Followers

29 June 2011

Lembut gemalai macam tu nak masuk askar?

Ada suara-suara kedengaran ..

“Biar betul Siti Nurhaliza masuk askar wataniah .. lembut gemalai macam tu nak masuk askar?”
“Alaaa siti masuk askar tu saja nak promosi .. untuk menarik lebih ramai lagi rakyat masuk askar wataniah”
“Bila masa le siti nak jalani latihan askar wataniah tu. Artis tersohor macam dia tu kan sibuk semacam je”


Aku senyum ... apapun nak ambil ruang di sini untuk ucapkan tahniah kat Datuk Siti Nurhaliza dan rakan-rakan selebriti lain yang turut serta dalam pasukan itu ialah pelakon Intan Ladyana, Shaheizy Sam, Mohd Noor Bong, pengacara Nurul Hidayah Zahid Hamidi, penerbit filem David Teo, penyanyi Aizat dan Ana Raffalir.

Rasanya tak semua orang sanggup pakai pakaian loreng tu. Bukannya selesapun. Kasar apa .. kalau tak biasa pakainya akan rasa semacam je. Gatal mungkin. Tak kena cara boleh alergic kulit .. merah-merah. Bintik-bintik ..

Makin senyum … bila dengar kata-kata Datuk Siti Nurhaliza yang dirinya tidak kisah berjemur di tengah panas dan menjalani aktiviti lasak. Dia akan memastikan dirinya sentiasa bersedia sewaktu menyertai latihan ketenteraan itu. Siti terpaksa menyelesaikan tempoh latihan asas selama 39 jam seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan sebelum pentauliahan.

 “Saya akan memakai krim pelindung cahaya matahari untuk menghalang kulit menjadi terlalu gelap. Bagaimanapun, saya rasa sudah adat warna kulit akan berubah gelap apabila selalu berjemur panas,”

hehe ..  

“Kepada Datuk Siti Nurhaliza, bila le nak datang kat kem askar di Kelantan ini. Bukan apa .. saya nak jumpa dan tabik kat Datuk Siti. Oh ya anak-anak buah saya kat kem kirim salam sayang kat Datuk Siti..“

27 June 2011

BERSIH, Polis dan Pakcik Tukang Sapu Sampah

Sana-sini orang sibuk bercerita tentang BERSIH .. 

Mereka yang ambil tau kisah negara tak akan lepas pandang dengan isu ini. Isu di mana Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dijangka akan mengadakan Perhimpunan Bersih di ibu kota pada 9 Julai nanti.



Aku sekadar amati dan baca kisah Bersih ..

Ramai yang tak sokong tapi ramai juga yang sokong. Ada pro ada kontra. Sebenarnya aku tak kisah sangat dengan mereka yang sokong dan tak sokong. Itu hak masing-masing. Tak salah segi Perlembagaan. Ia jelas.

Cuma aku lihat makin hampir dengan harijadi 9 Julai, makin banyak pula kisahnya.  Macam-macam kisah muncul. Terkini keluar kisah Polis berjaya rampas beberapa helai baju-T berwarna merah yang dikatakan mempunyai cetakan gambar pemimpin fahaman komunis iaitu Abdullah C.D., Rashid Maidin, Chin Peng dan Suriani Abdullah.  Kata polis, terdapat  usaha cuba mewujudkan semula fahaman komunis menerusi Perhimpunan Bersih yang dirancang diadakan nanti.

Terkeluar juga kisah Polis merampas 15 naskhah akhbar Sosialis berbahasa Tamil, 10 naskhah akhbar Sosialis berbahasa Melayu, 15 bendera logo Parti Sosialis Malaysia (PSM), 600 helai risalah tertera Perhimpunan Bersih 2.0 dalam bahasa Melayu dan 1,500 helai risalah PSM dalam bahasa Melayu.

Kisah komunis? Ini yang aku benci dengar!! Tiba-tiba je ..

Rumusannya senang je. Perhimpunan Bersih adalah HARAM di sisi polis! Perhimpunan Bersih tak ada permit. Polis tak keluarkan permit. Dan rasanya tak akan keluarkan permit. Sesiapa yang hadir akan ditangkap! Sesiapa yang pakai baju kuning Bersih akan ditangkap! Sesiapa yang ada disekitar juga kemungkinan akan ditangkap! Jangan-jangan pakcik yang sedang membersihkan sampah yang kebetulan ada di sanapun akan ditangkap juga! so pakcik jangan pakai baju warna kuning okey!

Sana-sini mula keluar sms ugutan bunuh!

Pembangkang dah main peranan!
Perkasa nak dan akan main peranan!
Pemuda UMNO juga akan main peranan!
SUHAKAM juga!
Polis akan lebih main peranan nanti!

Aku hanya berdoa moga segalanya tenang! Kalau perhimpunan diadakan biarlah ia bersih dari sebarang kemelut dan provokasi yang boleh mengucar kacirkan negara. Kalau polis main peranan biarlah tenang juga.

Tiba-tiba ternampak cota FRU!! ia takde mata. Ia tak kenal siapa! Bila pegangnya pasti tangan akan rasa gatal-gatal je. 

25 June 2011

Janda pun boleh bang ...




Petang tadi terdengar bualan DJ radio dengan seorang pemanggil.

DJ: Ni dari mana ni yob?
Pemanggil: Dari kelantan. Nak sampaikan permintaan le abang ..

DJ: Kedengaran sedih je suara ni .. kenapa ni?
Pemanggil: Saya boringle abang … Kalau boleh nak cari kenalan. Tak kira le siapapun. Umur berapapun saya tak kisah bang.

DJ: okey ..
Pemanggil: Janda pun boleh bang  ..

Lain macam je aku rasa bila mendengar kata-kata si pemanggil tu. Ada ke tiba-tiba je disebutnya, “janda pun boleh bang”. Apa ingat janda tu apa? Seolah-olah status janda itu telah meletakkan ia pilihan yang ke  … ishh ..

Maaf, telinga ini tak sedap mendengar suara yang memandang rendah kepada seorang perempuan yang berstatus janda ..

Terus-terang aku benci lelaki yang biarkan seorang perempuan itu bergelar janda kerana nafsu tapi hakikatnya tak mampu untuk berikan keadilan, tanggungjawab dan melindunginya.  Apatah lagi jika ia miliki anak-anak yang masih kecil .. tapi dibiarkannya begitu saja.  Tak pernah dijengahnya.  Tak pernah diambil pedulinya. Sempoi betul lelaki yang seperti itu.  Gila!. Sepatutnya  lelaki seperti itu  ditangkap dan dijatuhi hukuman buat kerja amal di rumah anak-anak yatim selama mungkin ..  5 tahun paling kurang!

20 June 2011

"Syid, saya dah ceraikan isteri saya .."


Kelmarin aku pergi kem tentera. Terserempak dengan seorang kawan yang pernah aku kisahkannya dalam entri sebelum ini, bertajuk “Syid, kenapa isteri saya dah tak sukakan saya lagi?”  

Dia datang menghampiri aku. Aku lihat mukanya agak suram. Senyuman yang takde cerianya. Aku membalas senyumannya.

Aku: Camana sekarang? Kenapa lama tak hadir latihan kem?
Dia: Okey.. entahlah syid rasa takde mood le nak ikut latihan sekarang ini.

Aku: Kenapa ni? nampak lain je ..
Dia: Syid semuanya dah berakhir. Saya dah lepaskannya …

Aku: hmm hmm ..

Dia: Awal Mac saya lepaskan dia. Saya dah ceraikan isteri saya … nak buat camana syid saya dah berusaha untuk selamatkan rumahtangga tapi tak berjaya juga .. akhirnya kami jumpa tok kadi .. bercerai ..

Aku: hmm hmm ..

Dia: Saya cuba selamatkan rumahtangga demi anak yang masih kecil. Tapi dia desak juga nak bercerai. Sekarang anak dia yang jaga.

Aku: Banyakkan bersabar. Yang penting jangan terputus hubungan dengan anak tu.

Dia: Tapi syid sekarang ni bekas isteri saya tu selalu pula telefon saya. Dia bertanyakan khabar. Tanya kenapa lama tak datang tengok anak. Saya ada juga tanya dia kenapa dia tak sukakan saya  ..  Dia kata sebenarnya emak dia yang tak suka saya. Dia kata lagi, kalau dia teruskan juga bersama saya emaknya tak akan mengaku dia anak.  Kalaulah benar emaknya menjadi punca, saya tak sangka syid .. saya tengok emaknya seorang yang agak warak. Macam ustazah. Saya sedar sejak kami berkahwin dulupun emaknya dah tak sukakan saya ..

Aku: ???


13 June 2011

Pesanan untuk wanita yang sedang bercinta

Saya melihat orang perempuan menjadi rosak dengan mudahnya sewaktu bercinta kerana mereka terlalu menyintai.

Menurut kajian dan pemerhatian saya, apabila perempuan menyintai dia akan benar-benar menyintai sedangkan tatkala lelaki bercinta, dia sentiasa reserved sebahagian hatinya. Entah untuk siapa? Sesetengah lelaki memang tidak memberikan walau sedikitpun daripada hatinya, tapi disambut dengan sepenuh hati oleh si perempuan.

 Setianya ..

Apabila saya berkata begini, saya tidak mengatakan kesemua lelaki. Tidak dinafikan ada lelaki yang amat jujur, ikhlas dan amanah dalam bercinta, namun barangkali jumlahnya sekitar seorang dalam seratus. (ulangsuara .. 1/100).

Wanita selalu lebih ramai yang menjadi mangsa cinta. Sebab apa? Sebab mereka terlalu menyintai. Dan biasanya cinta yang terlalu itu berkekalan hingga dia bergelar isteri. Amat jarang wanita hendak mencurangi pasangannya walaupun tak dinafikan ada juga kes-kes terpencil. Tapi lelaki yang terhakis cinta terhadap isterinya terlalu banyak.

Maka, buat sekalian kalinya, perhatikanlah pesanan saya:
“Tatkala anda sedang bercinta, cintailah dia seadanya, berbatas-batas, 50 hati dan berikanlah dia hati anda keseluruhannya, 100 peratus, tatkala anda telah bergelar isteri atau suami!”

opss!! Itu bukan kata-kata saya okey.  Ia kata-kata dan pesanan dari Dr. HM. Tuah Iskandar al-Haj. Saya memetik dari bukunya, Membina Rasa Cinta,  ms 167-168. Saya petiknya kerana terasa amat banyak kisah benarnya di sebalik kata-kata dan pesanan Dr. Tuah ini. Moga ia menjadi renungan bersama. Renungan 110% khususnya untuk rakan-rakan yang bergelar orang perempuan atau gadis atau wanita.

Seronok baca buku Dr Tuah ini .. makin seronok bila hujan turun renyai-renyai. Sejuk.


08 June 2011

Bakal isteri batalkan niat berkahwin di saat akhir

Sukar aku nak gambarkan situasi apabila tindakan bakal isteri yang membatalkan niat untuk berkahwin hanya 6 jam sebelum majlis ijab kabul akan dilangsungkan. Sedangkan gubahan barangan hantaran telahpun siap disediakan. Malah para tetamu juga sudahpun hadir dan memenuhi bahagian ruang makan di bawah khemah terhias cantik.

Majlis menelan belanja lebih RM30,000.00 dengan kehadiran hampir 2,000 orang tetamu …


Pagi sebelum kejadian, bakal isteri bersama keluarganya telah datang ke rumah pengantin lelaki dengan membawa khabar bahawa pihak perempuan mahu batalkan perkahwinan. Alasannya ialah tidak ada persefahaman!! Pasangan sudahpun setahun bertunang hasil aturan keluarga kedua-dua belah pihak.

 “Saya tidak menjangkakan perkara itu dan jika betul tidak mahukan saya kenapa beliau bersama-sama saya menempah, membeli serta menyiapkan persiapan perkahwinan kami sejak dua bulan yang lalu” kata bakal pengantin lelaki.

Ekoran kecewa dan rasa maruah yang sudah tercalar, bakal pengantin lelaki telah membuat laporan polis. “Saya juga berbincang dengan peguam untuk mengemukakan saman malu dan ganti rugi RM500,000.00  terhadap gadis itu”.

Aduhai ..  

Mengapakah sampai begitu sekali jadinya? Ikatan hubungan yang sepatutnya berakhir dengan baik tapi sebaliknya pula berlaku.

Aku tertanya-tanya, sepanjang tempoh pertunangan berlangsung, apakah yang telah berlaku pada gadis itu (atau mungkinkah pada lelaki itu?) yang telah buatkan keputusan itu diambil? Apakah dalam tempoh pertunangan itu,  perasaan cinta itu tidak pernah hadir dalam diri? Ia kabur dan terus kabur… nak tak nak .. jap suka jap tak suka .. jap sayang jap benci .. atau kerana gadis itu telah jatuh cinta dengan orang lain? Apapun keputusan yang diambil itu bagi aku .. ada pro kontranya. Ia soal kehidupan yang perlu dilalui. Keputusan untuk hidup bersama perlu datang dari hati yang ikhlas ..

05 June 2011

Osama bin Laden dibunuh dengan peluru salut minyak babi?

Baca berita metro semalam  ..

WASHINGTON: Adakah Osama bin Laden ditembak dengan peluru yang direndam dalam minyak babi? Begitulah yang dipercayai oleh sebuah syarikat yang terbabit dalam menjual minyak senapang mengandungi lemak babi. 


Rifle HK416 dipercayai senjata yang digunakan untuk bunuh osama

Menerusi laman webnya, pemilik syarikat ‘Minyak Senapang Silver Bullet’ mendakwa minyak yang dikeluarkannya mengandungi 13 peratus lemak babi, menjadikannya produk yang berkesan untuk memerangi militan Islam. Peluru ini dikatakan ditakuti oleh militan Islam kerana orang Islam yang mati akibat terkena tembakan peluru bersalut lemak babi ini dikatakan  tidak akan masuk syurga.

Laman web berkenaan juga menyatakan, tentera Amerika Syarikat adalah antara pelanggannya. “Beribu-ribu botol minyak senapang Silver Bullet diagihkan sejak Julai 2004 oleh pembuatnya kepada anggota semua cabang tentera Amerika Syarikat,” 

Aku agak terkejut dengan berita ini. Terus teringat peristiwa Dahagi India

Dahagi India iaitu peristiwa pemberontakan terbesar yang pernah berlaku di India. Ia berlaku sekitar tahun 1857. Pemberontakan ini melibatkan rusuhan golongan tentera tempatan menentang Inggeris di India. Antara lain faktor bangkitnya rusuhan ini ialah faktor penggunaan senapang  Rifle Royal Enfield yang diperkenalkan oleh Inggeris.

 rifle royal enfield 1857

Masalah timbul apabila peluru yang digunakan senapang ini hendaklah digigit terlebih dahulu (bite the bullet) sebelum boleh dimasukkan ke dalam senapang. Di percayai bahawa peluru tersebut telah disapu dengan minyak babi dan lembu. Ini telah menyentuh isu keagamaan dan kebudayaan tradisional rakyat India. Keadaan inilah yang membangkitkan rusuhan dan penentangan terhadap Inggeris oleh tentera Hindu dan Muslim di India.

Aku terfikir ..  itu tahun 1857. Kini tahun 2011. Adakah sejarah berulang kembali? Adakah minyak babi jenis ini masih digunakan oleh pihak tentera negara Barat sehingga sekarang? Bagi aku ini satu pendedahan yang amat mengejutkan dan menyedihkan. Jika benarlah berita ini maka jelas terserlah bagaimana pihak Barat tetap mempunyai agenda yang licik dan tersembunyi terhadap negara dan orang-orang Islam.

02 June 2011

Orang gila dan cinta ...

Petang semalam terdengar suara seorang ustaz kat radio ..  ayatnya lebih kurang begini:

“Seorang lelaki yang sedang dilamun cinta jika dilemparkan ke tengah lautan maka ia akan membawa pulang seekor ikan. Seorang lelaki yang sedang dilamun cinta jika ia dilemparkan ke gedung makanan maka ia juga boleh mati kelaparan ..”

Aku cuba memahami maksud yang tersirat … apa agaknya ia?

Menurut ustaz itu lagi, semua orang ingin bercinta, menyintai, dicintai dan akan jatuh cinta. Tak kira tua tak kira muda. Semua orang akan ada perasaan cinta kecuali orang itu orang gila … 



Tiba-tiba aku teringat, masa aku budak-budak dulu aku pernah tengok seorang ‘orang gila’. Orang gila itu lelaki.  Aku gelarnya ‘orang gila’ kerana semua orang pada masa tu panggilnya ‘orang gila’. Tapi aku pelik, kerana orang gila itu ada pasangannya, seorang perempuan. Cuma perempuan tu orang ramaipun panggilnya ‘orang gila’ juga. Diorang selalu bersama ke mana saja. Berpakaian koyak rabak dan selekeh tak terurus.  Selalu kutip bahan buangan.

Berbalik pada ustaz tadi, orang gila tak ada perasaan cinta ..   jadi adakah ‘orang gila’ yang aku tengok masa budak-budak dulu tu adalah orang gila yang benar-benar gila? Ini kerana ‘orang gila’ tu ada pasangannya yang juga ‘orang gila’.

Ada orang kata jangan selalu fikirkan orang gila. Nanti semua orang akan jadi gila. Tapi bagi aku, ramai juga sekarang ini orang gila yang tak nampak gila tapi ia sebenarnya memang orang gila.

p/s – aku suka perhatikan orang gila. Tapi hingga kini masih hairan bila melihat gelagat orang gila apabila ingin melintas jalan. Ia tak melintas selagi ada kenderaan sedang bergerak.  Takut kena langgar kot. Nampaknya orang gilapun masih mampu berfikir soal keselamatan diri .. kita camana pula ya?

01 June 2011

Salih Yaacob kahwin 4 Owwhh!!

“Debaran yang saya rasakan ketika akad lafaz nikah kali ini amat luar biasa. Tapi, Alhamdulillah semua berjalan lancar  .. “ kata pelakon dan penyampai radio, Salih Yaacob, semalam.


Salih diijabkabulkan dengan Samihah Sheikh Ali, 25, atau mesra dengan panggilan Emi di Masjid Jamek Bandar Kulaijaya, di sini, pada kira-kira jam 3.40 petang semalam, sekali gus melengkapkan kuota empat isteri yang dibenarkan ajaran Islam.


Wah!! tabik spring kat Abg Salih Yaacob. Tak semua yang mau. Tak semua yang mampu. Tak semua yang dapat terima hakikat itu semua.

Ada yang setia hanya pada yang satu. Tak terlintaspun nak tambah 2 apatah lagi 3 .. 4 ..  

Ada yang masih mencari-cari. Bukannya nak ramai. Nak ‘satu je’ tapi tak jumpa-jumpa juga. Apakan daya. Usaha dah ada tapi jodoh je belum ada. Ada-ada saja.

Kata Abg Salih Yaacob lagi …

“Saya akan berkongsi kegembiraan dengan berbulan madu di China tidak lama lagi dan lebih menarik, keempat-empat isteri dan semua anak akan menyertai rombongan.."

Terus terang aku masih tertanya-tanya tentang kehebatan Salih Yaacob..  dan masih tertanya-tanya apa agaknya pandangan kaum hawa bila baca kisah abg Salih Yaacob ini. Senyumkah mereka? Terdiamkah mereka? Marahkah mereka? Menyampahkah mereka? atau jauh di dalam hati .. "Tak salah. Janji mampu .. ",  "Dah jodoh .. terima aje le", "Kalau dah cinta, nak buat camana. Kena terima semua tu. Nombor empat .. empatlah."

Atau mungkin ada kata, "kalau nombor 2 tu okey lagi .. ini nombor 4. adoii .."


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search