Followers

31 January 2009

Di mana ada benci, biar kita membalasnya dengan sayang


Aku agak tertarik dengan tazkirah oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh. Bicaranya berkenaan dengan perkongsian rahmat yang kita terima daripada Allah s.w.t. Menurut beliau, rahmat yang dikurniakan kepada kita sepatutnya dikongsi bersama.

Berikut antara persoalan yang aku kutip dari tazkirahnya untuk direnungi bersama.

1. Sudah banyak kita mendapat nikmat daripadaNya tetapi jarang sekali kita memberikan waktu untuk menghitungnya, jauh sekali membalasnya?

2. Setiap hari kita tak pernah lupa mengambil sarapan. Tetapi kenapa kita tak sempat menggunakan beberapa minit untuk bersama memikirkan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah sebagai ‘vitamin’ sebelum bekerja atau menunaikan tugas seharian?

3. Cuba tanya hati kita, apakah nikmat yang sudah kita dapat sepanjang hari semalam?

4. Sudahkah kita sayangi ibu bapa, keluarga, teman-teman dan rakan-rakan di persekitaran kita?

Berikut adalah antara ciri-ciri golongan pengasih yang akan dikasihi Allah yang Maha Pengasih. Mudah-mudahan kita memiliki ciri ini..

1. Di mana ada benci, biar kita membalasnya dengan sayang.
2. Di mana ada hati yang terluka, di situ kita yang menjadi penghiburnya.
3. Di mana ada keraguan, di situ kita yang meyakinkan.
4. Di mana ada putus asa, di situ kita menebarkan harapan.
5. Di mana ada kesedihan, di situ kitalah yang berkongsi bahagia.
6. Di mana ada kegelapan, di situlah kita yang membawa cahaya.

Selagi kita mahu membantu dan mengasihi orang lain... selagi itulah kita akan mendapat ‘geran’ dariNya.

26 January 2009

Aku mengusap lembut rambut emak ...





Ke mana aku menghilang?...
Kepada teman-teman yang bertanyakan khabar tu... terima kasih.
Aku sebenarnya tidak menghilang. Sekadar menemani emak di kampung.

Baru-baru ini – pada 19 Jan 2009 (Pagi Isnin), aku dikejutkan dengan panggilan dari adik di kampung - emak tiba-tiba tidak sedarkan diri. Tanpa berlengah, aku terus maklumkan pada pihak pentadbir lantas bergegas pulang ke kampung. 

Dalam perjalanan pulang, pelbagai persoalan muncul di kepalaku. Aku terfikir, padanlah sejak seminggu dua ini aku rasa tidak begitu sedap hati je. Pada malam sebelumnya aku tiba-tiba teringatkan pada emak. Sepanjang dalam perjalanan, hanya doa yang dapat aku panjatkan pada Allah s.w.t agar emak aku tidak apa-apa. Terlintas juga aku pada entri aku sebelum ini yang bertajuk ‘Kepada yang masih ada ibu..’.

Bila terkenangkan entri aku itu… debaran di dada semakin kuat..
Sebaik tiba di rumah, aku melihat saudara mara sedang mengelilingi emak. Aku cuba tenangkan diri, menghampiri emak. Aku lihat emak seakan masih tidak sedarkan diri. Matanya merenung aku tanpa berkerlip. Renungannya terhadap aku begitu jauh sekali. Jauh sekali…

“Shid.. suruh mak bawa mengucap..” Emak saudaraku berbisik pada aku.
Aku mengusap lembut rambut emak, cuba senyum padanya dan memanggil nama emak.
“Emak.. mengucap mak…” Aku mengajar emak mengucap.. dalam masa yang sama air mata aku mula mengalir lembut.
-----------------------------------

Emak lantas di bawa ke klinik… dan dari klinik terus dibawa ke hospital.
Sampai saja di hospital, emak terus dimasukkan ke Wad Kecemasan - Zon Merah.
Aku dimaklumkan oleh Dr., emak tidak sedarkan diri kerana kemungkinan besar adalah kerana emak kekurangan gula dalam darahnya (berada pada tahap yang kritikal).
-----------------------------------

Pada sebelah petangnya, emak sudah mula boleh keluar dari wad kecemasan dan ditempatkan di wad yang lain. Di sana aku lihat emak dah mula boleh bercakap perlahan walaupun badannya masih lagi lemah. Kelihatan badan emak sungguh tidak bermaya sekali.

Pada 20-22 Jan 2009 - selama empat hari emak berada di wad. Selama itu jugalah aku menemani emak walaupun adik-beradik dan saudara mara yang lain selalu datang menjengah emak…
Pada 22 Jan 2009 – jam 4 pm emak dibenarkan pulang… pulang dan perlu berehat.
-------------------------------------

26 jan 2009 – Di saat aku menulis entri ini, emak mula nampak sihat sikit walaupun dirinya masih lagi perlu bertemankan ubat. Dan pada 28 jan ini perlu sekali lagi berjumpa Dr..

Bagi aku, semua ini ada hikmah dariNya.. terlalu banyak hikmah dariNya.
Dari situ juga aku dapat lihat, keluarga dan saudara mara yang sebelum ini jarang dapat aku jumpa sebelum ini kerana masing-masing sibuk dengan kerja dan perniagaan masing-masing.. akhirnya bersua untuk ke sekian lamanya.

“Ya Allah, Sesungguhnya engkau Maha Pemurah dan Maha Pengasih .. ” air mata aku mula menitis lagi -. tanda terima kasih dan rasa syukur aku padaNya.

18 January 2009

"Adakah kita benar-benar sihat?"


Sesibuk manapun kita.. kesihatan perlu dijaga juga.

“Apa khabar.. sihatke?”
“Sihat..”

Sering kali kita dihujani pertanyaan di atas. Maka seringkali jugalah kita menjawabnya sihat. Persoalannya, adakah kita benar-benar sihat?. Berikut adalah tanda-tanda ‘simple’ yang boleh kita menilai diri dan orang yang rapat dengan kita sama ada sihat atau tidak.

1. Malas bangun pagi
2. Tidak ada stamina
3. Kerap letih, lesu dan tidak bermaya
4. Tidak tahan duduk bersila lama, kaki kebas

Jika ada.. maknanya kita masih belum sihat dalam erti kata yang sebenarnya. Ini kerana semua tanda-tanda ‘simple’ di atas adalah tanda perjalanan darah adalah kurang sempurna.

Bukti daripada penyelidikan menunjukkan aktiviti kecergasan sangat penting sekali diamalkan. Perunding Fisiologi Senaman dan Sains Sukan, Majlis Sukan Negara, Prof. Rabindarjeet Singh mempercayai, seseorang itu tidak perlu berlatih sebagai pelari marathon untuk menjadikannya lebih cergas dan bertenaga.

“Sebarang aktiviti yang membolehkan anda bergerak (berjalan kaki, naik turun tangga, berkebun, kerja rumah secara sederhana dan berat, senaman di rumah dsb), walaupun ia dilakukan sekadar beberapa minit setiap hari, adalah lebih baik.”

“Bagi mereka yang paling tidak aktif, masalahnya adalah untuk memulakannya. Satu cara yang paling baik ialah untuk berjalan kaki selama 10 hingga 15 minit”.

Menurut Prof. Rabindarjeet Singh, “berkeadaan cergas amat penting kerana kaitannya antara aktiviti dan penuaan. Malah dengan melakukan aktiviti fizikal secara kerap boleh memulihkan kualiti hidup seseorang”.

“Dengan melakukan senaman, membuatkan anda rasa lebih ceria kerana senaman memberikan anda tenaga, membantu mengendurkan tekanan, memulih imej diri, meningkatkan ketahanan melawan keletihan, membantu menangkis kebimbangan dan kemurungan serta membuatkan anda ‘relaks’ dan berasa kurang tekanan”.

p/s Antara azam tahun baru untuk kecergasan diri - jogging, futsal, badminton, tennis, ping pong, bowling, jalan-jalan cari makan & memancing ikan (fuhh.. banyaknya perancangan.. kena buat jadual khas ni. hehe)

13 January 2009

Kepada yang masih ada ibu ...




13 Januari 2009 - 4.30 pm - balik dari sekolah. Tiba-tiba terdetik hati nak tengok email (aku sebenarnya dah lama tak buka, tengok email...). Tak sangka ada e-mail dari zuhaida - c.zuer (kawan G3 semasa kursus Taktik di PLAW, Ipoh Perak tahun 2006).

Mungkinkah gerak hati. Tiba-tiba saja terasa nak buka e-mail. E-mailnya dihantar pada aku - 13 Januari 2009 tepat jam 12.00 tengah malam. ermm malam tadi rupanya… satu detik yang penuh bermakna.

Tersentuh aku apabila membaca e-mailnya. Berikut e-mailnya. (tiada tokok tambah..)

Kepada yang masih ada ibu …
Ketika ibu saya berkunjung, ibu mengajak saya… untuk shopping bersamanya kerana dia menginginkan sepasang baju kurung yg baru. Saya sebenarnya tidak suka pergi membeli belah bersama dengan orang lain, dan saya bukanlah orang yang sabar, tetapi walaupun demikian kami pergi juga ke pusat membeli belah tersebut.

Kami mengunjungi setiap butik yang menyediakan pakaian wanita, dan ibu saya mencuba sehelai demi sehelai pakaian dan mengembalikan semuanya. Seiring hari yang berlalu, saya mulai penat dan kelihatan jelas riak2 kecewa di wajah ibu. Akhirnya pada butik terakhir yang kami kunjungi, ibu saya mencuba satu baju kurung yang cantik.

Dan kerana ketidaksabaran saya, maka untuk kali ini saya ikut masuk dan berdiri bersama ibu saya dalam fitting room, saya melihat bagaimana ibu mencuba pakaian tersebut, dan dengan susah mencuba untuk mengenakannya. Ternyata tangan-tangannya sudah mulai dilumpuhkan oleh penyakit radang sendi dan sebab itu dia tidak dapat melakukannya,

Seketika ketidaksabaran saya digantikan oleh suatu rasa kasihan yang dalam kepadanya. Saya berbalik pergi dan cuba menyembunyikan air mata yang keluar tanpa saya sedari. Setelah saya mendapatkan ketenangan, saya kembali masuk ke fitting room untuk membantu ibu mengenakan pakaiannya. Pakaian ini begitu indah, dan ibu membelinya.

Shopping kami telah berakhir, tetapi kejadian tersebut terukir dan tidak dapat dilupakan dari ingatan. Sepanjang sisa hari itu, fikiran saya tetap saja kembali pada saat berada di dalam fitting room tersebut dan terbayang tangan ibu saya yang sedang berusaha mengenakan pakaiannya. Kedua tangan yang penuh dengan kasih, yang pernah menyuapi, memandikan saya, memakaikan baju, membelai dan memeluk saya, dan terlebih dari semuanya, berdoa untuk saya, sekarang tangan itu telah menyentuh hati saya dengan cara yang paling berbekas dalam hati saya.

Kemudian pada malam harinya saya pergi ke kamar ibu saya mengambil tangannya, lantas menciumnya ... dan yang membuatnya terkejut, saya memberitahunya bahwa bagi saya kedua tangan tersebut adalah tangan yang paling indah di dunia ini. Saya sangat bersyukur bahwa Tuhan telah membuat saya dapat melihat dengan sejelasnya, betapa bernilai dan berrharganya kasih sayang yang penuh pengorbanan dari seorang ibu.

Saya hanya dapat berdoa bahwa suatu hari kelak tangan saya dan hati saya akan memiliki keindahannya tersendiri. Dunia ini memiliki banyak keajaiban, segala ciptaan Tuhan yang begitu agung, tetapi tak satu pun yang dapat menandingi keindahan tangan Ibu...

With Love to All Mother 'JIKA KAMU MENCINTAI IBUMU, KIRIMLAH CERITA INI KEPADA ORANG LAIN, AGAR SELURUH ORANG DI DUNIA INI DAPAT MENCINTAI DAN MENYAYANGI IBUNYA'.

Nota: Berbahagialah yang masih memiliki Ibu. Dan lakukanlah yang terbaik untuknya....

p/s – Zuer, terima kasih kerana masih ingati saya. Maaf kerana lama tak ber e-mail.


12 January 2009

Sahabatku.. Selamat Menyambut Hari Lahir


Sahabatku azza..

Selamat menyambut hari lahir yang ke-33.

Moga azza sentiasa sihat, panjang umur, dimurahkan rezeki dan senyuman yang sentiasa ceria terukir di hati.

Saya doakan agar segala impian dan kebahagiaan sentiasa menjadi milik azza.

Azza, terima kasih kerana menjadi sahabat saya.

“Sebuah persahabatan akan mampu mendengarkan apa yang tidak dikatakan dan mengerti apa yang tidak dijelaskan…”

p/s – ermm nampaknya sahabat saya ini semakin mekar mewangi… hehe (gurau jer..)

09 January 2009

Masalah umpama garam, keazaman umpama air

9 Jan 2009, Jumaat, sekitar jam 10:30 pagi

Aku akan terus melangkah gagah..


Kisah 1

Dalam perjalanan pulang dari pasaraya Ekonjaya, aku terdengar sembang Dr. Fadzilah Kamsah melalui radio kereta. Beliau melalui kajiannya mengatakan bahawa 95% kerisauan yang selalu difikirkan oleh kita sebenarnya tidak pernah berlaku. Segala masalah yang dijangkakan berlaku hakikatnya tidakpun berlaku. Oleh itu, kita hendaklah tidak terlalu memikirkan sesuatu yang belum berlaku. Buangkan segala kerisauan. Hancurkan segala keresahan.

Aku tertarik dengan kajian beliau tersebut. Malah aku sendiripun walaupun sentiasa cuba berfikiran positif tetapi sekali sekala masih tetap dilanda kerisauan tentang sesuatu. Risau jika apa yang telah dirancang tidak akan berjaya, risau akan kekuatan sebuah perhubungan yang terjalin, risau jika tutur bahasa telah mengguris hati seseorang, risau jika seseorang itu berkecil hati dan sebagainya.Okey, mulai sekarang aku akan cuba buangkan segala kerisauan. Aku tak nak lagi risaukan sesuatu yang belum berlaku. Apa yang penting, aku akan merancang dan melaksanakan sesuatu dengan cara dan gaya yang terbaik. Aku akan laksanakan termampu mungkin. Segala yang akan berlaku selepas itu bukan kemampuan aku untuk fikirkannya. Cuma penambahbaikan sahaja yang akan dan dapat aku lakukan untuk hari-hari yang mendatang.

Kisah 2

Sampai saja kat rumah, aku capai sebuah majalah. Majalah Solusi. Dalam majalah tersebut, aku terbaca satu artikel. Petikan artikel tersebut antaranya menyebut:

"Secubit garam akan memasinkan segelas air. Tetapi jika garam secubit itu diletakkan ke dalam sebuah teko, kemasinan garam akan berkurang. Jika garam yang sama kuantitinya itu dilarutkan pula dalam sebaldi atau sekolam air… masinnya tidak akan terasa langsung."

Begitulah perumpamaan perbandingan antara masalah dan keazaman menuju cita-cita. Masalah umpama garam, manakala keazaman umpama air. Semakin besar keazaman maka semakin mengecil masalah, seperti garam yang hilang kemasinannya apabila air bertambah.

p/s - Keazaman besar akan mengecilkan masalah yang sedang dihadapi. Sebab itu jika kita terlalu disusahkan bahkan dikalahkan oleh masalah-masalah kecil, itu petanda keazaman dan cita-cita kita masih kecil. Jika keazaman kecil, kita sebagaimanapun bijak, hebat dan kuat sekalipun tidak akan mampu ke mana-mana. Ya, takkan ke mana-mana ...

05 January 2009

“Nurse, boleh saya ambil gambar darah saya?"


“Nurse, saya mau ambik darah ni.” (Aku menghulurkan borang padanya..)

“Okey duduk.. dekat sikit.”

“Kenapa muka nampak lain jer?..” (nurse itu tersenyum)

“Saja le tu. Nak menakutkan aku ekk.. sorry tak takut. Cuma..” (bisik hati kecil aku..)

Aku tengok nurse itu membaca borang yang aku hulurkan.

“eee banyaknya kena buat ujian ni. Kenapa mau buat ujian semua ni?”

“Nak sambung perkhidmatan”

“Kenapa borang dari RSAT?. (* RSAT – Rumah Sakit Angkatan Tentera)

“Nak sambung perkhidmatan dalam tentera..” Aku menjawab perlahan.

“Askar ke?”

“Tak. Saya cikgu..”

“Aik. Dua kerja ke?”

“Tak. Saya cikgu. Juga pegawai di Rejimen 506 kem Sungai Durian. Jika ada latihan, kursuske.. saya pergilah sana. Itupun kalau saya free”.

“ooo ..bestnya.”

“Best?..” hehe.

“Ni kena dua kali suntik ni.” Nurse itu bagitau..

“2 kali suntik? sekali suntik tak bolehke nurse.” suara aku penuh simpati. Bukan takut. Cuma risau je. Maklumlah 2 kali suntik. eeee.. jarum tu..

“Tengoklah.. kalau dah cukup. okeylah. Tapi kalau tengok kehendak ujian dalam borang ni. Mungkin 7 atau 8 botol ni kena ambik darah ni.”

“Ni kalau ambil 8 botol ni boleh demam dibuatnya...”

“Hari itukan.. ada seorang budak perempuan. Umur 20-an. Mata berair je. Menangis. Takut bila nak kena ambik darah. hehe” (nurse itu ketawa bukan main lagi..)

Aku semakin berdebar. Bukannya apa.. lama tak kena cucuk ambik darah ni. hehe.

Nurse itu menepuk-nepuk lengan aku. Beberapa kali.. Risau juga aku. Risau jika urat tak timbul. Susah nak cucuk. Nanti tak kena urat.. alamak!!! Habis aku. Tentu lagi sakit..

“eee siapdah ke nurse?”

“Dah.. siap dah”

“Cepatnya.. Nurse kata tadi 2 kali kena cucuk?”

“Tak.. sekali je. Darah banyak dah ni..dah cukup”

Fuhh!!!! lega rasanya.

“Nurse, boleh saya ambik gambar darah saya? Nak buat kenangan..”

“Ambik je..”

“Ambik gambar nurse sekali.”

“ooo ambik gambar masa saya tengah slim.. anak 2 ekk.. hehe” (ketawa nurse itu semakin kuat).


p/s – Seingat aku. Kali pertama dan terakhir aku pernah menderma darah ialah semasa tahun pertama di UKM dulu. Aku masih ingat bagaimana aku disuntik di lengan sebelah kanan dan kemudian disuntik lagi di sebelah kiri pula. 2 kali kena suntik. Alasannya.. suntikan pertama darah tak lancar keluar.. Sejak itu .. eeeee 2 kali kena suntik untuk derma darah. huhuhuuu seriau je roma aku masa tu.. sampai sekarang..

Kehendak perkhidmatan.. terpaksa akur jua.. dulu 3 tahun sekali. Sekarang 5 tahun sekali..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search