Followers

29 November 2010

Segala urat sendi bergegar ...



Maaf rakan-rakan .. tuan empunya blog ini sedang menyahut panggilan negara -  sedang menjalani latihan tentera selama 2 minggu. so tak sempat nak update entri.

Sebagai OC (Officer Comanding), saya sedang mengetuai satu pasukan berkekuatan satu battalion - lebih kurang 150 orang anggota.

Ni baru balik dari latihan fasa medan. Baru tamat latihan gerak mara dan serangan battalion & kompeni.

Gerak mara dengan berjalan kaki. Jauhnya lebih kurang 28 km, siap pikul beg galas padat berisi dan senjata M16. Dalam mara ada serangan mengejut!! 

Segala urat sendi bergegar …  mata rasa nak lelap tak nak lelap je. hehe

Sekarang dah masuk fasa kem – latihan merempuh halangan, log relay, merentas desa, menembak pistol dan pertandingan sukan antara battalion.

Ada 3 hari lagi latihan nak tamat…  

Salam sayang untuk anda semua!!

p/s - Sempat singgah jap kat rumah - balik ambil baju batik. Ada majlis makan malam.

ops!! ada 50 minit lagi –  ada mesyuarat jam 9.00 malam ni. Bye ..


18 November 2010

Kepada kaum wanita, bersimpatilah dengan orang lelaki ..


Pakar kesihatan lelaki, juga seorang penulis Helping Men Live Happier, More Fulfilling Lives dari Amerika, Will Courtnay mengatakan:

“Rata-rata lelaki meninggal dunia lima tahun lebih awal daripada wanita…”

Courtnay berpendapat demikian kerana menurut beliau, ramai lelaki kurang mengambil berat soal kesihatan mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka beranggapan tubuh mereka lebih ‘kebal’ berbanding wanita.

Aku baca lagi …

“Lelaki  hanya bertemu doktor apabila dirinya tidak mampu lagi menahan kesakitan …”


Baca lagi …

 “Jumlah lelaki yang mengalami masalah mental adalah 40% lebih tinggi daripada wanita …”

“Akibat tidak mampu menanggung tekanan hidup, ramai lelaki mengambil keputusan untuk membunuh diri …”


Kesimpulannya, kepada kaum wanita … orang perempuan … sila dan cuba fahami serta bersimpatilah dengan orang lelaki!!!  hehe


p/s – padanlah aku asyik terserempak dengan orang gila yang kebanyakannya adalah orang lelaki .. kasihan kan ..  kan ..


15 November 2010

Aku yang menkliknya pula terasa berdebar

Pagi tadi -  keputusan yang dinanti-nantikan sudah boleh dilihat. Mana-mana guru yang telah memohon pindah sekolah, baik antara negeri mahupun dalam negeri sudah boleh menyemak keputusannya secara online. Beberapa guru kat sekolah inipun ada yang memohon pindah. Mereka semua kelihatan resah gelisah.


Bilik aku diserbunya. Maklumlah bilik berinternet. Ada kabelnya.  Wireless internet sekolah ada tapi agak lemah linenya.

“Cikgu rashid, baca bismillah dulu ..” ujar salah seorang guru perempuan.

“Okey… sabar ek. Kalau dapat dapatlah. Kalau tak dapat terima je keputusannya. Tentu ada hikmahNya. Ada rezeki lagi kat sekolah sini ..” balasku perlahan. Cuba menenangkan keadaan.

Aku klik laman web Kementerian Pelajaran Malaysia. Kemudian klik bahagian e-GTukar.  Dimintanya ID Pengguna, Kata laluan dan No kad Pengenalan.

Aku yang menkliknya pula terasa debar. Seorang demi seorang aku semak keputusan permohonan mereka. Ada yang berjaya dan ada juga yang tidak berjaya. Dari air muka, jelas terbayang reaksi suka dan duka. Guru yang berjaya kelihatan begitu gembira sekali. Sebaliknya permohonan yang gagal,  tergambar kekecewaan pada airmuka.

Aku perhatikan reaksi seorang demi seorang …
Kasihan juga aku melihat guru yang beriya pindah tapi tak berjaya. Tentu ada sebab tersendiri mereka mohon pindah.

Tapi ketentuanNya tiada siapa yang tau …

Tahun depan cuba lagi ...

14 November 2010

Rahsia personaliti yang baik


Aku belek buku catatan kecil berwarna merah. Tercatat satu ungkapan tentang rahsia personaliti yang aku tulis semasa di tahun pertama belajar kat UKM.
Aku bacanya. Ungkapannya agak simple tapi sungguh bermakna rasanya.

Apabila ditanya mengenai rahsia personalitinya yang baik, seorang tokoh pemimpin yang berjaya pernah memberikan jawapannya;
“Saya tidak ada apa rahsia. Sebenarnya anda masih belum belajar mengenai hidup secara mendalam. Tidakkah anda perasan yang anda boleh memberi warna kepada kehidupan. Andalah yang boleh menentukan reaksi yang anda mahu dari orang yang anda temui…”

“Sememangnya amat mudah. Jika anda mahu mereka senyum pada anda, senyumlah dahulu. Jika anda mahu mereka mempunyai minat terhadap anda, tunjukkanlah yang anda juga berminat pada mereka. Jika anda mahu mereka memuji anda, pujilah mereka dahulu. Jika anda mahu mereka menaikkan suara mereka, naikkanlah suara anda dahulu. Mudahkan… Orang akan melayan anda seperti anda melayan mereka. Sememangnya tidak ada rahsia. Lihatlah diri anda. Anda akan dapat buktikannya apabila anda berjumpa dengan orang yang baru anda temui...”

12 November 2010

Jangan biarkan diri tak bermaya! Nak call .. sms pun boleh ..


Jumaat (8.30 pagi – 11.00 pagi),  kelas tuesyen kepada pelajar-pelajar SPM ..

“Okey hari ini adalah hari terakhir cikgu adakan kelas tuesyen untuk kamu semua. Moga segala apa yang cikgu sampaikan dapat kamu ingatinya sebaik mungkin. Jangan lupa balik nanti, ulangkaji semua bab dan tajuk terpilih yang cikgu berikan itu. Kuatkan semangat!!. Jangan biarkan diri tak bermaya. Dikuasai oleh perasaan malas!”



“Peperiksaan SPM dah tak lama lagi. Minggu depan hari persekolahan hanya tinggal 3 hari saja lagi. Kalau ada apa-apa nak tanya cikgu … jumpa je cikgu bila-bila masa. Kat bilik cikgu ke... kat kantin ke… atau terserempak kat pasaraya ke… kat mana saja cikgu tak de masalah. Nak call … sms pun boleh  …”

 
“Percayalah, selagi ada masa selagi itu ada ruang untuk raih kejayaan. Kejayaan itu adalah satu kepuasan. Juga satu kesyukuran. Pasti ia menjadi milik kamu semua!! jangan leka, jangan cepat putus asa !!! Ayuh kamu semua mampu buktikannya!!! katakan yes!!  yes!! pada diri sendiri.

10 November 2010

Kisah anak ikan yang keresahan

Malam .. hujan turun ..  aku perhatikan rintik-rintik hujan. Cantik dan sungguh indah rupanya.

Tiba-tiba aku teringat kisah anak ikan yang keresahan … (maaf aku mengolahnya. Guna ayat sendiri. Ingat-ingat lupa sebenarnya akan kisahnya)

Ada satu ketika, seorang ayah berbicara dengan anak bungsunya di tepian sungai. Dengan lembut, ayah menyatakan pada anaknya.

“Lihatlah .. betapa pentingnya air kepada kehidupan. Tanpanya semua jenis kehidupan akan lesu, kering dan akhirnya musnah”

Anaknya mengangguk-ngangguk walaupun masih kurang mengerti.

Dalam masa yang sama, seekor anak ikan sedang mendengar percakapan itu. Anak ikan itu berasa resah dan tertanya-tanya, tercari-cari di manakah letaknya air itu?. Dek kerana rasa ingin taunya begitu tinggi sekali maka berenang-renanglah anak ikan itu ke sana ke mari bertanyakan pada setiap ikan yang ditemui …

“Di manakah air? Ini kerna aku mendengar kata-kata manusia tadi ... tanpa air semua kehidupan akan lesu, kering dan akhirnya musnah”

Semua ikan yang ditemui sekadar mengeleng-gelengkan kepala. Tak tau dan sedikit kebingungan dengan soalan anak ikan tersebut.

Sampailah satu detik dan ketika, anak ikan itu berjumpa dengan seekor ikan senior yang kelihatan tenang. Agak macho gayanya. Lalu ditanyailah soalan tadi. Maka ikan senior itupun memberikan jawapannya dengan senyuman terukir.

“hai anak ikan, air itu sebenarnya sentiasa ada. Ia ada di sekelilingmu. Cuma kamu tidak menyedarinya. Kamu terlepas pandang. Kamu tidak pernah untuk cuba merasai kehadiran dan menghargainya.”



Begitulah rasanya kita semua. Mencari-cari sesuatu yang boleh buatkan kita gembira dan suka. Seringkali kita agak lupa akan kebahagiaan yang pernah hadir dalam hidup kita. Kebahagiaan yang sebenarnya sudah bersama kita sebelum ini. Mungkin juga kita sedang bersamanya kini.

Percayailah kita semua pernah alaminya dan alangkah baik dan indahnya jika terus bersamanya.

Dalam meniti hari-hari, kadangkala kita perlu luangkan sedikit masa untuk melihat ke dalam diri. Merenung diri akan perjalanan yang kita tempuhi sehari-harian. Melihat di mana kekuatan dan kekurangan diri. Mencari peluang dan membuka ruang untuk terus merasai bahagia.

Sebuah persahabatan … teman-teman … ia satu anugerah dariNya. Hargailah selagi ia masih ada dan ingin serta sedia untuk bersama kita.

07 November 2010

Itu bukan isteri saya. Itu awek lain. Ini awek lain pula …

Petang semalam, aku mengajak salah seorang anggota batalion Rejimen 506, Prebet Azhan pergi makan kat satu gerai roti canai. Saja ajak. Buat teman berbual.

Pbt. Azhan: Tuan, susah betulla awek ni. Asyik sms je .. (sms dia asyik berbunyi)

Rashid: Awek? Awek yang mana satu pula ni?  Kat pasaraya hari tu siapa pula? kan ada bagitau saya dia itu isteri.

Pbt. Azhan: hehe.. takdelah tuan. Itu bukan isteri saya. Itu awek lain. Saya masih solo.

Rashid: Ramainya.

Pbt. Azhan: Hari tu awek lain. Ni lain pula tuan (senyum).

Pbt. Azhan: Tuan, awek yang ini taklah comel sangat. Badan besar. Gemuk. Boleh buat bantal tidur. Tak payah pakai selimut. haha!!! .. (kuat dia ketawa)

Rashid: hehe!!! (aku ketawa juga. Tak tahan gelihati. Gelihati sebab dia spontan je cerita tentang fizikal aweknya. Siap ketawa kuat lagi tu)

Pbt. Azhan: Tapi tuan, dia baik sangat pada saya. Hari tu masa saya hilang dompet. Hilang ic. Dia ada bagi RM150 pada saya untuk urus… pergi balai …

Rashid: Baguslah tu. Itu tanda dia ambil berat.

Pbt. Azhan: Itulah tuan. Dia tu baik sangat.  Sayapun rasa malu pada diri. Dia selalu ajak saya keluar. Setiap kali keluar, dia saja belanja saya. Mungkin dia tau saya ni kerja gaji tak besar …

Pbt. Azhan: Tuan, dia ni garang tau tuan. Garang macam singa .. hehe

Rashid: haha!! ishhh ..  (aku gelak lagi)

Pbt. Azhan terus ceritakan kisah dia …  aku sekadar dengar … lucupun ada bila dengar dan tengok gaya dia bercerita …



Rashid: Azhan ada tak rancangan nak bersama dengan dia. Maksudnya nak kawen dengan dia?

Pbt. Azhan: ermm .. ada juga tuan..  (terdiam)

Rashid: Bukan senang nak cari macam dia tu. Ambil berat. Sanggup bagi duit. Selalu belanja. Kalau fikir baik-baik kasihankan kalau sekadar nak main-mainkan dia tu. Azhan cuba jaga dia dengan baik. Jaga hubungan.  Biar dalam diri kita ni ada rasa tanggungjawab. Tanggungjawab untuk jaga orang yang baik macam dia tu. Kasihan ..

Rashid: Azhan, paras rupa bukan ukuran. Terima dia seadanya. Apa yang penting dia suka kita, kitapun suka dia. Kalau dapat cun macam modelpun kalau hati tak baik.. tak setia dengan kita..  tak sedia untuk berkongsi ... kan susah juga tu. Biar kita cari yang suka bersama kita. Suka berkongsi suka duka kita …  (bla bla bla ..)

Pbt. Azhan: Ya tuan .. (mengangguk tanpa kata)

03 November 2010

Wanita menjeling tajam ... Lelaki merenung tajam

Berita harian semalam memaparkan bagaimana dek dikuasai oleh perasaan cemburu, seorang lelaki memukul dan memijak isterinya sehingga mati. Kejadian tersebut berlaku di Bintulu. Lelaki berusia 33 tahun itu marah apabila isterinya yang berusia 34 tahun dilihat sedang minum bersama empat rakannya di rumah kongsi mereka.

Cemburu? rasanya semua orang ada perasaan cemburu. Apa yang membezakan ialah bagaimana perasaan cemburu itu berjaya ditangani dengan baik atau sebaliknya. Bagi aku, cemburu itu sebenarnya perlu ada. Ia tanda sayang akan sebuah perhubungan yang terjalin.  Namun cemburu itu biarlah ada tempatnya. Biarlah ada masanya dan bukannya sepanjang masa. Apa yang sangat penting, biarlah perasaan cemburu itu ditangani dengan cara penuh berhemah dan professional. Bukannya dengan mempamerkan kekuatan, keegoan dan kemarahan sehingga sanggup melukai dan mencederakan pasangan.



Tiba-tiba terlintas dalam fikiran aku, kalaulah dibandingkan antara seorang lelaki dan perempuan, rasanya yang mana satukah yang paling mudah dan kuat cemburu? Lelakikah atau perempuankah? Siapakah pula yang paling bahaya bila cemburu? Lelakikah atau perempuankah?

Rasanya pelbagai cara spontan ditunjukkan bila cemburu itu menguasai diri. Wanita biasanya menjeling tajam. Lelaki pula merenung tajam. Mungkin ada setengah tu menyindir dan berkias kata. Mungkin ada yang suka berterus-terang pada pasangannya. Mungkin ada juga yang buat ‘dhek’ je. Maklumlah dia rasa dia boleh mendapat ramai lagi pengganti. Seorang pergi berpuluh-puluh lagi yang sedia menanti.

p/s – Bagaimanakah pula cara yang pernah anda guna bila anda rasa cemburu pada pasangan anda?  Saja je nak korek rahsia sikit .. hehe



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search