Followers

31 August 2010

Sambutan Kemerdekaan Yang ke-53


Sambutan kemerdekaan di sekolah tahun ini agak rancak juga walau ada sedikit kekangan budget. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk menimbulkan rasa kesedaran, keinsafan dan juga perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia di kalangan para pelajar. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah kibaran jalur gemilang, ceria kelas merdeka, melukis mural merdeka, sukaneka merdeka, sajak merdeka, peta minda merdeka, tayangan merdeka dan countdown merdeka.

Apa yang menarik juga kali ini ialah terdapat acara mengimbau zaman sebelum merdeka, iaitu upacara makan ubi kayu dan air kopi asli. Semua pelajar diberi makan ubi kayu yang dibaluti daun pisang dan air kopi asli. Tujuannya ialah untuk mereka merasai sedikit detik-detik jerit perih suasana sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Jom layan gambar yang sempat aku snap. 

zassssssss ...







Masak ubi kayu ..

Malam tadi.. sempat pergi asrama untuk Majlis kemuncak sambutan kemerdekaan bersama pelajar-pelajar asrama. Pelajar-pelajar Asrama dihidangkan dengan tayangan filem Merdeka, bacaan sajak  dan lagu-lagu merdeka Negara. 

Tepat jam 12.00 tengah malam, pengetua melaungkan laungan keramat negara, MERDEKA!! diikuti oleh semua pelajar. Kemudian diiringi lagu NegaraKu, Tanggal 31 Ogos dan Jalur Gemilang. Majlis disudahi dengan bacaan doa selamat.




Aku sengaja bagi idea agar sambutan countdown merdeka kali ini dibuat di dataran terbuka. Pelajar duduk rileks melihat tayangan Merdeka di dataran terbuka .. hehe. Nasib baik tak hujan walaupun cuaca nampaknya begitu jelas nak hujan. Ada rintik-rintik airnya.
 
p/s - Moga negara kita terus Merdeka selama-lamanya. Apa yang penting lagi, rakyat  harus dan terus berjiwa merdeka dengan iman sentiasa kuat terpahat di dada.


29 August 2010

Aku cuba gerakkan lidah dan menggigit kecil



Petang - sambil menanti waktu berbuka puasa, tangan mencapai sebuah majalah. Terbaca lagi petikan kata-kata Luqman al-Hakim.

“Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya.”



Aku cuba gerakkan lidah. Lembut. Mudah dilentur. Aku cuba gigit lidah. Aduh!! sakitnya. Terlalu sensitif rupanya.  hehe.

Yup!, bila diamati kata-kata Luqman al-Hakim di atas, benar dan tulus ertinya. Gara-gara lidah, air tenang mula berombak. Gara-gara lidah, seorang sahabat bisa buatkan sahabatnya menangis. Gara-gara lidah, semuanya ingin mendongak langit. Gara-gara lidah, perempuan terhanyut dilanda asmara. Gara-gara lidah, bisa tertipu akhirnya ke Lombok, Indonesia. Gara-gara lidah, keluarga aman berantakan, cerai sana-sini. Gara-gara lidah, iman terhindar kesepian…  dan gara-gara lidah, iman tiada pasti akhirnya fanalah dunia ini.

Gara-gara lidah juga, bisa buatkan hati luka kembali segar. Gara-gara lidah, sepi hati bisa terhibur ceria. Gara-gara lidah juga bisa buatkan dunia tersenyum manja …

Yup!! itu yang aku mahu. Mahu tengok dunia tersenyum manja. Bila dunia senyum, hati semua insan akan turut sama tersenyum manja.


p/s - uisss kenapa tetiba aku berbicara soal lidah ini? adoiii.. lapar le tu. hehe

25 August 2010

Segan masuk bilik cikgu rashid. Nanti sok sek sok sek …


Tadi semasa kat Dewan Utama, aku disapa oleh seorang teman sekerja, Zulaikha (ikha). Cantik bergaya orangnya. Selalu jadi usikan dan gurauan teman-teman sekerja. opss!! maaf ikha. ampun!!!  - harap-harap ikha tak baca entri ini.

cikgu ikha

“Cikgu Rashid… cikgu Rashid masih aktifkan berblog?. Nak tanya ni, apa perasaan cikgu rashid bila ada blog sendiri?”

“Perasaan bila ada blog? ermm ..  saya rasa biasa-biasa je ikha”

“Maksud saya, tentu cikgu rashid rasa lebih motivasikan? Ada ramai pembaca…”

“ramai? ishhh ikha ni. Mana ada… hehe. Sebenarnya begini ikha. Bila kita ada blog, kita rasa ada sesuatu perkongsian di sana. Kita luah dan bicarakan sesuatu yang boleh kita sama-sama kongsi dan renungi. Kat blog, kita juga ada teman-teman alam maya. Ada yang kita boleh kenal. Maksud saya pembaca yang ada blog jugalah. Tapi ada juga yang di balik tirai. Pembaca senyap…”

“A’ahhh macam sayalah. Saya selalu baca blog cikgu Rashid tapi tak pernah beri apa-apa komen. hehe”

“oooooo iyake. ishhh ikha ni. Malu saya. Entah apa-apa entri kat blog saya tu”

“Blog cikgu rashid okey. Saya suka baca. Cikgu rashid sempat berblog walau sibuk …”

“Takdelah. ikha, bila kita dah ada blog senang je sebenarnya. Tak perlu ambik banyak masa untuk buat entri. Ada sesuatu…  kita taip… tak sampai 10 minitpun. Kemudian kita publish.  Itupun tak sampai 2 minit”.

“a’ahh kan. Saya ni duk asyik guna facebook je. Terlalu terbuka pula rasanya kat sana. Rasanya kat blog lagi baik. Ilmiah sikit…”

“Yup! bagi saya, facebook dan blog ada lebihnya masing-masing. Sayapun ada facebook juga. Tapi lebih suka blog. Kat blog kita boleh bicara sesuatu isu, apa-apa je le dengan lebih baik. Ada unsur-unsur ilmiah sikit. Dapat berkongsi dengan teman-teman walau tak pernah bertemu. Tapi boleh bertemu tau kalau nak ikha. Janji dua-dua nak… hehe”

“ooooo iyakan. Sebenarnya saya suka blog. Nak juga ada blog tapi tak berapa mahir”.

“alaaa pergi je bilik cikgu Rashid. Bawa kertas. Biar cikgu Rashid ajar. Tunjuk cara-cara…” Sampuk seorang teman, cikgu Shai yang dari tadi asyik duk dengar kami berborak.

“Itulah nak juga belajar. Tapi segan masuk bilik cikgu Rashid. Nanti sok sek sok sek.  timbul gossip.. hehe”

 “Mandai je ikha ni. hehe”

 p/s - seronok rasanya punyai teman dan sahabat yang sudi borak dan berkongsi pendapat ...

22 August 2010

Seronok sangatkah hisap benda tu?


Sedikit terkesima bila baca tajuk besar akhbar Berita Mingguan pagi ini. Tajuknya, “Pro jadi mat gian”.  Antara petikan dari akhbar tersebut:

“Purata 12 orang sebulan daripada golongan profesional dan pengurusan termasuk pegawai kerajaan, institusi kewangan dan pengamal undang-undang terbabit penyalahgunaan dadah dalam tempoh 18 bulan sehingga Jun ini”.

Dalam tempoh tersebut, 221 orang dikesan terbabit dengan dadah sebaik menceburi dunia pekerjaan. Mereka dalam lingkungan usia 25 hingga 29 tahun. Statistik ini melebihi purata jumlah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terjebak dalam dadah, iaitu 205 kes dalam tempoh yang sama.


Apa dah nak jadi ni? Golongan terlatih dan terdidik mulai ‘mesra dadah’? Mana perginya akal dan fikiran? Seronok sangatkah hisap benda tu? Tidak terfikir dan terjangkaukah kesan baik dan buruknya apabila ingin meyentuh ‘dadah’ ini? Hendak di kata tidak berpelajaran, golongan ini bukan calang-calang status kerjaya dan pendidikannya. Hendak dikatakan tidak dapat bezakan baik dan buruk, rasanya bila disebut golongan profesional dan pelajar IPT sudah tentu bukan setakat tau bezakan baik dan buruk, rasanya malah lebih tau kesan-kesan bergambar akan buruknya! Ada antaranya lebih arif lagi kerana dari segi kerjaya,  ada yang berkerjaya ‘undang-undang’!

Aku tertanya-tanya apakah punca sebenar sebenar golongan profesional dan pelajar IPT terjebak dengan benda kerjaan syaitan ini? Terlalu lemahkah iman di dada?

Laporan menunjukkan antara faktor yang sama antara dua golongan berpelajaran ini boleh terjebak dengan dadah ini ialah faktor tekanan jiwa akibat masalah kerja dan keluarga. Dengan kata lain, faktor stress!!!!!! Soalnya adakah tidak ada lagi cara lain untuk menangani stress? Begitu berat dan besar sangatkah ‘stess’ sehingga hilang upaya untuk gunakan akal yang waras? Tidak terdetikkah hati… secuit perasaan sayangkan akan diri sendiri kalau tidak sayangkan keluarga dan agamapun?

Bila difikirkan, bila diamati .. tergambar masyarakat kini semakin sakit. Sakit kerana makin ramai sudah menjauhi diri dari ‘tiang agama’.  Makin ramai yang meringan-ringankan kerja fardu iaitu solat!!!!!!!

p/s – terus teringat semasa bersekolah menengah dulu … di depan mata, rakan-rakan memotong dedaunan kering. Dimasukkan ke dalam rokok lantas menyedutnya. Dan aku... syukur padaNya kerana sekadar melihat … 

20 August 2010

Sekejap berpeluk mesra sekejap menjauhi diri



Terus terang aku agak risau dan sedikit muak melihat keadaan politik negara semasa. Maaf cakap, rasanya terlalu banyak sandiwara dari kisah benarnya. Terlalu ikut emosi dari mencari rasionalnya. Gelodak nafsu amarah dan tak seia sekata buatkan semua perkara yang tak sealiran fikirnya adalah tak betul. Sini keluarkan idea sana pula bangkangnya. Sana keluarkan gagasan sini pula perolok-olokkannya. Semua serba tak kena. Semuanya dianggap hanya ada kepentingan. Sekadar sandiwara politik.

Aku keliru. Aku rasa mungkin juga teman-teman juga ada yang keliru. Banyak kes dilihat sekadar ‘bahan lawak’. Sekejap berjabat tangan sekejap menuding jari. Sekejap berpeluk mesra sekejap menjauhi diri. Sekejap lemparkan senyuman sekejap lontarkan ‘peluru’. Mengapakah semua ini harus terjadi di kala realiti semasa kini yang semakin goyah, yang semakin kacau, yang sepatutnya sama-sama mencari jalan penyelesaianya?.

Begitu tegakah kita untuk tegakkan sesuatu demi kepentingan diri daripada fikirkan kepentingan bersama? Banyak lagi isu besar daripada sekadar berhujah menidakkan segala-galanya. Mungkinkah ini gara-gara semuanya melihat sesuatu itu ada ‘udang di sebaliknya’. Masing-masing ada kepentingan membesarkan perut?

Hari ini, aku terbaca lagi kisah sana-sini. Kisah ketidaksepakatan parti. Kisah drama dan sandiwara…



Tertarik dengan kata-kata Abdul Jalil Ali dalam bicara sinisnya:

“Mungkin kita terlalu banyak drama dan sandiwara, sehingga semua pelakon dan penonton terlupa pada perkara lebih besar yang berlaku di hadapan mata setiap detik … “

p/s - risau jika semakin hari gara-gara terlalu banyak drama dan sandiwara, orang ramai mulai melihat sesuatu ‘kisah benar’ itu hanya sekadar cerita rekaan dan picisan semata-mata.

18 August 2010

Cikgu… kalau kita urut bahu.. picit bahu..


Petang -  borak-borak dengan seorang kawan. Masing-masing bercerita pelbagai kisah. Aku senyum bila kawan aku yang juga seorang cikgu itu bercerita tentang anak-anak muridnya yang agak nakal sedikit. Murid-murid darjah satu katakan.

Kawan aku ini mengeluh tentang murid-murid kelasnya yang selalu saja kehilangan pensil. Mereka bising dan selalu menuduh antara satu sama lain bila ada yang kehilangan pensil.

Dalam usaha mengawal keadaan anak muridnya yang bising itu, kawan aku ini cuba menasihati anak-anak muridnya agar berkelakuan baik.

“Murid-murid boleh tolong diam. Murid-murid tau tak…  segala amalan dan kelakuan kita ada yang duk perhati. Maksud cikgu, setiap orang, setiap kita semua ini ada 2 Malaikat yang sentiasa bersama kita. Sebelah kanan kita ada malaikat. Begitu juga sebelah kiri kita (sambil menepuk bahu kanan dan kiri)”

“Segala kelakuan kita akan ditulis oleh dua Malaikat ini. Malaikat sebelah kanan akan tulis segala amalan baik kita, kelakuan baik kita, perangai baik kita. Malaikat sebelah kiri pula akan tulis segala amalan tak baik kita, perangai tak baik kita seperti ambil barang kawan-kawan.... bla bla bla … ”

Habis je kawan aku itu beri ceramah santai, tiba-tiba spontan je ada seorang anak muridnya bertanya.

“Cikgu... kalau kita urut bahu abah kita. Kita picit bahu abah kita. Maknanya kita urut dan picit Malaikat itu juga kan cikgu?”

?????     (Kawan aku itu terus senyum dan gelak … )

Aku yang mendengarnya juga turut gelak. Terdetik akan betapa bersih dan lurusnya pemikiran kanak-kanak darjah satu.


15 August 2010

Di saat bersama tubuh yang kaku dan sejuk


Petang tadi, semasa memandu pulang, terdengar celoteh juruhebah radio Kelantan FM. Katanya, setiap bulan purata 20 orang ‘warga tua’ memasuki rumah orang tua atau lebih dikenali sebagai Rumah Seri Kenangan. Mereka ke rumah orang tua sama ada atas kehendak diri sendiri, di hantar oleh anak-anak mereka sendiri dan juga kerana faktor kemiskinan.

Tiba-tiba aku teringat semasa hadir solat jumaat dua minggu lepas. Antara intisari khutbah  yang aku masih ingati ialah kata-kata imam, “jangan sampai kita berada di sisi tubuh yang kaku dan sejuk baru kita rasa menyesal … ”. Imam ada menyebut tentang rahmah dan keredhaan Allah ke atas anak-anak yang menjaga orang tua mereka. Usah dirisaukan kesusahan dan kesibukan kerja dengan mengenepikan hak kita sebagai anak-anak. Hak dan tanggungjawab kita untuk bersama mereka, mengembirakan hati mereka dan memastikan mereka ‘bahagia dan sihat ceria’.


Aku agak sedih bila terdengar suara imam yang agak sebak bila mengingatkan para hadirin agar membahagiakan ibu bapa selagi mereka masih berpeluang untuk bersama kita semua. Usah dibiarkan diri kita kesibukan teramat dengan kerja dunia hinggakan mengabaikan ibu bapa. Kita senyum dan tawa mendengar suara anak-anak dan gurauan teman-teman sedangkan suara ibu bapa kita, sebulan sekalipun sukar untuk kita dengarinya. Ingatilah, ibu bapa yang sudah tua hanya menanti saat untuk pergi meninggalkan kita semua.
  
Imam ada menyebut, sudah menjadi kebiasaan anak-anak menangis bila kepermergian orang tua mereka untuk selamanya. Di saat bersama ‘tubuh yang kaku dan sejuk’ itulah rasa sesal dan sebak menguasai diri. Namun segalanya sudah terlambat. Tak ada lagi ulangan. Tak ada lagi harapan. Tidak ada lagi teguran, ingatan dan nasihat. Tidak ada lagi kasih sayang yang ikhlas seikhlasnya dari orang tua bila mereka pergi tinggalkan kita dan dunia. Oleh itu, sentiasa luangkanlah masa untuk bersama mereka selagi kita diberi peluang untuk masih bersama mereka.


p/s – Jangan sampai kita menyesal setelah tiada lagi doa mak dan ayah …

13 August 2010

Kita hanya ada satu jasad, satu roh dan satu nyawa


Malam tadi, semasa layari laman maya (jam 12.30 tengah malam), terbaca petikan dari Malaysians Unite For Road Safety (MUFORS). Mengikut MUFORS, Kadar kemalangan jalanraya di Malaysia semakin tinggi, iaitu purata 17 orang terbunuh setiap hari.  Faktor penyebab yang dirumuskan adalah tak lain tak bukan adalah kerana kecuaian dan sikap pemandu itu sendiri.

Aku cuba search di google dengan menaip perkataan kemalangan jalan raya. Hasilnya terdapat ‘345,000 results’ yang berkaitan dengan kemalangan jalan raya.

Kemudian search pula Laman Web Rasmi Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) untuk melihat statistik kemalangan jalan raya.

Ku amat-amati statistik kemalangan yang tertera. Nampaknya saban tahun, jumlah kemalangan terus meningkat.  Mengikut statistik, sejak tahun 2000 hingga tahun 2009, jumlah kemalangan telah meningkat iaitu dari 250,429 kes (2000) telah meningkat kepada 397,194 kes (2009). Apa yang merisaukan, dari tahun 2000 – 2009, kadar kemalangan yang melibatkan kematian juga telah meningkat begitu tinggi sekali iaitu 6,035 (2000) telah meningkat kepada 6,527 (2008) dan 6,745 (2009).

Statistik kemalangan tahun 2010?

 kita hanya ada satu jasad, satu roh dan satu nyawa

Akupun tak tau. Saban hari, kes kemalangan jalan raya ada saja terpapar kat suratkhabar dan media TV. Boleh dikatakan setiap hari ada saja kes ini (sama seperti kes buang bayi, rogol dan dadah).

Rasanya setiap orang pasti pernah terserempak dengan kes-kes kemalangan jalan raya. Akupun tak terkecuali, selalu juga terserempak dengan kes kemalangan ini, baik yang melibatkan kereta, motor mahupun pejalan kaki.

Pernah satu ketika (tahun lepas), kejadian berlaku di depan mata aku, sebuah kereta melanggar motorsikal menyebabkan pemandu dan pembonceng motorsikal terlambung jatuh kat jalan raya. Aku yang sedang memandu perlahan sempat melihat bagaimana pemandu itu (lelaki) dalam keadaan terhuyung hayang dengan darah, bangun mendekati pembonceng (perempuan) yang tertiarap lesu … sedih aku melihatnya… pelbagai andaian timbul. Mungkinkah perempuan itu isterinya? Kekasihnya? Kakak atau adiknya? Apapun situasi yang berlaku di depan mata aku itu, situasi nilai kasih sayang itu hingga kini masih tergambar jelas sekali. Ia begitu memilukan hati.

Moga tahun 2010 ini, dalam bulan ramadhan dan menjelang hari raya nanti, kes kemalangan ini tidak selalu kita dengari dan bacanya. Ini kerana “Kita ini hanya ada satu jasad, satu roh dan satu nyawa … ” Ia amat berharga sekali.

p/s –. Kepada teman-teman alam maya, “Selamat berpuasa dan berterawih. Moga bulan ramadhan ini membawa keberkatan dan kemuliaan kepada kita semua”.

08 August 2010

Aku didatangi seorang pelajar perempuan ...


Jam 1.30 petang. Semasa kat bilik kerja, aku didatangi seorang pelajar perempuan. Pelajar tingkatan 5.  Amynina namanya.

“Assalamualaikum cikgu ...  Cikgu, saya nak minta maaf. Petang ini saya tak dapat hadir kelas tambahan cikgu.”
 “ishhh tak boleh. Semua pelajar kena hadir kelas cikgu. Tidak ada pengecualian seorangpun!”

“Cikgu… saya kena balik ....”
 “Kena balik? Ada apa masalah sebenar ni Amynina? Cuba bagitau cikgu ...”

Pelajar itu hanya mendiamkan diri. Mukanya seakan-akan nak menangis. Mungkin kerana suara aku yang sedikit tegas tadi (saja je aku tegaskan suara).

sekadar hiasan 


“Cuba bagitau cikgu. Apa sebab Amynina nak pulang awal ni? Cikgu tak akan benarkan jika Amynina tak bagitau sebabnya”, aku lembutkan sedikit suara.

Pelajar perempuan itu masih mendiamkan diri. Memandang sayu kat muka cikgunya ini. Aku perhatikan dirinya. Kelihatan sedikit resah. Macam tak selesa saja aku melihat gerak gerinya.

“Kenapa nak pulang awal? Amynina ‘uzur’ ke?” aku lembutkan lagi nada suara.
 “Iya cikgu.” perlahan je suaranya.

“Kenapa tak bagitau awal-awal yang Amynina uzur dan perlu balik?”
 “Saya segan nak bagitau cikgu. Malu kat cikgu ..”

“Uisss naper perlu malu. Okeylah …  kalau begitu cikgu benarkan Amynina pulang …”

p/s – Aku cuba memahami situasi pelajar perempuan …

06 August 2010

Mengapa perlu marah dengan saman ekor?


Hari ini, semalam, kelmarin dan minggu-minggu yang lepas, isu saman ekor masih hangat diperkatakan. Rata-rata sesiapa yang kena saman menzahirkan rasa tak puas hati berkenaan kes saman ekor. Ada parti politik siap buat satu program khas,  ‘Program bertemu mangsa saman’ di hotel terkemuka. Sebagai permulaan ia akan diadakan di wilayah Persekutuan dan Selangor, kemudian di Melaka dan Negeri Sembilan. Kata penganjur, tujuannya adalah untuk memberi taklimat undang-undang Akta JPJ termasuk PDRM yang dikatakan ‘berlaku sedikit salah urus tadbir’(sekadar memetik kenyataan yang tersiar).

Aku hanya membaca penuh minat. Maklumlah aku juga mangsa saman ekor.  Opss mangsa? lain macam je bunyi perkataan ‘mangsa’. Baru-baru ini, aku telah terima surat saman dari Cawangan Trafik Bukit Aman yang mengatakan akan menyenaraihitamkan jika aku tak jelaskan bayaran saman. Pada mulanya terkejut juga aku dibuatnya. Maklumlah surat saman itu menyenaraikan 3 kesalahan yang telah aku lakukan. Dendanya tak banyak. Semuanya berjumlah  RM900.00. (RM300.00 untuk setiap satu kesalahan). Tertelan air liur walaupun tekak tak kering. hehe. 

Aku terkejut bukannya kerana tak boleh atau tak mau bayar saman tersebut. Cuma rasa sedikit terkilan kerana saman tersebut telah terkumpul sebegitu,  dan dipos kan setelah 3 kesalahan aku lakukan. Terfikir aku, lama benar proses nak maklumkan kesalahan traffic pada tuan punya kereta? Kesalahan hampir setahun yang lalu baru dimaklumkan hari ini?


Aku tertanya-tanya juga, mengapakah surat saman itu memakan masa yang lama untuk diposkan?
Tidak bolehkah surat saman itu terus dihantar apabila seseorang itu melakukan kesalahan kali pertama? Maaf! Aku bukannya pakar undang-undang. Tak tau cara dan proses hantar surat saman menyaman ekor ini. Bukan apa, sekurang-kurangnya bila terima saman pertama, seseorang itu boleh lebih berhati-hati. Aku bukannya tak nak bayar, cuma tak berapa setuju dengan kelewatan surat saman itu sampai di tangan!  

Sebenarnya isu saman ekor ini sudah menjadi isu hangat baik di mana-mana. Kat sekolah misalnya, rata-rata kebanyakan guru bila menyemak melalui sms, ada je saman ekornya. Biasalah kan semuanya macam tak berapa setuju dengan saman ekor ini. Semua pot pet pot pet nada marah. kan ini bahaya untuk masa depan negara?

Sehari dua ini, aku mula senyum bila terdengar berita PDRM dikatakan turut memberi cadangan agar kerajaan menetapkan kadar kompaun saman ekor yang mampu dibayar pesalah trafik. Ini berikutan pelbagai rungutan di kalangan orang ramai berhubung kadar saman itu.

Mungkinkah saman ekor ini akan dikurangkan dendanya? Aku senyum lagi bila terbaca berita,  Ketua Pemuda UMNO sendiri turut meluahkan rasa tak puas hati dengan saman ekor ini? wah nampaknya … ada persefahaman antara parti … 

Moga ada cara yang lebih baik lagi untuk mendidik pesalah jalan raya ini. Nah! aku salah seorang pesalahnya … tabik tuan!!  ampun tuan!!

p/s – tertanya-tanya pada diri sendiri, aku rasa akulah pemandu paling berhemat. Sentiasa cool pandu kereta sambil dengar lagu hindustan. Tapi rupanya kena saman ekor juga. hehe.

04 August 2010

Tekak kering tanda si dia sedang berbohong?


Hari ini beli akhbar Utusan Malaysia. Lama tak baca akhbar Utusan Malaysia. Asyik-asyik beli Berita Harian, Harian Metro, Sinar Harian dan baca akhbar online je.

Belek-belek ... baca-baca …

Terbaca satu ruangan intim. Tertarik apabila dikaitkan antara petanda seseorang itu berbohong ialah tekak mudah menjadi kering.

Tekak kering tanda si dia sedang berbohong? Petanda si dia sedang sembunyikan sesuatu rahsia daripada kita?

Presiden Institut Bahasa Tubuh Amerika Syarikat dan penulis buku, You Say More Than You Think, Janine Driver mengatakan bahawa seseorang itu boleh berasa gugup apabila menyembunyikan sesuatu daripada diketahui orang lain. Tubuh badan juga akan nampak tak senang duduk. Hasil penyelidikannya mendapati bahawa apabila rahsia yang disembunyikan itu terlalu besar akan menyebabkan rasa risau yang teramat. Kerisauan ini membuatkan otot esofagus (bahagian salur makanan yang terletak di antara tekak dan perut) akan mula mengecut. Keadaan ini menyebabkan tekak mudah rasa kering.


Menurut Janine Driver, “Jika seseorang itu mula kerap menelan air liur ketika bercakap, dia sebenarnya cuba untuk melonggarkan otot tekak. Oleh itu, cuba beri perhatian pada tajuk bualannya. Pasti ada rahsia yang cuba disembunyikannya…”

uissssssssss boleh percaya ke ini? Kalau di Malaysia, biasalah kan tekak kering kerana cuaca yang agak panas. Sikit-sikit nak minum air. Sikit-sikit nak minum air. Fresh oren lagi tu. Tambahan lagi sekarangkan musim durian. Panas satu badan.

p/s-  Tiba-tiba teringat, petanda lain nak tau si dia berbohong atau tak, satunya ialah dengan melihat gerak matanya. Jika matanya bergerak ke kanan, bererti ia sedang berusaha untuk mengingati sesuatu. Tetapi jika matanya melihat pada sebelah atas atau sebelah kiri, kemungkinan ia sedang menyembunyikan sesuatu. hehe.. Pecah rahsia!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search