Sebelum tidur, sempat klik-klik, buka folder yang lama
tersimpan kat dalam laptop. Terbaca satu kisah.
Kisahdari Jepun
kuno.
Konon pada zaman dahulu, di Jepun ada semacam kebiasaan untuk membuang orang
yang telah lanjut usia ke dalamhutan.
Mereka yang sudah lemah tak berdaya akan di bawa ke tengah hutan dan
selanjutnya tidak diketahui lagi akan nasibnya.
Alkisah ada seorang anak yang membawa ibunya yang sudah tua ke dalam hutan
untuk dibuang. Ibu ini sudah sangat tua, dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
Si anak laki-laki ini menggendong ibu ini sampai ke tengah hutan. Sepanjang
perjalanan, si ibu telah mematahkan ranting-ranting kecil tanpa disedari oleh
anaknya. Setelah sampai di tengah-tengah hutan, si anak menurunkan ibunya ini.
"Ibu, kita sudah sampai .." kata si anak. Ada perasaan sedih di hati
si anak. Entah kenapa dia begitu tega untuk meninggalkan ibunya yang sudah tua
itu.
Si ibu, dengan renungan penuh kasih berkata pada anaknya:
"Nak, Ibu sangat mengasihi dan menyayangimu. Sejak kamu
kecil, ibu memberikan sepenuhnya kasih sayang ibu dengan hati yang tulus ikhlas.
Dan sampai saat dan detik ini pun kasih sayang ibu terhadap kamu tidak pernah
berkurang walau sedikitpun.”
”Nak, ibu tidak ingin kamu sesat semasa pulang nanti dan mendapat celaka di
tengah jalan. Makanya ibu tadi mematahkan ranting-ranting pohon agar bisa kamu
jadikan petunjuk jalan untuk pulang dengan selamatnya ke rumah".
Apabila mendengar kata-kata ibunya itu, hancur luluhlah hati
si anak. Dia lantas memeluk ibunya erat-erat sambil menangis. Dia kemudian
membawa kembali ibunya pulang dan merawatnya dengan baik sampai ibunya
meninggal dunia.
Mungkin cerita di atas hanya dongeng.
Tapi di zaman sekarang, tak sedikit kita jumpai kejadian yang mirip cerita di
atas. Banyak ibu yang terabai dan diabaikan oleh si anak. Mungkin kerana
kesibukan anak-anak dengan kerja masing-masing. Mungkin juga kesibukan
anak-anak dengan rumahtangga masing-masing (sibuk melayan isteri atau suami?).
Makanya orang tua terpinggir dan hidup kesepian sehingga dijemput ajal.
Kiranya cerita di atas mampu membuka mata hati kita semua, untuk kita kembali
mengasihi orang tua kita. Mengasihi dan menyayangi ibu dan ayah kita. Mereka
perlukan perhatian yang lebih dari kita, di saat mereka menunggu waktu dipanggil
Tuhan yang maha esa. Ingatlah jasa pengorbanan mereka, membesarkan kita dengan
penuh kasih sayang hingga kita berjaya seperti sekarang ini.
Andainya mereka tiada lagi, percayalah .. tak akan ada
pengantinya akan kasih sayang mereka walaupun dicari di seluruh pelusuk dunia.
p/s – aku menyimpan kisah ini, kerana setiap kali aku
bacanya, pasti airmata akan menitis .. sedih dengan ketegaan si anak dan betapa
hebatnyakasih sayang seorang ibu.
Tiga empat hari yang lalu, terbaca berita anak bergaduh dengan bapanya di sebuah kedai makan berhampiran Mahkamah Syariah. Pada mula baca tu ingatkan kes yang berulang. Anak itu mungkin seorang penagih. Dengan kata lainnya, faktor kesalahan anak.
Tapi bila dibaca seterusnya. Rasa tersentuh pula hati.
“Anak hanya melindungi saya,” kata si ibu.
Aku agak tersentuh dengan kes. Rupanya si bapa yang menjadi faktornya. Si bapa (bekas suami) dikatakan sering mengugut si ibu. Si ibu pernah diugut bunuh dan dicurah asid di hadapan anak-anak. Kata si ibu, sikap penyayang seorang bapa sudah lama pupus kerana sering memanggil anak dengan panggilan celaka.
Menurut si ibu, suaminya bersetuju untuk segerakan proses perceraian tapi seringkali menafikannya apabila berada di Mahkamah.
Maafkan aku ..
Maaf, jika kisah ini benar, si bapa itu sebetulnya seorang yang amat tidak bertanggungjawab. Maaf, si bapa itu selayaknya diperlakukan sebegitu oleh si anak. Maaf, si bapa itu perlu disedarkan dan diberi sedikit ‘ubat’ untuk bersikap sebagai seorang bapa sekaligus sebagai seorang suami. Maaf, aku sekali-kali tidak menyalahkan si anak walaupun kelakuan itu jika dipandang umum agak melampau. Melampau dan bersikap kurang ajar. Maaf, kerana aku berpendirian sebegitu. Maaf, seandainya pendirian aku ini juga agak melampau dan sama dengan pendirian si anak dalam kes ini.
Maaf, jika kisah ini benar, jika aku berada di tempat si anak rasanya aku juga akan bertindak sedemikian. Maaf, aku betul-betul tidak dapat menerima hakikat si suami sebegitu yang enggan melepaskan isterinya secara baik. Maaf, si suami yang sanggup mengugut dan ‘mendera’ isteri sebegitu jelas terserlah seorang suami yang tidak layak bergelar suami apatah lagi menjadi seorang bapa!!! Maaf, suami itu mungkin seorang yang lebih teruk daripada …
Dia datang menghampiri aku. Aku lihat mukanya agak suram. Senyuman yang takde cerianya. Aku membalas senyumannya.
Aku: Camana sekarang? Kenapa lama tak hadir latihan kem?
Dia: Okey.. entahlah syid rasa takde mood le nak ikut latihan sekarang ini.
Aku: Kenapa ni? nampak lain je ..
Dia: Syid semuanya dah berakhir. Saya dah lepaskannya …
Aku: hmm hmm ..
Dia: Awal Mac saya lepaskan dia. Saya dah ceraikan isteri saya … nak buat camana syid saya dah berusaha untuk selamatkan rumahtangga tapi tak berjaya juga .. akhirnya kami jumpa tok kadi .. bercerai ..
Aku: hmm hmm ..
Dia: Saya cuba selamatkan rumahtangga demi anak yang masih kecil. Tapi dia desak juga nak bercerai. Sekarang anak dia yang jaga.
Aku: Banyakkan bersabar. Yang penting jangan terputus hubungan dengan anak tu.
Dia: Tapi syid sekarang ni bekas isteri saya tu selalu pula telefon saya. Dia bertanyakan khabar. Tanya kenapa lama tak datang tengok anak. Saya ada juga tanya dia kenapa dia tak sukakan saya .. Dia kata sebenarnya emak dia yang tak suka saya. Dia kata lagi, kalau dia teruskan juga bersama saya emaknya tak akan mengaku dia anak. Kalaulah benar emaknya menjadi punca, saya tak sangka syid .. saya tengok emaknya seorang yang agak warak. Macam ustazah. Saya sedar sejak kami berkahwin dulupun emaknya dah tak sukakan saya ..
Petang tadi, semasa memandu pulang, terdengar celoteh juruhebah radio Kelantan FM. Katanya, setiap bulan purata 20 orang ‘warga tua’ memasuki rumah orang tua atau lebih dikenali sebagai Rumah Seri Kenangan. Mereka ke rumah orang tua sama ada atas kehendak diri sendiri, di hantar oleh anak-anak mereka sendiri dan juga kerana faktor kemiskinan.
Tiba-tiba aku teringat semasa hadir solat jumaat dua minggu lepas. Antara intisari khutbah yang aku masih ingati ialah kata-kata imam, “jangan sampai kita berada di sisi tubuh yang kaku dan sejuk baru kita rasa menyesal … ”. Imam ada menyebut tentang rahmah dan keredhaan Allah ke atas anak-anak yang menjaga orang tua mereka. Usah dirisaukan kesusahan dan kesibukan kerja dengan mengenepikan hak kita sebagai anak-anak. Hak dan tanggungjawab kita untuk bersama mereka, mengembirakan hati mereka dan memastikan mereka ‘bahagia dan sihat ceria’.
Aku agak sedih bila terdengar suara imam yang agak sebak bila mengingatkan para hadirin agar membahagiakan ibu bapa selagi mereka masih berpeluang untuk bersama kita semua. Usah dibiarkan diri kita kesibukan teramat dengan kerja dunia hinggakan mengabaikan ibu bapa. Kita senyum dan tawa mendengar suara anak-anak dan gurauan teman-teman sedangkan suara ibu bapa kita, sebulan sekalipun sukar untuk kita dengarinya. Ingatilah, ibu bapa yang sudah tua hanya menanti saat untuk pergi meninggalkan kita semua.
Imam ada menyebut, sudah menjadi kebiasaan anak-anak menangis bila kepermergian orang tua mereka untuk selamanya. Di saat bersama ‘tubuh yang kaku dan sejuk’ itulah rasa sesal dan sebak menguasai diri. Namun segalanya sudah terlambat. Tak ada lagi ulangan. Tak ada lagi harapan. Tidak ada lagi teguran, ingatan dan nasihat. Tidak ada lagi kasih sayang yang ikhlas seikhlasnya dari orang tua bila mereka pergi tinggalkan kita dan dunia. Oleh itu, sentiasa luangkanlah masa untuk bersama mereka selagi kita diberi peluang untuk masih bersama mereka.
p/s – Jangan sampai kita menyesal setelah tiada lagi doa mak dan ayah …
Kebelakangan ini aku sering terbaca tentang kisah remaja perempuan, baik yang masih bersekolah mahupun yang dah tak bersekolah, dengan pelbagai kisah, pelbagai kes dan dari pelbagai sumber. Juga bila berbicara dengan teman-teman …
Tiba-tiba rasa terpanggil je nak bagi nasihat ini kepada adik-adik .. (kakak-kakaknya juga..)
Tidak kira betapa sayangnya anda pada teman lelaki (jika ada).. jangan cepat tewas dengan segala macam pujuk rayu dan kata-kata bermadah kasih sayang. Jangan sekali-kali leka. Jangan sekali-kali biarkan diri dikuasai oleh rasa sayang yang melampau. Rasa sayang sehingga tidak lagi mampu membuat keputusan yang betul dan tegas. Jangan biarkan mata dan hati tertutup. Bertindaklah dengan berani jika diri anda diusik disentuhi secara fizikal.
Percayalah, jika teman lelaki anda itu benar-benar ikhlas dan menyayangi anda, dia akan melindungi dan akan sentiasa menjaga batasan antara anda dengannya. Pastinya diri anda akan dilindunginya. Kehormatan anda akan dijagainya. Kewangan anda juga tidak mudah dimintanya.
Jika anda ingin menguji kesediaan dan kesungguhannya, bawalah berjumpa mak ayah anda. Perkenalkanlah padanya. Jika teman lelaki anda jujur dan ikhlas, pasti dia ingin berjumpa dengan mak ayah anda. Malah dia juga tidak keberatan berjumpa seisi keluarga anda sekali! Tetapi jika seribu alasan diberi... terbukti tiadanya keikhlasan pada dirinya!
Laporan salah sebuah akhbar:
“Remaja perempuan generasi kini makin ‘miskin’ dari segi hubungan sosial sehingga mudah terperangkap dengan pujuk rayu teman lelaki. Ramai remaja perempuan masih keliru.. menganggap teman lelaki sebagai bakal suami dan sanggup menyerahkan diri, wang, material dan segalanya. Ini berbeza dengan remaja lelaki yang kebanyakannya cinta adalah lebih sekadar mencuba dan mencari pengalaman seks.
Lebih malang lagi, ramai remaja perempuan tidak tahu mengenai organ reproduktif mereka! Hasil selidik Kotex Bodylife IQ ke atas 1,800 orang wanita berusia antara 16 hingga 24 tahun di 6 negara Asia, mendapati hampir 97% remaja perempuan tidak memahami asas tubuh badan mereka sendiri, khususnya berkaitan sifat kewanitaan”.
p/s- Maklumat dihujung jari tapi malangnya semakin berleluasa adik-adik remaja terhanyut … kepada adik-adik remaja, hargailah diri ..
Kelmarin aku pulang dari hospital. 3 hari 2 malam aku berada di hospital menemani emak. Sebelah katil emak ada seorang makcik. Baik orangnya. Makcik itu pula ditemani oleh anak perempuannya. Telahan aku anaknya berumur 20-an gitu. Agak pendiam orangnya.
Berbanding dengan anaknya, emaknya sungguh peramah sekali. Tak habis aku melayan dan berbual dengannya. Ada-ada saja buah bicaranya. Tapi anaknya… iya anaknya hanya diam sahaja. Asyik menatap majalah ‘Wanita’. Sekali-sekala ber ‘sms’. Seakan-akan tak pernah pedulikan bualan aku dengan emaknya.
Curi-curi aku perhatikan anak makcik itu. Pada gerak hati aku… ada ‘sesuatu’ pada wajahnya. Senyuman bersahajanya itu buatkan aku semakin ingin tau. Iyalah akukan mana boleh melihat seseorang yang wajahnya sayu dan sukar untuk senyum. Aku mau dia senyum …
Aku cuba mendekati kisahnya. Cuba buka bicara. Aku menyapanya. Sapaan aku dibalasnya mesra. Aku dipanggilnya abang dan dia membahasakan dirinya Nur.
Kami berbual dan berkongsi cerita …
Akhirnya aku berjaya buatkan dia senyum …
Gerak hati aku memang benar. Ada kisah di balik kesayuan matanya. Dia rupanya sejak kecil lagi ada masalah dengan hati. Tapi dia kuat, tabah dan berusaha untuk melupakan kesakitan yang ada dalam dirinya. Sepanjang bicara, aku lebih banyak mendengar. Sesungguhnya aku bangga dengan dirinya.
Nur
Bila berbicara
Tutur bicaranya begitu lembut
Setiap bait katanya
Dilafazkan dengan penuh kesopanan
Penuh kesayuan
Nur
Dirinya sentiasa bersedia
Untuk bersama menanggung beban keluarga
Walaupun beban pada dirinya juga sudah terlalu lama
Sedia terpikul
Sedia terpendam
Nur
Namanya seindah erti
Sentiasa menyinarkan cahaya
Menceriakan suasana
Menghilangkan duka
Memancarkan bahagia
Nur
Bila direnungi wajahnya
Bila didengari suara dari bibirnya
Terlintas akan persoalan
Mampukah ‘Nur’ untuk terus bertahan
Kerna di balik kesayuan matanya
Rupanya ada tersurat kesakitan
Doa diri ini
Moga Nur akan sentiasa tabah dan kuat
Sesungguhnya segala suratan yang hadir
Terkandung akan hikmah dariNya
p/s – Perlunya kita bersyukur dengan nikmat. Sesungguhnya masih ramai orang di luar sana yang ‘sakit’ tapi masih mengukirkan senyuman…
Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok, aku cari pasanganku
Bila sedih, aku cari Mak
Bila berjaya, aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada Mak
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Emakku
Bila nak bercuti, aku bawa pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah Mak
Bila sambut valentine... aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu... aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu"
Selalu aku ingat pasanganku
Selalu mak ingat kataku
Bila-bila aku akan telefon pasanganku
Entah bila aku nak telefon Mak
Selalu aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila aku nak belikan hadiah untuk Emak
Renungkan:
"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja...
boleh tak kau kirim wang untuk Mak?
Mak bukan nak banyak, lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".
(Berderai air mata jika kita mendengarnya …)
Tapi kalau Mak sudah tiada …
> MAKKKKK.. RINDU MAK.. RINDU SANGAT...
Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya?
Berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya?
Berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya?
Berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya?
Berapa ramai yang sanggup membersihkan luka kudis ibunya?
Dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya...
p/s - tersentuh hati bila aku baca e-mail dari kawanku ini..
Kepada teman-teman yang bertanyakan khabar tu... terima kasih.
Aku sebenarnya tidak menghilang. Sekadar menemani emak di kampung.
Baru-baru ini – pada 19 Jan 2009 (Pagi Isnin), aku dikejutkan dengan panggilan dari adik di kampung - emak tiba-tiba tidak sedarkan diri. Tanpa berlengah, aku terus maklumkan pada pihak pentadbir lantas bergegas pulang ke kampung.
Dalam perjalanan pulang, pelbagai persoalan muncul di kepalaku. Aku terfikir, padanlah sejak seminggu dua ini aku rasa tidak begitu sedap hati je. Pada malam sebelumnya aku tiba-tiba teringatkan pada emak. Sepanjang dalam perjalanan, hanya doa yang dapat aku panjatkan pada Allah s.w.t agar emak aku tidak apa-apa. Terlintas juga aku pada entri aku sebelum ini yang bertajuk ‘Kepada yang masih ada ibu..’.
Bila terkenangkan entri aku itu… debaran di dada semakin kuat..
Sebaik tiba di rumah, aku melihat saudara mara sedang mengelilingi emak. Aku cuba tenangkan diri, menghampiri emak. Aku lihat emak seakan masih tidak sedarkan diri. Matanya merenung aku tanpa berkerlip. Renungannya terhadap aku begitu jauh sekali. Jauh sekali…
“Shid.. suruh mak bawa mengucap..” Emak saudaraku berbisik pada aku.
Aku mengusap lembut rambut emak, cuba senyum padanya dan memanggil nama emak.
“Emak.. mengucap mak…” Aku mengajar emak mengucap.. dalam masa yang sama air mata aku mula mengalir lembut.
-----------------------------------
Emak lantas di bawa ke klinik… dan dari klinik terus dibawa ke hospital.
Sampai saja di hospital, emak terus dimasukkan ke Wad Kecemasan - Zon Merah.
Aku dimaklumkan oleh Dr., emak tidak sedarkan diri kerana kemungkinan besar adalah kerana emak kekurangan gula dalam darahnya (berada pada tahap yang kritikal).
-----------------------------------
Pada sebelah petangnya, emak sudah mula boleh keluar dari wad kecemasan dan ditempatkan di wad yang lain. Di sana aku lihat emak dah mula boleh bercakap perlahan walaupun badannya masih lagi lemah. Kelihatan badan emak sungguh tidak bermaya sekali.
Pada 20-22 Jan 2009 - selama empat hari emak berada di wad. Selama itu jugalah aku menemani emak walaupun adik-beradik dan saudara mara yang lain selalu datang menjengah emak…
Pada 22 Jan 2009 – jam 4 pm emak dibenarkan pulang… pulang dan perlu berehat.
-------------------------------------
26 jan 2009 – Di saat aku menulis entri ini, emak mula nampak sihat sikit walaupun dirinya masih lagi perlu bertemankan ubat. Dan pada 28 jan ini perlu sekali lagi berjumpa Dr..
Bagi aku, semua ini ada hikmah dariNya.. terlalu banyak hikmah dariNya.
Dari situ juga aku dapat lihat, keluarga dan saudara mara yang sebelum ini jarang dapat aku jumpa sebelum ini kerana masing-masing sibuk dengan kerja dan perniagaan masing-masing.. akhirnya bersua untuk ke sekian lamanya.
“Ya Allah, Sesungguhnya engkau Maha Pemurah dan Maha Pengasih .. ” air mata aku mula menitis lagi -. tanda terima kasih dan rasa syukur aku padaNya.
13 Januari 2009 - 4.30 pm - balik dari sekolah. Tiba-tiba terdetik hati nak tengok email (aku sebenarnya dah lama tak buka, tengok email...). Tak sangka ada e-mail dari zuhaida - c.zuer (kawan G3 semasa kursus Taktik di PLAW, Ipoh Perak tahun 2006).
Mungkinkah gerak hati. Tiba-tiba saja terasa nak buka e-mail. E-mailnya dihantar pada aku - 13 Januari 2009 tepat jam 12.00 tengah malam. ermm malam tadi rupanya… satu detik yang penuh bermakna.
Tersentuh aku apabila membaca e-mailnya. Berikut e-mailnya. (tiada tokok tambah..)
Kepada yang masih ada ibu …
Ketika ibu saya berkunjung, ibu mengajak saya… untuk shopping bersamanya kerana dia menginginkan sepasang baju kurung yg baru. Saya sebenarnya tidak suka pergi membeli belah bersama dengan orang lain, dan saya bukanlah orang yang sabar, tetapi walaupun demikian kami pergi juga ke pusat membeli belah tersebut.
Kami mengunjungi setiap butik yang menyediakan pakaian wanita, dan ibu saya mencuba sehelai demi sehelai pakaian dan mengembalikan semuanya. Seiring hari yang berlalu, saya mulai penat dan kelihatan jelas riak2 kecewa di wajah ibu. Akhirnya pada butik terakhir yang kami kunjungi, ibu saya mencuba satu baju kurung yang cantik.
Dan kerana ketidaksabaran saya, maka untuk kali ini saya ikut masuk dan berdiri bersama ibu saya dalam fitting room, saya melihat bagaimana ibu mencuba pakaian tersebut, dan dengan susah mencuba untuk mengenakannya. Ternyata tangan-tangannya sudah mulai dilumpuhkan oleh penyakit radang sendi dan sebab itu dia tidak dapat melakukannya,
Seketika ketidaksabaran saya digantikan oleh suatu rasa kasihan yang dalam kepadanya. Saya berbalik pergi dan cuba menyembunyikan air mata yang keluar tanpa saya sedari. Setelah saya mendapatkan ketenangan, saya kembali masuk ke fitting room untuk membantu ibu mengenakan pakaiannya. Pakaian ini begitu indah, dan ibu membelinya.
Shopping kami telah berakhir, tetapi kejadian tersebut terukir dan tidak dapat dilupakan dari ingatan. Sepanjang sisa hari itu, fikiran saya tetap saja kembali pada saat berada di dalam fitting room tersebut dan terbayang tangan ibu saya yang sedang berusaha mengenakan pakaiannya. Kedua tangan yang penuh dengan kasih, yang pernah menyuapi, memandikan saya, memakaikan baju, membelai dan memeluk saya, dan terlebih dari semuanya, berdoa untuk saya, sekarang tangan itu telah menyentuh hati saya dengan cara yang paling berbekas dalam hati saya.
Kemudian pada malam harinya saya pergi ke kamar ibu saya mengambil tangannya, lantas menciumnya ... dan yang membuatnya terkejut, saya memberitahunya bahwa bagi saya kedua tangan tersebut adalah tangan yang paling indah di dunia ini. Saya sangat bersyukur bahwa Tuhan telah membuat saya dapat melihat dengan sejelasnya, betapa bernilai dan berrharganya kasih sayang yang penuh pengorbanan dari seorang ibu.
Saya hanya dapat berdoa bahwa suatu hari kelak tangan saya dan hati saya akan memiliki keindahannya tersendiri. Dunia ini memiliki banyak keajaiban, segala ciptaan Tuhan yang begitu agung, tetapi tak satu pun yang dapat menandingi keindahan tangan Ibu...
With Love to All Mother 'JIKA KAMU MENCINTAI IBUMU, KIRIMLAH CERITA INI KEPADA ORANG LAIN, AGAR SELURUH ORANG DI DUNIA INI DAPAT MENCINTAI DAN MENYAYANGI IBUNYA'.
Nota: Berbahagialah yang masih memiliki Ibu. Dan lakukanlah yang terbaik untuknya....
p/s – Zuer, terima kasih kerana masih ingati saya. Maaf kerana lama tak ber e-mail.
"Aku sibuklah… banyak kerja". “Minta maaf, tak dapat… sibuklah”
Seringkali kita mendengar keluhan di atas. Sama ada dari teman-teman mahupun kita sendiri yang meluahkan ucapan tersebut.
Memang jika dihitung hari, boleh dikatakan kita sentiasa sibuk. Kita sibuk dengan kerja dan tugas seharian. Balik saja dari kerja, biasanya kita terus menyandar badan di kerusi. Badan letih. Minda penat. Kadang-kadang kerana terlalu letih, kita terus tertidur dengan tidak sempat menukar baju kerja. Bagi yang okay sikit letihnya itu akan sempat menyalin pakaian, mandi dan kemudiannya baru berehat.
Begitulah rutin kehidupan kita seharian pada hari bekerja. Hujung minggu pula, bagi yang sudah berkeluarga, biasanya akan mengambil peluang untuk bersama ahli keluarga. Keluar bersiar-siar atau paling tidakpun berehat kat rumah je. Rileks bersama keluarga. Layan karenah anak-anak. Layan isteri (tolong mana yang patut!). Manakala bagi yang masih 'single' tu, apa lagi hujung minggu adalah masa untuk bersama kawan-kawan atau bersama 'sidia' keluar jalan-jalan sambil makan-makan, 'shopping', tengok wayang dsb. Rileks minda katakan...
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Masa terus berlalu. Pantas sekali. Sedar tidak sedar kita sudah semakin berumur…
Aku terfikir, dalam kesibukan kita bekerja seharian ini adakah kita terlintas dengan ibu dan ayah kita? Sihatkah mereka ini? Bagaimanakah keadaan mereka ketika kita ketawa bersama kawan-kawan? Aku bimbang dalam kita terlalu sibuk bekerja, kita terlupa untuk menjengah (sekurang-kurangnya menelefon) kedua-dua insan yang paling bernilai dalam hidup kita.
Aku bimbang dalam keasyikan kita menonton kehidupan seharian di tempat kerja, kita leka sehinggalah kita dikejutkan dengan satu berita. Berita yang akhirnya akan membuatkan kita menyesal. Berita tentang dua insan kesayangan kita sudah tidak lagi bersama kita… kita tidak berpeluang lagi untuk menatap wajah mereka. Wajah yang penuh kedutan. Wajah ibu dan ayah kita…
Aku terfikir, sesibuk mana kerja kita, kita perlu sering bertanyakan khabar mereka. Percayalah, ibu dan ayah kita tidak suka ‘menganggu’ kehidupan kita. Namun kita adalah kehidupan seharian mereka. Kita sentiasa menjadi buah bicara mereka. Kita sentiasa di hati mereka…hingga ke akhir hayatnya.