Followers

29 June 2017

"Hebat di sekolah, hebat di luar sekolah"





Masih terimbau beberapa hari yang lepas, aku call salah seorang rakan guru ...

"Sha .. ada syampu cuci lantai?"
"Ada"
"Shid nok beli hok 1 set tu. Nok wat basuh rumah lepas raya"
"Sedap woiii rumah baru" 
Aku hanya senyum.
"Bila boleh bawa sha?"
"Esokpun boleh ..."

Wah! Memang hebat sha ni. Sha salah seorang sahabat - secara sambilan dan santai turut berkecimpung dengan Biz. Aku memang tabik dengan dorang ni. Hebat di sekolah, hebat di luar sekolah.

Setelah dapat barangan tersebut, sha terus melangkah keluar...
Aku senyum. Biasanya sha akan snap pic orang yang beli barangannya. Tapi .. tadi tak ada pula dia nak snap gambar. Mungkin dia tau sahabat dia ni jenis tak berapa suka bergambar. Malu. Hehe. Jadi tak payah la tanya dah confirm tak mau punya ...

Aku yang memahaminya terus snap. Guna webcam laptop je.
Terus aku WhatsApp padanya.
"Untuk sahabat"
Dibalasnya dengan senyuman .. 

Di sinilah aku fikir. Kita sepatutnya beri sokongan kepada rakan sahabat kita yang berkecimpung dalam biz. Mereka terlibat secara sambilan dan santai. Sekurangnya dapat juga sikit sebanyak income. Kalau dapat banyak ... Alhamdulillah. Rezeki dariNya.
Aku sokong dan tabik kerana mereka tak pernah abaikan tugas di sekolah. Kerja mereka beres. Mereka hebat di sekolah. Tak salah untuk mereka hebat juga di luar sekolah.

Teringat aku, ada seorang tokoh usahawan yang berjaya (dah lupa nama) pernah berkata:
"Jika anda mahu kerja diselesaikan dengan cekap, berikanlah kepada orang yang sibuk".
Aku akui dan setuju dengan pandangan tokoh usahawan ini. Kepada semua rakan yang terlibat dengan biz ter .. GOOD LUCK!
"Hebat di sekolah, tak salah untuk hebat di luar sekolah".

Cuma kalau ada suara yang mempersoalkan kerja hakiki ... rakan sahabat kena buktikan: "Hebat di sekolah, tak salah untuk hebat di luar sekolah". (Mungkin boleh guna juga utk rakan-rakan sahabat yang bekerja dlm pelbagai bidang lain).


27 June 2017

Hari raya ke-2 – didatangi sekumpulan jejaka handsome.




Bunyi deruman motor. Berhenti depan rumah. Aku terus keluar. Tengok. Masih tak cam.

“Assalamu ‘alaikum cikgu”
“Wa ‘alaikumus salam .. oooo ingatkan sapa tadi. Rupanya jejaka-jejaka handsome. Masuk … masuk .. ”
“hahaha. Cikgu ni …”

Lama tak jumpa pelajar-pelajar ini. Mereka bekas pelajar tingkatan 5. Rasanya 4 atau 5 tahun lepas. Tak sangka mereka datang beraya rumah tahun ini.

Borak-borak. Bangga sebab mereka dah berjaya. Ada yang telah bekerja di Kementerian Pertahanan (MINDEF) bahagian pergajian, ada yang baru habis belajar kat U .. ada yang sedang mengikuti kursus akhir Programming Komputer kat Cyber Jaya, ada yang ambil bahagian engineering .. bahagian biologi .. apa ntah, nak sebutpun payah … hehe.

Masuk je dalam rumah, salah seorang tanya:
“Cikgu, cikgu kenal tak sapa ni” (sambil tunjuk kat Edie)
“ishh sapa tak kenal ... Shah Rukh Khan ... (semua pakat ketawa). Dulu kat sekolah, aku selalu panggil Edie ni Shah Rukh Khan.
“Tuu cikgu .. (tunjuk kat Shafie)
“Tuu Aaron Aziz ...” (semua ketawa lagi) – Shafie memang aku panggil dia Aaron Aziz masa sekolah dulu. Sebab dia ada iras.


Rasa seronok betul berbual dengan mereka. Hampir 1 jam mereka kat rumah.
Masa nak balik, aku bagitau, “Jangan lupa datang rumah cikgu lagi. Tapi rumah baru cikgu la. Jangan mari sini pulak”
“Okey cikgu. Mesti pergi cikgu. Rumah besar cikgu tuuu …”
“Mana ada … kecik je ”

“Cikgu .. saya selalu baca facebook cikgu. Suka baca. Ada tuu kisah sedih cikgu … 20 tahun tak jumpa ... cikgu naik flight gi Sabah …”

Aku senyum je …


17 June 2017

Hati-hatilah semasa mencari teman hidup ...




Jam 8.40 pagi – aku terima panggilan dari seorang kawan. Nak jumpa. Terus aku keluar dan jumpanya di depan Kolej Vokasional Kuala Krai. Aku tengok dia berpakaian baju pagoda dan seluar pendek paras lutut. Aku perhatikannya. Agak pelik sebab biasanya kawan aku itu suka berpakaian kemas.

Lalu diceritakan apa yang berlaku. Malam tadi, sepupunya telefon minta tolong. Sepupunya itu perempuan, umur 38 tahun. Sudah berkeluarga dan mempunyai 3 orang anak. Anak-anak masih kecil dan yang bongsu berumur 8 tahun. Sepupunya minta tolong bawa dia dan anak-anak keluar dari rumah. Dia tak tahan dipukul oleh suaminya. Suaminya itu bukan setakat pukul dia malah anak-anak juga menjadi mangsa sepak terajangnya.

Menurut sepupu perempuannya itu, kejadian berlaku waktu berbuka puasa kelmarin. Puncanya hanya satu, waktu berbuka puasa itu, suaminya marah kerana anaknya disediakan lauk ikan patin manakala dia makan je lauk lain yang ada. Oleh kerana tak puas hati, dibalingnya pinggan nasi dan segala apa yang ada. Terus dipukulnya isteri dan anak-anak.

Menurut kawan aku itu, suami sepupunya itu seorang kaki ‘pil kuda’ dan macam-macam lagi – tidak bekerja, tidak berpuasa (sedangkan semua anak-anaknya berpuasa) dan sering kali minta duit daripada isterinya. Isterinya pula hanya bekerja sebagai ‘tukang kebun’ sekolah saja.

Jadi sebaik terima panggilan telefon, terus kawan aku itu pergi ke rumah sepupu perempuannya, terus dibawa sepupu dan anak-anak itu keluar dari rumah. Dihantarkannya di rumah saudaranya di Kuala Krai. Malah dia terima panggilan dari suami sepupunya itu yang mengugut nak membakar rumahnya. Laporan polis telah dibuat dan polis sudahpun bertindak pergi mencari lelaki ‘pil kuda’ itu.

Aku yang mendengar hanya mengangguk perlahan. Bangga dengan tindakan kawan aku itu. Bagi aku, itu tindakan yang tepat. Dia tak sempat nak tukar pakaianpun. Apa yang penting – segera bergegas keluar menyelamatkan sepupunya itu.

Untuk rakan-rakan sahabat blogger, rakan-rakan facebook dan adik-adik pelajar di luar sana. Hati-hatilah semasa mencari teman hidup. Selidiklah terlebih dahulu latar belakang dirinya. Minta restu ibu bapa dalam mencari pasangan jodoh. Jangan terperangkap dengan orang seperti itu. Sepak terajang menjadi perkara biasa. Ini kerana orang yang ketagihan benda terlarang itu akan hilang waras fikirnya. Tidak lagi ada walau secuit rasa kasihan dan menghargai kasih sayang keluarga. Tidak ada lagi hukum halal dan haram baginya. Nak pikul diri sendiripun tidak mampu (walau badan kurus - sebab sering ketagihan) apatah lagi nak pikul tanggungjawab keluarga. Ada isteri sering dipukul dan dilempangnya, ada anak-anak pula sering disepak terajangnya . Aduhai ...



08 May 2017

Bersamanya aku menadah ilmu


Bersamanya aku menadah ilmu
Bersamanya aku peroleh sesuatu
Semangat kentalnya sebagai guru
Tak pernah kenal erti patah dan layu

Bila aku amati akan diri dan cara gayanya
Ternyata ada sesuatu yang bisa diikuti
Semangat dan jiwa pendidiknya
Tak pernah kering dan berlalu pergi

Bait kata dan tuturnya lembut
Namun bicara dan nadanya serius
Dikongsinya dengan  sedikit nasihat
Kita yang mendengar mengangguk terus

Apa saja sentuhannya pasti menjadi
Ada saja idea dan fikir kreatifnya
Kesungguhan diri dan titik fokusnya
Tak pernah kenal batasan tempat dan masa


Kini dia tiada lagi di sini
Perginya kerana keinginan hati
Walau disekat dipujuk dirayu
Namun tak mungkin goyah tekadnya itu

Kita sahabat semuanya pasti sama
Akan tiba saat dan ketikanya
Memori ini jua pasti menyapa diri
Semua ini pasti akan berulang kembali

Doa kita semua untukmu sahabat
Moga kekal ceria dan sihat sentiasa
Di samping isteri dan keluarga tercinta
Bersama kitab dan juga amal sufinya


Nukilan spontan oleh Rashid 30.4.2017
Buat cikgu Ali yang bersara pada 30.4.2017 …

Walau jauh jarak umur, tapi beliau yang aku anggap bagaikan abang ..
banyak berikan nasihat dan contoh .... 

dan semangatnya itu yang boleh dicontohi ... 




15 April 2017

Aku hadir forum Ustaz Don ... uiss tak sangka aku ...


Hari rabu – aku hadir program Icon Live Up The Dream di sebuah sekolah. Program ini adalah program anjuran Bank Rakyat. Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don menjadi pilihan sebagai icon Bank Rakyat.

Sebaik memasuki dewan, aku tercari juga yang mana satu Ustaz Don. Maklumlah tak pernah aku berdepan secara langsung dengannya. Sebelum ni sekadar tengok kat TV je. 

Aku cuba tengok yang mana ada pakai jubah dan selendang atas bahu. Tak adapun. Tiba-tiba aku disapa oleh seorang ustaz yang mempelawa aku duduk kat barisan depan. Aku terus bertanya padanya.

“Ustaz Don belum sampai lagike?”
 “Dah ... tu kat depan. Hari ini dia sempoi saja. Pakaian simple” ujarnya.

“iyake? Yang mana satu … ooooo tu dia” aku baru perasan. Dia sedang duduk di kerusi barisan  depan. Ada beberapa orang pelajar sedang duduk bergambar dengannya. Aku tak sangka ustaz Don hari ini berpakaian agak simple. Tak ada jubah, tak ada selendang kat bahu. Hehe ..

Memang aku tabik kat Ustaz Don. Walaupun para hadirin belum penuh dewan, tetapi beliau dahpun sampai tepat pada masanya. Sepanjang forum, aku lihat Ustaz Don begitu bersemangat sekali. Beliau begitu fokus, dengan gaya tersendiri terus memberi perangsang dan semangat kepada para pelajar.  Beliau menjiwai remaja. Jadi aku tengok semua pelajar dan juga guru begitu asyik dan memberi perhatian apa yang dikatakannya. 

Melihat gayanya, aku terus membuat kesimpulan -  kaedah pedagogi Ustaz Don memang hebat. Aku juga terfikir yang ustaz Don memang sengaja berpakaian begitu. Pakai T-Shirt hitam berkolar, dan berseluar panjang, dengan kaki seluarnya agak ketat sikit. Macam seluar yang pelakon Korea selalu pakai. Sebabnya hanya satu - sasaran para hadirin adalah para pelajar sekolah menengah. Jadi dia cuba sesuai dengan situasi para hadirin. 

Oh ya .. ustaz Don kan juga seorang pensyarah. Jadi dia memang sudah terlatih ...





Beliau melahirkan kebimbangan akan keadaan semasa remaja di negara ini sekarang. Menurut  Ustaz Don, pada tahun 2016 saja, seramai 528,000.00 anak luar nikah telah dilahirkan. Beliau meminta agar pelajar tidak mudah terjebak dengan perkara yang tidak elok. Jaga pergaulan. Jaga kehormatan diri. Jangan mudah terjebak dengan cinta. Di alam persekolahan, fokus dan tetapkan matlamat untuk menjadi insan yang berjaya dan cemerlang.

Aku terkesan dengan falsafah yang dipegangnya. Sebelum itu beliau memohon maaf jika falsafahnya bertentangan dengan situasi dan pegangan sekolah.

Sempat aku petik falsafah yang menjadi pegangannya:

“Jadilah orang yang cemerlang. Bukan orang yang mengejar kecemerlangan. Sebab jika kamu kejar kecemerlangan, kamu akan tipu dan tindas orang …”

 “Jadilah orang yang berjaya. Bukan orang yang mengejar kejayaan. Sebab jika kamu kejar kejayaan, kamu akan tipu dan tindas orang …”

Bila  aku hayati kata-kata ini, aku akui akan kebenarannya.

Bagi aku, ustaz Don memang terbaik!! Gaya dan penampilannya begitu simple ... 


10 April 2017

Aku intai pelajar, “apa agaknya pelajar ini sedang buat?"


Pagi – Masa relief, aku berjalan perlahan menghampiri kelas 1A3. Tiba-tiba terasa pula nak tau apa yang pelajar kelas pertengahan ini biasa buat semasa ketiadaan guru. 

Sebaik tiba di kelas ini, aku intainya melalui jendela kelas. “Apa agaknya pelajar ini sedang buat?”

Wah! Tak sangka. Aku perhatikan sebahagian besar pelajar kelas tersebut sedang buat kerja. Ada yang sedang menulis, menyiapkan tugasan – buat nota dan latihan agaknya. Ada yang tekun membaca. Ada juga yang melukis.

Aku masuk ke dalam kelas. Semua pelajar terus berdiri. Beri salam.

Sebaik saja membalas salam, aku terus menghampiri pelajar yang berada di barisan depan. Aku tengok mereka terus  sembunyikan buku yang sedang mereka baca tadi. Terasa nak tau pula aku, mengapa mereka cuba sembunyikan buku tersebut.

Aku perhatikan, bukan pelajar di barisan depan saja, ada 5 dan 6 orang lagi pelajar di barisan belakang turut sembunyikan buku.

“Mengapa sembunyikan buku daripada cikgu?. Tunjukkan buku tuu, cikgu nak tengok. Buku apa yang kamu tengah baca?”

Aku lihat semua pelajar memerhatikan aku dan kemudian saling memandang antara satu sama lain.

“Tunjukkan buku yang kamu masukkan dalam laci tadi. Cikgu tengok macam menarik je buku yang kamu baca”

Dalam keadaan teragak-agak, seorang pelajar perempuan di barisan hadapan kelas, mengeluarkan buku dari dalam laci meja, diberikan kepada aku. Rupanya novel.

Aku terus tatapi judul novel tersebut. Perhati dengan penuh minat sambil baca sinopsis di bahagian belakang novel.

“Wah!! Menarik novel yang kamu baca ni. Bila cikgu baca sinopsis, cikgu boleh agak novel ni bagus. Sedap jalan cerita dia …”

Pelajar di kelas itu masih lagi diam.

 “Kelas!! Dengar sini ... cikgu bangga dengan kawan kamu ni. Dia baca novel. Tebal pula ni. Cikgu tak sangka, rupanya pelajar kelas ni rajin membaca.”

“Bagus!! Kalau ginilah kamu amalkan masa relief, Walaupun cikgu tak ada, tapi kamu tak buang masa. Kamu buat kerja, kamu siapkan latihan, siapkan nota. Kamu baca buku. Baca novel .. cikgu percaya kamu akan jadi pelajar yang hebat suatu hari nanti”

“Cikgu teringat, masa cikgu sebaya dengan kamu. Masa cikgu di sekolah menengah dulupun, cikgu juga suka baca novel. Baca novel ni bagus. Ia boleh memperkayakan kita. Kita akan kaya dengan kosa kata. Kita akan mudah untuk buat ayat. Mudah untuk buat karangan.  Kita juga akan mudah untuk berbahasa … “

Sebaik saja aku bercakap, memuji pelajar yang membaca novel tersebut. Aku perhatikan, pelajar yang sembunyikan buku tadi semuanya keluarkan balik buku yang disembunyikan dari aku tadi. Bila aku dekati mereka dan memegang buku tersebut …  kebanyakannya adalah novel cinta. Antaranya novel Tika Cinta Berpaling, Percaya Ada Cinta, Siapa Di Hatimu, Antara Dendam Dengan Perjuangan …







Aku sekadar tersenyum …


26 March 2017

"Dia sekarang di batu 2 cikgu"


Bila kita dah biasa menulis akan suatu kisah, terasa tak tenang sebenarnya jiwa jika sekadar membiarkan saja kisah yang didengari apatah lagi yang dialaminya sendiri atau dialami oleh insan di sekitarnya berlalu begitu saja.

Terasa lama dah tak menulis kat blog ini. Memang terasa nak menulis kembali cuma … yup! bila ada cuma itulah sebenarnya yang menjadi satu hambatan kepada semua kisah yang ingin dikongsi melalui alam maya. Kisah yang ingin ditulis hanya sekadar berlegar-legar dalam fikiran sahaja.

Tadi petang, masa rehat aku duk sembang dengan seorang cikgu perempuan. Diceritakan akan satu kisah di mana dia berjumpa dengan seorang bapa bekas salah seorang pelajarnya. Bapa pelajar tersebut menyapanya. Katanya dia kenal cikgu tu kerana pernah mengajar anaknya.

“Cikgu, saya ayah Azman. Cikgu pernah mengajar dia kan.  Masa tingkatan 5”  ujar bapa pelajar tersebut.

“oh ya .. Azman .. Di mana dia sekarang Pakcik?” Tanya cikgu tersebut.

“Dia sekarang di Batu 2 cikgu” jawab bapa  pelajar tersebut, dengan nada agak lain sikit.

“Batu 2. Di mana tu pakcik? Dia kerja apa sekarang?” Tanya cikgu  itu lagi. Tanpa ada rasa curiga apapun.  

“Cikgu, Azman  tu dah mati cikgu” balas pakcik tu dengan nada agak kurang senang dengan soalan cikgu tersebut.

“Dah meninggal?” terkejut cikgu itu dengan jawapan Pakcik, bapa bekas pelajarnya itu.
“Takkan cikgu tak tau?” balas Pakcik itu.

“ishh pakcik ni. Kalau saya tau takkan saya tanya pakcik ...” Agak terkilan cikgu tersebut dengan jawapan bapa bekas pelajarnya itu.

Rupanya bekas pelajarnya itu sudah meninggal. Terlibat dengan kemalangan. Pelajar itu pernah belajar di sekolah ini tapi dah berpindah sebaik tamat SPM.  Pelajar tersebut berjaya sambung belajar ke tingkatan 6 di sebuah sekolah, di daerah lain dan  terlibat dengan kemalangan semasa berulang alik ke sekolah tersebut.

Aku yang mendengar cerita cikgu perempuan tersebut sekadar menggelengkan kepala. Tak berapa faham dengan sikap dan situasi pakcik tu. Nak ketawapun ada juga.


Itulah kita. Terlalu cepat berprasangka dan berharap apa yang kita alami turut difahami oleh orang lain. Di situlah silapnya. Kita ni manusia  sebenarnya ada kehidupan tersendiri. Ada kisah dan masalah kehidupan masing-masing. Jadi, usah terlalu berharap orang lain akan turut serta dengan ‘kisah hidup’ kita. Apa yang penting, kita mesti bersikap tenang, usah cepat beremosi tanpa memahami situasi sebenar apabila berhadapan dengan sesuatu perkara.  Kita mesti sedar, apa yang kita alami tidak semestinya orang lain akan tahu, ambil tahu dan ingin tahu. Jadi apabila kita berhadapan dengan seseorang, berbicaralah dengan baik, berprasangkalah yang baik-baik moga situasi yang kita alami juga  akan menjadi baik. Kita tidak mahu, kerana kata-kata kita dan tanpa bersebab bisa buatkan orang lain turut terasa dan terguris hatinya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search