Tadi baca blog abg Mazidul Sidik … terbaca satu entri. Entri
agar kita semua tidak terpedaya dan tertipu dengan panggilan telefon dari
agensi-agensi tertentu.
Yup! akupun selalu juga terima panggilan sebegini. Tapi tak
pernahpun aku layan.
Abg Mazidul minta untuk disebarkan entrinya ini agar orang
ramai tidak tertipu!!
Berikut kisahnya:
Beberapa hari selepas menukilkan
entri ini, saya dihubungi oleh wanita
melalui private message Facebook dan memperkenalkan dirinya
sebagai 'Elis', 26 tahun.
Saya kemudian menemuinya pada jam 4 petang semalam di Kuala
Lumpur.
"Saya mula bekerja di agensi telemarketing,
sebagai kerani pentadbiran kira-kira dua tahun lalu dan kemudian berhenti kerana
agensi terbabit tidak membayar gaji saya. Ruang pejabat di tingkat dua
dibahagikan kepada banyak partition diduduki telemarketer
bertugas menghubungi pemegang kad kredit dan kad debit
menggunakan telefon. Jumlah mereka mencecah lebih empat puluh orang, majoriti
berbangsa Melayu dan India, tiada Cina. Lebih menarik, kebanyakkan mereka
graduan institusi pengajian tinggi atau individu biasa tetapi mempunyai kemahiran
bercakap secara berkesan. Sepanjang tempoh latihan seminggu, pihak
pengurusan agensi memberikan bakal telemarketer skrip sebagai rujukan
untuk membuat panggilan dan kaedah menjawab soalan untuk dihafal. Antara
pengisian utama modul, cara untuk menyakinkan pelanggan agar akhirnya
bersetuju mendedahkan tiga nombor kod di belakang kredit kad dan debit mereka
atau lebih dikenali sebagai security code bank," kata anak
kelahiran Johor itu saya temui di restoran mamak.
"Baik, ini kad kredit. Nombor manakah awak
maksudkan?," soal saya.
Elis kemudian spontan mengangkat kad kredit saya letakkan di
atas meja.
"Nombor di belakang kad ini, di sebelah kanan
tandatangan pemilik. Nombor tiga digit ini amat penting kepada telemarketer,"
responnya.
Saya mendengar dengan teliti sambil merakamkan kenyataan
Elis menggunakan perakam suara jenis Sony.
"Sewaktu membuat panggilan, kami mulakan
dengan kenyataan standard. Assalamulaikum encik! Saya Elis daripada bank A dan
bekerjasama dengan syarikat insuran B untuk menawarkan skim insuran kepada
pemegang kad kredit. Memang semua telemarketer tidak menggunakan nama
sebenar. Kemudian kami sambung ... nama encik, Mazidul Akmal Sidik, terlebih
dahulu saya ingin membuat semakan nombor kad pengenalan encik, 670319 .....
Betul? Pemilik kad lazimnya berkata 'ya' kerana kami memang dibekalkan semua
perincian peribadi bakal mangsa seperti alamat, alamat rumah, nama pewaris dan
termasuk nombor kad kredit visa dan mastercard mereka," jelas Elis.
"Kemudian?," celah saya.
Ternyata wanita itu amat petah berkomunikasi.
"Kemudian kita cakap, baiklah encik,
sekarang saya ingin mengesahkan nombor kad kredit visa encik. Katalah
6080-0978-0800, bolehkah encik tolong bacakan tiga nombor di belakang kad,
bersebelahan tandatangan? Sebenarnya ramai tidak mengetahui itu security
code bank. Kami sengaja bertanya walhal selalunya kami memang mempunyai
maklumat itu tersenarai," katanya.
"Kalau sudah memiliki nombor kad kredit dan security
code mengapakah awak harus bertanya kepada pemilik kad?," tanya saya
keraguan.
"Itu memang syarat ditetapkan oleh agensi. Sebelum itu
saya terangkan kepada dia, skim insuran ditawarkan mengenakan bayaran RM399
untuk setahun. Apapun, ayat terakhir setiap telemarketer lebih kurang
sama sahaja, jadi encik bersetuju kami akan cajkan RM399 ke akaun kad kredit
encik? Penolakan amaun itu akan bermula pada awal bulan hadapan dan kami
kemudian akan menghantarkan sijil insuran kepada encik. Kami mesti menunggu
sehingga dia berkata, saya bersetuju atau ok terlebih dahulu, sebelum nombor
kad kredit dan security code digunakan untuk tujuan
pembayaran. Biarpun pada awalnya kami memaklumkan dia penolakan bermula pada
bulan hadapan, sebenarnya kami akan caj kad kredit dia, pada hari
sama. Setiap telemarketer dimestikan membuat minimum dua sale sehari.
Setiap pemilik kad bersetuju dengan transaksi terbabit, telemarketer meraih
komisyen RM100 manakala syarikat mengaut keuntungan berbekalkan modal air liur,
RM299," ujar Elis.
"Sebenarnya wujudkah hubungan di antara agensi, bank
serta syarikat insuran itu? Sijil insuran itu datang dari mana pula?,"
tanya saya sekaligus.
"Tidak! Itu semua penipuan! Sijil dijanjikan kepada
mangsa dicetak sendiri di pejabat. Bertujuan mengelakkan pemilik kad datang
menyerang, kami sedaya-upaya cuba untuk tidak akan memberikan alamat lengkap
kepada mereka. Manakala nombor telefon digunakan oleh telemarketer bukan
nombor talian tetap tetapi nombor telefon bimbit seperti 019, 017, 014 atau private
number," jelas Elis.
Kata Elis, purata bil telefon
bulanan mencecah RM10,000 namun itu hanya sekelumit berbanding jumlah
keuntungan diperolehi oleh pengusaha agensi.
Tambah bekas pekerja agensi penipuan itu, majoriti mangsa
mereka, pengguna baru kad kredit atau kad debit.
Elis bekerja di antara jam 10 pagi dan 6 petang setiap hari
dan diberikan senarai ratusan data perbankan pemilik kad untuk dihubungi.
"Semua individu kami telefon itu tidak semestinya
memberikan layanan baik. Kebanyakkannya kami attack pengguna
kad kredit baru kerana mereka tidak begitu arif mengenai transaksi kad kredit
jauh sekali kegiatan sindiket penipuan. Tambahan pula barangkali
sebilangan bank gagal memperingatkan pelanggan agar tidak mendedahkan security
code kad kredit atau debit melalui panggilan telefon. Beberapa
individu kami hubungi, acapkali melontarkan soalan, kalau benar awak daripada
bank, mengapakah perlu bertanya dan mendapatkan security code kad kredit
saya? Kami akan balas dengan kenyataan, kami ingin membuat pengesahan, betulkah
encik pemegang sah kad kredit itu? Itu trick digunakan,"
responnya.
Menurut Elis, pengusaha agensi penipuan sebegitu meraih
keuntungan ribuan ringgit setiap sehari. Tidak hairan jika mereka hidup
senang-lenang dan memandu kereta mewah. Agensi terbabit lazimnya hanya
beroperasi kurang setahun di pejabat sama sebelum berpindah ke lokasi lain dan
sekaligus menukar nombor telefon untuk menjalankan kegiatan sama.
Di bawah, gambar bekas pejabat Elis.
"Tingkat dua tempat telemarketer beroperasi
manakala tingkat satu bekas pejabat kakitangan pentadbiran termasuk bos.
Tiada papan tanda syarikat dipaparkan dan selalunya semua tingkap
ditutupi tirai. Pejabat tempat saya bekerja dahulu, pernah diserbu oleh
kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Sewaktu kejadian itu telemarketer
diarahkan keluar dari pejabat. Ada sekali, wakil syarikat insuran datang ke
pejabat secara mengejut. Mungkin berikutan terdapat aduan mengatakan agensi
kami menggunakan nama syarikat itu secara tidak sah untuk memperdayakan orang
ramai," katanya.
"Semasa awak bekerja, berapakah jumlah sale
sehari?," soal saya.
"Satu atau dua sale sahaja SEBULAN sebab saya
bekerja sebagai kerani pengurusan dan cuma sesekali diarahkan bertugas sebagai telemarketer.
Pekerja lain? Mereka memang seronok. Contohnya, andai telemarketer mampu
menipu purata enam orang pemegang kad kredit baru, pendapatan harian mereka
mencecah RM600 Kalau telemarketer tidak membuat sale langsung,
mereka akan dibuang kerja. Kaedah digunakan oleh agensi, mudah. Bayar sahaja
gaji pokok telemarketer tidak perform separuh atau jangan
membayar langsung. Maka pekerja itu tidak akan mampu bertahan dan dengan
sendirinya terpaksa berhenti," kongsi wanita itu.
Gaji pokok telemarketer, di antara RM800 dan RM1,500
sebulan dan majoriti pekerja, wanita.
"Adakah selama waktu bekerja, awak tahu agensi terbabit
menipu ramai orang?," tanya saya lagi tanpa jemu.
"Saya tahu, sebab itu saya tidak suka membuat sale.
Saya juga pernah berbual bersama kawan, bekerja sebagai marketer. Dia
sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Saya bertanya kepada dia, sampai bilakah
awak hendak memberikan anak makan duit hasil penipuan?," balasnya.
Saya kemudian mengemukakan soalan berikut.
"Pernah terdengar rungutan di kalangan telemarketer?
Mungkin mereka tertekan kerana terpaksa membuat terlalu banyak panggilan
sehari?"
"Pernah! Namun kakitangan pihak pengurusan amat bijak
memainkan peranan mereka. Untuk mengalihkan pandangan dan tumpuan telemarketer,
mereka mengajak kami makan dan berkata, hari ini awak semua tidak perlu
membuat panggilan, kita semua boleh berehat. Mereka juga membuat pekerja
gembira menggunakan elemen kejutan. Baiklah, minggu ini kita akan pergi
melancong ke Melaka! Semua kos dibiayai sepenuhnya oleh agensi. Di samping itu,
pakej insentif berkumpulan juga ditawarkan kepada telemarketer.
Contohnya, jika sale mencecah sasaran, 60 sehari, pakej pelancongan
lebih istimewa ditawarkan kepada mereka. Bagaimanapun melalui pengalaman saya,
purata tempoh telemarketer bekerja di agensi itu hanya di antara lima
dan enam bulan sahaja," kata Elis.
"Adakah semua telemarketer menyedari mereka
bekerja di agensi menipu orang ramai?," soal saya.
"Tidak semua. Saya lebih banyak tahu kerana bekerja
sebagai kerani pengurusan tetapi itupun atas tujuan mencari rezeki,
terpaksalah. Telemarketer tidak tahu langsung berhubung keuntungan
ditangguk oleh agensi apatah lagi status nama bank dan syarikat insuran mereka
gunakan untuk memperdaya pemegang kad kredit dan debit sewaktu menjalankan
tugas. Pihak pengurusan terlebih dahulu memaklum dan menyakinkan telemarketer,
operasi dijalankan itu kononnya sah dan dokumen peribadi pemilik kad dibekalkan
oleh pihak bank," ujar Elis.
Tambah Elis, kebanyakkan telemarketer, pemegang
diploma dan ijazah. Justeru mereka mampu berkomunikasi dalam dwi bahasa, bahasa
Melayu dan Inggeris tatkala berkomunikasi dengan bakal mangsa.
"Kalau betul betul bekerja berbekalkan mulut manis,
daya pujuk dan telinga tebal, mereka boleh meraih pendapatan bulanan di antara
RM3,000 dan RM4,000. Andai kata bakal mangsa marah, telemarketer harus
bersikap sabar kerana kakitangan pengurusan berkata, penjawab panggilan bukan
berada di hadapan awak. Jadi, mengapakah awak harus berasa takut? Semua
bertugas di pejabat agensi sama dilatih untuk menjawab pelbagai soalan
dilontarkan oleh pemegang kad kredit dan debit, kekadang dihubungi berulang
kali menggunakan teknik dicetak sebagai panduan. Adakalanya bakal mangsa
bertindak bijak. Mereka memberikan alasan kononnya sedang bermesyuarat dan
meminta untuk dihubungi kemudian dan selepas itu tidak akan melayan panggilan
kami. Hanya mereka bersikap lalai sahaja terpedaya," kongsi Elis.
Jika kini tiba-tiba dihubungi telemarketer, apakah
respon awak? Soalan itu saya lontarkan kepada wanita hanya meminum teh 'O' ais
limau ketika saya temui.
"Saya pernah bekerja seperti kamu sebelum ini dan kamu
tidak perlu menipu saya sebab kamu cuma ingin mendapatkan security code tiga
digit itu, kan? Terima kasih," balasnya yakin.
Elis turut membawa saya ke lokasi agensi dipercayai masih
beroperasi.
"Berikan saya tiga bank seringkali data peribadi
pelanggan mereka diperolehi oleh agensi secara mudah," soal saya dengan
debaran.
"M....., R..... dan C.... Itu bank paling popular dan
mangsa sebelum ini, ramai pelanggan institusi kewangan terbabit,"
responnya tanpa kelihatan teragak-agak.
"Soalan terakhir, adakah senarai nama dan maklumat
perbankan peribadi individu menjadi mangsa atau tidak, dibekalkan oleh
kakitangan syarikat telekomunikasi atau ...?," tanya saya.
Memang saya membiarkan soalan itu tergantung.
"Sekali, saya dan kakitangan pengurusan agensi pernah
bertemu dengan lelaki mendakwa kakitangan bank. Kami bertemu di restoran mamak.
Dia menyerahkan senarai kira-kira 200 nama, lengkap beserta data peribadi
perbankan pelanggan dalam bentuk pen drive. Setiap satu data
dijual dengan harga di antara RM1 dan RM1.50. Apapun pastinya bukan semua
kakitangan institusi perbankan terbabit," jelas Elis.
"Wow! Semurah itu?
Saya terkejut.
"Ya dan lazimnya dalam tempoh dua minggu, secara rutin
agensi akan membeli senarai data lain pula, dibekalkan individu sama atau
berbeza. Melalui pengalaman, saya boleh mengesahkan, syarikat telekomunikasi
tidak terbabit dalam sindiket penipuan ini," balasnya.
Klik di sini, untuk melihat bukti dokumen diperolehi oleh agensi.
Klik di sini, untuk melihat bukti dokumen diperolehi oleh agensi.
NOTA
Perkataan 'telemarketer' dalam entri ini secara
spesifik HANYA merujuk kepada pekerja di bekas agensi Elis pernah bertugas
sekaligus BUKAN ditujukan kepada SEMUA telemarketer di seluruh negara.
Justeru telemarketer lain, tidak terbabit
dengan kegiatan penipuan, usah terasa mahupun melenting.
Nota: Itulah bila manusia dah tak ingatkan tuhan dan kematian. Sanggup isi perut dengan duit haram!
10 comments:
sy pn sll dpt panggilan sebegini, tapi so far..sy terus cakap tk berminat..dn letak je tepon tu
sy belum pernah amik kad kredit, tapi pernah dpt panggilan konon2 dr bank. ms tu kat seminar, sgt bising, sy kata akan kol dia semula. 2-3kali dia kol suh keluar dari seminar tu. sy abaikan.esoknya, sy kol semula, nombor tersebut tiada dlm perkhidmatan.
Wah!!! bahaya ini
Pernah kena.. tp kite selalu bg alasan nak fikir dulu then suruh die kol blk later. Hehu diorg tak kol blk pon. Bagus laa. Hehe shud b more careful next time.
Rozita
Betul tu rozita. Kena kena tegas utk katakan tidak .. jangan biarkan dia bercakap terlalu lama ..
4feet8
psstt lain kali tak yah call balik .. pedulikan dia ..
hanif
a’ah hanif. Jangan terpengaruh ..
Anna Boleyn
yup! kena hati-hati. dorang ni memang terlatih dan dilatih ‘mengoda’ .. so jangan biarkan diri 'digoda' dan tergoda ..
sangat berapi dengan telemarkerter cam ni. selalu jugak dapat panggilan. bila ayat standard tu dia mula ungkapkan, terus je dapat makian dan putuskan talian.
takkan nak cari rezeki sampai macam tu sekali kan...
bahaya btul taktik ni
memang tak bleh percaya lgsg kalau ada org call offer itu ini..
sy pnah kna jgak.
andai ada org call(tak naik nama)..
memang sy angkat lmbt, and kalau dia ckp,dari bank skian2, sy trus ckp..
"tengah meeting.bye."*dgn tone laju* (even tengah sibuk memasak nasi ayam ke, tengah tidur ke,pedulikan).
Post a Comment