Tadi sedang duk mengemas buku-buku di rak almari, terbaca aku satu catatan di buku kecil (lama sudah aku tulisnya).
Seorang wartawan muda menghadiri majlis meraikan kejayaan sebuah syarikat ternama. Di penghujungnya majlis, wartawan tersebut berbual dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu yang juga seorang jutawan.
Wartawan tersebut bertanya:
“Datuk, boleh beritahu saya, apakah rahsia kejayaan Datuk?”
“Tiga perkataan,” jawab jutawan itu.
“Tiga perkataan? Apakah perkataan-perkataan itu Datuk?”
“Keputusan yang tepat!”
“Bagaimana Datuk boleh membuat keputusan yang tepat?”
“Satu perkataan.”
“Apakah perkataan itu Datuk?”
“Pengalaman.”
“Pengalaman? Bagaimana Datuk mendapat pengalaman?”
“Tiga perkataan.”
“Apa tiga perkataan itu, Datuk?”
“Salah membuat keputusan!”
Yup! bila aku fikir-fikirin, ada benarnya kata-kata Datuk tersebut. Mungkin itu adalah antara rahsia kejayaan dan kekayaan bagi mereka yang telah berjaya dalam kehidupan. Mereka berani. Mereka tegas. Berani dan tegas dalam membuat keputusan. Berani juga menghadapi risiko. Risiko menghadapi kegagalan ekoran keputusan yang telah dan akan dibuat. Mereka tak takut silap. Jika silap atau tersalah langkah, mereka belajar dari kesilapan dan kesalahan tersebut. Dengan kesilapan dan kesalahan kali pertama, mereka akan pastikan untuk perolehi kejayaan pada kali kedua.
Aku teringat kata-kata tauke cina, “Jika nak menangkap ikan, tangkaplah di laut dalam. Ini kerana ikan-ikan besar ada di sana. Jangan tangkap ikan di tepi pantai kerana di sana hanya ada anak-anak ikan saja ..”
p/s – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pernah berkata: “Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang saya tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan susah tetapi itulah jalan yang kekal .. ”.