Followers

31 May 2010

Indahnya kalau semuanya begini ...


 Indahnya kalau semuanya begini ...

Sudah terlalu lama wanita saja dipersalahkan dalam kes hamil luar nikah dan pembuangan bayi tetapi lelaki melarikan diri. Saya memberi amaran kepada bapa ghaib ini mereka tidak akan terlepas” – Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Aku merenungi kata-kata Datuk Seri Shahrizat. Nampaknya ia berulang. Keluhan rasa kesal dan amarah dengan situasi dan gejala yang berlaku ini. Bagi aku, perasaan  kesal dan marah terhadap isu ini sudah lama terpendam. Semua kita, manusia normal akan ada rasa marah dengan situasi begini. Semua pasti akan resah gelisah melihat dan membaca gejala kes hamil luar nikah ini. Sana buang anak… sini lempar anak .. sana tanam anak .. sini dera anak …

Namun soalnya, salah siapa sebenarnya? Wanita yang mudah hanyut sehingga tergadai maruah diri? Lelaki si pelaku yang akhirnya bergelar ‘bapa ghaib’ ekoran sikap tidak bertanggungjawab terhadap sentuhan haramnya itu?

Mengapakah kes sebegini sentiasa berulang? Rasanya ia dah cukup lama. Bertahun-tahun. Namun hingga hari ini tiada satupun langkah yang boleh dikatakan agak berkesan untuk menangani kes ini daripada terus berulang.  Ia tetap  berlaku seolah-olah tiadanya titik.

Nampak gayanya, hukuman dan denda yang dikenakan masih tidak berbaloi dan ‘ringan’ sehingga seolah-olah tidak ada rasa gerun si pelaku untuk terus melakukannya.

Aku pernah tengok si perogol dihukum sebat sehingga 20 sebatan. Kulit punggung terkoyak berdarah …

Masa kena sebatan itu, laungan nama Allah keluar dari mulut si perogol …   badan gagah perkasa akhirnya lemah lesu ... berjalanpun terpaksa dipimpin …

Punggung terkoyak itu akhirnya disapu ubat …

p/s – kalau nak diikutkan rasa marah … biarkan saja punggung berdarah itu sebegitu. Tak payah dilumur ubat. Rasakan …


27 May 2010

Kerana seekor lalat, kita boleh ke syurga atau neraka?


“Cikgu rashid duk tenung apa tu?” aku disapa ngan lembutnya oleh cikgu Syidah, cikgu Sains.
“Ni…  saya duk perhatikan lalat.” spontan je aku jawabnya.

“Apa yang menarik sangat tu? Jauh je renungan cikgu saya tengok.” ujar cikgu Syidah lagi.
“Iya. Saya terlintas... teringat .. kerna seekor lalat, kita boleh ke syurga atau ke neraka...” jawabku selamba.
“Wah, sangat mendalam sekali maksud cikgu…” cikgu syidah senyum.

Macam biasa. Aku balas senyum. Dah biasa teman-teman bertanyakan soalan sebegitu pada aku. Mungkinkah kerana pandangan hati aku ‘sering menembusi’ …



Iya. Tadi kat kantin, aku tengok ada 2 ekor lalat kat atas sebuah meja,  tiba-tiba je aku terlintas akan kata-kata Imam Ahmad Ibn Abi Syaibah yang meriwayatkan dari Saiyidina Salman al-Farisi. Kisah tentang 2 orang lelaki dan lalat, syurga dan neraka.

Salman berkata: “Seorang lelaki masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki masuk neraka juga kerana seekor lalat”

Mereka bertanya, “Bagaimana itu terjadi?”

Ia terus bercerita: “Dua orang lelaki berjalan melalui sekumpulan kaum penyembah berhala. Kumpulan itu tidak membiarkan sesiapapun berlalu dari tempat itu sebelum menpersembahkan korban untuk berhala mereka.”

Kaum itu berkata kepada salah seorang dari keduanya: “Persembahkanlah sesuatu untuk berhala.”
Ia menjawab: “Aku tak memiliki apa-apa.”
Mereka berkata: “Persembahkanlah walau seekor lalat.”
Ia lalu mengorbankan seekor lalat kepada berhala dan mereka itupun melepaskannya pergi.
Salman berkata: “Orang itu masuk neraka!”

Kaum itu berkata pula kepada seorang lelaki yang lain: “Persembahkan sesuatu untuk berhala walaupun seekor lalat.”
Lelaki itu berkata: “Aku tak akan persembahkan apa-apa selain kepada Allah s.w.t”
Mereka lalu memenggal kepalanya.
Salman berkata: “Orang itu masuk syurga!”


Aku terus perhatikan lalat itu. Kecik je tapi ada kisah yang besar. Maha kuasa Allah s.w.t dan ciptaanNya…

25 May 2010

Benarkah lelaki berbangga memiliki 2 cinta?


Jom kita dengar sekejap kata-kata Dr. HM Tuah, pakar motivasi tempatan mengenai orang lelaki dan cinta.

 “Lelaki selalunya jujur tapi ramai juga yang berbangga memiliki 2 cinta dalam satu masa. Lelaki itu akan berasa suka kerana memiliki dua tiga hati dalam masa yang sama. Ketika itulah dia akan membuat penilaian siapakah yang terbaik dan paling dekat di hati antara ketiga-tiganya.”

“Jarang seorang lelaki hendak berterus-terang. Selalunya dia akan bermain cinta dengan ketiga-tiganya serentak hinggalah pada suatu ketika dia akan mengakhirinya dengan satu pilihan dan keputusan … ”

“Keegoan lelaki bermula dari awal dan berpanjangan hingga ke akhirnya. Namun sekeras manapun hati lelaki dia akan mengalirkan airmata bila hatinya dilukai…”



ermm benarkah ini semua? Tentu ada yang kata, orang perempuan pun sama juga, suka memiliki 2 cinta… 5 cinta dalam masa yang sama. hehe ..

Apapun yang pasti bagi aku (maaf, sekadar berdasarkan pengamatan sendiri dan hasil borak-borak ngan kawan-kawan lelaki dan perempuan), secara perbandingan, orang perempuan cintanya memang lebih setia. Banyak buktinya ...  dan bukti terkini, akhbar semalam melaporkan ada seorang perempuan nekad ingin terjun dari bangunan tinggi sambil memanggil-manggil nama ‘kekasih’nya. Adusss terasa syahdunya bila aku membaca dan melihat gambar perempuan tersebut.  Cintanya begitu hebat sekali. Sampaikan hilang segala pertimbangan dan kewarasan akal.  Apa dan siapa yang ada di depan mata dan di dalam hatinya hanya lelaki 'kekasih'nya itu sahaja. Tapi di mana pula lelaki ‘kekasih’nya itu pergi? Hilang … menjauhkan diri …

p/s -   Aku … tentang kesetiaan ini biarkan saja hati berbicara … pandangannya bisa menembusi ...

21 May 2010

Makin ramai suami bersifat kebinatangan ….


“… dia menendang perut saya .. dia mengheret saya ke tempat letak kereta dan menendang muka saya. Ketika itu dia memakai kasut but … dan tendangannya itu menyebabkan saya pengsan…” ujar mangsa yang masih berpantang melahirkan anak ketiga. Mangsa cedera teruk di muka, telinga, belakang badan dan kaki setelah dibelasah tanpa belas kasihan oleh seorang lelaki.


Mangsa, seorang jururawat berumur 31 tahun dan lelaki itu adalah seorang anggota bomba, berusia sekitar 30 tahun!

Siapakah lelaki itu pada diri mangsa?

Lelaki itu adalah suaminya! … aku ulangi..  lelaki itu adalah suaminya! Seorang ‘penyelamat’ pula itu. Tapi hakikatnya menjadikan keadaan semakin tidak selamat! Dan mangsa pula adalah seorang jururawat, yang akhirnya terpaksa mendapatkan rawatan …

Ya Allah... aku yang membacanya hilang kata. Berlegar dalam fikiran. Mana perginya nilai kasih sayang seorang suami pada isterinya? Isteri yang tengah berpantang pula itu! Begitu tega seorang suami melakukannya.  Adakah itu sifat kejantanan yang nak dibangga-banggakan? Bagi aku, itu bukan sifat kejantanan tapi kebinatangan!

Mengapakah kisah sebegini semakin menjadi-jadi sekarang? Ia terjadi pada orang biasa… para artis .. pada orang besar-besar … orang kecik-kecik. Boleh dikatakan setiap hari, akan adanya sepak terajang, rakusnya tumbuk tampar dan herdikan hina dari seorang suami kepada isterinya? Sudah hilangkah penyeri hidup yang selama ini ceria bahagia sehingga  berjaya mendapat 3..  4.. orang anak? Bukan sikit tu …

  seorang isteri tentu tidak tega buat begini ...  tapi seorang suami?

p/s – Mengapakah semakin hari semakin ramai suami bersifat  kebinatangan? Apakah punca terjadinya ini semua?

17 May 2010

Aku adik Y.A.B. Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin?


“Cikgu Rashid tolong baca ya…  abang cikgu punya ucapan itu… ”

“Okey.  Tak ada masalah. Saya baca ...”



Dalam hati aku  …

“Mentang-mentang aku ini adik. Kena baca abang punya ucapan ke?”




Memandangkan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan diadakan pada 16 Mei 2010 di Universiti Malaysia Pahang, Pahang dan di peringkat Negeri pula pada 17 Mei 2010,  maka sambutan peringkat sekolah terpaksa diadakan pada 18 Mei 2010.

Sempena sambutan peringkat sekolah, aku diminta untuk membaca perutusan Hari Guru Menteri Pelajaran Malaysia, Y.A.B Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin.  

Adoiiii…


16 May 2010

Dari hati... kepada cikgu-cikgu yang pernah menjadi guruku ...



Dari hati …

Kepada Guruku … kedua ibubapaku…


Kepada cikgu-cikgu yang pernah menjadi guruku;


Cikguku kat Sek. Ren. Rantau Panjang, Kelantan, Sek. Men. Rantau Panjang, Kelantan, Sek. Men. Sultan Ibrahim (1), Pasir Mas, Kelantan. Kepada Guru-guru agamaku, Kepada para pensyarah & tutor UKM Selangor, para pensyarah UMS Sabah, Teman-teman tutor UMS Sabah, teman-teman tutor OUM Sabah, Guru-guruku kat Pusat Latihan Askar Wataniah, Ipoh Perak,  Guru-guruku kat Kem Tentera; iaitu di Kem Pengkalan Chepa Kelantan, Kem BN 3 Rejimen 506 Kelantan, Kem Bukit Perwira Kota Kinabalu Sabah, Kem Lok Kawi Kota Kinabalu Sabah, Kem Harrington Kota Kinabalu Sabah, Kem Kota Belud Sabah .. dan kepada semua teman yang pernah menjadi guruku secara langsung dan tak langsung.


Terima kasih akan segala ilmu yang diberi dan dikongsikan …

 
>>>>>

Tak lupa, terima kasih juga kepada rakan-rakan sekerja, rakan-rakan bukan sekerja, teman-teman blogger, bekas pelajar dan pelajar atas ucapan yang diberikan kepada saya. Saya amat menghargainya.




Antara ucapan kat sms yang menarik hati  …

“Ya Allah … Muliakanlah saudaraku ini. Bahagiakan keluarganya. Berkatilah rezekinya. Kuatkan imannya. Berikan kenikmatan ibadahnya dan jauhi fitnah … amin. ‘Selamat Hari Guru’. Jasa dan budimu tetapku kenang”. – Pengetua

“Apakah cita-cita anda sebelum jadi guru? Majistret? Lawyer? Engineer? Anda menyesal jadi guru? Cuba lihat, ada tak Lawyer yang sanggup pakai topi arkitek? Ada tak majistret yang berani sarung kot doctor? Tapi guru adalah semua itu. Kita la doctor bila budak sakit, lawyer bila parents soal, majistret bila budak bergaduh. Hatta security guard dan ahli nujum pun kita!  Hari ini pula jadi Tukang Kebun sempena gotong royong Perdana. Oleh itu, banggalah jadi cikgu. Selamat Hari Guru” – Wan Adlan

“Kadang-kadang guru ibaratkan seperti NTV7 kerana ‘Ceria Selalu’, Kadang tu guru juga seperti TV3 kerana ‘Kau InspirasiKu’, kadang guru juga diibararkan sebagai packages Astro kerana ‘macam-macam ada’.. Selamat Hari Guru Cikgu..” – Alif 5pd 2009

“Untuk para guru; guru tadika, guru sekolah memandu, guru besar, guru kecik, guru ganti, guru sandaran, guru rajin, guru selalu tak ada kat sekolah, guru yang sering isi borang tukar, guru malas masuk kelas, guru mengandung, guru yang tak suka jadi guru, guru disiplin, guru tak disiplin, guru keluar makan dan tak lupa guru-guru yang tak suka relief, guru yang buat relief… Selamat Hari Guru. Semoga anda terus ceria.” - Irwan

“Selamat Hari Guru cikgu .. Jasamu akan kukenang sampai bila-bila. Halalkan segala ilmu yang telah cikgu berikan kepada saya. Terima kasih cikgu..” -  ikhlas daripada bekas pelajar cikgu, 2008

“Kain sutera baju kebaya, cantik dipakai anak dara jelita, SMS diutus pengganti hadiah, tanda ingatan hari guru …” - Fazili, bekas pelajar cikgu

“Selamat Hari Guru. Moga sentiasa mendapat pertolongan dan keberkatan dari Allah s.w.t dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa”. – Mazuki, Tanah Merah

“Selamat Hari Guru. Jasa guru untuk mendidik anak bangsa tak pernah lekang dengan pengorbanan dan curahan kasih sayang. Terima kasih cikgu” – Yussalina

“Selamat Hari Guru cikgu…” – Nur

“Terima kasih cikgu”  - Sabrina, anak murid cikgu 

“Selamat Hari Guru. Semoga terus menjadi guru yang cemerlang dan dirahmati Allah … amin. - Zubir, UKM.



15 May 2010

Library UKM ... kau terindah bagiku


Jam 10.00 malam tadi. Aku rebahkan badan kat sofa. Perlahan-lahan cuba pejamkan mata. Dan perlahan-lahan juga aku bukanya semula. Kupejam lagi…  buka ..  pejam …

>>>>> 



Aku melangkah masuk ke dalam Library Tun Seri Lanang, UKM. Di paras /  tingkat 3, aku ke satu meja. Tempat kebiasaan. Duduk bersebelahan rak buku Jabatan Psikologi. Di sebelah kanan aku pula, terdapat rak buku / bahan bacaan  pelajar Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.

Aku mencari bahan untuk assignment. Sambil membaca, sekali-sekala aku memalingkan muka. Berfikir dan mencari idea. Dalam masa itu.. aku terpandang seorang siswi perempuan di satu meja, empat meja dari meja aku. Secara kebetulan, siswi itu turut memandang aku. Dia senyum.

“Amoi Melayu itu lagi. Rasanya dialah yang memandang aku tempohari. Dia selalu duduk kat bahagian rak buku Jabatan Psikologi” suara hati aku berbisik.

Aku terus mencari bahan untuk assignment. Tak hiraukan siswi yang aku gelar Amoi Melayu itu. Aku memanggilnya begitu kerana mukanya muka cina tapi selalu berpakaian baju kurung. Free hair.

Sekali-sekala, aku memandangnya secara curi-curi.
Kemudian … Amoi Melayu itu bangun dari kerusinya. Nak beredar.

Aku memandangnya. Dia juga memandang aku. Dia senyum lagi dan terus beredar.

Aku bingkas bangun. Nak aku tegur dia.
Aku tengok dia turun menerusi tangga walaupun ada lift tersedia.
Semasa menuruni tangga, aku rapatinya. Memberanikan diri menyapa.

“Hai..” aku bersuara. Dia tak balas cuma senyum je.
“Selalu saya tengok awak ada kat sana. Awak dari Jabatan Psikologike?” Aku tanyanya.

“Tak. Saya jurusan Optometrist.” balasnya simple.
“Optometrist? apa tuu?” aku tanyanya lagi..
“Optometrist…  tuuu yang periksa mata... cermin mata ..” jawabnya ringkas.
“Doktor mata ek?” aku usiknya.
“Taklah” dia gelak je.

“Awak PALAPES kan?” tanyanya pula.
“hmm hmm.. macamana awak tau?” aku agak terkejut.
“Saya dah lama tengok awak. Selalu datang library. Awak kan pakai uniform tentera pada setiap hari Rabu. Awak juga selalu duduk kat meja itu. ”jelasnya.. 

Kami terus sembang ..

“Saya rashid… awak?”
“Saya laily. Norlaily.. panggil laily je”

>>>>> 

Aku buka mata lagi …

Tiba-tiba rasa rindu pada dia. Banyak sebenarnya kenangan bersama. Kenangan terindah, di saat konvokesyen... dia hadir memberikan bunga.

 Inilah bunga darinya ...

Aku terputus hubungan dengannya. Terputus setelah aku berangkat – posting ke Sabah.  Aku masih ingat, pada waktu aku nak berangkat itu… aku menerima panggilan darinya. Panggilan jemputan ke majlis perkahwinannya. Dia tidak tau, ketika itu aku berada di Airport, KL menunggu masa memasuki flight. Aku hilang bicara. Hanya ucapan tahniah aku hulurkan.

Kini, dah berbelas tahun aku tak jumpa dirinya. Aku ada juga merisik khabar dari teman-teman semasa sama-sama belajar dahulu. Tapi hampa.  Hanya namanya yang masih aku ingati, Norlaily Zakaria, budak optometrist. Kalau tak silap dia tinggal kat Damansara. 

Adakah aku masih berpeluang untuk bertanyakan khabar dirinya? Bagi aku, dia seorang kawan dan sahabat yang baik. Sering berkongsi kisah, bertukar pendapat dan memberi motivasi.

12 May 2010

Gadis Cina, Pemuda Melayu dan Jala




Di suatu pagi yang tenang. Tepian sungai. Sempat aku snap gambar seorang gadis cina bersama pemuda Melayu. Pemuda itu mengajar gadis cina tentang cara menjala ikan.

Melihat situasi itu, terlintas dalam fikiran akan kata-kata:

“Untuk mengajar seseorang itu berdikari dan berjaya dalam hidup, jangan berikan ikan, sebaliknya berikanlah pancing untuknya menangkap ikan…”

Dan kini di depan mata … aku lihat pemuda Melayu itu bukan berikan pancing. Sebaliknya berikan jala. Bagi aku, jala dan pancing, konsepnya sama. Malah rasanya berikan jala lebih baik daripada berikan pancing. Ini kerana jala lebih cepat, jimat masa dan kalau mengena hasilnya akan lebih banyak juga. (Opss!! kaki pancing tentu tak setuju kenyataan ini. hehe)

ermmm…  tergambar dalam fikiran aku lagi melihat situasi. Sememangnya kehidupan ini sungguh indah sekali. Penuh warna-warninya. Kitalah yang melihat, melakar dan mencorakkan warna-warni itu.

10 May 2010

Ketepikan rasa takut, kecapilah kehidupan dan masa depan ...



Aku tertarik dengan persoalan tentang perasaan takut.

Perasaan takut adalah perkara biasa pada sesiapapun. Ia lumrah. Ada yang takut gagal dalam pelajaran, gagal dalam bisnes, takut mengambil sesuatu keputusan, takut melukai dan dilukai. Malah kita juga takut kat peragut, takut kat mat rempit, takut harimau, takut lipas, takut hantu, takut gemuk, takut kurus (adake takut kurus?), takut terputus hubungan, takut kekasih, suami & isteri curang, takut berada di tempat tinggi, takut kemalangan dan macam-macam lagi jenis ketakutan.

Aku juga sama. Ada perasaan takut. Takut jatuh hati.. haha... 

Sebenarnya kita harus terima hakikat, apabila berdepan dengan ketakutan yang sebenarnya, kita memang takut. Jangan berpura-pura tidak takut kerana itu akan menjadikan kita lebih takut. Cuma apabila berdepan dengan ketakutan, jangan sekali-kali biarkan diri dibelenggu rasa takut yang terlampau amat. Jangan juga hanya berdiam diri, membisu membiarkan perasaan takut itu menguasai diri.

Aku tertarik dengan kajian pakar psikologi berkenaan perasaan takut. Menurut pakar: 60% daripada yang kita takuti adalah sekadar andaian, persepsi dan tanggapan yang tiada asasnya. 20% lagi adalah akibat daripada perkara atau peristiwa masa silam. 10% ketakutan adalah bersumberkan perkara yang remeh-temeh. Daripada 10% lagi,  kajian mendapati hanya 4-5% sahaja yang benar-benar perlu ditakuti dan dihadapi.

Hasil kajian ‘ketakutan’ mendapati, umumnya manusia terbahagi kepada 3 golongan:

1. Orang yang lari dan menghindarkan diri

Golongan ini berusaha untuk lari daripada rasa takut. Mereka cuba mengelakkan daripada tempat, manusia, peristiwa dan keadaan yang boleh mendedahkan kepada rasa takut. Golongan ini bagi aku sebenarnya fobia.  Seolah-olah ketakutan itu terlalu hampir dengan mereka bila berdepan dengan suatu perkara. Oleh itu mereka berusaha untuk lari daripada situasi yang mereka takutkan.

2. Orang yang pasrah dan mengalah
Golongan ini sekadar pasrah. Menyerah sahaja kepada rasa takut. Mereka membina harapan kosong, sekadar berharap ketakutan itu akan berlalu dan kehidupan akan kembali seperti biasa. Bagi aku, jika sekiranya sekadar menyerah kepada rasa takut, lama kelamaan dibimbangi ia mendarah daging dan menjadi kebiasaan dalam diri. Tiada sebarang tindakan. Tiada sebarang usaha. Akhirnya mereka ini tidak akan ke mana. Sekadar menunggu dan hampa.

3. Orang yang merenungi dan menganalisis sumber rasa takut
Menurut kajian pakar-pakar psikologi, kebanyakan rasa takut tidak mempunyai asas dan fakta yang jelas. Ia suatu yang diandaikan berlaku. Ia tidak berpijak kepada akal yang rasional sebaliknya ‘terawang-awang’. Dengan menganalisis sumber rasa takut, kita akan tahu kedudukan kita dalam menghadapi rasa takut ini. Jika kita takutkan perkara tidak berasas, itu bermakna kita biarkan diri kita memegang ‘bayang-bayang’. Kita mendera perasaan sendiri sebenarnya.

Oleh itu kita perlu bertindak, berhenti dan jauhkan diri dari bayang-bayang ini!. Jika ketakutan pada perkara-perkara lepas, bergeraklah ke hadapan. Yang lepas lepaslah.. ia tidak akan berubah lagi.  Jika perkara yang remeh-temeh yang kita takutkan, adakah berbaloi untuk kita ingin terus menanggungnya? Adakah sanggup kita kalah dan rebah dibelenggu oleh ketakutan kecil ini?

Aku selalu dengar, besar atau kecilnya kejayaan dalam hidup ditentukan oleh besar atau kecilnya ketakutan yang selalu kita hadapi. Oleh itu, marilah kita untuk beri perhatian kepada perkara penting dan bermakna dalam hidup ini. Ketepikan rasa takut, kecapilah masa depan yang penuh harapan dan warna-warna indahnya.

Seperti yang pernah aku sentuhi dalam entri sebelum ini, Tuhan mendatangkan rasa kecewa bukannya untuk ditangisi. Begitu juga perasaan takut. Ia bukan saja-saja. Sebaliknya untuk kita renungi dan belajar daripadanya. Kan kita selalu dengar, semakin tinggi pokok yang dipanjat maka semakin kuat angin yang menggoyang dan semakin kuat angin yang menggoyang semakin takut kita untuk memanjat lebih tinggi. Tetapi kita harus memanjat kerana disanalah biasanya terdapat buah dan hasilnya.

04 May 2010

Dani AdaMaya jenguk cikgu macho?


Sebenarnya bukannya susah untuk kita senyum ceria dan juga buatkan orang lain senyum ceria sama. Hanya sebait kata dan ayat yang simple yang ditaip oleh teman teman kat shoutbox pasti akan buatkan kita senyum. Kita suka. Suka kerna kita terhibur  dengannya. Kita tercuit hati dengannya.

Apatah lagi kalau yang ditaip kat shoutbox ada unsur yang romantis (sajaaa je... ). Penuh  gurauan.dan usik-usikan.

Shoutbox  / ShoutMix bisa buatkan kita senyum.

Berikut antara blogger yang mencuit hati saya kat shoutbox baru-baru ini. Senyum je saya bila membacanya. Penuh ngan gurauan dan usik-usikan. Saya suka tengok jam ketika teman-teman blogger datang kat blog saya dan menyapa kat shoutbox. Kat sana baru saya dapat tau.. rupanya ramai blogger yang tidur lewat. Ada tu jam 3.00 pagi..  4.30 pagipun masih belum tidur.. masih ber online..  tahap orang kata, kalau tak dapat online satu hari boleh tak tentu arah hidup ini. kan kan

Jom kita tengok siapa terpilih... Saya balas untuk setiap kata …

Dani AdaMaya : jenguk cikgu macho..hehe   9:18 pm 4/5/10
(Dani AdaMaya? ahahha!!  .. tu saja nak kenakan saya le tu…)

dayana :  rindu kamu lah!  8:59 pm 3/5/10
(rindu? ni tentu yna rindu dengar piano saya tu…hehe )

soffya cik bulan : ku bulan dan kamu adlh bintang... 8:07 pm 2/5/10
(ermm. tak sangka bulan bintang kita rupanya soffya… )

biru : lepas doa, ku berlari2 ke tepi pantai mencari2 bintang ... tapi hampa., bintang tak kunjung tiba.. 8:39 pm 26/4/10
(Bintang ada.. tengah senyum ni biru.. )

ain fathihah : singgah malam. cari sugar daddy.. 12:20 am 28/4/10
(ishhh..  ada ke datang blog saya cari sugar daddy? ain gelak je saya. )

Fatinfilzah : singgah sini.. malam ini sepi.. 4:40 am 27/4/10
(wah!! fatin.. mentang-mentang saya sukakan kesepian.. )

Kekasih gelapku : sihatke? now sy sdg dgr lagu dlm blog awak.. Sambil menghirup milo. Tenang & damai rasanya …
(kekasih gelapku? uisss... lariksssss )

isabelle : salam. xde monday blues ke arini? 12:40 pm 26/4/10
(Monday blues? eeeeeee tak faham le isabelle. Naper saya nampak blues ek? adoiii)

CheQpPJoY : study kt blog ni kjp.. 4:27 am 25/4/10
(ermm.. study apa tu cheq?)

DUNBehrang2020 : Salam ziarah malam minggu.. sambil lepak dgr piano... dok tepi tingkap sambil merenung bulan... 10:11 pm 24/4/10
(haha!! tentu DUN santai habis ni.. merenung bulan lagi tu )

me : dtg jenguk smbil mkn2.. hehehe tak nak senyum..nak gelak..haha 10:09 pm 23/4/10
(Me.. ooo gelakkan saya ek. Takper…  )

biru : salam senja nan biru. ku menapak di sini lagi mencari2 sesuatu.. apa akan ada kah bintang malam ini peneman tidurku? lalala   8:30 pm 23/4/10
(uisss… berdiri romaku. ahakss .. )

Wawa Nadwa : cikgu..  2:51 pm 23/4/10
(Dengar tu..  panggilan manja dari pelajar saya sejak dari dulu… tak pernah berubah)

annfrendly : jelmaan di senja hari... nak ganggu cikgu. hehe   7:18 pm 21/4/10
(haha! ann, teringat masa zaman kanak-kanak dulu.. orang tua-tua selalu usik.. eeeeeee hantu tuu.. makan budak..)

qamarguyz : salam ziarah..singgah memunggah hikmah  3:15 am 21/4/10
(ermm..  siap nak pungah hikmah jam 3:15 pagi tu.. hehe)

idalara rasa tenang berada di sini..di bawah kerdipanbintang... 5:36 pm 20/4/10
(kak, saya suka kerana dapat berikan ketenangan pada diri kak ida…)

annfrendly : salam moga hidup cikgu dipenuhi dengan warna2 yg ceria  2:00 am 20/4/10
(ann.. saya memang sukakan ayat ann.. warna-warna yang ceria..)

qasih : jejalan subuh di sini~  5:49 am 16/4/10
(ermm.. tentu qasih baru lepas solat tahajud ni.. bagusnya..)

dina : singgah sebab mengikut kata hati.. 8:46 pm 14/4/10
(kata hati membawa ke blog kerdipanbintang?... terima kasih dina)

cikhel : saya kelip2 mata masuk sini! hahah  1:43 pm 14/4/10
(cikhel. Padanlah mata saya tetiba je kelip kelip juga)

makdara terdiva : mencari jodoh disini..eh!!   9:51 am 14/4/10
(hahaha!! tak sangka. Blog saya tempat ruangan mencari jodoh… adoiii.)                 

cik amy : salam..jom kita lompat tinggi sampai langit boleh tak?huhu~ 10:08 pm 9/4/10
(jom amy.. lompat-lompat kemudian dummm …  zzzzzzzz… letih .. hehe)

elayelmo : elyaelmo terjah cikgu!!! 1:32 pm 9/4/10
(uisss terkejut saya. Ingatkan abg Nas Ahmad  dari program Terjah TV3 tu …)

intan : senyuman pagi buat CR 7:50 am 5/4/10
(intan, saya pasti senyum. Terima kasih)


Untuk teman-teman blogger, yang tertera nama di atas dan yang tak tertera, saya amat berterima kasih kerana sudi jengah blog saya & ucap kata-kata kat shoutbox saya. Saya amat menghargainya. Begitu juga untuk seorang teman yang ceriakan saya ngan smsnya.

Terima kasih ..

Bunga indah mawar merah namanya
Gurauan tawa usik-usikan ceria
Untuk teman-teman di alam maya

Kalian adalah penawar jiwa

uisss iyake pantun ni? hehe… (Maaf, bertahun tak berpantun…)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search