?). Ruang dan masa untuk menangis atau sekurang-kurangnya membiarkan air mata mengalir lembut ke pipi. Ini kerana banyak hikmah di sebalik mengalirnya air mata itu…

Menurut Ibn Qayyim, terdapat 10 jenis tangisan, iaitu:

1. Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati
2. Menangis kerana rasa takut
3. Menangis kerana cinta
4. Menangis kerana gembira
5. Menangis kerana menghadapi penderitaan
6. Menangis kerana terlalu sedih
7. Menangis kerana terasa hina dan lemah
8. Menangis untuk mendapatkan belas kasihan orang
9. Menangis kerana terikut orang menangis
10. Menangis orang munafik – pura-pura menangis

Cuba renungi kembali … dari sekian banyak jenis tangisan itu, yang manakah pernah menyebabkan anda menangis?

p/s - Pernah melihat emak saudara menangis berhari-hari kerana disebabkan kucing kesayangannya meninggalkannya… dan diri ini juga pernah menangis kerana kehilangan…

06 October 2008

Bau bunga bantu dapat mimpi indah?


Bunga menjadi daya tarikan kepada sesiapa saja. Mana-mana rumah pasti ada bunga-bungaan. Tak kira sama ada bunga plastik mahupun ‘bunga hidup’. Yang pentingnya mesti ada bunga. Mana yang rajin tu… sempat tanam pokok bunga mengikut citarasa dan kesukaan masing-masing. Tapi biasanya ‘bunga hidup’ ini hanya berada di luar rumah manakala dalam rumah hanya diserikan dengan bunga plastik je. Bukannya apa, bak kata orang ‘senang nak urus’.

Tapi nampaknya selepas ini kita kena buat satu pembaharuan. Ini kerana hasil kajian oleh sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat serta Jerman (Berita Harian, 3 Okt 2008) mendapati bahawa sesiapa yang mahukan mimpi yang indah, perlu meletakkan bunga dalam kamar tidur. Kajian ke atas sukarelawan mendapati bahawa mereka telah mengalami mimpi yang indah selepas tidur dengan bau-bauan bunga ros dan mawar. Sebaliknya akan mengalami mimpi yang buruk jika mereka tidur bertemankan bau yang busuk.

Persoalannya, benarkah kajian ini? Andaikan kajian ini benar atau ada sedikit benarnya… Aku tertanya-tanya juga berapa ramaikah antara kita yang telah meletakkan pokok ‘bunga hidup’ di dalam rumah? Apatah lagi meletakkannya di dalam bilik tidur? Mungkin boleh dikira dengan 10 jari tangan je. Cuma kalau sembur pewangi dalam bilik tidur tu biasalah…

Bagi aku, kajian yang mengaitkan bau bunga dan mimpi indah ini agak menarik juga. Bukannya apa. Setidak-tidaknya ada usaha untuk memastikan tidur kita tidur yang berkualiti setelah penat bekerja seharian. Juga kerana sebahagian besar kehidupan kita juga penuh dengan 'tidur'.

p/s – teringat sejak kecik lagi, bila nak masuk tidur mesti basuh kaki dan baca doa… kalau dapat je mimpi buruk itu tandanya tak basuh kaki dan tak baca doa.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search