Jam 9.30 malam. Aku borak-borak dengan seorang pak cik. Aku bahasakan dirinya Wak. Wak ni berasal dari Indonesia dan kini bekerja sebagai pemandu kereta sewa.
Dari segi penampilan dan raut muka, aku agak Wak ini dah berumur orangnya. Sekitar 50-an. Peramah orangnya. Suka bercerita dan aku pula suka mendengar cerita. Aku suka bila dengar cerita dari orang-orang tua seperti Wak. Banyak pengalamannya.
Dalam asyik duk borak tu, aku tertarik dengan nasihatnya tentang cara berkawan.
“Cikgu, ada 3 cara bila kita berkawan. Pertama, berkawan separuh jalan. Kedua, berkawan setakat sampai di depan rumah saja. Dan ketiga, berkawan sampai dalam rumah...”
“Apa maksud wak?” Aku makin ingin tau. Lain je bunyinya.
“Bila kita berkawan kena tengok siapa kawan itu. Ada kawan yang hanya boleh dibuat sekadar separuh jalan saja. Mungkin kawan kat kedai makan saja. Selepas itu habislah.”
“Kedua, berkawan sampai di hadapan rumah saja. Kawan jenis ini hanya boleh di bawa bincang sampai di hadapan rumah kita saja. Walaupun kita dah mula kenal dia. Tapi jangan terus dibawa masuk dalam rumah. Bahaya tau…”
“Ketiga, kawan sampai dalam rumah. Kawan jenis ini bila kita dah kenal. Kita dah yakin dan percaya dengannya. Kawan jenis ini kita boleh bawa dia sampai dalam rumah kita. Kawan jenis inilah yang kita nak…”
“ooo itu maksud wak” Aku tersenyum. Tercuit dengan nasihatnya.
“Iya, wak dah lalui banyak pengalaman berkawan ini. Pernah satu ketika, ada seorang kawan. Nampak alim je. Pakai songkok. Tapi bila dibawa masuk rumah. Habis barang dicurinya.”
“Sekarang ini cikgu, kita kena hati-hati bila berkawan. Ada banyak jenis kawan ni. Sukar kita nak kenalpasti yang boleh kita jadikan kawan dan sebaliknya. Oleh itu, itulah 3 cara bila kita berkawan. Ingat tu..”