Followers

Showing posts with label kasih sayang. Show all posts
Showing posts with label kasih sayang. Show all posts

02 December 2020

Jika cinta adalah sebuah senyuman, maka aku ingin melihatmu selalu tersenyum ...


Lama tak jengah blog ini. Rupanya masih ada lagi kawan-kawan blog lama.

Teringat semasa sembang dengan salah seorang sahabat baru-baru ini.

Katanya: "Mengapa berhenti menulis kat blog? Suka baca. Teruskanlah. Kalau ada mesej yang baik apa yang kita post, dapat juga pahala yang mengalir, tak kira berapa ramai orang yang baca ..."

Katanya lagi: "Kisah kat facebook, boleh juga dikongsi kat blog. Apa yang penting mesej".

Aku terkesima. Betul juga kata-kata beliau.

Aku balasnya: "Tengoklah camana. hehe"

Note: Aku sebenarnya duk aktif (aktifke??) kat facebook sebab tu tak jengah blog. Hakikatnya rindu juga kat blog ini. Blog inilah yang pernah menceriakan, yang menggembirakan aku satu ketika dulu. Blog yang memberikan aku idea untuk menukilkan kisah benar, pengalaman yang dialami, apa yang dibaca, apa yang dilihat untuk sedikit perkongsian dengan rakan-rakan alam maya.

Berkongsilah walau sebaris ayat untuk kebaikan ... 

26 February 2013

saya dah tak sayang ...



tika saat indah bersama .. (sekadar hiasan)


Tadi baca satu tajuk berita. Berita 26 Feb 2013, ‘Saya dah tak sayang’.

Aku merenungi gambar pelakon wanita itu. Merenungi wajah. Terserlah kematangan dirinya.

Lantas hati berbicara …

Senangnya untuk mengungkapkan kata ‘saya dah tak sayang’ apabila rasa ‘si dia’ dah tak diperlukan lagi. Kadang tu dikatanya ‘dah tak sefahaman, apa nak buat, lebih baik putus saja.’ Bak kata orang, bila hati dah tak suka, bila hati dah tak sayang maka apa saja tindakan dan keputusan yang dibuat pasti ke arah ‘tak nak bersama dengan dia lagi’. Dia yang sebelum ini ditatang penuh kasih sayang, penuh kemanjaan, diberi apa saja apa maunya, kini dilihat seolah-olah membebankan diri dan minda. Dilihat seolah-olah tak ada lagi guna dan pentingnya.  Seolah-olah tak ada lagi kebaikan si dia untuk diri. Oleh kerana dah tak ada gunanya lagi maka lebih baik putus saja.

Saat indah ketika bersama. Saat berkongsi rasa dan kisah. Saat susah dan senang yang dilalui bersama. Semua itu pergi dan hilang begitu saja. Itulah cinta manusia. Indahnya cinta bila hati masih sayang.  Indahnya cinta bila hati masih suka.  

Sesungguhnya cinta manusia itu ada pasang surutnya. Ada saat teruja. Ada saat duka. Oleh itu, bersyukurlah dengan cinta dan rasa sayang yang masih ada. Bersyukurlah dengan perasaan yang masih diberiNya itu. Ini kerana kita tak tau, saat dan tikanya, kemungkinan perasaan cinta dan suka itu akan diambilNya dari kita. 


08 January 2013

Kisah si ibu, anak dan ranting pohon


Sebelum tidur, sempat klik-klik, buka folder yang lama tersimpan kat dalam laptop. Terbaca satu kisah.

Kisah  dari Jepun kuno.

Konon pada zaman dahulu, di Jepun ada semacam kebiasaan untuk membuang orang yang telah lanjut usia ke dalam hutan. Mereka yang sudah lemah tak berdaya akan di bawa ke tengah hutan dan selanjutnya tidak diketahui lagi akan nasibnya.

Alkisah ada seorang anak yang membawa ibunya yang sudah tua ke dalam hutan untuk dibuang. Ibu ini sudah sangat tua, dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Si anak laki-laki ini menggendong ibu ini sampai ke tengah hutan. Sepanjang perjalanan, si ibu telah mematahkan ranting-ranting kecil tanpa disedari oleh anaknya. Setelah sampai di tengah-tengah hutan, si anak menurunkan ibunya ini.

"Ibu, kita sudah sampai .." kata si anak. Ada perasaan sedih di hati si anak. Entah kenapa dia begitu tega untuk meninggalkan ibunya yang sudah tua itu.

Si ibu, dengan renungan penuh kasih berkata pada anaknya:

"Nak, Ibu sangat mengasihi dan menyayangimu. Sejak kamu kecil, ibu memberikan sepenuhnya kasih sayang ibu dengan hati yang tulus ikhlas. Dan sampai saat dan detik ini pun kasih sayang ibu terhadap kamu tidak pernah berkurang walau sedikitpun.”

”Nak, ibu tidak ingin kamu sesat semasa pulang nanti dan mendapat celaka di tengah jalan. Makanya ibu tadi mematahkan ranting-ranting pohon agar bisa kamu jadikan petunjuk jalan untuk pulang dengan selamatnya ke rumah".
Apabila mendengar kata-kata ibunya itu, hancur luluhlah hati si anak. Dia lantas memeluk ibunya erat-erat sambil menangis. Dia kemudian membawa kembali ibunya pulang dan merawatnya dengan baik sampai ibunya meninggal dunia.

Mungkin cerita di atas hanya dongeng. Tapi di zaman sekarang, tak sedikit kita jumpai kejadian yang mirip cerita di atas. Banyak ibu yang terabai dan diabaikan oleh si anak. Mungkin kerana kesibukan anak-anak dengan kerja masing-masing.  Mungkin juga kesibukan anak-anak dengan rumahtangga masing-masing (sibuk melayan isteri atau suami?). Makanya orang tua terpinggir dan hidup kesepian sehingga dijemput ajal.

Kiranya cerita di atas mampu membuka mata hati kita semua, untuk kita kembali mengasihi orang tua kita. Mengasihi dan menyayangi ibu dan ayah kita. Mereka perlukan perhatian yang lebih dari kita, di saat mereka menunggu waktu dipanggil Tuhan yang maha esa. Ingatlah jasa pengorbanan mereka, membesarkan kita dengan penuh kasih sayang hingga kita berjaya seperti sekarang ini.

Andainya mereka tiada lagi, percayalah .. tak akan ada pengantinya akan kasih sayang mereka walaupun dicari di seluruh pelusuk dunia.

p/s – aku menyimpan kisah ini, kerana setiap kali aku bacanya, pasti airmata akan menitis ..  sedih dengan ketegaan si anak dan betapa hebatnya  kasih sayang seorang ibu.


lihat betapa teganya si anak  ..



23 November 2012

"Adik-adik remaja, cinta perlukan wang!!"



Balik dari solat jumaat .. baca berita ..  

KUALA LUMPUR – Hajat seorang gadis keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga bagi bertemu kekasihnya mengundang padah apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen kuarters kerajaan di Desa Pandan di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa, Siti Khadijah Muhammad, 16, mengurung diri di dalam bilik di rumahnya selepas dipercayai memberontak kerana dihalang keluarga untuk bertemu kekasihnya.

Bagaimanapun, selepas terdesak untuk berjumpa kekasihnya, mangsa cuba keluar dari tingkap di bilik rumahnya. Khadijah dikatakan menyambung lima helai selendang yang setiap satu sepanjang kira-kira satu meter setengah dengan niat dapat sampai ke bawah dan berjumpa kekasihnya. 

Bagaimanapun, hajat Khadijah bertemu buah hatinya tidak kesampaian apabila kain selendang yang disambungnya itu terputus sebaik mangsa bergantung pada kain tersebut. Mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh penduduk di apartmen sembilan tingkat itu.

Baca berita lagi ..

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki yang mendakwa kekasih Siti Khadijah Muhammad, 16, yang ditemui mati terjatuh dari sebuah apartmen di Desa Pandan di sini tidak dapat menerima hakikat dia sudah kehilangan gadis itu.

Remaja lelaki itu mendakwa, ibu dan seorang adik perempuan mangsa menjadi punca gadis itu nekad keluar daripada rumah melalui tingkap. Antara petikan yang ditulis dalam Twitter remaja lelaki itu: "Aku hidup sekarang sampai mati aku takkan maafkan korang berdua ****. Kalau korang bagi dia keluar aku rasa dia masih ada lagi."

Pada sebelah petang, remaja lelaki itu mengemas kini Twitter miliknya lagi dengan memberitahu, dia yang tiada wang memberanikan diri menaiki teksi ke rumah arwah kekasihnya untuk sama-sama membaca surah Yasin. Sampai di apartmen tersebut, remaja itu memberitahu, dia bernasib baik kerana keluarga kekasihnya membayar wang tambang teksi.

 sekadar hiasan

Alfatihah untuk Siti Khadijah …

Kisah dari berita ini buatkan aku terfikir sekejap. Bagi aku tentu ada sebab ibu gadis tersebut tak benarkan anaknya keluar rumah untuk berjumpa kekasihnya. Itu adalah hak ibunya. Maaflah, terus terang,  petikan dari Twitter remaja lelaki itu (seandainya benar) bagi aku, menggambarkan ‘hakikatnya umur remaja’ yang masih belum mampu untuk berfikir dan bertindak dengan baik dan betul. Apatah lagi untuk melayari kehidupan berkasih yang mendapat keizinan dari ibu si gadis. (Apatah lagi keredhaan dari Allah s.w.t).

Kepada adik-adik abang di luar sana (tak kira remaja lelaki mahupun perempuan), perasaan suka, ingin memiliki ‘kekasih’ dan berkasih itu satu naluri yang akan hadir dalam diri. Ia hadir tanpa diundang. Cuma semasa sedang dilamun itu, tak usahlah membelakangi ibu bapa. Hormatilah dan ikutlah nasihat mereka selagi tak menyuruh ke arah perbuatan yang salah. Mereka ada sebab berbuat demikian. Percayalah .. renungan masa depan mereka untuk anak-anak adalah lebih baik dan sudah tentu tak terfikir dek anak-anak.

Kepada remaja lelaki pula, kalau dah jatuh hati pada anak orang, persiapkanlah diri terlebih dahulu. Persiapkan diri dengan ilmu dan kerjaya dulu. Tak usah terlalu ikutkan nafsu dan keinginan. Ini kerana cinta dan kasih tanpa ada sandaran kewangan boleh menimbulkan keadaan masa depan yang tak baik. Ia pasti akan goyah. Itu adalah hakikat kehidupan. Ingatlah, mana ada ibu bapa yang nak bermenantukan jika ‘bakal menantu’ tak ada kerja, apatah lagi kerjaya yang boleh menjamin bila ‘kehidupan berdua’ nanti.

Ini bukan zaman purbakala dulu-dulu yang hidup atas dasar cinta semata-mata akan boleh membawa kebahagiaan. Oh tidak!! bukalah mata, celiklah fikir dan renungilah sekejap akan masa depan …  percayalah cinta tanpa kewangan pasti akan menghuru-harakan cinta dan kasih itu sendiri.


30 September 2012

Kupetik dosa


Tersentuh hati. Sedih .. bergenang air mata menonton cerita kat TV tadi .. “Kupetik Dosa”.

Kisah anak kecil yang menjadi mangsa nafsu kebinatangan lelaki yang dipanggilnya ‘pakcik’. Lelaki yang seakan-akan 'ayahnya'. Mungkin juga 'datuknya' ..

Walaupun sekadar cerita dan lakonan. Tapi jalan ceritanya memaparkan kisah realiti yang berlaku. Gara-gara kesibukan ibu bapa, anak menjadi mangsa. Gara-gara kesibukan kerja, anak kecil ditinggalkan bersama jiran. Jiran yang dipercayai, jiran yang diharapkan untuk menjaga dan mengasuh anak kecilnya. Akhirnya anak kecil itu menjadi mangsa. Mangsa dera dan rogol seseorang yang dikenalinya. Seseorang yang yang dipanggilnya ‘pakcik’.

Rasa nak bagi … je lelaki bergelar ‘pakcik’ tu. Memang celaka ‘manusia’ yang berkelakuan begitu. Memang durjana ..

Moral dari cerita  .. ibu bapa hendaklah sentiasa hati-hati apabila nak meninggalkan anak yang masih kecil kat penjaga atau pengasuh. Berhati-hati juga pada ‘manusia’  yang bersama dengan anak kecil itu. Walaupun dilihat fizikalnya seorang yang boleh diharap dan dipercayai. Berfikir sejenak akan risiko dan segala kemungkinan. Tak salah menaruh sedikit syak demi kebaikan anak.

Sentiasa juga peka dengan keadaan anak kecil .. watak dan perwatakannya .. cakap dan tingkahlakunya … bahasa badannya …

Dampingilah dia walau sesibuk manapun ... 

 Siapa budak kecil ini? Bisa buatkan aku sedih dengan lakonannya ..





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search