Followers

26 November 2011

Salahkah menyintai seseorang dalam diam?

Dirinya berkulit putih bersih. Ada dua ekor rama-rama cantik berterbangan pada dirinya. Ada juga tiga lambang cinta merah pada pakaian depannya. Tapi sayang ..  satu lambang cinta itu telah terkoyak, satunya kelihatan luka berbalut hansaplast dan satunya lagi berjahit tali tiga pangkah. Parah agaknya.

 ingatkan dr pakar bedah je .. dr pakar cintapun ada jugake?. hehe

Kutatap wajahnya. Kusentuh dirinya. Aku baca bait-bait ayat yang tertera pada pakaian depannya.

“kerana aku doktor cinta, membuat dia tergoda.
kerana aku pakar cinta, aku hilang kata-kata …”

Aku pusing badannya. Pakaian belakangnya tertulis ..

“Kecewa tak sesakit menyintai seseorang dalam diam”
“Cinta itu menyakitkan tapi cinta juga membahagiakan. Kalau mencantikkan lukisan adalah warna, yang mengindahkan kehidupan adalah cinta ..”

Kasihan dia. Aku bersamanya sejak bulan jun 2011 lagi. Tapi kerana tak ada masa, ia terbiar kat atas sofa begitu saja. Baru habis bab 2 aku bacanya (ada 65 bab kesemuanya) .. hehe

Sekarang aku curi-curi masa. Masa menunggu, masa iklan tv, masa boring-boring .. pasti akan aku bawa dia.. pasti akan aku baca dia ..

Dia .. nama manjanya Doktor Cinta .. 


p/s – sekali sekala nak juga baca novel yang agak ringan, simple, sempoi  tapi best jalan ceritanya. Kalau asyik duk baca buku ilmiah je .. ishh makin berat kepala otak .. naknya bertambah 2 kg lagi. Kan naya ..  

24 November 2011

“Bagitau kat cikgu .. kakak 'lawa' tu janda. Masih muda”


Jam 9.00 pagi tadi, singgah kat pasar pagi – makan nasi berlauk kat warung. Setelah mengambil sendiri lauk gulai ikan aya sama sedikit hati (makan hati?), terus pergi duduk kat meja panjang. Kemudian datang seorang kakak yang aku perhatikannya agak ‘lawa’.  ‘Lawa’ kerana dia pakai make-up. Lawa kerana pakaiannya ikut fesyen masa kini. Kakak ‘lawa’ tu datang bersama ayahnya. Dia duduk sebelah ayahnya yang betul-betul duduk mengadap aku. Depannya duduk seorang kakak lagi.  Kakak tak pakai make-up. Agak ‘simple’. Datang bersama budak lelaki kecil. Anaknya mungkin.

Sambil makan, aku baca akhbar Sinar Harian. Terdengar juga bualan kakak ‘lawa’ tu dengan kakak ‘simple’. Tapi tak masuk sangat kat telinga aku. Maklumlah aku bila baca akhbar memang fokus giler ..

Tak lama kemudian, kakak ‘lawa’ tu panggil pelayan. Nak dibayarnya. Aku tak habis  makan lagi (kunyah lama-lama. Sunnah kan ..)

“Kira semua ..” aku terdengar kakak ‘lawa’ bagitau kat pelayan.
“Banyak ni. Nak bayar semua ke?” kakak ‘simple’ bersuara.
“alaaaaaa bukannya banyak. Sejak menjak ni tuhan bagi rezeki pada kak Mah” ujar kakak ‘lawa’.

Aku yang mendengarnya senyum tanpa memandang diorang. Senyum bila kakak ‘lawa’ tu sebut perkataan rezeki.

Aku terus baca akhbar. 5 minit kemudian, aku panggil pelayan. Suruhnya kira ..

“Cikgu .. kakak tadi dah bayar”
“Uiss .. bayar? Sape bayar?”
“Tuu kak Mah tadi tu. Duduk depan cikgu tadi” ditudingnya kat kerusi yang diduduki oleh kakak ‘lawa’.
“Dia bayar? Dia tu saper tuu?”  aku rasa ingin tau.
“Kak Mah .. tauke kantin”
“Tauke kantin? Tauke kantin sekolah mana?”
“Sekolah Kubang Gaul ..”
“oooo takperlah kalau gitu”

Masa aku nak beredar, terdengar kakak ‘simple’ bersuara perlahan kat pelayan.

“Bagitau le kat cikgu tuu .. kak Mah tauke kantin tadi tuu janda. Masih muda.. “

Aku terus beredar meninggalkan warung walaupun jelas kedengaran suara kakak ‘simple’ tu ..   nakal dia ni ..

23 November 2011

Pelakon kacak lakukan perkara tak senonoh


Jam 2.00 pm, hujan masih lagi turun. Makin lebat. Tak berhenti sejak semalam. Kalau berterusan 5 hari lagi hujan macam ini alamak banjirlah Kelantan.


Aku duk bersila depan laptop. Buka internet. Terbaca salah satu tajuk berita, “Ranbir Kapoor tidak senonoh”. Hati terus rasa nak tau, apa yang tak senonoh yang telah dilakukan si Ranbir Kapoor, pelakon baru yang menjadi buruan penerbit filem ini? Dia mencabulkah? Dia mabukkah? Tentu ada sesuatu yang dilakukannya sehingga dia dikatakan tidak senonoh.

Terus klik tajuk. Rupa-rupanya .. dia dikatakan melakukan perkara tak senonoh iaitu membuang air kecil di atas lebuh raya.

Mengikut sumber:

"Ranbir sedang dalam perjalanan pulang dari Karjat pada waktu siang hari. Namun, dia terpaksa menghentikan kereta di tengah-tengah lebuh raya yang kosong ketika itu kerana dia dah tak tahan mahu membuang air kecil.

"Ketika dia sedang kencing di atas lebuh raya itu, tanpa disedarinya perbuatannya itu telah menarik perhatian sebuah kereta peronda polis dan seorang pegawai polis telah turun dari kereta itu dan menegur perbuatan Ranbir yang memalukan itu."

Itulah bila jadi artis. Semuanya jadi isu. Aku sebagai lelaki rasanya faham akan rasa ketaktahanan itu. Takkan nak tahan 2 .. 3 jam. Nak singgah tak ada pula kedai apa ke. Tambahan lebuh raya itu kosong. Tak ada orang. Kembung perut dibuatnya kalau duk tahan lama. Itupun kalau boleh tahan. Boleh bawa penyakit lagi. Rasanya kalau orang biasa tak akan jadi masalah kot. Bukan sekadar buang air kecil, nak golek-golek atas jalan rayapun tak jadi masalah. Tapi si Rambir ini satu, yang kau pergi kencing di tengah-tengah lebuh raya tu buat apa? Pergile tepi lebuh raya .. cari kawasan terlindung sikit pe ..

p/s – lama tak tengok filem hindi. Apa khabar preity zinta buah hati berlesung pipit .. ? 

22 November 2011

Orang Indonesia mentalitinya rendah sedikit dari rakyat Kelantan?

Tadi baca komen pembaca kat Ruangan Nasional Berita Harian, 22 November 2011, ms 28.

Antara komen pembaca secara berturutan …

“Kalau dah anti-Malaysia, balik saja ke Indonesia, tak perlu cari rezeki di negara kami. Biar mereka tak makan di negara mereka sendiri”

“Saya merasai betapa panasnya dan biadab ejekan penyokong Indonesia yang tidak menggambarkan jiran serumpun final bola sepak ...”

“Indonesia negara yang tak bertamadun dan tiada semangat kesukanan, setiap kali atlit negara kita beraksi mereka mencela dan menghina lagu Negaraku. Biadab!”

“Kesal dan geram melihat penyokong negara jiran yang tidak menghormati nyanyian lagu kebangsaan dan ke mana hilangnya semangat serumpun nusantara?”

“Rakyat Indonesia datang sini kita beri peluang untuk cari rezeki, kita ke sana siap pakai kereta kebal ...”

“Sungguh terhina bila Jalur Gemilang dan lagu Negaraku diejek bukan sekali di Indonesia. Sudah sampai masanya kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan mengambil tindakan dengan menegur duta mereka di sini atas kebiadapan rakyat mereka”

“Orang Indonesia mentalitinya lebih rendah sedikit daripada rakyat Kelantan tapi persamaannya mereka bersifat fanatik dan kenegerian yang melampau”

Aku tersentap. Tertanya-tanya ??? Apahal tiba-tiba libatkan rakyat Kelantan pula ni ?? adoiii ..  takper takper orang Kelantan kan cool ..  tenang dan damai  .. hehe

 Walaupun sama-sama tak berbaju ..

p/s –  Tentang fanatik kenegerian tu aku boleh terima le (tak semua okey) .. tapi tang mentaliti tuu ???. 

Malaysia julang emas bola sepak sukan SEA 2011


Hati berdebar giler melihat sepakan penalti penentu keputusan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 2011 tadi.  Seriau roma .. 

Akhirnya ..

Terbukti pasukan bola sepak Malaysia memang hebat!!
Malaysia berjaya kalahkan Indonesia 5-4

TAHNIAH!!!  TAHNIAH !!!!!!!!

Rakyat Malaysia patut berbangga kerana pasukan negara menang tanpa ada seorangpun pemain import! Semua pemain adalah anak Malaysia!!

 p/s - Tak tau kenapa dalam hati aku .. MALAYSIA perlu menang menentang Indonesia!! 

20 November 2011

Jap lagi aku nak pergi ambil duit RM80,000.00 tunai



Sekejap lagi aku nak pergi bank. Nak iringi pengetua ambil duit RM80,000.00 lebih. Nak bagi kat ibu bapa pelajar. Wang bantuan khas awal persekolahan. Setiap ibu bapa pelajar akan diberi RM100.00.

Harap-harap tak ada mata memandang liar bila kami mengambil duit nanti. Kalau pandang juga nak aku tembak dengan senjata M16. hehe

oh ya ..  bila jadi pengiring pengetua, rasa diri macam Jet Li dalam filem bodyguard from Beijing pula. Ni yang aku tak berkenan ni ..  kena standby .. mana taukan .. 


19 November 2011

Bersembang dengan Guru Ganti

beginilah bila jadi cikgu ..

Jam 11 pagi – aku didatangi cikgu Ida (guru ganti kepada guru sekolah yang bersalin). Cikgu Ida baru tamat pengajian di UPM. Beliau mengambil jurusan  perakaunan.

“Assalamualaikum cikgu“
“Waalaikumussalam”
“Cikgu .. nak minta tolong cikgu sahkan sijil ..”
“ooo .. masuk masuk .. duduk  duduk. Ni nak mohon apa ni?” aku mengambil sijil-sijil yang dihulurkannya.
“Saya nak sambung master cikgu”
“owhh bagus tu. Nak sambung bidang apa?”
“Bidang perakaunan juga ..”

“Camana jadi cikgu. Seronok tak?”
“Seronok sangat cikgu. Sebenarnya memang saya nak jadi cikgu. Tapi bukan senang sekarang ni nak dapat. so .. saya mohon master. Dah dapat .. “

“ermm tahniahlah. Buat master ni bagus. Tambahan pula dalam bidang perakaunan. Bidang ni ‘mahal’ harganya. Ada seorang kawan saya. Dia memang pengkhususan bidang perakaunan. Sekarang ni dia pun dah jadi cikgu .. gaji dia kalau tak silap saya 4 anak tangga lebih tinggi daripada cikgu biasa ..”

“Itulah cikgu .. harap-harap saya juga berjaya jadi cikgu nanti ..”

Setengah jam kemudian aku didatangi cikgu Mawar pula (juga guru ganti kepada guru sekolah yang bersalin). Cikgu Mawar lepasan UPSI.

“Cikgu .. saya datang ni nak ucapkan terima kasih pada cikgu. Segala bantuan .. segala tunjuk ajar cikgu. Hari ni hari terakhir saya di sekolah”
“Sama-sama. Iyakan kejap je rasa. Ni cikgu Mawar bila nak posting ni?”

“Tak taulah cikgu. Kami lepasan UPSI ni rasa macam dianaktiri pula oleh kerajaan. Sedangkan guru sandaran tak terlatih, GSTT senang-senang je kena serap jadi cikgu tetap. Padahal kami ni yang memang belajar untuk jadi cikgu .. 4 tahun belajar ..”

“hmm hmm .. insyaAllah adalah nanti tu. Sabar okey ..”

Sebenarnya aku sedia maklum. Kalau baca akhbar, kat internet kat blog-blog, selalu terbaca keluhan guru-guru lepasan UPSI. Mereka mengeluh dan kecewa kerana mereka masih tidak dipostingkan walaupun dah tamat pengajian sedangkan GSTT mendapat jaminan kerajaan untuk diserap sebagai guru tetap. Akupun masih tak faham situasi ini.


p/s – bersyukurlah kepada mana-mana yang dah ada kerja tetap tu. Tak kira kerja apa, janji halal dan berikan kepuasan pada diri. 

17 November 2011

Bola sepak Sukan SEA 2011 Malaysia kalahkan Indonesia 1-0


Jam 8.00 malam, menonton siaran langsung bola sepak Sukan SEA ke-26. Malaysia menentang Indonesia.

Tak sangka. Gol pertama Malaysia pada minit ke-20. Disumbat oleh Syahrul Azwari Ibrahim. Pemain muda. Rasanya satu tindakan dan pilihan tepat jurulatih negara yang baru saja membawa masuk Syahrul.

Melihat bola disumbat oleh pasukan bola sepak negara terasa begitu bangga sekali. Bangga dengan gol pertama Malaysia. Makin bangga apabila melihat Syahrul Azwari mencium bendera Malaysia di kiri dada bajunya sebaik saja menyumbat gol. Rasanya gaya mencium bendera ini satu gaya yang perlu diamalkan oleh semua pemain bola sepak negara. Ia satu gambaran perasaan sayang kepada negara. Patriotisme kepada negara.

Tahniah kepada semua pemain bola sepak Malaysia!
Tahniah kepada semua penyokong Malaysia!
Tahniah kerana Malaysia tetap di hati walaupun sedang berada dalam lautan merah putih Indonesia!

15 November 2011

Jawapan pelajar tingkatan 2. Simple tapi ...



Sekejap tadi - semak kertas peperiksaan akhir tahun pelajar tingkatan 2. Berikut antara soalan dan jawapan yang ditulis oleh seorang pelajar.

Soalan 1
Bagaimanakah cara rakyat boleh menunjukkan rasa terima kasih atas usaha kerajaan?

Jawapan pelajar:
i.                     Sokong Kerajaan
ii.                   Tidak membuat fitnah kepada kerajaan

Soalan 2
Senaraikan perbuatan yang menunjukkan perlakuan tidak berterima kasih rakyat kepada kerajaan.

Jawapan pelajar:
i.                     Tidak sokong kerajaan
ii.                   Membuat fitnah kepada kerajaan
iii.                  Tidak mengikuti perkembangan tentang kerajaan

Aku merenungi jawapan yang ditulis oleh pelajar ini. Agak tertarik dengan cara berfikirnya. Sungguh berbeza sekali dengan jawapan pelajar-pelajar lain. Jawapannya simple tapi pemikirannya ..  rasanya agak jauh ke depan sikit .. 

14 November 2011

Budak tiada rasa sakit

Baca berita kosmo ..

 

BIARPUN masih kebingungan, pakar bedah di Hospital Umum Andi Makkasau, Parepare, Sulawesi Selatan, Indonesia tetap berusaha untuk mengeluarkan paku besi pelbagai saiz daripada betis seorang kanak-kanak perempuan.



Terdapat 26 batang paku termasuk sebatang jarum dan dua objek besi berwarna putih yang tertanam dalam kedua-dua betis Safira Ibrahim, 3.

Sambil membelah betis Safira dengan berhati-hati, Dr. Kamaruddin Sahid ligat berfikir bagaimana paku sepanjang di antara dua sentimeter (sm) hingga enam sm itu boleh ada di situ tanpa disedari.

“Ini memang tidak masuk akal mengikut ilmu perubatan,” ungkap Kamaruddin.

Kesemua objek logam itu berjaya dikeluarkan daripada betis Safira selepas dua jam dia berada di dewan bedah pada awal bulan ini. Sebanyak tujuh batang paku tertanam di betis kiri, manakala 19 batang lagi di betis kanannya.

“Paku itu begitu banyak. Mustahil ia dimasukkan satu persatu kerana pasti menyakitkan.
“Melihat jumlahnya tentu ada orang yang memasukkannya?” ujarnya lagi.

Safira bagaimanapun tidak berasa sakit biarpun imbasan sinaran X menunjukkan paku tersebut kelihatan bercerucuk dan mengerikan.

Menurut ibunya,  “Saya pernah keluarkan empat batang paku daripada betisnya ketika dia berusia dua tahun lima bulan tetapi tidak tahu macam mana ia boleh berada di situ. Safira pula tidak menunjukkan tanda kesakitan.”

Tak dapat aku gambarkan jika budak itu sebenarnya memang rasa sakit tapi tak mampu untuk luahkan .. ekspresikan wajah sakitnya ..

Tak dapat juga aku gambarkan bagaimana rasanya tidak punya rasa (jika benarlah budak ini tak rasa sakit). Bagi aku, tidak ada perasaan sakit sebenarnya ada baik ada taknya. Baik jika ia tak bawa kesan mudarat dan bahaya pada diri. Misalnya kena langgar atau terjatuh dari tempat tinggi .. tak rasa sakit. Ia sebenarnya baik jika gabungan 2 sekali, tak rasa sakit dan tak bagi kesan pada fizikal diri, patah ke .. cedera luka ke .. tapi ini mustahilkan.  

Secara peribadi, sebagai manusia biasa rasa sakit itu perlu. Ia penting. Tak dapat nak aku bayangkan bagaimana kalau terjadi kaki tertusuk besi atau kaca tapi dek kerana tak rasa sakit .. mungkin akan terbiar begitu saja. Kaki kena langgar .. tup tup hilang .. tapi dek kerana tak rasa sakit, empunya diri tak perasanpun .. adoii ..

p/s - Cuba bayangkan tak pernah rasa sakitpun bila putus cinta .. putus hari ini esok bercinta lagi .. putus hari esok, lusa jatuh cinta lagi.. putus lagi .. putus lagi .. cinta lagi .. cinta lagi .. hehe

10 November 2011

"Sebenarnya saya rindu kat cikgu ..."


 sekadar hiasan

Situasi 1

Menaiki tangga menuju ke bilik. Tiba-tiba terdengar suara ..

“Cikgu .. wah cikgu smart lah hari ini ..” sapa salah seorang pelajar perempuan. Mereka berlima sedang duduk berehat di bangku taman sekolah berhampiran dengan tangga. Bila aku amati rupanya mereka semua pelajar-pelajar tingkatan 3. Baru habis peperiksaan PMR baru-baru ini.

“Cikgu .. cikgu awet mudalah ..”  sapa seorang lagi. Selamba je. Siap senyum-senyum lagi tu.


Situasi 2

Melangkah ke kelas tingkatan 4. Panggil ketua kelas untuk kira bilangan pelajar yang hadir sekolah (saja bagi tugas padahal boleh kira sendiri).

“Cikgu .. 32 orang. Semua hadir.”
“hah! 32 orang? kan pelajar kelas ni 31 orang je”
“Tuu Amirah cikgu. Dia hadir kelas hari ini. Dia tak jadi bertukar sekolah.”
“ooooo padanlah”.

“Amirah .. kenapa tiba-tiba muncul ni. Kan dah sebulan sekolah kat Shah Alam?”
“Tu le cikgu .. sebenarnya saya rindu kat cikgu ..” jawabnya spontan je.


Nah!! beranikan pelajar-pelajar sekarang ini. Jauh beza rasanya dengan situasi semasa aku bersekolah menengah dulu-dulu.

Jadi bila berhadapan dengan pelajar-pelajar macam tu, apa agaknya yang paling baik untuk membalasnya. Adakah sekadar senyum je? owhhh tidak!! Aku ada jawapannya. Jawapan yang agak spontan ..  Jawapan yang buatkan pelajar-pelajar itu terus dan makin tersenyum.  hehe.


p/s – jawapan spontan yang mesra boleh rapatkan pelajar dengan gurunya .. mereka akan lebih senang dekati gurunya .. 

07 November 2011

"Tolong ambil gambar budak kecik tu .. "

 comelkan bila tak merokok ..

Sekejap tadi – pergi pasaraya Pantai Timur. Cuci mata tengok barang-barang peralatan kereta dan dapur. Tengok mana yang berkenan dan perlu untuk dibeli. Saja je .. (nak perabis duit le tuu)

Masa kat kaunter bayaran, seorang abang yang aku agak berumur 40-an duk melihat-lihat pada rak rokok di belakang cashier. Aku di depannya. Aku berpaling bila abang tu meminta sesuatu pada cashier.

“Adik tolong ambil yang ada gambar budak kecik tu” sapanya perlahan. Tangannya menunjuk pada barisan kotak-kotak rokok.

Aku berpaling padanya. Menegurnya sambil tersenyum.

“Senangkan .. minta yang ada gambar budak kecik “ aku senyum.

“a’ahh nak minta yang lain takut .. teruk sangat gambarnya. Budak kecik tu kira okey sikit.” balas abang tu. Turut senyum pada aku.

Terdetik hati, tak insafkah si perokok bila melihat gambar-gambar penyakit di kotak rokok? Rasanya mereka tak pedulipun. Tak ambil endahpun akan gambar-gambar bahayanya merokok. Situasi kat pasaraya tadi menyerlahkan hakikatnya.


Rasanya macam-macam kempen dah dijalankan. Macam-macam penyakit kesan merokok diwar-warkan kat media. Tapi semuanya hanya sekadar mata memandang, telinga mendengar, mulut bercakap. Tak ada kesanpun pada si perokok. Hatta kepada yang bergelar ustaz-ustaz,  tok-tok imam sekalipun, walaupun dah jelas fakta hukumnya adalah HARAM!

Terus-terang aku masih tak faham mengapakah si perokok ini tak ambil kisah dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang telahpun jelas mengeluarkan hukumnya. Hukum merokok adalah HARAM!! Nak macamana lagi fatwa hukumnya akupun tak tau …

Rasanya kena bagitau kat dalam rokok itu ada najis _ _ _ _  dan disiarkan kat saluran berita TV utama selama sebulan. Baru berkesan kot ..

p/s – kepada rakan-rakan yang merokok tu jangan marah okey. Aku sekadar berbicara.

04 November 2011

Allah engkau dekat penuh kasih sayang


Perlahan-lahan kupejamkan mata  ..  menghayati liriknya lagu  ..  
Berulang kudengarinya …


Allah engkau dekat penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau biarkan hamba-Mu menangis
Karna kemurahan-Mu
Karna kasih sayang-Mu

Hanya bila diri-Mu
Ingin nyatakan cinta
Pada jiwa-jiwa yang rela dia kekasih-Mu
Kau yang selalu terjaga yang memberi segala


Allah Rahman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi
Allah Rahman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi

Di setiap nafas di segala waktu
Semua bersujud memuji memuja asma-Mu
Kau yang selalu terjaga yang memberi segala

Setiap mahluk bergantung pada-Mu
Dan bersujud semesta untuk-Mu
Setiap wajah mendamba cinta-Mu cahaya-Mu

Yaa Allah Ya Rahman
Yaa Allah Yaa Alllah Yaa Allah
Ya Nurul Qolbi
Yaa Allah

Mata masih terpejam .. titisnya sejuk mengalir perlahan ..
Menangis itu satu anugerah dariNya. Ia satu kelegaan dan penyejuk hati. Menjauhkan kesakitan dan kekusutan fikir. 

ia menghilangkan keresahan ..  

ia sungguh mendamaikan .. 

p/s - kepada teman-teman .. menangislah andai hati tersentuh terluka, sepi dan diusik keresahan .. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search