Dalam minggu ini, ke mana saja aku pergi, sana-sini orang
bercakap soal keputusan pilihan raya. Ada yang senyum dan ada yang bermuka
kelat, siap menggeleng-geleng kepala lagi tu. Dari semua itu, aku tengok, lebih
ramai yang ‘menggeleng-geleng kepala’ dari yang senyum. Tak tahu aku apa sebab
mereka bereaksi dan beraksi sedemikian rupa. Adakah mereka menunjukkan reaksi
tak puas hati dengan keputusan pilihan raya? Tak tau aku dan sebenarnya aku pun
tak ingin ambil tahu itu semua. Apa yang pasti, keputusan pilihan raya dah
keluar. Sepatutnya semua kena berlapang dada dan terima keputusannya. Bukannya
masih nak tunjuk muka marah, muka tak puas hati. Muka kelat.
Ada sesetengah itu, bukan main ‘hebat’ lagi. Sanggup
bertegang leher mempertahankan parti masing-masing. Kalah Anwar Ibrahim bila
tengok gaya dan kesungguhannya berhujah. Cuma bezanya Anwar Ibrahim ada juga
‘lawak’nya yang bisa mencuit hati para penyokongnya.
Pernah aku berdepan dengan situasi yang agak ‘mendebarkan’.
Ini berlaku dua hari selepas pilihan raya umum ke-13. Orang berlainan parti duk makan semeja,
berdepan antara satu sama lain. Aku di tengah-tengahnya. Mula-mula berbual
biasa, kemudian sentuh soal parti. Masing-masing berhujah mempertahankan parti
masing-masing dan akhirnya keluarlah ayat dari salah seorang, ‘kita selesaikan
di luar’.. Ajak bertumbuk … hah!! apa ni? Terkejut aku. Apa taknya. Orang
politik berhujah, bertegang leher sekadar di atas pentas parti tapi apabila
mereka berjumpa di luar, masih sempat bertanyakan khabar, makan minum, gelak
tawa sama-sama . Ini kita? Nampaknya kita ini dah terlebih sudu dari kuahnya.
Menyentuh soal pegangan dan hujah yang dilontarkan ...
kadang tu buatkan aku teringat akan ‘kisah orang buta dengan gajah’.
“Gajah ini bentuknya
panjang. Macam batang buluh. Tapi lembut sedikit berbanding buluh,” kata si
buta yang meraba belalai gajah.
“Eh, kamu biar betul,
aku rasa gajah ini bentuknya macam talam. Lebar dan luas,” tambah si buta kedua
yang meraba telinga si gajah.
“Aku yakin gajah tidak
begitu. Gajah .. aku rasa bentuknya macam kawah nasi. Lebar dan gendut,
macam-macam boleh isi,” tegas si buta ketiga yang meraba perut gajah.
“Mana ada. Gajah ini
seperti tiang besar, kesat tapi lembut bila disentuh” kata si buta ke empat
yang meraba kaki gajah.
Ke empat-empat si buta itu terus berbalah sesama mereka
kerana mereka cuba menghuraikan tentang rupa gajah berdasarkan bahagian yang
diraba, tanpa meraba keseluruhan tubuh badan si gajah malang itu.
Analogi di atas rasanya memang kita semua dah sedia maklum. Ia
sering berlaku dalam masyarakat kita. Kita selalunya suka bercakap mengikut kefahaman
yang kita pegang walaupun tak semestinya betul. Kita suka bercakap hanya
berdasarkan kefahaman, maklumat dan gambaran serpihan yang kita ada tentang sesuatu
perkara. Kemudian kita akan cuba mempertahankannya sehabis mungkin tanpa ingin
mendengar pandangan yang berbeza. Inilah masalahnnya. Sepatutnya kita mendepani
semua isu dengan hati yang terbuka. Lebihkan membaca, mendengar dan menelitinya
secara perbandingan ilmiah. Tak salah rasanya kita mendengar pelbagai
pandangan. Ini kerana lain orang, pasti lain pula persepsinya. Lepas itu, tepuklah
dada masing-masing, tanyalah hati dengan tenang.
p/s – jangan kita menjadi seperti salah seorang si buta di
atas …
3 comments:
rumah sudah siap, tapi pahat masih berbunyi.
adatlah ada menang ada kalah.
cuma kali ni, sangat teruk.
sampai dah jadi perkauman/berbeza fahaman politik.
yup, betul..rakyat yang terlebih emo. rakyat yang bergaduh. walhal, manalah tahu, pemimpin atasan siap salam, peluk lagi dalam dewan parlimen.kita mana tahu kan apa yg jadi sebenarnya dalam dewan parlimen..
relax je.minum kopi mcm cikgu..hehe
Mardhia Yusof
Itulah mar. Sayapun pelik ngan sikap orang kita ni. Keputusan dah kuar, apa lagi .. terima je le. Ni nak demonstrasi.. hangatkan ceramah ngan isu-isu .. apa ni?? nanti lain pula jadinya..
sy tak mau negara kita ni ditertawakan ..
Post a Comment