Followers

24 December 2009

Tidak lagi berblog. Maaf kepada semua yang pernah hadir …


“kepada semua readers2, aku minta maaf sebab tutup blog secara mengejut. Di kesempatan ini, aku… dengan penuh rasa rendah diri, ingin memohon ampun dan maaf kepada semua yang pernah hadir ke blog ini…”


Itulah antara kata-kata / entri terbaru dari salah seorang rakan blogger yang aku kenali. Entri itu bertarikh awal Disember 2009. Entri itu betul betul buatkan aku terkejut. Aku terkejut kerana tak sangka sama sekali akan keputusan yang dibuatnya itu.


Bila baca entri tersebut, aku termenung dan terfikir sekejap. Terasa kehilangan sesuatu. Rasa kehilangan salah seorang rakan blogger biarpun sekadar mengenalinya di alam maya. Tak pernah berjumpa …


Aku tertanya-tanya sendirian, kenapa ada rakan blogger secara tiba-tiba mengundurkan diri dari berblog? Adakah kerana sesuatu sebab yang sememangnya ‘menyentuh hati dan perasaan’ atau ‘marah kecewa kerana blognya dikritik / diperli / dikutuk / dicerobohi atau seumpamanya..’ atau kerana blognya itu ‘kurang disenangi’ oleh pasangannya atau bakal suaminya? atau kerana diri sendiri yang sudah kehilangan mood untuk berblog lagi?


Aku mengimbau kembali. Sejak aku mula berblog pada Mei 2008, rasanya aku dah kehilangan rakan blogger seramai 4 orang yang mengundurkan diri secara tiba-tiba... dan aku betul-betul rasa kehilangan. Apapun aku menghormati keputusan yang dibuat olehnya. Mungkin ada suatu sebab yang tersendiri yang dilaluinya.


Aku tertanya-tanya lagi, bagaimana pula dengan rakan-rakan blogger yang lain? Adake terlintas nak berhenti berblog? Cuma aku berharap jangan ada yang berhenti... kerna aku tak mau rasa kehilangan lagi.


p/s - Sehingga saat ini, aku masih suka berblog dan membaca blog . Ini kerana kat blog inilah aku dapat luahkan dan berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan blogger yang lain. Apa yang penting bagi aku, dunia yang indah dan penuh warna-warni ini dapat aku ketahuinya dengan membaca blog rakan-rakan semua ...

19 December 2009

Bila cinta tak lagi untukku ...


Bukan senang untuk kita menyukai sesebuah lagu. Ini kerana tak semua lagu kita akan suka mendengarnya. Apabila kita menyukai sesebuah lagu, itu tanda kita gembira mendengarnya atau mungkin juga kita sedih mendengarnya. Apa yang pasti kita ingin mendengarnya berulang kali.

Tapi rasanya lagu itu kita akan suka mendengarnya kerana kita tertarik pada lirik, irama dan muziknya .. mungkin juga kerana suara penyanyinya. Mungkin juga kerana ia ada gambaran kisah yang pernah kita lalui atau sesiapa saja yang kita kenali melaluinya. Semua itu boleh membuatkan kita suka pada sesebuah lagu.

Tapi yang pasti kesukaan kita pada sesebuah lagu itu akan hadir dengan sendirinya. Ia datang tanpa kita sedari…

Beberapa hari yang lalu, aku sempat menonton sinetron TV3 Tasbih Cinta dan lagu temanya begitu menarik sekali bagi aku. Ya, aku suka lagu itu. Akupun tak tau kenapa aku sukanya.



Lirik lagu..

Semula ku tak yakin
Kau lakukan ini padaku
Meski di hati merasa
Kau berubah saat kau mengenal dia

Bila cinta tak lagi untukku

Bila hati tak lagi padaku
Mengapa harus dia yang merebut dirimu

Bila aku tak baik untukmu
Dan bila dia bahagia dirimu
Aku kan pergi meski hati tak akan rela

Terkadang ku menyesal
Mengapa ku kenalkan dia padamu

Tempohari semasa berkursus, sempat berborak dengan salah seorang kenalan blogger kat ym. Katanya aku dah hampir dengan rumahnya. Minta aku snap akan rumahnya. Kalau betul ... ermm akan dapat hadiah. hehe ..



Aku snap sebuah rumah ... walau tak pasti adakah ini rumahnya. Tapi gerak hati ini terdetik pasti.


13 December 2009

Kursus Pengurusan Strategik 2009


Asyik tengok blogger lain je ukir kat pantai. Sekarang giliran aku pula. Ambik kau.. hehe

Masa cuti sekolah ini ingatkan dapat rehat sepuas hati tapi rupanya takde dapatnya. Masih banyak aktiviti, tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tapi bagi aku semuanya okey. Sekurangnya dapat berikan satu pengalaman yang baru. Kan dunia ini indah. Penuh warna-warninya. Keindahannya akan dapat kita perolehi di mana jua. Semuanya terletak pada hati dan fikiran kita. Terletak bagaimana cara kita menghadapi dan mendekatinya. Baik semasa berkursus... semasa tengok pantai... semasa tengok gelagat orang-orang di sekitar... semasa tengok rakan-rakan makan... semasa tengok penyambut tamu tersenyum manis... Semuanya indah. Semuanya manis. Itu juga satu pengalaman. kan kan..



Baru-baru ini (6 hb – 9 hb Dis 2009), aku mengikuti Kursus Pengurusan Strategik kat Gem Beach Resort, Batu Rakit, Terengganu. Seronok juga berkursus di Gem Beach Resort ini. Seronok kerana kursus kali ini adalah terdiri daripada pihak pentadbir sekolah Peringkat Negeri Kelantan. Hampir 125 orang peserta. Semuanya orang lama. Penuh pengalaman hidup.

Masa mendaftar kat kaunter, sempat aku selidik no ic peserta satu persatu (nakalkah aku? oh tidak, akukan suka melakukan kajian. Aku rasa itu adalah satu kajian awal. Sekurang-kurangnya aku tau tahap dan persekitaran para peserta). Hasil kajian.. Purata peserta kali ini adalah berumur 48-an dan 50-an. Nampaknya akulah yang paling junior sekali. huhuhuuuuu!!! (kenapa le aku selalu jadi junior?)


Yes!! aku dapat rakan sebilik yang akan pencen 3 tahun lagi. Seronok betul berbual dengannya. Ada-ada je kisah lucu yang keluar dari mulutnya. Akupun hairan darimana idea itu datang.. sakit perut aku ketawa dibuatnya.


Oh ya aku juga dapat 2 orang rakan yang selalu berbual dengan aku sepanjang berkursus. Masing-masing akan pencen 2 tahun lagi. Bila berbual dengan diorang ini, aku dapat rasakan betapa semangat kental dan waja wujud dalam diri untuk mendidik pelajar menjadi modal insan gemilang. Betul.. aku tabik pada diorang!! Walaupun dah nak pencen tapi pelbagai idea dan perancangan sedang dirangka untuk memastikan pelajar dan sekolah terus cemerlang. Terdetik pada hati… aku macamana pula?

04 December 2009

Di balik Kesayuan Matanya ...


Kelmarin aku pulang dari hospital. 3 hari 2 malam aku berada di hospital menemani emak. Sebelah katil emak ada seorang makcik. Baik orangnya. Makcik itu pula ditemani oleh anak perempuannya. Telahan aku anaknya berumur 20-an gitu. Agak pendiam orangnya.


Berbanding dengan anaknya, emaknya sungguh peramah sekali. Tak habis aku melayan dan berbual dengannya. Ada-ada saja buah bicaranya. Tapi anaknya… iya anaknya hanya diam sahaja. Asyik menatap majalah ‘Wanita’. Sekali-sekala ber ‘sms’. Seakan-akan tak pernah pedulikan bualan aku dengan emaknya.


Curi-curi aku perhatikan anak makcik itu. Pada gerak hati aku… ada ‘sesuatu’ pada wajahnya. Senyuman bersahajanya itu buatkan aku semakin ingin tau. Iyalah akukan mana boleh melihat seseorang yang wajahnya sayu dan sukar untuk senyum. Aku mau dia senyum …


Aku cuba mendekati kisahnya. Cuba buka bicara. Aku menyapanya. Sapaan aku dibalasnya mesra. Aku dipanggilnya abang dan dia membahasakan dirinya Nur.


Kami berbual dan berkongsi cerita …
Akhirnya aku berjaya buatkan dia senyum …


Gerak hati aku memang benar. Ada kisah di balik kesayuan matanya. Dia rupanya sejak kecil lagi ada masalah dengan hati. Tapi dia kuat, tabah dan berusaha untuk melupakan kesakitan yang ada dalam dirinya. Sepanjang bicara, aku lebih banyak mendengar. Sesungguhnya aku bangga dengan dirinya.


Nur
Bila berbicara
Tutur bicaranya begitu lembut
Setiap bait katanya
Dilafazkan dengan penuh kesopanan
Penuh kesayuan


Nur
Dirinya sentiasa bersedia
Untuk bersama menanggung beban keluarga
Walaupun beban pada dirinya juga sudah terlalu lama
Sedia terpikul
Sedia terpendam


Nur
Namanya seindah erti
Sentiasa menyinarkan cahaya
Menceriakan suasana
Menghilangkan duka
Memancarkan bahagia


Nur
Bila direnungi wajahnya
Bila didengari suara dari bibirnya
Terlintas akan persoalan
Mampukah ‘Nur’ untuk terus bertahan
Kerna di balik kesayuan matanya
Rupanya ada tersurat kesakitan


Doa diri ini
Moga Nur akan sentiasa tabah dan kuat
Sesungguhnya segala suratan yang hadir
Terkandung akan hikmah dariNya


p/s
– Perlunya kita bersyukur dengan nikmat. Sesungguhnya masih ramai orang di luar sana yang ‘sakit’ tapi masih mengukirkan senyuman…

20 November 2009

Aku dan Latihan Tentera 2009


Aku buka laptop. Rasa menggigil je tangan menyentuh keyboard. Maklumlah hampir 2 minggu aku tak mengadap laptop. Selama itu juga aku tak online. Badan masih rasa letih, penat dan rindu. Letih dan penat kerana tugas. Rasa rindu pada kawan-kawan blogger.

Makanan tempur untuk setiap anggota


Anak buah sedang menyiapkan peta ..


Sebenarnya aku bukannya ke mana. Cuma macam biasalah – bila tiba masanya kena pergi menyahut panggilan negara. Hampir 2 minggu aku terlibat dengan latihan tentera. Latihan tentera kali ini adalah CW - Conventional Warfare (Satu bentuk peperangan terbuka yang melibatkan penggunaan senjata dan taktik peperangan antara 2 dan lebih negara yang bersengketa).


Latihan tentera kali ini melibatkan Mara, Pertahanan dan Serangan. Semua anggota dikehendaki Mara, iaitu berjalan kaki dengan menggalas pek dan membawa senjata. Perjalanan bermula dari awal pagi dan sampai pada sebelah petang. Adoiii rasa macam nak tercabut kepala lutut dan kaki. Bahu pula terasa macam memikul anak gajah. Berat semacam je. Bertambah seksa apabila matahari panas membaham atas kepala. Tak ada mendung dan tanda-tanda nak hujan.


Anggota sedang mara ..

Bermalam pula kat dalam hutan. Bila bermalam, hujan semacam tau je.. sentiasa turun.. ishh.. Apalagi dengan pacat dan nyamuk hutan yang asyik mencari mangsa. Masa inilah aku teringat kat rumah.. teringat kat katil, teringat duk rileks kat rumah sambil berinternet, teringat kat ‘fresh oren’, KFC dan bagai lagi.. hehe. Lawak betul. Tersenyum aku dalam kepenatan.


Nasib baik le sepanjang latihan, aku ada Batman / Runner dan Operator. Dia oranglah yang bertugas sepanjang masa untuk memasak dan dirikan khemah untuk aku. Maklumlah aku ni kan Ketua Platun, tugas aku lebih kepada membuat perancangan, memberi arahan dan perintah. Sebagai ketua, aku tak ada masa nak masak-memasak ini. Yang penting aku ada masa bila time makan. hehe


Inilah salah seorang batman aku. Kasihan dia. Letih teramat..

Saat yang paling menyeronokkan ialah apabila serangan akhir ke atas kubu musuh dilakukan, di mana ada letupan mortar, tembakan artileri, tembakan GPMG & LMG. Terasa suasana macam perang sebenar. Suasana gamat sekali.


Bertambah seronok (sebenarnya sedikit debar) bila ramai-ramai pegawai berpangkat kapten, aku pula yang dipilih untuk menyampaikan perintah kepada kumpulan perintah. Aku diminta menyampaikan perintah di hadapan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Aiseri Alias, Timbalan Komander Rejimen 506 Negeri Kelantan, Pegawai-pegawai Tetap Tentera dari Rejimen 506, ahli-ahli JAKPAW dan para tetamu kehormat.


Semasa menyampaikan perintah di atas peta dan model tanah, aku dirakam oleh para wartawan RTM dan akhbar. Tapi memandangkan muka aku disamarkan dan berpakaian lengkap loreng tempur.. so aku yakin ramai yang tidak perasan. Aku sendiripun bila tengok dalam siaran Berita Jam 6 juga tak berapa kenal dengan muka aku sendiri. haha!!



Aku sebaik tamat latihan. arggghhhhh lega rasanya. Terus rasa nak makan ikan siakap 3 rasa & fresh oren.

p/s - nasib baik ada rakan aku yang snap gambar. Aku terlupa bawa kamera.

07 November 2009

GOMO KELATE GOMO .. KELANTAN MENANG 2-0

Dalam perjalanan pulang dari kursus - sempat aku snap dari tingkap bas. Budak-budak sedang bermain bola di sebelah Masjid Kg Anak Ikan, Terengganu.

>>>> gila bola tidur bola makan bola minum fresh orange >>>>

Perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Kelantan malam ini tentu menarik. Aku pasti ramai penyokong kedua-dua negeri memenuhi Stadium Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

Piala Malaysia 2009 ini menarik kerana kedua-dua pasukan, Kelantan dan Negeri Sembilan mempunyai misi tersendiri. Kelantan, kali terakhir muncul pada perlawanan akhir ialah 39 tahun lalu tetapi tewas kepada Perak. Negeri Sembilan pernah beraksi pada perlawanan akhir 2000, tetapi juga tewas kepada Perak.


Apa yang lebih menarik pada aku ialah

1. Pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kelantan telahpun menerima ganjaran berupa pakej umrah dan wang saku secukupnya kerana melayakkan diri ke piala akhir. (Sejuk je hati.. kerana pakej umrah. Aku harap semua pemain bertambah semangat)

2. Kerajaan Kelantan telahpun mengumumkan cuti peristiwa Ahad ini. Keputusan itu sebagai menghargai dan menjaga keselamatan peminat yang akan ke ibu negara menyaksikan perlawanan akhir itu. (Aku doakan moga semuanya selamat pergi dan balik.. Penonton selamat.. stadium juga selamat!!)

3. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjanji akan memberikan ganjaran jika Kelantan berjaya menjulang Piala Malaysia musim ini. Aku masih tertanya-tanya apakah ganjaran tersebut? adakah cuti sehari lagi? hehe

p/s- Malam ini aku akan tengok bola di kem tentera bersama anak-anak buah. Pada jangkaan aku, Kelantan menang 2-0. Kelantan akan menang kerana kata-kata keramat “GOMO KELATE GOMO”. Yes! Yes!!

01 November 2009

Kita Perlu Kembali Pada ‘Hari-Hari Pertama’

Hari-hari pertama bagi kita biasanya adalah detik yang penuh kegembiraan, ceria, hati suka dan penuh kasih sayang. Bermula dengan hari pertama kita dilahirkan. Kita dapat tengok bagaimana ibu bapa begitu gembira sekali. Bau pada badan kita sebagai bayi yang baru lahir begitu wangi dan tersendiri sehingga ibu bapa tak pernah puas mencium. Suasana keliling begitu indah dan ceria. Hilang segala keperitan dan kesakitan ibu yang melahirkan kita.


Begitu juga hari-hari pertama bila kita ke sekolah. Rasanya bukan main segala persiapan dilakukan oleh ibu bapa. Adakala kita tak sabar hendak ke sekolah. Pagi-pagi lagi dah bangun mandi. Tak sabar hendak berpakaian baru. Tak sabar nak berjumpa kawan-kawan. Sebab itu, kebanyakan kita tak pernah melupai hari-hari pertama kita ke sekolah. Jika ada yang takut-takut ke sekolah, mungkin rasa lucu benar. Dengan isak tangis manja tak nak berpisah dengan mak ayah.


Hari-hari pertama kita ‘fall in love’... kan terasa indahnya dunia ini. Bak kata orang – (bukan aku kata. ops! okeylah di ketika ini aku yang kata..), bila orang itu pertama kali jatuh hati, segalanya nampak indah. Segala madah dan syair tak ada lawannya. Hinggakan ‘gunung yang tinggi kan kudaki, lautan api kan kurenangi, lurah yang dalam kan kuturuni’. Malah ada yang sanggup ‘ambiklah kapak belahlah dada’, ‘kan kupetik bintang-bintang untuk kuhadiahkan pada hari lahirmu’. Semua ini untuk buktikan betapa dalam dan setianya cinta kasih. (Padahal meniti di jambatan gantungpun dah gayat, air sungaipun tak berani terjun & kena duri sikitpun dah mengaduh bukan main lagi sakitnya. hehe).


Semakin dewasa, kita melangkah pula ke alam kerjaya. Hari-hari pertama kita bekerja, melangkah kaki ke pejabat, biasanya penuh bersemangat, penuh keazaman dan motivasi. Segala tugas yang diberi, diterima tanpa banyak bantahan. Malah diterima dengan senyuman dan semangat untuk menyelesaikan segalanya. Sesuatu yang sukar akan dianggap sebagai cabaran. Malah ada sesetengah kerjaya, bila kita diarahkan untuk posting, biasanya sanggup dan terima saja, hatta dipostingkan ke pulau yang hanya ada 150 orang saja penduduknya. hehe


Persoalannya, kenapakah bila hari bertukar minggu dan bulan, bulan ke tahun, tahun silih berganti, segala semangat dan rasa riang ceria mulai hilang?. Tak lagi seperti ‘hari-hari pertama’. Seseorang itu mulai menunjukkan prestasi yang kurang berbanding dengan ‘hari-hari pertama’nya. Rasa penat dan boring kini menguasai diri. Rasa malas bangun pagi. Longlai untuk melangkah ke tempat kerja. Hilang mood.. hilang semangat. Dengan kata lain, kelihatan agak sedikit lemah segalanya.


Apa kata, demi diri kita sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara, kita kembali kepada ‘hari-hari pertama’. Ini penting agar kita rasa sentiasa gagah untuk melangkah, ceria, hati yang sentiasa berbunga mekar, terasa dihargai, dikasihi dan diperlukan. Kita pastikan kehadiran kita sentiasa diperlukan dan dinanti-nantikan.

Aku rasakan, betapa pentingnya semangat ‘hari-hari pertama’ dan ‘hidup ini baru bermula’ dikembalikan semula dalam diri kita, untuk berikan kita kekuatan dalam melalui hari-hari mendatang. Dapat berikan kita semangat baru. Semangat untuk mengubah hari-hari biasa kepada suasana yang penuh warna-warni, penuh keceriaan, kegembiraan, ketenangan dan kedamaian. Dengan kata lain, di mana jua kita berada, pada bila-bilapun, kita akan sentiasa tenang .. damai ... kan.. kan ..


p/s: Pada 2 – 5 Nov ini aku akan ke De Rhu Beach Resort, Kuantan, Pahang. Kursus Profesionalisme Guru Kanan Sains Sosial Sek Men Negeri Kelantan. Harap-harap ada wifi sana.. boleh online di kala rehat .. pssttttttt!!

26 October 2009

Bagaimana Anda Mandi dan Kesannya?

Apabila anda mandi (tak kiralah mandi pagi ke, mandi tengahari ke, mandi petang ke..), bahagian anggota badan manakah yang mula-mula sekali anda basahi?

Soalan ini aku timbulkan, kerana kelmarin, aku baca satu buku tulisan Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, Pakar Motivasi – ‘MEMBINA UNGGUL LELAKI’. Antara satu artikelnya ada menyentuh berkenaan tajuk “Sinergi daripada air biasa dan mandi”. Menarik juga aku rasakan kajian yang dilakukan oleh beliau ini.


Apabila anda mandi (tak kiralah mandi pagi ke, mandi tengahari ke, mandi petang ke..), bahagian anggota badan manakah yang mula-mula sekali anda basahi?

Soalan ini aku timbulkan, kerana kelmarin, aku baca satu buku tulisan Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, Pakar Motivasi – ‘MEMBINA UNGGUL LELAKI’. Antara satu artikelnya ada menyentuh berkenaan tajuk “Sinergi daripada air biasa dan mandi”. Menarik juga aku rasakan kajian yang dilakukan oleh beliau ini.

Aku rasa, ramai antara kita mulakan mandi dengan membasahi bahagian atas kepala dahulu. Sama ada mandi menggunakan gayung mahupun dengan pancuran air yang ada kat bilik mandi. Seingat akule, sejak zaman budak-budak lagi, selalunya bila kita mandi, kita akan curahkan terus air ke atas kepala. Betulkan?


Tambahan kepada mereka yang tinggal di kampung, yang berdekatan dengan sungai, semestinya bila mandi sungai akan terjun dengan bahagian kepala dahulu, kecuali bagi yang ‘kurang macho’ itu mungkin terjun sungai dengan kaki dahulu. ( p/s - Masa zaman budak-budak dulu, aku mandi sungai dengan cara terjun berpusing-pusing badan.. hehe. Sungguh macho kan?)


Berikut antara petikan dari kata-kata Dr. Tuah:


“Ramai orang memberikan maklumbalas yang positif setelah mengamalkan cara mandi ‘dari bawah ke atas’ (Basahkan kaki dahulu.. ). Selain dapat mengelakkan kejutan tubuh akibat terlalu sejuk, ia juga dapat memberikan kebaikan segi kesihatan dan kecerdasan minda. Mandi seperti ini akan membetulkan sistem tubuh, menstabilkan tekanan darah dan jantung dapat berdenyut dengan baik. Di samping itu, ia dapat mengawal emosi dan membentuk aura yang tepat!”.


“Apabila seseorang itu sering mandi ‘dari bawah ke atas’, ia juga dapat mengelakkan diri daripada tiga keadaan; rambut cepat gugur, beruban dan bercabang.”


“Mandi dengan air dingin waktu pagi akan dapat meningkatkan pertambahan hormon testosteron pada lelaki serta hormon estrogen pada wanita. Dikatakan ini dapat menyumbang pada keghairahan asmara. (ops!! kepada yang berkenaan sahaja okey!)



p/s – Menurut Dr. HM. Tuah Iskandar, kajian ini untuk mandi-mandi biasa je, tidak termasuk yang nak atau terpaksa mandi itu.. hehe

21 October 2009

Berlari atau jogging – mana yang lebih berkesan?

Menerusi kaca tv dan juga majalah, kita selalu dipertontonkan betapa berjoging mampu menurunkan berat badan. Hakikatnya, ada juga yang berjoging setiap hari, tapi berat badan masih tak juga berubah. Masih maintain gitu.


Sebenarnya, menurut kajian (Ruangan sihat - majalah harmoni keluaran terbaru) - berjoging hanya sesuai untuk mempromosikan gaya hidup sihat je. Hasil kajian mendapati jika ingin menurunkan berat badan, joging bukanlah jawapan yang tepat!. Ini kerana jika nak lihat kesan dari aktiviti berjoging, seseorang itu perlu berjoging selama 3 jam setiap hari. (uisss 3 jam. lama tuu – lama bagi mereka yang jarang-jarang berjoging jauh. Bagi aku biasa je tu.. ehemm boleh percaya ke? )


Menurut kajian itu lagi, apa yang sepatutnya dilakukan ialah berlari laju selama 15 ke 20 minit. Jika tak dapat berlari di balapan atau trek joging kawasan taman, lakukan saja di rumah. Caranya mudah je.. “Angkat lutut hingga ke paras dada dan lakukan pergerakan berlari (airbike?). Lakukan selama 60 saat. Rehat 20 saat dan ulangi untuk 8 atau 10 set”. Ingat! sebanyak ‘8 atau 10 set’ bukan 1 set okeh.

Agak-agak beginilah cara pergerakan berlari laju yang dicadangkan ..


Aku senyum je. Senyum kerana melihat angka ‘8 atau 10 set’. Aku rasa ramai kalangan kita bukan nak kata 8 atau 10 set, satu setpun tak tentu boleh buat lagi. Kalau mampu buatpun tentu rasa terseksa semacam je. Mungkin ada orang tu sekali je buat dah terkulai layu. haha!!


p/s - Ada seorang kawan, bila diajak berjoging atau berlari, senang je jawapannya, "lebih baik joging atas katil je... zzz ... ” adoiii..

19 October 2009

Seronoknya bersantai dengan pelajar pada cuti hujung minggu


8.00 pagi hingga 12.00 tengahari - aku berada di sekolah. Satu perbincangan bersama pelajar-pelajar tingkatan 5, pelajar target ‘A’ Sejarah SPM tahun ini. Selama hampir 4 jam lebih aku berbincang serta menganalisis topik-topik penting bersama-sama dengan pelajar.

Sebenarnya aku sengaja membawa pelajar ke dalam 'bilik mesyuarat' sekolah. Selama ini mereka asyik belajar dalam kelas, makmal, bilik tayangan dan dewan besar je. so, aku sengaja bawa mereka ke sini - bagi sedikit kelainan dan suasana yang baru.

Seronok juga bila berbincang dengan pelajar dalam keadaan santai begini. Pelbagai soalan diajukan... dan sesungguhnya aku memang suka sekali bila pelajar banyak bertanya. Bagi aku, itu petanda adanya satu kesungguhan dan keinginan pelajar untuk belajar dan berjaya!!! Satu kepuasan bagi aku bila memikirkannya.

Perjumpaan kali ini lebih menjurus kepada perbincangan hasil analisis soalan peperiksaan tahun-tahun lepas serta analisis bab / tajuk oleh beberapa buah negeri (Wilayah Persekutuan KL, Johor, Kelantan, Perak, Perlis, Terengganu, Pahang, Sabah, Sekolah Berasrama Penuh dan MARA). Untuk rujukan pelajar, turut diedarkan soalan-soalan terpilih mengikut bab / tajuk bersama dengan skema yang lengkap. Edaran soalan dan skema ini adalah hasil analisis oleh Guru-guru Cemerlang Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tak lupa juga soalan-soalan dari ADABI.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search