Followers

10 April 2017

Aku intai pelajar, “apa agaknya pelajar ini sedang buat?"


Pagi – Masa relief, aku berjalan perlahan menghampiri kelas 1A3. Tiba-tiba terasa pula nak tau apa yang pelajar kelas pertengahan ini biasa buat semasa ketiadaan guru. 

Sebaik tiba di kelas ini, aku intainya melalui jendela kelas. “Apa agaknya pelajar ini sedang buat?”

Wah! Tak sangka. Aku perhatikan sebahagian besar pelajar kelas tersebut sedang buat kerja. Ada yang sedang menulis, menyiapkan tugasan – buat nota dan latihan agaknya. Ada yang tekun membaca. Ada juga yang melukis.

Aku masuk ke dalam kelas. Semua pelajar terus berdiri. Beri salam.

Sebaik saja membalas salam, aku terus menghampiri pelajar yang berada di barisan depan. Aku tengok mereka terus  sembunyikan buku yang sedang mereka baca tadi. Terasa nak tau pula aku, mengapa mereka cuba sembunyikan buku tersebut.

Aku perhatikan, bukan pelajar di barisan depan saja, ada 5 dan 6 orang lagi pelajar di barisan belakang turut sembunyikan buku.

“Mengapa sembunyikan buku daripada cikgu?. Tunjukkan buku tuu, cikgu nak tengok. Buku apa yang kamu tengah baca?”

Aku lihat semua pelajar memerhatikan aku dan kemudian saling memandang antara satu sama lain.

“Tunjukkan buku yang kamu masukkan dalam laci tadi. Cikgu tengok macam menarik je buku yang kamu baca”

Dalam keadaan teragak-agak, seorang pelajar perempuan di barisan hadapan kelas, mengeluarkan buku dari dalam laci meja, diberikan kepada aku. Rupanya novel.

Aku terus tatapi judul novel tersebut. Perhati dengan penuh minat sambil baca sinopsis di bahagian belakang novel.

“Wah!! Menarik novel yang kamu baca ni. Bila cikgu baca sinopsis, cikgu boleh agak novel ni bagus. Sedap jalan cerita dia …”

Pelajar di kelas itu masih lagi diam.

 “Kelas!! Dengar sini ... cikgu bangga dengan kawan kamu ni. Dia baca novel. Tebal pula ni. Cikgu tak sangka, rupanya pelajar kelas ni rajin membaca.”

“Bagus!! Kalau ginilah kamu amalkan masa relief, Walaupun cikgu tak ada, tapi kamu tak buang masa. Kamu buat kerja, kamu siapkan latihan, siapkan nota. Kamu baca buku. Baca novel .. cikgu percaya kamu akan jadi pelajar yang hebat suatu hari nanti”

“Cikgu teringat, masa cikgu sebaya dengan kamu. Masa cikgu di sekolah menengah dulupun, cikgu juga suka baca novel. Baca novel ni bagus. Ia boleh memperkayakan kita. Kita akan kaya dengan kosa kata. Kita akan mudah untuk buat ayat. Mudah untuk buat karangan.  Kita juga akan mudah untuk berbahasa … “

Sebaik saja aku bercakap, memuji pelajar yang membaca novel tersebut. Aku perhatikan, pelajar yang sembunyikan buku tadi semuanya keluarkan balik buku yang disembunyikan dari aku tadi. Bila aku dekati mereka dan memegang buku tersebut …  kebanyakannya adalah novel cinta. Antaranya novel Tika Cinta Berpaling, Percaya Ada Cinta, Siapa Di Hatimu, Antara Dendam Dengan Perjuangan …







Aku sekadar tersenyum …


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search