Followers

31 July 2010

Lelaki Melayu gagal penuhi citarasa perempuan Melayu?


Lelaki Melayu dah hilang machonya? Dah hilang daya tarikan dan pikatnya?

Benarkah persoalan ini semua? Adakah orang lelaki berbangsa Melayu tidak lagi boleh diharap dan gagal dalam memenuhi citarasa wanita Melayu, khususnya wanita berpendidikan tinggi, lulusan Universiti?

Tertarik betul aku dengan kajian ilmiah Lulu Marlya Abd Rahim dari Universiti Nasional Singapura yang tersiar baru-baru ini. Tesisnya yang membolehkan beliau mendapat Ijazah Kelas 2 Atas itu menyelongkar isi hati siswazah Melayu berusia antara 23 hingga 55 tahun, yang telah berumahtangga dengan lelaki bukan Melayu.

Hasil kajian Lulu itu mendapati antara faktor mereka menolak lelaki Melayu ialah kerana kebanyakan lelaki Melayu sekarang kebanyakannya berpendidikan rendah. Manakala yang berpendidikan tinggi pula, tinggi egonya. Ego yang tinggi digambarkan seolah-olah darjat mereka lebih tinggi daripada wanita. Malah kecenderungan membuat keputusan sendiri tanpa menghormati perasaan wanita menjadi penyebab lelaki Melayu diketepikan.
 uisss iyake lelaki Melayu berpendidikan tinggi tinggi juga egonya? Aku agak kurang setuju dengan penyataan ini. Mana mungkin lelaki Melayu berpendidikan tinggi berkeperibadian begitu. Pada aku, lelaki Melayu yang berpendidikan tinggi masih ramai yang baik peribadi dan perilakunya. Jangan hanya seorang dua mempunyai sifat begitu maka tercalitlah semuanya. ohhhh tidak!!! Memanglah lelaki itu ada egonya. Tak disangkalkan. Kan ego bertempat itu ada baiknya dalam mengemudi keluarga dan rumahtangga nanti?


Apa kata kita cuba pusingkan sedikit hasil kajian ini. Ada atau tak, kemungkinan kesilapan itu sebenarnya terletak pada sikap orang perempuan itu juga. Silap kerana sikap ego yang dimilikinya. Ego dek kerana mempunyai ijazah maka mereka tidak memandang lelaki yang biasa-biasa je pendidikannya. Maksudnya kerana mereka berijazah maka nak cari juga lelaki yang berijazah. Kan susah tuu… tambahan lagi, orang lelaki berijazah kan tak ramai berbanding perempuan berijazah. Ekoran tak ramai itu buatkan orang lelaki berijazah miliki banyak pilihan. Pilihan mereka pula biasanya lebih kepada orang perempuan yang biasa-biasa je. Tidak semestinya berpendidikan tinggi.  kan kan …

Lelaki Melayu suka buat keputusan sendiri? ermm…

Bagi aku, sebagai orang lelaki perlu ada ketetapan dan ketegasan dalam membuat sesuatu keputusan. Iya memang benar, sebaik-baiknya ada perkara tertentu dibawa sama berbincang. Tapi tak semua perkara perlu dibawa berbincang rasanya.  Kan orang perempuan suka lelaki yang boleh membuat keputusan? Sebagai ketua rumahtangga nanti, kalaulah sentiasa diselubungi rasa was-was, kabur dan tiada ketetapan dalam membuat sesuatu keputusan, sikit-sikit nak bincang, sikit-sikit nak bincang… alamak rasanya bahtera yang dilayari nanti akan sentiasa terpukul dek ombak. Silap-silap haribulan karam dek taufan yang mendatangi.

p/s- egokah aku? ermmmmmmm …… rasanya tak. Macho tu adale.. hehe

29 July 2010

Guru dibenarkan berpolitik satu tindakan berani kerajaan?


“1 Ogos, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG44 – DG48 dibenarkan berpolitik” – PM

 “Benarkan guru giat dalam politik akan berikan peluang mereka berkhidmat kepada rakyat” – Timbalan PM

"Terpulang kepada guru nak sokong mana-mana parti politik…” – Timbalan PM

Rasanya pengumuman Perdana Menteri dan Timbalannya berkenaan isu guru berijazah DG44 dan DG48 dibenarkan semula berpolitik ini amat memeranjatkan juga bagi aku. Maklumlah sekian lama, golongan guru ini terperuk menyembunyikan wajah ekoran larangan daripada terlibat dengan politik. Walau hakikatnya kebanyakan guru memang sudah lama terlibat dengan politik sama ada secara aktif mahupun tidak.

Namun guru-guru perlu ingat, kebenaran yang diberi adalah bersyarat iaitu mereka diwajibkan mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dulu sebelum boleh bergiat dalam politik.

Persoalannya mengapakah perlu meminta kebenaran bertulis? Berapa ramaikah guru akan berbuat sedemikian? Rasanya syarat ini pasti tidak akan dipersetujui kerana seolah-olah ada tapisan dan agen risikan di sebaliknya? Dan aku tahu, golongan guru penuh dengan pertanyaan dan persoalan. Pasti syarat ini akan turut menjadi isunya.



Aku tertarik dengan ingatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin:

 “ … pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah yang dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, supaya tidak membawa ideologi politik mereka ke dalam bilik darjah.”

Mengapakah ingatan ini diberi kepada guru? Adakah masih ada kebimbangan guru akan ‘sembang-sembang politik’ dengan pelajar sekaligus dibimbangi guru menyuntik ideologi politiknya kepada pelajar secara halus? Begitu tegakah guru untuk melibatkan pelajar dengan politik ikutannya? Terlalu fanatikkah golongan guru  ini?

Pada aku, kebenaran guru berpolitik ini sememangnya amat baik sekali. Ia satu tindakan sungguh berani kerajaan. Namun secara peribadinya, aku amat setuju sekali guru dibenarkan berpolitik. Ia sepatutnya dah lama diberikan. Guru adalah golongan profesional. Mereka sudah lama terdedah dan suka dengan perkembangan sejarah dan semasa politik, malah secara diam-diam (ada juga secara terbuka) sudah lama terlibat dengan jawatan dalam parti, baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Ini faktanya!

Guru-guru perlu ingat, mereka dibenarkan berpolitik dengan tujuan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat di luar waktu persekolahan. Ulang suara, di luar waktu persekolahan!  Sekali lagi, ia ada kaitan dengan sumbangan. Tapi kalau sekadar suara-suara menidakkan kerjabuat kerajaan, suara-suara membidas, merendah-rendahkan kerjabuat kerajaan rasanya baiklah direnungi semula akan erti ‘sumbangan’ kepada masyarakat.

p/s – Pengalaman sebelum ini, ramai juga pelajar yang bertanyakan soal politik dan suka ‘sembang-sembang politik’ dengan gurunya.

Sabar untuk mendengar  ‘suara-suara politik’ golongan guru ... moga ia akan bawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara.

25 July 2010

Genius nombor Malaysia kata orang lelaki sukakan visualisasi, suka wanita seksi?



Jam 1.00 petang tadi, aku tengok program ‘Apa Kata Wanita’ saluran TV1. Aku amat tertarik dengan kelebihan seorang genius nombor,  seorang pemuda cina (juara bertahan sejak beberapa tahun dalam pertandingan daya hafalan nombor seluruh Malaysia) telah diuji oleh zamzarina untuk mengingati nombor-nombor. Dengan angka-angka yang begitu banyak yang ditulis oleh zamzarina secara spontan, telah berjaya diingati oleh genius itu hanya dalam masa beberapa saat saja. Terpegun aku melihat cara dan gaya genius itu.  Malah dalam masa mengingati nombor-nombor itu sempat lagi dia berseloroh dengan penonton. Kalau kita, biasanya dalam proses menghafal, tentu tidak mahu ada sebarang gangguan suara-suara luar. Sebaliknya beliau tak kisahpun. Tak terganggupun.

Semakin menarik apabila genius nombor itu ditanya mengenai kaitan otak dan daya ingatan dalam hubungan lelaki dan perempuan. Genius itu mengatakan, orang lelaki dan perempuan mempunyai kuota yang berbeza. Orang lelaki biasanya mempunyai 8,000.00 kuota kata sehari. Manakala orang perempuan mempunyai lebih kurang 25,000.00 kuota kata sehari. Oleh itu, sudah tentu wujudnya perbezaan yang jelas antara mereka.

Mengikut genius nombor itu, orang lelaki biasanya sudah banyak menggunakan kuota semasa kat tempat kerja. Apabila balik ke rumah, biasanya orang lelaki akan agak ‘pendiam’ sikit. Tak banyak cakap, kerana kuota katanya telah banyak digunakan semasa bekerja. Berbeza dengan orang perempuan, mereka mempunyai kuota kata yang banyak. Oleh itu, walaupun dah balik dari kerja, kat rumahpun masih lagi nak bercakap. Masih banyak lagi nak diperkatakan.

Seperkara lagi, menurut genius nombor itu, orang lelaki hanya suka fikirkan perkara yang besar dan menyeluruh. Biasanya soal kerjaya. Mereka jenis visualisasi yang amat  sukakan gambaran (sebab itu mereka sukakan wanita yang seksi?). Manakala orang perempuan, lebih suka fikirkan sesuatu perkara dengan detail, halus dan terperinci. Orang perempuan suka diberi perhatian, suka dipuji dan bercakap soal yang sekecil sekalipun, misalnya soal anting-anting. Sedangkan orang lelaki tak berapa suka borak soal yang kecil sebegitu dan tak suka memuji.  Itulah yang biasanya antara penyumbang wujudnya permasalahan dalam sesuatu hubungan. Salah faham kerana masing-masing tidak memahami perbezaan ini.

p/s - yup! orang perempuan memang suka dipuji ..  akan lembut hati ...

23 July 2010

Benci tapi rindu …



Sekadar gambar hiasan ... PTK ..



Aku parking kereta. Semasa berjalan ke rumah seorang kawan untuk majlis tahlil, terdengar suara dari belakang.

“Tahniah! syid … 4-4”

“4-4?”  Aku berpaling menghadap suara. Tak cam suara orangnya kerna suasana agak suram. Gelap sikit.

“oooo Man kau rupanya.”

“Tahniah syid!  dapat 4-4”
 “4-4 apa tu?”
“PTK... kau dapat 4-4.”

“uiss iyake ni? Kau tau dari mana ni Man?”
“Cikgu Zainuddin bagitau. Dia pergi PPD petang tadi. Ambil slip PTK. Dia dah buka semua sekali. Kat sekolah kita, 2 orang je dapat 4-4. Kau dengan Cikgu Ali”

“oooo iyake. Syukurlah kalau betul-betul. Rezeki .. ”

“Mari no ic kau. Aku check sekarang.”
“okey.. no ic nya ….”

Tak sampai 10 saat, terus tertera keputusan PTK.
Yup! benar… aku dapat A   ..     4-4

“Wah! Naik P2. Tiga ratus lebih naik gaji tu…”

Aku sekadar senyum. Dalam hati terus terdetik nak berpuasa sunat. Tanda syukur aku padaNya. Syukur akan rezeki dariNya…  kerna peperiksaan PTK sebelum ini aku telahpun diberiNya 4-4. Kali ini sekali lagi aku diberinya 4-4.





p/s
– PTK?  aku teringat suara-suara mengenainya. Ada orang suka ada yang tak suka. Tapi rasanya ramai yang tak setuju dengannya. Ramai yang membencinya. Namun bagi akulah, rasanya ramai yang ‘merindui’ walaupun ada bencinya. Merindui jika lulus 4-4 dan membencinya jika gagal mendapatnya. hehe

19 July 2010

Teori SPIDER ada kaitan dengan akhlak remaja Islam kini?


Teori SPIDER ada kaitan dengan akhlak remaja Islam?

Beberapa hari yang lalu, aku mendengar satu ceramah oleh seorang ustaz. Ceramah itu berkenaan teori SPIDER. Teori ini rasanya pernah aku dengarinya sebelum ini tapi dah lupa bila dan di mana. Mungkin teman-teman blogger juga pernah mendengarnya sebelum ini atau mungkin juga tidak?

Okey, jom kita renung dan fikirkan tentang intipati ceramah ustaz ini ...

Pada tahun 1980an dulu, terdapat satu seminar telah diadakan oleh golongan ….. di Sabah. Golongan tersebut telah merancang bagaimana nak menghancurkan para remaja Islam. Seminar itu sepatutnya berlangsung selama 2 minggu tetapi telah disingkatkan kepada satu minggu saja. Mereka singkatkan kerana dalam masa seminggu, mereka telah menjumpai formula untuk menghancurkan remaja Melayu Islam. Formulanya ialah Teori SPIDER.

Mengikut mereka, seandainya teori SPIDER dilancarkan di Malaysia, pasti remaja Melayu Islam dalam masa beberapa tahun sahaja akan mengalami keruntuhan akhlak tanpa kawalan. Dan semua ini sudah terbukti sekarang di mana kita dapat lihat remaja Melayu Islam semakin hari semakin ‘sakit’.

Apakah teori SPIDER itu?  SPIDER itu dari singkatan …

S (Sex) – ‘Kita berikan seks kepada remaja Melayu Islam. Ini kerana ilmu itu cahaya Allah. Jika kita dedahkan seks maka akan rosaklah minda dan hati mereka’.

P (Politic) – ‘Kita laga-lagakan mereka melalui perbezaan fahaman politik’

I (Ideologi) – ‘gagasan idea atau pandangan hidup yang dikembangkan berdasarkan kepentingan golongan atau kelas sosial tertentu dalam bidang politik atau sosial ekonomi’.

D (Drug) – ‘Kita lenakan mereka dengan sesuatu yang mengkhayalkan’

E (Education) – ‘Kita pastikan mereka ketinggalan segi pendidikan’

R (Rock) – ‘Kita buaikan mereka dengan lagu-laguan keras…’

Aku mengerutkan dahi sambil mengaitkan dengan situasi semasa sekarang. Benarkah ini semua?



Aku tengok shoutmix ..
ninaneno : waaa... lama tak nampak cikgu 
ermmm iyake lama tak nampak?. a'ahh itulah jarang update ..  dushhhhhh cikgu ..
Okey nanti saya update selalu  ..    hehe

11 July 2010

Bila diri tak lagi diperlukan ...


Bagaimanakah perasaan anda bila diri anda seolah-olah tidak lagi diperlukan dan dipedulikan? Maksudnya seperti anda tidak lagi mendapat perhatian sewajarnya daripada orang yang anda sayangi?

Ada atau tak perasaan seakan-akan rasa tidak puas hati dan marah hadir dalam diri? Marah kerana kerisauan anda sebenarnya. Anda risau dan teramat takut kehilangan dirinya?

Pernahkah terlintas sedikit perasaan ingin melakukan sesuatu yang kadangkala di luar batas dan nilai kemanusiaan? Pernah tak rasa sakit hati itu sehinggakan terbawa-bawa dalam diri untuk anda membalas dan menyakitinya secara fizikal?



Perunding Motivasi, Prof. Madya Md Izuddin Ali berkata:

“Sikap merasakan sesuatu adalah hak milik mutlak diri sendiri termasuk pasangannya, mampu merosakkan akal seseorang kerana dia tidak mampu menerima penolakan terhadap kemahuan sehingga bertindak ganas kepada temannya.”


Aku tertarik sebenarnya bila terbaca akan kisah seorang wanita yang membelasah teman lelakinya hingga parah dan patah kaki selepas mengetahui lelaki itu mahu meninggalkannya. Sebenarnya sudah banyak kes sebegini berlaku. Dulu pernah juga gempar bila seorang suami kehilangan ‘anu’ akibat dipotong oleh isterinya gara-gara pernah bersuara nak tambah ‘satu cawangan’ lagi?

Tapi kes ini lain. Ini kes teman lelaki bukan kes suami isteri.

Pada awalnya timbul juga pertanyaan pada diri. Begitu  berani dan tega sekali wanita itu membelasah dan mencederakan teman lelakinya? Sudah tentu wanita itu nekad kerana lelaki itu sudah bersifat keterlaluan. Lelaki itu membuang sepah setelah mengambil madunya? Lelaki itu terlalu jahat ...  sering mempermainkan malah mungkin telah menghabiskan wang ringgit, memeras dan mencederakan  wanita itu baik segi fizikal mahupun emosi?  Menganiayai sehingga wanita itu sudah hilang tahap kesabarannya?

Tapi timbul juga pertanyaan, apa kata jika seandainya lelaki itu baik orangnya. Cuma wanita itu berkelakuan sebegitu kerana tidak dapat menerima hakikat dia akan kehilangan? Dia takut kehilangan kerana dirinya teramat menyayangi lelaki itu …

06 July 2010

Orang Melayu, konsep malu dan menutup malu


Nampaknya isu salah laku seks dan pembuangan bayi kembali hangat diperkatakan oleh masyarakat. Setiap hari boleh dikatakan isu ini sentiasa ada terpapar di dada akhbar dan juga di media tv. Namun yang sedihnya, mangsa dan pemangsanya kebanyakannya adalah terdiri daripada bangsa Melayu. Ulang suara.. bangsa Melayu!

Persoalannya, mengapakah orang Melayu menjuarai kes ini? Sudah hilangkah rasa sipu, rasa segan dan malu yang sebelum ini memang menjadi warisan zaman berzaman orang melayu?

Dalam mengikuti kes ini, aku tertarik dengan satu artikel oleh Khairol Anuar, Pakar Psikologi dalam akhbar semalam, yang memetik dari buku Psikologi Melayu (1993), selenggaraan Prof. Abdul Halim Othman. Satu tajuk yang disentuhnya ialah mengenai Konsep Malu Orang Melayu.



Jom kita sama-sama renunginya dan fikirkan perkaitan perasaan malu dengan krisis moral di kalangan orang Melayu.

definisi malu kepada orang Melayu mempunyai nilai tersendiri, iaitu rasa malu, diberi malu, mendapat malu dan dimalukan. Semuanya boleh menjadikan orang Melayu bertindak di luar kebiasaan dan melampau.”

“Pada orang Melayu, mereka sanggup buat apa saja asalkan perasaan malu itu hilang. Perlu diingat juga, orang Melayu sanggup berkorban apa saja untuk menutup malu.”

“Orang Melayu secara semulajadinya adalah bangsa pemalu tapi jika perasaan itu hilang, akan timbul malu jenis lain pula yang boleh menghancurkan hidup. Jadi apabila konsep malu berbuat dosa hilang dan perbuatan untuk menghilangkan malu berdosa pula lebih tinggi, maka akan wujudlah kes krisis moral yang makin teruk ..”

p/s – Tiba-tiba je aku teringat kata-kata seorang kawan berbangsa cina 5 tahun yang lalu: 
“orang Melayu sangat baik, sungguh sopan santun. Masalah moral di kalangan remaja Melayu ini puncanya adalah kerana makin ramai yang tidak sembahyang... tak solat …”  
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search