Followers

30 March 2010

Awek Ganas ...

Kelmarin, Metro menyiarkan kisah Awek Ganas!! Aku sekadar menggelengkan kepala membaca kisahnya. Dalam hati, hebat betullah perempuan sekarang ini. Tapi salah siapa?

Antara petikan akhbar Metro:

“Hanya kerana dinasihati agar menjadi wanita baik, seorang gadis tiba-tiba mengamuk dengan memukul dan memaki-hamun kekasihnya di depan khalayak. Kekasih (Lelaki) itu turut dicakar mukanya, selain dihentak dengan topi keledar di kepala serta diketuk menggunakan laptop”


Bila laptop itu rosak, lelaki itu diminta pula untuk bayar gantirugi.
Akhirnya lelaki itu buat laporan polis!

>>>>>>>>

Petang semalam, dalam perjalanan ke Kota Bharu, selama 2 jam (6.00 ptg – 8.00 mlm) aku mendengar coleteh DJ Radio THR Gegar dengan pendengar. Isu bualan ialah ‘Lelaki pukul wanita… Wanita pukul lelaki’.

Antara bualan kat radio THR GEGAR:

Pemanggil 1 (wanita): “Saya ada jiran. Suami dia tu umur 50+ kahwin dengan orang pompuan umur 20+. Kasihan suami dia. Bila bergaduh, suami dia diam saja. Maklumlah mungkin dia sayang sangat kat isteri…”

Pemanggil 2 (wanita): “Ada tu suami isteri bergaduh. Saya tengok sendiri. Isteri dia baling pinggan mangkuk kat suami dia. Bila jiran-jiran pergi jengok. Terus isteri dia diam.”

Pemanggil 3 (lelaki): “Ada saya tengok seorang lelaki bergaduh dengan kekasih dia kat tepi jalan. Saya cuba nak tolong leraikan. Sebaliknya saya sendiri kena herdik dimarahi lelaki itu. Saya dah serik. Tak nak tolong lagi… Tapi bila perempuan itu bawa kereta dan tinggalkan lelaki itu di tepi jalan.. lelaki itu minta saya tolong tumpangkan dia pula.. ”

Pemanggil 4 (wanita): “Orang perempuan kena simpan kuku panjang. Senang nak cakar muka pasangan...”

Antara faktor orang perempuan ‘mengganas’ menurut pandangan pendengar radio tersebut.

1. Orang perempuan tertekan…
2. Suami dia terlalu sayang sangat kat isteri. Terlalu memanjai isteri. Itulah jadinya.
3. Orang perempuan kan suka simpan kuku panjang. So bila lagi nak guna...
4. Bila suami pergi kerja, orang perempuan suka tengok wrestling / gusti kat rumah.
5. Suami tak ada ilmu pertahanan diri. Isteri dia pula ada belt hitam.
6. Mungkin suami dia terlalu kecik … isteri dia besar... haha!!

Pengajarannya, jangan bagi orang perempuan simpan kuku panjang. Takut salah guna. Kalau guna untuk cakar rimau kucing okey gak.. tapi kalau guna untuk cakar muka cucuk mata .. aduhai ..

Kalau setakat baling dengan pinggan mangkuk plastik okeylah lagi. Tapi kalau kena baling dengan pinggan mangkuk kaca, kuali besi, periuk nasi elektrik… alamak ..

Lagi bahaya kalau kena baling dengan durian… adoiii ..

p/s – Tetap yakin masih ramai perempuan di luar sana yang berjiwa penyayang, lembut, gediks sikit-sikit dan bernaluri keibuan …

26 March 2010

Anda rasa anda seorang yang HOT?

Jam 12.12 mlm tadi sempat melayari blog kawan-kawan alam maya. Dalam menjawab komen kawan-kawan, tergerak pula hati untuk ke rumah miss wawa (antara kenalan lama sejak berblog ..).

Aku baca entri terbaru kat blognya. ooooooooo padanlah. Rupa-rupanya kena tag. ishh wawa ini.  (wawa ini masih tak serik. Dia tau.. cikgu dia ini sibuk manjang tapi tetap nak juga tag saya.. hehe.).

Betullah kata pakar psikologi, jika hati terdetik pada seseorang -  itu tanda ada sesuatu yang sedang dikirimkan.

Apapun terima kasih wawa. Saya menghargainya …

Untuk tidak mengecewakan pelajar saya yang nakal dan suka buat simbol peace V  ini, saya jawab juga..

1. Adakah anda rasa anda HOT?
hot? hehe. Cool tu adale..  jom peace V  ngan saya


2. Upload wallpaper pc/laptop yang anda guna sekarang? 


3. Cerita pasal gambar ini?
Suka tengok budak-budak kampung  - lompat-lompat dengan pelbagai aksi… terimbau kembali zaman kanak-kanak. Rasa seronok..  senyum sorang-sorang ..

4. Kali terakhir makan pizza?
ermm.. bulan lepas. Sambil berehat tenangkan diri dari kesibukan kerja.

5. Lagu terakhir anda dengar?
Lagu Wali band – cari jodoh (klip video sebenarnya). Ketawa je saya tengok klipnya.

6. Apa anda buat selain menyelesaikan tag ini?
Minum air barli sambil makan mangga …

7. Selain nama sendiri, anda dipanggil nama apa?
Abang .. (huhuuuu manjanya..)

8. Tag lagi 5 orang..
Adoiii.. bab ini yang susah. Rasanya ramai teman blogger dah tau.. cikgu ni memang susah nak tag orang. Tapi takperlah. Saya senaraikan juga. Nak 5 orang saja? Susah tu.. kalau 50 orang okeylah. Apapun 5 orang yang saya nak ‘kenakan’ ialah Linda, Hana, DUN BehrangAnn & Lady B.

9. Siapakah orang no. 1 pada anda?
Seorang teman yang agak penyayang. Penuh kisah dan petua kebahagiaan. Manis juga.. sesuai dengan blognya ‘semuanya manissss’.

10. Katakan sesuatu kepada orang no. 5
ermm.. “b, nak kata apa ni? Tolong bagi idea…”  b ini asalnya dekat kampung saya tapi dah berhijrah ke Selangor. Orangnya suka dengan kanak-kanak.  Hari-hari dengan kanak-kanak. Cekal. Kuat semangat. Suka melancong. Tauke syarikat katakan.  (p/s - b kena belanja saya ni...)

11. No. 3 ada hubungan dengan siapa?
Kawan blogger. Orangnya agak macho.. gentleman..  (mula-mula saya baca blognya saya ingatkan dia ini ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Behrang. haha!!)

12. Bagaimana pula dengan no. 2?
Kawan juga. Hana ini suka menulis. Suka bersajak.. Ideanya kritis ..  mempunyai banyak blog. Rajin amat. 

13. Kata-kata cinta untuk orang no. 4
Alamak! apa ni..  tentu gelak je ann bila dia baca ini. 

14. Berikan 5 yang anda tau tentang orang yang tag anda.
- Masih single trang tang tang.. (cepat!! kepada pemuda gagah perkasa pergi tackle dia.. orangnya lawa..)
- Suka buat pertemuan kalangan blogger. Makan-makan… chaiyok chaiyok ..
- Rajin orangnya.. entri kat blognya sentiasa yang baru. Sampai sayapun tak sempat nak baca. hehe
- Minat snap gambar. Blognya penuh warna-warni dengan gambar terbaru.. ceria gitu ..
- Suka senyum. Awas! … haha!!


21 March 2010

Lebih banyak ranjau duri dari bunganya ...


Impian sememangnya sungguh indah! Teramat indah dan sukar untuk dibaitkan dengan kata-kata akan gambaran keindahannya.

Semua orang mempunyai impian. Namun untuk mencapai sesuatu impian bukanlah  perkara mudah. Banyak ujian yang perlu dilalui.  Lebih banyak ranjau durinya dari bunganya. Aku pernah teringat kata-kata, “.. untuk menemui taman bunga yang indah perlu terlebih dahulu melalui jalan yang jauh, penuh duri dan batu-batu kelikir yang tajam...”

Usaha yang berterusan. Keazaman yang kuat. Fokus yang bermatlamat. Kaedah yang betul… Tak pernah kenal erti putus asa. Kadang-kala kesakitan sementara yang teramat juga terpaksa ditempuhi. Kepenatan dan keletihan apatah lagi…

Semuanya jika dilalui dengan kesabaran pasti akan dapat memberikan hasil yang diimpikan. Tengoklah clip video di bawah ini… (catatan: sekadar untuk tontonan dan motivasi  kepada orang lelaki sahaja. Orang perempuan jangan tengok okey. Jangan tengok!!! .. ishhh tengok juga dia.)




p/s – Jom kita pergi gymnasium.. hehe

14 March 2010

Aku disoal-siasat tanpa belas kasihan di UKM



Malam. Lokasi - Asrama  Kolej Tun Hussien Onn, UKM.

Aku menaiki tangga dekat satu asrama kolej. Kolej Z (kini dipanggil Kolej Tun Hussien Onn - kolej pelajar PALAPES). Blok C - Semasa sampai dekat bilik bacaan kolej, aku tengok ada beberapa orang Student sedang berkumpul. Macam ada sesuatu aktiviti sedang berjalan. Melihatkan ada tali bernama kat leher beberapa orang pelajar, aku agak minggu orientasi sedang berjalan. Mungkin itu AJK Orientasi.

Sebaik saja sampai dekat diorang, aku ditegur oleh seorang student perempuan. Serius nampak cara tegurannya. Soalannya bertalu-talu, tak sempat untuk aku menjawabnya.

“Encik.. Tunggu sebentar!. Encik dari mana? Encik datang sini ni ada apa encik?”
“Encik ini nak jumpa siapa?”
“Encik nak jumpa adik encikke atau … ?”
“Encik ini belajar kat sinike?
“Encik ini masih belajar lagike…atau sedang buat Master?”

“Saya dah habis Master. Saya datang sini sebenarnya nak sambung PhD. Tadi ada jumpa kawan. Pensyarah kat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Dr. Zubir namanya…”
“Saya datang kolej ini sebenarnya saja nak tengok suasana. Saya pernah tinggal kat sini masa belajar dulu.. Bukan apa… rasa rindu nak tengok kolej ini..”

“oooo okeylah. Maaf encik.. sekarang ini minggu orientasi. Tu sebab saya kena jaga. Risau orang luar masuk malam-malam ni..”

“okey. Baguslah tu. Jaga keselamatan pelajar …”

Bualan kami terhenti. Aku terus beredar. Menuruni tangga menuju ke kafeteria kolej. Semasa menuruni tangga, .. ada seseorang di belakang aku.

“eeeeeee awak lagi. Awak ekori sayake?”

“Tak adalah encik. Saya nak pergi cafĂ©… nak minum...”

“ooooo. Saya ingatkan awak ikut saya…”

“hehe.. ”

Aku tengok student itu senyum je pada aku..

Aku terkejut. Bunyi sesuatu. Macam bunyi hujan…
Laaaa aku mimpi rupanya. adehh .. tengok jam pukul 5.30 pm. Baru aku sedar, rupanya selepas solat zohor tadi, aku tertidur sebaik saja baca satu blog tentang UKM.

12 March 2010

Pakcik tukang kebun beri petua hadapi ular



Kelmarin, aku menghampiri Pakcik tukang kebun…

Rashid: Pakcik, sejak Pakcik kerja kat sekolah ini dah berapa kali terserempak dengan ular?

Pakcik: Banyak kali dah cikgu…

Rashid: Kat mana Pakcik jumpa?

Pakcik: Ada kat dalam setor. Rumah guru yang tak diguna.yang jadi setor. Sana ular itu lagi besar. Tedung Selar. Dalam makmalpun ular pernah masuk.. tuu dekat parking keretapun Pakcik pernah jumpa ular. Satu lagi dekat belakang setor sukan…

Rashid: Pakcik buat camana? Pakcik tangkap ke?

Pakcik: Tak. Pakcik ambil buluh. Pakcik halau keluar dengan buluh.. kemudian pakcik ‘katak’ ular itu.. Kita kena ‘katak’ dia sampai ‘mapuh’.

Rashid: Pakcik.. ular ini bahaya. Pakcik tak takut ke kena patuk?

Pakcik: Ular ini suka patuk bahagian nadi. Sama ada nadi tangan atau nadi kat belakang tumit kaki. Bahagian sanalah biasanya ular suka.  Ular ini pandai. Dia patut bahagian yang boleh bawa maut.. Satu lagi ular suka ialah bahagian pusat… kalau kena patuk kat situ… habislah...

Rashid: Ada petua ke pakcik bila berdepan dengan ular ini?

Pakcik: Itulah kita kena simpan batang buluh. Pastikan ada simpan satu kat rumah. Ular ini biasanya akan lemah bila terkena batang buluh… Kalau guna kayu biasa, batang penyapu ke… ular boleh meniti...  bergerak lagi atas batang kayu ...  itu bahaya.

>>>>>>>> 

Tiba-tiba aku teringat. Bulan puasa tahun lepas ada seekor ular sendok. Hitam pekat warnanya. Agak besar. Masuk dalam rumah aku. Masa itu jam 1.00 pagi. Nasib baik semasa aku turun dari tingkat atas… ternampak .. ular itu menyusup belakang almari tv.

Aku rasa sepi pula seorang diri untuk ‘berdepan’ dengan ular itu. Lantas aku ‘call’ kawan sekerja yang jarak rumahnya - 5 buah rumah dari rumah aku. Nasib baik kawan aku tak ‘off’ telefonnya. Beberapa minit dia terus sampai kat rumah …

Apa lagi, terus dimintanya ubat sembur nyamuk (lipas?) ‘baygon’..  Disemburnya di balik almari. Dibiarkan beberapa saat. Kemudian dengan menggunakan batang kayu dikuis-kuis.. diheret keluar ular itu dari rumah aku..  kemudian dushh dushh..  tamatlah riwayat..

Rupa-rupanya ubat sembur nyamuk, ‘baygon’ telah buatkan ular itu tak aktif. Jadi pasif. Pergerakannya agak perlahan ….  senang untuk dikuis keluar.

p/s – ermm.. nampaknya batang buluh dan ubat sembur ‘baygon’ perlu ada dalam rumah. Standby di kala kecemasan.


09 March 2010

Aku terdengar suara pelajar perempuan menjerit ...


Semasa aku lalu satu kelas… tiba-tiba … ( ishh.. macam mengarang cerita hantu semasa  belajar kat Sekolah Menengah Rendah dahulu pula rasanya).

Tiba-tiba … aku terdengar suara pelajar perempuan menjerit. Menjerit memanggil aku.
.
“Cikgu.. cikguuuuuuuuu ular.. ular cikgu..”

“Ular? uiss biar betul”

Aku melangkah dengan tenang. Penuh bergaya. Masuk ke dalam kelas. Mencari ular yang dimaksudkan. Macam-macam terlintas dalam fikiran - ular Sawa? ular Tedung Selar? Ular sendok? ular Orok-Orok? ular Kapak? ular Lidi? ular Daun? Anaconda?

“Mana ular?”

“Ada dalam meja Saiful cikgu…”

“Dalam meja? Okey kamu semua keluar kelas. Jangan ada seorangpun dalam kelas. Biarkan ular kat sana.…” .

“Tengok! ularpun masuk kelas. Nak study juga dia. Ini kamu ... masih ada yang nak ponteng kelas … pot pet pot pet … pot pet pot pet …” (Sempat lagi mengambil peluang. Ambil ruang dalam kesempitan dan kekalutan. Biasalah cikgukan. hehe.)

Habis saja pot pet pot pet, terus aku minta seorang pelajar panggil Pakcik tukang kebun. Bukan aku takut ular. Cuma tak mau Pakcik itu rasa terkilan.. sebab pakcik itu sangat berminat bab bab ular ini. ahakss!! )







Tabik pada Pakcik yang gagah berani ..



Pelajar masih fobia walaupun aku dah beri lampu 'hijau' - kelas selamat untuk didiami kembali...

p/s - Aku rasa Pakcik ini ada ilmu je. Esok aku nak jumpa Pakcik ini.. nak tanya 'ilmu ularnya'. Nak cungkil rahsianya. 

06 March 2010

Menatap matamu ...


Wah!! cerianya lagu ini.




Lagu ini aku telah download dari you tube. Sejak 2 hari kebelakangan ini, lagu ini selalu aku buka, tengok clip video dan dengarinya. Sebaik saja bangun dari tidur dan semasa berpakaian hendak ke tempat kerja. Malah semasa membaca blog teman-teman dan juga semasa ber ‘ym’ dengan teman blogger. (aku rasa ini juga selalu dilakukan oleh teman-teman blogger lain. Blogging sambil dengar lagu)

Mengapakah aku suka dengar lagu ini? Sebenarnya akupun tak tau... hehe.

Bila dengar lagu ini, tengok gaya lucu aril, hati turut ceria sama. Senyum seorang diri. Seakan-akan ada sesuatu ‘auranya’. Walaupun ia tidak ada apa-apapun kaitannya dengan aku. (Tolong percaya okey... )

Itulah penangan sebuah lagu. Ia dapat membangkitkan dan menyegarkan emosi. Ia berjaya buatkan diri bertambah ceria dan bersemangat. Rasa nak berlari laju. Nak terbang...  (cikgu jiwang ek? oooo sorry..  seorang berpangkat Kapten tak boleh jiwang!! hehe..)

Sebenarnya saja nak berkongsi dengan teman-teman blogger. Hari inikan hari Sabtu. Hari Cuti. Hari untuk berehat. Jadi kita semua kena santai-santai sambil gedik-gedik. Rehat minda. Rehat segalanya dari kemelut dunia.

Pesanan penaja blog:

Selalulah dengari lagu yang dapat bangkitkan semangat dalam diri kita okey. Tak kisahlah apapun jenis lagu itu sama ada lagu Melayu, Inggeris, Cina, Tamil atau Korea. Tak kisah juga siapa penyanyinya, bahasanya (janji sopan) atau rentaknya. Apa yang penting, bila kita dengar lagu itu, kita akan rasa bertambah bersemangat. Segar emosi. Terasa gagah diri.

p/s -  Sekurang-kurangnya bila dengar lagu, kita telah berbuat baik pada diri, hati dan emosi kita. Diri, hati dan emosi yang penat bekerja sehari-harian.

04 March 2010

Sinar matahari ubat jerawat ...


Matahari, bulan dan bintang adalah anugerah dariNya. Subhanallah..  Alhamdulillah ..

Matahari dan jerawat. Ada kaitankah?


Masalah Jerawat merupakan perkara yang biasa berlaku pada remaja yang akhir baligh. Perubahan hormon katakan. Aku masih ingat lagi, zaman sekolah menengah - orang tua-tua selalu kata, bila jerawat tumbuh pada muka, itu tanda seseorang itu sedang dilamun cinta. hehe..  Benarkah semua itu? Tapi masalahnya, masalah jerawat juga sering dialami oleh orang dewasa baik lelaki mahupun perempuan. Bagi orang perempuan, jerawat adalah satu mimpi yang sangat mengerikan, kalahkan cerita ngeri bersiri tv. ‘JANGAN PANDANG BELAKANG’.  

Bagi orang lelaki, jerawat itu tanda macho…

Sebenarnya, aku bukan nak perkatakan tentang punca jerawat,  perubahan hormon atau nak promosikan ubat jerawat. Dah banyak rasanya iklan sapu dan telan yang tertera kat majalah. Nak atau tak nak je. Serasi atau tidak je. Duit ada atau tak ada je. Apa yang aku nak perkatakan di sini ialah berkenaan matahari dan jerawat! Kajian mengenainya.

Kelmarin semasa di library, aku terbaca satu kajian yang disiarkan dalam majalah Kosmik. Kajian tersebut mengatakan bahawa cara terbaik untuk mengurangi jerawat adalah dengan mendedahkannya kepada matahari! Yup! ulangsuara – Matahari bukan matahati.  ahakss!!

Ini kerana sinar matahari di pagi hari mempunyai ultraungu yang bersifat anti bakteria. Sinar ultraungunya mempunyai antiseptic jika digunakan secara terkawal dan bijak. Kajian mengatakan bahawa ultraungunya bisa menjana vitamin D bagi mengawal aras kalsium dan fosfat dalam darah. Di samping ubat jerawat, sinarnya juga perlu untuk  mengelakkan osteoporosis (tulang rapuh – 80% biasanya dialami oleh orang perempuan).

Menurut pakar penyelidikan kulit, sinar ultraungu matahari akan mengaktifkan kimia forfirin yang wujud dalam jerawat. Folfirin kemudiannya membantu membunuh bakteria yang mengaktifkan jerawat mengeluarkankan singlet oxygen.

Kajian tersebut mendapat terapi selama 3 hari dapat membantu mengurangkan bakteria di dalam liang kulit sebanyak 99.9%. Malah selepas 3 bulan, 76% hingga 80% pesakit mengatakan bahawa berlakunya penyusutan jerawat yang ketara.

p/s – Lama rasa tak berjemur kat tepian pantai dan dapatkan ultraungu di pagi hari.

01 March 2010

Perasaan bila diserang harimau …

“Saya sedang berkebun dan melihat sebatang pokok pisang. Oleh kerana pokok pisang itu sudah tua, tidak lagi berbuah malah menjadikan kebun saya semakin semak, lantas saya mencantas, mencincang dan menebangnya! Tapi sedang saya tekun mencincangnya, saya terdengar suara jeritan, saya rasa seolah-olah terbangun dari mimpi yang panjang. Saya terkejut dan bingung… rupanya yang saya cincang adalah tubuh ibu. Ia bukan mimpi. Sebaliknya suatu kenyataan... ”


Kebelakangan ini, seringkali kita mendengar berita dan kisah, membaca petikan pelbagai sumber. Kisah tentang segelintir manusia yang semakin gila. Hilang kewarasan akal. Bertindak mengikut nafsu amarah. Tidak lagi bersulamkan iman.

Kejadian membunuh, merogol, membakar, mencabul, menusuk senjata secara bertubi-tubi, mencincang, mengerat anggota badan, memijak, memukul, menyepak dan membuang anak (juga membuang ibubapa?)… segalanya dilakukan tanpa ada rasa bersalah. Kosong. Tidak lagi mengenal rasa belas kasihan. Tidak kenal usia mangsa dan ikatan perhubungan darah keluarga.

Aku resah. Marah sebenarnya setiap kali menatap dan membaca kisah sebegini. Kadang-kala terluah juga kata-kata beremosi dalam diri tehadap si pelaku. Namun akhirnya hanya doa …

Mengapakah kes dan kejadian sebegini semakin banyak tersiar? Adakah ini satu gambaran bahawa masyarakat kita kini mulai sakit dan tahapnya semakin parah? Walaupun segala tindakan dan hukuman telah diambil namun nampaknya ia seakan tidak lagi dalam kawalan masyarakat?

Aku tertarik dan bimbang sebenarnya bila membaca kata-kata Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, Presiden Persekutuan Asean bagi Kesihatan Psikiatri dan Mental. Beliau mengaitkan pelaku kejadian ini dengan pesakit psikosis.

“Pesakit psikosis boleh menyebabkan berlakunya perubahan perilaku termasuk meracau, delusi, halusinasi dan tidak dapat melihat sesuatu dalam bentuk realiti. Keadaan ini menjadikan pesakit tidak mampu mengawal perasaan. Ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja.”

“Cuba bayangkan perasaan bila kita sedang diserang harimau, tetapi dalam mimpi? Tentu sekali dalam keadaan itu, kita akan melawan harimau itu. Kita melawannya setenaga mungkin dan segala peralatan yang ada akan kita gunakan untuk melindungi dan menyelamatkan diri!”

Inilah bahayanya pesakit psikosis …

Nota: Sempat mencari makna istilah yang mudah difahami. Menurut Singgih D. Gunarsa (1978: 140), psikosis ialah gangguan jiwa yang meliputi keseluruhan keperibadian, sehingga penderita tidak mampu menyesuaikan diri dalam norma-norma hidup yang wajar dan berlaku umum. Ia suatu gangguan jiwa dengan kehilangan rasa kenyataan (sense of reality). Delusi adalah suatu perasaan kepercayaan atau keyakinan yang keliru. Halusinasi pula adalah fenomena gangguan penglihatan di mana seseorang itu merasa melihat suatu  objek, namun deria penglihatan orang lain tidak dapat menangkap objek yang sama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search