Followers

Showing posts with label Renung dan Fikirkanlah. Show all posts
Showing posts with label Renung dan Fikirkanlah. Show all posts

27 January 2014

suami, cinta dan pistol




“Bukan semua gurauan sesuai dan penerimaan individu terhadap gurauan juga berbeza” kata seorang wanita, Aziah, 42 tahun mengenai kejadian tembakan yang dilepaskan suaminya di sebuah pasar raya kelmarin.

“Saya tak sangka gurauan untuk bercerai menyebabkan suami bertindak di luar dugaan. Saya sebenarnya hanya bergurau dan tidak terfikir dia akan bertindak begitu melepaskan tembakan! Apa yang dilakukannya itu di luar kewarasan disebabkan terlalu marah dan bukan untuk mencederakan sesiapa kerana dia suami yang baik.”

Menurutnya, sebelum kejadian, suaminya ada menghantar sms kepadanya bertanyakan keadaannya yang membuka pusat kecantikan. Sebaliknya Aziah membalas sms suaminya dengan menyatakan mahu meminta cerai dengan niat bergurau semata-mata dan tidak bermaksud meminta cerai.

Sebaliknya, suaminya begitu terkejut dan marah kerana menyangka dia mahu bercerai. Suaminya yang ketika itu berada di Perak terus memandu pulang untuk bertemu dengannya. Suami terus mencarinya tetapi ketika itu dia keluar makan di restoran berhampiran. 

“Ketiadaan saya ketika itu, menyebabkan suami menyangka saya keluar bersama orang lain. Entah bagaimana suami tiba-tiba marah .. lantas melepaskan tembakan. Nasib baik tembakan itu  di luar kedai  dan tidak mengena sesiapa …”

Nah!! Cuba lihat dan cuba gambarkan situasi tersebut  di atas ..

Pertama, aku tak tau, macamana seorang isteri boleh terfikir dan bertindak bergurau sedemikian rupa! 

Kedua, aku melihat, betapa sayangnya si suami terhadap isterinya sampaikan bertindak di luar kewarasan akalnya. Nak cari di mana lagi suami seperti itu sekarang ini? Terkejut bukan main lagi apabila terima sms isteri minta cerai!! Rasanya mana-mana suami yang normal pasti akan bertindak sebegitu, cuma tak lah sampai nak lepaskan tembakan! (mungkin kerana tak semua orang ada pistol). 

Pengajarannya, janganlah ambil mudah dengan gurauan. Gurauan ada batas dan hadnya. Perlu tengok situasi dan orangnya juga. Ini kerana manusia tak semuanya boleh menerima dan berfikiran terbuka terhadap sesuatu perkara. Gurauan kalau tak kena gayanya mungkin boleh menyebabkan kerenggangan hubungan, mungkin juga boleh membawa kepada terputusnya hubungan dan ikatan perkahwinan … 

Kepada yang bergelar isteri tuu … renung-renungilah kes ini .. 

p/s  Jam 4.00 petang tadi, duk tengah mesyuarat. Masa agenda ‘hal-hal lain’, dengan nada gurauan, seorang cikgu lelaki mencelah .. “kepada cikgu-cikgu perempuan, sekarang ni payah nak cari orang lelaki, nak cari suami yang setia, So ..  jagalah baik-baik suami kat umah tuuuuu ..” (gelak semua cikgu lelaki. Cikgu pompuan senyum-senyum je)


24 January 2013

Terasa syahdu dan sebak untuk didengari



Terasa syahdu dan sebak untuk didengari, untuk direnungi kembali kisah junjungan besar kita, Rasullulah s.a.w usai baginda menyampaikan khutbah terakhirnya pada 9 hb Zulhijjah, tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah. Di kala itu, baginda sedang sakit. Namun kesakitan itu hilang kerana cintanya kepada  kita semua. Cintanya kepada umat manusia. Digagahinya diri untuk menyampaikan wasiat terakhirnya kepada kita semua.

Jika kita renungi. Jika kita punya hati yang  tidak mati, pasti kita akan terasa sesuatu. Kita semua sedari, Allah s.w.t telah menjanjikan syurga buat baginda, maka rasanya tidak perlu untuk baginda Rasullulah s.a.w menyusahkan dirinya yang sedang sakit ketika itu untuk bangun dari perbaringannya. Bangun semata-mata untuk kita semua. 

Namun, itulah diri baginda rasulullah s.a.w. 

“Ummati .. ummati”

Itu kata dari rasa kasih dan sayangnya. Itu kata dan tanda betapa tingginya rasa cinta yang ada pada baginda kepada kita semua. Baginda tidak mahu meninggalkan kita semua begitu saja. Tidak mahu membiarkan kita semua sebagai umatnya dalam keadaan kebingungan selepas pemergiannya. 

Maka diserahkan kepada kita panduan yang jelas. Pedoman yang terang untuk kita semua ikuti dan mengamalnya.

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan  SUNNAHKU.”

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.  





Moga kita umatnya masih lagi dilandasannya … 


08 January 2013

Kisah si ibu, anak dan ranting pohon


Sebelum tidur, sempat klik-klik, buka folder yang lama tersimpan kat dalam laptop. Terbaca satu kisah.

Kisah  dari Jepun kuno.

Konon pada zaman dahulu, di Jepun ada semacam kebiasaan untuk membuang orang yang telah lanjut usia ke dalam hutan. Mereka yang sudah lemah tak berdaya akan di bawa ke tengah hutan dan selanjutnya tidak diketahui lagi akan nasibnya.

Alkisah ada seorang anak yang membawa ibunya yang sudah tua ke dalam hutan untuk dibuang. Ibu ini sudah sangat tua, dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Si anak laki-laki ini menggendong ibu ini sampai ke tengah hutan. Sepanjang perjalanan, si ibu telah mematahkan ranting-ranting kecil tanpa disedari oleh anaknya. Setelah sampai di tengah-tengah hutan, si anak menurunkan ibunya ini.

"Ibu, kita sudah sampai .." kata si anak. Ada perasaan sedih di hati si anak. Entah kenapa dia begitu tega untuk meninggalkan ibunya yang sudah tua itu.

Si ibu, dengan renungan penuh kasih berkata pada anaknya:

"Nak, Ibu sangat mengasihi dan menyayangimu. Sejak kamu kecil, ibu memberikan sepenuhnya kasih sayang ibu dengan hati yang tulus ikhlas. Dan sampai saat dan detik ini pun kasih sayang ibu terhadap kamu tidak pernah berkurang walau sedikitpun.”

”Nak, ibu tidak ingin kamu sesat semasa pulang nanti dan mendapat celaka di tengah jalan. Makanya ibu tadi mematahkan ranting-ranting pohon agar bisa kamu jadikan petunjuk jalan untuk pulang dengan selamatnya ke rumah".
Apabila mendengar kata-kata ibunya itu, hancur luluhlah hati si anak. Dia lantas memeluk ibunya erat-erat sambil menangis. Dia kemudian membawa kembali ibunya pulang dan merawatnya dengan baik sampai ibunya meninggal dunia.

Mungkin cerita di atas hanya dongeng. Tapi di zaman sekarang, tak sedikit kita jumpai kejadian yang mirip cerita di atas. Banyak ibu yang terabai dan diabaikan oleh si anak. Mungkin kerana kesibukan anak-anak dengan kerja masing-masing.  Mungkin juga kesibukan anak-anak dengan rumahtangga masing-masing (sibuk melayan isteri atau suami?). Makanya orang tua terpinggir dan hidup kesepian sehingga dijemput ajal.

Kiranya cerita di atas mampu membuka mata hati kita semua, untuk kita kembali mengasihi orang tua kita. Mengasihi dan menyayangi ibu dan ayah kita. Mereka perlukan perhatian yang lebih dari kita, di saat mereka menunggu waktu dipanggil Tuhan yang maha esa. Ingatlah jasa pengorbanan mereka, membesarkan kita dengan penuh kasih sayang hingga kita berjaya seperti sekarang ini.

Andainya mereka tiada lagi, percayalah .. tak akan ada pengantinya akan kasih sayang mereka walaupun dicari di seluruh pelusuk dunia.

p/s – aku menyimpan kisah ini, kerana setiap kali aku bacanya, pasti airmata akan menitis ..  sedih dengan ketegaan si anak dan betapa hebatnya  kasih sayang seorang ibu.


lihat betapa teganya si anak  ..



29 December 2012

Pendedahan - elak orang ramai terpedaya!



Tadi baca blog abg Mazidul Sidik … terbaca satu entri. Entri agar kita semua tidak terpedaya dan tertipu dengan panggilan telefon dari agensi-agensi tertentu.

Yup! akupun selalu juga terima panggilan sebegini. Tapi tak pernahpun aku layan.

Abg Mazidul minta untuk disebarkan entrinya ini agar orang ramai tidak tertipu!!

Berikut kisahnya:

Beberapa hari selepas menukilkan entri ini, saya dihubungi oleh wanita melalui private message Facebook  dan memperkenalkan dirinya sebagai 'Elis', 26 tahun.

Saya kemudian menemuinya pada jam 4 petang semalam di Kuala Lumpur.

"Saya mula bekerja di agensi telemarketing, sebagai kerani pentadbiran kira-kira dua tahun lalu dan kemudian berhenti kerana agensi terbabit tidak membayar gaji saya. Ruang pejabat di tingkat dua dibahagikan kepada banyak partition diduduki telemarketer bertugas menghubungi pemegang kad kredit dan kad debit menggunakan telefon. Jumlah mereka mencecah lebih empat puluh orang, majoriti berbangsa Melayu dan India, tiada Cina. Lebih menarik, kebanyakkan mereka graduan institusi pengajian tinggi atau individu biasa tetapi mempunyai kemahiran bercakap secara berkesan. Sepanjang tempoh latihan seminggu, pihak pengurusan agensi memberikan bakal telemarketer skrip sebagai rujukan untuk membuat panggilan dan kaedah menjawab soalan untuk dihafal. Antara pengisian utama modul, cara untuk menyakinkan pelanggan agar  akhirnya bersetuju mendedahkan tiga nombor kod di belakang kredit kad dan debit mereka atau lebih dikenali sebagai security code bank," kata anak kelahiran Johor itu saya temui di restoran mamak.

"Baik, ini kad kredit. Nombor manakah awak maksudkan?," soal saya.

Elis kemudian spontan mengangkat kad kredit saya letakkan di atas meja.

"Nombor di belakang kad ini, di sebelah kanan tandatangan pemilik. Nombor tiga digit ini amat penting kepada telemarketer," responnya.

Saya mendengar dengan teliti sambil merakamkan kenyataan Elis menggunakan perakam suara jenis Sony.

"Sewaktu membuat panggilan, kami mulakan dengan kenyataan standard. Assalamulaikum encik! Saya Elis daripada bank A dan bekerjasama dengan syarikat insuran B untuk menawarkan skim insuran kepada pemegang kad kredit. Memang semua telemarketer tidak menggunakan nama sebenar. Kemudian kami sambung ... nama encik, Mazidul Akmal Sidik, terlebih dahulu saya ingin membuat semakan nombor kad pengenalan encik, 670319 ..... Betul? Pemilik kad lazimnya berkata 'ya' kerana kami memang dibekalkan semua perincian peribadi bakal mangsa seperti alamat, alamat rumah, nama pewaris dan termasuk nombor kad kredit visa dan mastercard mereka," jelas Elis.

"Kemudian?," celah saya.

Ternyata wanita itu amat petah berkomunikasi.

"Kemudian kita cakap, baiklah encik, sekarang saya ingin mengesahkan nombor kad kredit visa encik. Katalah 6080-0978-0800, bolehkah encik tolong bacakan tiga nombor di belakang kad, bersebelahan tandatangan? Sebenarnya ramai tidak mengetahui itu security code bank. Kami sengaja bertanya walhal selalunya kami memang mempunyai maklumat itu tersenarai," katanya.

"Kalau sudah memiliki nombor kad kredit dan security code mengapakah awak harus bertanya kepada pemilik kad?," tanya saya keraguan.

"Itu memang syarat ditetapkan oleh agensi. Sebelum itu saya terangkan kepada dia, skim insuran ditawarkan mengenakan bayaran RM399 untuk setahun. Apapun, ayat terakhir setiap telemarketer lebih kurang sama sahaja, jadi encik bersetuju kami akan cajkan RM399 ke akaun kad kredit encik? Penolakan amaun itu akan bermula pada awal bulan hadapan dan kami kemudian akan menghantarkan sijil insuran kepada encik. Kami mesti menunggu sehingga dia berkata, saya bersetuju atau ok terlebih dahulu, sebelum nombor kad kredit dan security code digunakan untuk tujuan pembayaran. Biarpun pada awalnya kami memaklumkan dia penolakan bermula pada bulan hadapan, sebenarnya kami akan caj kad kredit dia, pada hari sama. Setiap telemarketer dimestikan membuat minimum dua sale sehari. Setiap pemilik kad bersetuju dengan transaksi terbabit, telemarketer meraih komisyen RM100 manakala syarikat mengaut keuntungan berbekalkan modal air liur, RM299," ujar Elis.

"Sebenarnya wujudkah hubungan di antara agensi, bank serta syarikat insuran itu? Sijil insuran itu datang dari mana pula?," tanya saya sekaligus.

"Tidak! Itu semua penipuan! Sijil dijanjikan kepada mangsa dicetak sendiri di pejabat. Bertujuan mengelakkan pemilik kad datang menyerang, kami sedaya-upaya cuba untuk tidak akan memberikan alamat lengkap kepada mereka. Manakala nombor telefon digunakan oleh telemarketer bukan nombor talian tetap tetapi nombor telefon bimbit seperti 019, 017, 014 atau private number," jelas Elis. 

Kata Elis, purata bil telefon bulanan mencecah RM10,000 namun itu hanya sekelumit berbanding jumlah keuntungan diperolehi oleh pengusaha agensi.
Tambah bekas pekerja agensi penipuan itu, majoriti mangsa mereka, pengguna baru kad kredit atau kad debit.

Elis bekerja di antara jam 10 pagi dan 6 petang setiap hari dan diberikan senarai ratusan data perbankan pemilik kad untuk dihubungi.

"Semua individu kami telefon itu tidak semestinya memberikan layanan baik. Kebanyakkannya kami  attack pengguna kad kredit baru kerana mereka tidak begitu arif mengenai transaksi kad kredit jauh sekali  kegiatan sindiket penipuan. Tambahan pula barangkali sebilangan bank gagal memperingatkan pelanggan agar tidak mendedahkan security code kad kredit atau debit melalui panggilan telefon. Beberapa individu kami hubungi, acapkali melontarkan soalan, kalau benar awak daripada bank, mengapakah perlu bertanya dan mendapatkan security code kad kredit saya? Kami akan balas dengan kenyataan, kami ingin membuat pengesahan, betulkah encik pemegang sah kad kredit itu? Itu trick digunakan," responnya.

Menurut Elis, pengusaha agensi penipuan sebegitu meraih keuntungan ribuan ringgit setiap sehari. Tidak hairan jika mereka hidup senang-lenang dan memandu kereta mewah. Agensi terbabit lazimnya hanya beroperasi kurang setahun di pejabat sama sebelum berpindah ke lokasi lain dan sekaligus menukar nombor telefon untuk menjalankan kegiatan sama.

Di bawah, gambar bekas pejabat Elis. 




Kini pejabat di tingkat satu dan dua terbabit telah ditinggalkan.

"Tingkat dua tempat telemarketer beroperasi manakala tingkat satu bekas pejabat kakitangan pentadbiran termasuk bos.  Tiada papan tanda syarikat dipaparkan dan selalunya semua tingkap ditutupi tirai. Pejabat tempat saya bekerja dahulu, pernah diserbu oleh kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Sewaktu kejadian itu telemarketer diarahkan keluar dari pejabat. Ada sekali, wakil syarikat insuran datang ke pejabat secara mengejut. Mungkin berikutan terdapat aduan mengatakan agensi kami menggunakan nama syarikat itu secara tidak sah untuk memperdayakan orang ramai," katanya.

"Semasa awak bekerja, berapakah jumlah sale sehari?," soal saya.

"Satu atau dua sale sahaja SEBULAN sebab saya bekerja sebagai kerani pengurusan dan cuma sesekali diarahkan bertugas sebagai telemarketer.  Pekerja lain? Mereka memang seronok. Contohnya, andai telemarketer mampu menipu purata enam orang pemegang kad kredit baru, pendapatan harian mereka mencecah RM600  Kalau telemarketer tidak membuat sale langsung, mereka akan dibuang kerja. Kaedah digunakan oleh agensi, mudah. Bayar sahaja gaji pokok telemarketer tidak perform separuh atau jangan membayar langsung. Maka pekerja itu tidak akan mampu bertahan dan dengan sendirinya terpaksa berhenti," kongsi wanita itu.

Gaji pokok telemarketer, di antara RM800 dan RM1,500 sebulan dan majoriti pekerja, wanita.

"Adakah selama waktu bekerja, awak tahu agensi terbabit menipu ramai orang?," tanya saya lagi tanpa jemu.

"Saya tahu, sebab itu saya tidak suka membuat sale. Saya juga pernah berbual bersama kawan, bekerja sebagai marketer. Dia sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Saya bertanya kepada dia, sampai bilakah awak hendak memberikan anak makan duit hasil penipuan?," balasnya.

Saya kemudian mengemukakan soalan berikut.

"Pernah terdengar rungutan di kalangan telemarketer? Mungkin mereka tertekan kerana terpaksa membuat terlalu banyak panggilan sehari?"

"Pernah! Namun kakitangan pihak pengurusan amat bijak memainkan peranan mereka. Untuk mengalihkan pandangan dan  tumpuan telemarketer, mereka mengajak kami makan dan berkata, hari ini awak semua  tidak perlu membuat panggilan, kita semua boleh berehat. Mereka juga membuat pekerja gembira  menggunakan elemen kejutan. Baiklah, minggu ini kita akan pergi melancong ke Melaka! Semua kos dibiayai sepenuhnya oleh agensi. Di samping itu, pakej insentif berkumpulan juga ditawarkan kepada telemarketer. Contohnya, jika sale mencecah sasaran, 60 sehari, pakej pelancongan lebih istimewa ditawarkan kepada mereka. Bagaimanapun melalui pengalaman saya, purata tempoh telemarketer bekerja di agensi itu hanya di antara lima dan enam bulan sahaja," kata Elis. 

"Adakah semua telemarketer menyedari mereka bekerja di agensi menipu orang ramai?," soal saya.

"Tidak semua. Saya lebih banyak tahu kerana bekerja sebagai kerani pengurusan tetapi itupun atas tujuan mencari rezeki, terpaksalah. Telemarketer tidak tahu langsung berhubung keuntungan ditangguk oleh agensi apatah lagi status nama bank dan syarikat insuran mereka gunakan untuk memperdaya pemegang kad kredit dan debit sewaktu menjalankan tugas. Pihak pengurusan terlebih dahulu memaklum dan menyakinkan telemarketer, operasi dijalankan itu kononnya sah dan dokumen peribadi pemilik kad dibekalkan oleh pihak bank," ujar Elis.

Tambah Elis, kebanyakkan telemarketer, pemegang diploma dan ijazah. Justeru mereka mampu berkomunikasi dalam dwi bahasa, bahasa Melayu dan Inggeris tatkala berkomunikasi dengan bakal mangsa.

"Kalau betul betul bekerja berbekalkan mulut manis, daya pujuk dan telinga tebal, mereka boleh meraih pendapatan bulanan di antara RM3,000 dan RM4,000. Andai kata bakal mangsa marah, telemarketer harus bersikap sabar kerana kakitangan pengurusan berkata, penjawab panggilan bukan berada di hadapan awak. Jadi, mengapakah awak harus berasa takut? Semua bertugas di pejabat agensi sama dilatih untuk menjawab pelbagai soalan dilontarkan oleh pemegang kad kredit dan debit, kekadang dihubungi berulang kali menggunakan teknik dicetak sebagai panduan. Adakalanya bakal mangsa bertindak bijak. Mereka memberikan alasan kononnya sedang bermesyuarat dan meminta untuk dihubungi kemudian dan selepas itu tidak akan melayan panggilan kami. Hanya mereka bersikap lalai sahaja terpedaya," kongsi Elis.

Jika kini tiba-tiba dihubungi telemarketer, apakah respon awak? Soalan itu saya lontarkan kepada wanita hanya meminum teh 'O' ais limau ketika saya temui.

"Saya pernah bekerja seperti kamu sebelum ini dan kamu tidak perlu menipu saya sebab kamu cuma ingin mendapatkan security code tiga digit itu, kan? Terima kasih," balasnya yakin.

Elis turut membawa saya ke lokasi agensi dipercayai masih beroperasi.



"Berikan saya tiga bank seringkali data peribadi pelanggan mereka diperolehi oleh agensi secara mudah," soal saya dengan debaran.

"M....., R..... dan C.... Itu bank paling popular dan mangsa sebelum ini, ramai pelanggan institusi kewangan terbabit," responnya tanpa kelihatan teragak-agak.

"Soalan terakhir, adakah senarai nama dan maklumat perbankan peribadi individu menjadi mangsa atau tidak, dibekalkan oleh kakitangan syarikat telekomunikasi  atau ...?," tanya saya.

Memang saya membiarkan soalan itu tergantung.

"Sekali, saya dan kakitangan pengurusan agensi pernah bertemu dengan lelaki mendakwa kakitangan bank. Kami bertemu di restoran mamak. Dia menyerahkan senarai kira-kira 200 nama, lengkap beserta data peribadi perbankan pelanggan dalam bentuk  pen drive. Setiap satu data dijual dengan harga di antara RM1 dan RM1.50. Apapun pastinya bukan semua kakitangan institusi perbankan terbabit," jelas Elis.

"Wow! Semurah itu?

Saya terkejut.

"Ya dan lazimnya dalam tempoh dua minggu, secara rutin agensi akan membeli senarai data lain pula, dibekalkan individu sama atau berbeza. Melalui pengalaman, saya boleh mengesahkan, syarikat telekomunikasi tidak terbabit dalam sindiket penipuan ini," balasnya.

Klik di sini, untuk melihat bukti dokumen diperolehi oleh agensi.

NOTA 

Perkataan 'telemarketer' dalam entri ini secara spesifik HANYA merujuk kepada pekerja di bekas agensi Elis pernah bertugas sekaligus BUKAN ditujukan kepada SEMUA telemarketer di seluruh negara.

Justeru telemarketer laintidak terbabit dengan kegiatan penipuan, usah terasa mahupun melenting.


Nota: Itulah bila manusia dah tak ingatkan tuhan dan kematian. Sanggup isi perut dengan duit haram!


23 November 2012

"Adik-adik remaja, cinta perlukan wang!!"



Balik dari solat jumaat .. baca berita ..  

KUALA LUMPUR – Hajat seorang gadis keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga bagi bertemu kekasihnya mengundang padah apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen kuarters kerajaan di Desa Pandan di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa, Siti Khadijah Muhammad, 16, mengurung diri di dalam bilik di rumahnya selepas dipercayai memberontak kerana dihalang keluarga untuk bertemu kekasihnya.

Bagaimanapun, selepas terdesak untuk berjumpa kekasihnya, mangsa cuba keluar dari tingkap di bilik rumahnya. Khadijah dikatakan menyambung lima helai selendang yang setiap satu sepanjang kira-kira satu meter setengah dengan niat dapat sampai ke bawah dan berjumpa kekasihnya. 

Bagaimanapun, hajat Khadijah bertemu buah hatinya tidak kesampaian apabila kain selendang yang disambungnya itu terputus sebaik mangsa bergantung pada kain tersebut. Mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh penduduk di apartmen sembilan tingkat itu.

Baca berita lagi ..

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki yang mendakwa kekasih Siti Khadijah Muhammad, 16, yang ditemui mati terjatuh dari sebuah apartmen di Desa Pandan di sini tidak dapat menerima hakikat dia sudah kehilangan gadis itu.

Remaja lelaki itu mendakwa, ibu dan seorang adik perempuan mangsa menjadi punca gadis itu nekad keluar daripada rumah melalui tingkap. Antara petikan yang ditulis dalam Twitter remaja lelaki itu: "Aku hidup sekarang sampai mati aku takkan maafkan korang berdua ****. Kalau korang bagi dia keluar aku rasa dia masih ada lagi."

Pada sebelah petang, remaja lelaki itu mengemas kini Twitter miliknya lagi dengan memberitahu, dia yang tiada wang memberanikan diri menaiki teksi ke rumah arwah kekasihnya untuk sama-sama membaca surah Yasin. Sampai di apartmen tersebut, remaja itu memberitahu, dia bernasib baik kerana keluarga kekasihnya membayar wang tambang teksi.

 sekadar hiasan

Alfatihah untuk Siti Khadijah …

Kisah dari berita ini buatkan aku terfikir sekejap. Bagi aku tentu ada sebab ibu gadis tersebut tak benarkan anaknya keluar rumah untuk berjumpa kekasihnya. Itu adalah hak ibunya. Maaflah, terus terang,  petikan dari Twitter remaja lelaki itu (seandainya benar) bagi aku, menggambarkan ‘hakikatnya umur remaja’ yang masih belum mampu untuk berfikir dan bertindak dengan baik dan betul. Apatah lagi untuk melayari kehidupan berkasih yang mendapat keizinan dari ibu si gadis. (Apatah lagi keredhaan dari Allah s.w.t).

Kepada adik-adik abang di luar sana (tak kira remaja lelaki mahupun perempuan), perasaan suka, ingin memiliki ‘kekasih’ dan berkasih itu satu naluri yang akan hadir dalam diri. Ia hadir tanpa diundang. Cuma semasa sedang dilamun itu, tak usahlah membelakangi ibu bapa. Hormatilah dan ikutlah nasihat mereka selagi tak menyuruh ke arah perbuatan yang salah. Mereka ada sebab berbuat demikian. Percayalah .. renungan masa depan mereka untuk anak-anak adalah lebih baik dan sudah tentu tak terfikir dek anak-anak.

Kepada remaja lelaki pula, kalau dah jatuh hati pada anak orang, persiapkanlah diri terlebih dahulu. Persiapkan diri dengan ilmu dan kerjaya dulu. Tak usah terlalu ikutkan nafsu dan keinginan. Ini kerana cinta dan kasih tanpa ada sandaran kewangan boleh menimbulkan keadaan masa depan yang tak baik. Ia pasti akan goyah. Itu adalah hakikat kehidupan. Ingatlah, mana ada ibu bapa yang nak bermenantukan jika ‘bakal menantu’ tak ada kerja, apatah lagi kerjaya yang boleh menjamin bila ‘kehidupan berdua’ nanti.

Ini bukan zaman purbakala dulu-dulu yang hidup atas dasar cinta semata-mata akan boleh membawa kebahagiaan. Oh tidak!! bukalah mata, celiklah fikir dan renungilah sekejap akan masa depan …  percayalah cinta tanpa kewangan pasti akan menghuru-harakan cinta dan kasih itu sendiri.


05 September 2012

Muka orang yang belum kahwin nampak sengsara ...



Kelmarin, nengok TV, Selami Jiwa bersama Dr. Fadzilah Kamsah, Motivator terkenal tanah air.

Rakaman dibuat dalam studio, bersama para penonton yang turut diberi peluang bertanyakan soalan kepada para jemputan. Tajuk perbincangan kali ini lebih kepada soal jodoh pertemuan … Bertambah seronok apabila Azwan Ali menjadi tetamu jemputan. Bersama seorang lagi wanita …

Azwan Ali – siapa tak kenalkan? Semburan pedas, sentap dan spontan selalu je keluar dari mulutnya. Selalu juga dicemuh kerana aksi dan gayanya. Tapi bagi aku, Azwan Ali ada kelainannya. Di balik itu semua, Azwan Ali berjaya buatkan  aku ‘rasa lucu’, ‘tercuit’ dan ‘terhibur’ dengan kata-kata spontan pedas bersahajanya itu. (Tengoklah dalam Master chef baru-baru ini. Bestkan Azwan Ali. Dia penghidup suasana …)

Ohya berbalik kepada program ‘Selami Jiwa’ tadi, Satu ketika, seorang penonton lelaki di studio bangun bertanyakan soalan kepada Dr. Fadzilah. Lebih kurang begini le soalannya.

Penonton: “Dr, saya ada satu soalan… Mengapakah orang kita ramai juga suka berkahwin dengan orang luar. Tak cukupkah dengan orang tempatan?

Dr. Fadzilah: “ Sebelum tu nak tanya .. ni yang bertanya soalan ni dah kahwin ke belum?”

Penonton: “Belum lagi ..”

Dr. Fadzilah: “oooo padanlah. Bila tengok rupa tuuu macam sengsara je ..hehe ..”

hahaa!!! tergelak  aku bila dengar jawapan Dr. Fadzilah Kamsah yang spontan tu. Tersipu penonton lelaki tu.

Persoalannya, “Betulkah muka orang yang belum kahwin ni nampak sengsara je sebagaimana kata Dr. Fadzilah Kamsah itu? Walaupun nampak dia bergurau tapi rasanya ada benarnya jugakan?  hehe ..

p/s – rakan-rakan blogger yang belum kawen tu kena tengok rupa kat cermin okey. Cuba perhatikan betul-betul .. Betulke, “Muka orang yang belum kawen ni nampak sengsara jeee …”


16 June 2012

Gara-gara anak kunci ..


Petang tadi – masa nak keluar rumah pergi kem tiba-tiba kereta buat hal pula. Tayar pula bocor. ishh ishhh .. time kita nak cepat ada-ada je. Aku senyum sendirian.

Tanpa buang masa, aku terus tukar tayar. Pasang ‘tayar spare’. Terus bawa kereta pergi bengkel.

Kat bengkel, periksa punya periksa ..  gara-gara anak kunci rupanya .. anak kunci buatkan tayar aku pancit? Pertama kali aku alaminya. Biasanya paku.

Aku belek-belek anak kunci. Macam tak percaya pula, anak kunci begini boleh buatkan tayar kereta aku pancit. Bukannya tajampun. ishh ishh .. 

Tiba-tiba terdetik kat hati  .. "perkataan yang kita ucapkan bukannya tajampun tapi ia bisa buatkan hati seseorang itu sakit dan terluka .. bisa juga bawa kita ke syurga mahupun ke neraka .."


13 April 2012

"cikgu nak ke ilmu ular? kunci mulut ular .."


Tadi petang – sempat singgah warung kopi. Berbual dengan orang kampung Belanga. Sempat jumpa Pakcik Rahim, orang  tua yang dikatakan ‘berani’ dengan ular. Beliau sering dipanggil jika orang kampung berdepan dengan ular. Dikatakan beliau dapat mengunci mulut ular ..

“Pakcik rahim .. saya dengar pakcik ‘boleh’ dengan ular?”
“hmm hmm .. adale sikit-sikit”
“Tak kira ular apapun jenis. Pakcik tak takut?”
“Tak .. “
“Bagaimana pakcik bila berdepan dengan ular?”
“Pakcik ‘kunci’ mulut ular.  Jadi dia tak boleh buat apa-apa .. tapi kena ‘buka’ semula mulut dia. Kalau tak ular itu akan mati. Tak boleh makan …”
“Hah! saya kena belajar ni ..”
“Boleh. Ada syarat-syaratnya..”
“iyake? apa dia syarat dia pakcik?”
“Antaranya tak boleh tinggalkan solat. Ada bacaan tertentu ... dan yang penting akan ‘kena sudi’ .. “



“Kena sudi? camana tuu?”
“Kena sudi ... akan terserempak dengan ular. Bukan sekali tapi banyak kali. Di mana-manapun akan terserempak … Satu lagi akan ‘disudi’ dalam mimpi. Ular itu akan datang dalam mimpi”
“Dalam mimpi?”
“iya. biasanya ular akan datang dalam mimpi. Kita kena berdepan dengan ular itu”

“Pengalaman pakcik ‘kena sudi’ camana?”
“Banyak. Pertama kali beramal ilmu ular. Pakcik sering terserempak dengan ular. Pernah masa pakcik naik motor dalam kebun getah. Ada 2 ekor ular .. dia ekori pakcik .. pakcik jalan dia jalan. Pakcik berhenti dia berhenti ..”

“Bagaimana pakcik ‘kena sudi’ dalam mimpi?”
“Dalam mimpi pula, pakcik didatangi ular besar. Ular tu datang depan pakcik ... pakcik kata pada diri pakcik ... pakcik tak akan lari ... datanglah pakcik tak akan lari ... kemudian ular tu datang depan pakcik. betul-betul depan pakcik ... ular itu tundukkan kepalanya pada pakcik … kemudian ular itu beredar pergi .. ”

“Camana nak ke ilmu tu cikgu?”
“ermmmm … rasanya terima kasih je le pakcik. Tang bab 'kena sudi' tu .. saya tak sanggup le ‘kena sudi’ dek ular. Didatangi ular walaupun dalam mimpi. Kalau  didatangi ‘permaisuri’  yang lawa ... walaupun berkali-kali okey le gak ... hahah!!”

“haha!!”  ( pakcik itupun turut sama gelak ... )

p/s -  aku suka bergurau dengan pakcik tuu ..  suka tengok dia gelak ..

04 February 2012

Suami cemburu syak isteri curang. Ganasnya!!


SUNGAI BULOH – Api cemburu yang meluap-luap seorang suami terhadap isterinya yang disyaki menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain menyebabkannya bertindak di luar kawalan apabila melanggar kereta jenis Perodua Myvi wanita itu lebih kurang 40 kali menggunakan lori seberat dua tan kelmarin.

Kejadian pukul 11.30 malam yang turut mencemaskan jiran-jiran di Taman Suria, Kampung Desa Aman di sini itu berlaku apabila pemandu lori berusia lingkungan 40-an terbabit hilang sabar selepas bertengkar dengan isterinya di dalam rumah teres dua tingkat itu mengenai dakwaan berkenaan.

Dia yang gagal mengawal emosi kemudian mencapai kunci lori lalu keluar rumah sebelum melanggar kereta Perodua Myvi yang sering dinaiki isterinya kira-kira 40 kali hingga mengakibatkan bahagian depan kenderaan itu rosak teruk untuk melepaskan geram.

Lori itu pula hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian depan. Difahamkan, isteri lelaki itu merupakan pengusaha kantin di sebuah kilang berdekatan rumahnya di sini.

uisss hebat betul penangan api cemburu ni ya. Mungkin itulah sebabnya ia disebut ‘api cemburu’. Ia panas. Ia menggelegak. Hati sejuk bertukar panas. Bisa hilangkan segala kewarasan akal. Hilangkan ketenangan. Apa yang ada hanya perasaan marah. Perasaan terkilan. Perasaan tak puas hati. Perasaan nak puaskan hati yang masih tak puas ..

Nasib baik tak dibakarnya .. 

Aku tertanya-tanya apa agaknya perasaan isteri melihat suaminya bertindak sedemikian? Makin mendalamkah perasaan sayang dan cinta kat suaminya?

Kita selalu sebut, cemburu itu buta? Mungkin betullah itu. Dek kerana cemburu, suami tadi yang pandu lori tu terus buta mata agaknya .. terlanggar kereta Perodua Myvi isterinya ..  berpuluh-puluh kali pula tu .. hehe

Cemburu oh cemburu .. kau boleh buat orang celik menjadi buta dan gilerrr rupanya.

p/s – Bayangkan orang gila yang benar-benar gila tengok kejadian ini?

29 January 2012

Dr. Harun Din al hafiz menangis bermimpi bertemu Rasulullah SAW

Tadi terklik laman mynewshub  … terbaca kisah “Tangisan Datuk Dr. Harun Din ketika bermimpinya bertemu Rasulullah SAW.
Dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah r.a (mafhumnya): “Rasulullah SAW menjelaskan bahawa mimpi manusia ada tiga jenis. Satu, mimpi-mimpi baik lagi benar (rukyaa sadiqah), kedua, mimpi gangguan syaitan dan yang ketiga, mimpi sebagai mainan tidur atau menggigau.”

Mimpi benar memang wujud dan boleh berlaku, dengan izin Allah SWT.

Mimpi benar, khususnya bermimpi bertemu Rasulullah SAW boleh digolong dalam erti mimpi anugerah Allah kepada seseorang.

Abu Hurairah berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, sesungguhnya sesiapa yang bermimpi melihat daku dalam tidurnya, maka akan dilihat daku ketika sedarnya (yaqazah), atau seolah-olahnya dia melihat daku dalam sedarnya. Syaitan tidak boleh menyerupai daku.”

Berkata Abu Salamah, “Telah berkata Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, sesiapa yang telah melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia telah melihat yang benar (al-Haqq). Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Banyak lagi hadis yang menceritakan hal mimpi bertemu Rasulullah SAW yang menggambarkan bahawa mimpi sedemikian adalah berlaku dan ia adalah benar.

Terkini, pendakwah terkenal Datuk Dr. Haron Din berkongsi pengalaman bagaimana beliau bermimpi bertemu seseorang yang beliau yakin Rasulullah SAW.



Ia terjadi suatu beliau sedang menderita sakit tidak lama dulu.

Sambil menitiskan airmata, beliau terharu kerana doanya untuk bertemu Baginda ditunaikan oleh Allah SWT.

Bukan berniat untuk mempengaruhi sesiapa agar mempercayai mimpi tersebut, namun penulis percaya ada yang kita boleh ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Wallahualam





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search