Followers

20 May 2016

Bicara Cermin dan Diri



Cermin:  Lama menghilang diri. Tanpa bicara. Ada sesuatu yang berlaku?

Diri:  ermm . tak ada. Masih ada. Masih menjengah. Cuma sekadar menjengah. Baca, ikuti apa yang masih ada.  Nampaknya masih ada yang pernah ada walaupun ramai yang sudah tidak ada walaupun ada.  

Cermin: Mengapa agak lama diam? Terlalu sibukkah atau dah tak mahu bicara lagi?

Diri: Diam itu sementara. Masih ada yang ingin bicara. Sentiasa ada. Ia hadir cuma hadirnya itu kalanya cepat berlalu.

Cermin: Mengapa tidak seperti dulu? Penuh bicara. Seronok bila baca bait-bait bicara. Bicara tentang kehidupan dan warna-warninya. Tentang pelbagai karenah manusia.  Tentang persekitaran. Tentang suka dan duka.  Penuh cerita, ceria  dan gelak tawa. 

Diri: Manusia penuh dengan keinginan dan rasa. Ingin bicara tapi diam lebih menguasai bicara. Bila diam terlalu lama tanpa bait kata, maka ia semakin  hilang rasa ingin bicaranya.

Cermin: Moga bicara itu masih ada dan terus ada. Usah dibiar apa yang dilalui, dialami tanpa dibicarakan, dikongsi untuk dijadikan sebahagian kisah kehidupan manusia. Sekurangnya masih ada yang dapat mengambil sesuatu dari kisahnya.

Diri: hmm hmm.. iya .. setiap manusia ada kisahnya. Cuma kisahnya itu ada yang berlalu tanpa ada yang tahu. Ada yang kisahnya berjaya dijadikan kisah dan dikongsi bersama yang lain. Apa yang penting, hendaknya kisah itu adalah bicara dari hati, dihayati penuh empati. Mungkin kisahnya boleh kita ikuti dan dekati. Mungkin juga dari kisah itu, kita perlu jarakkan diri dan jauhinya. Itulah keindahan kisah sebenarnya.

Cermin: Jadi sudah mula bicara lagi?

Diri: 

Cermin: Moga terus bicara …




21 February 2016

Cuba rasakan kehadiran-Nya ...


Jam 11.30 mlm. Aku buka laptop. Melihat gambar yang aku snap beberapa hari yang lalu. Tapak rumah baru. 







Jari-jemari menaip perlahan.

Hati terus berbicara.

“Ya Allah ..  banyak yang telah engkau berikan pada diri ini. Namun diri ini masih rasa kekosongan akan sesuatu  ...”

Aku berhenti menaip. Mencapai handphone. Buka WhatsApp. Lantas mencari diari petikan terpilih yang aku simpan untuk renungan di kala perlu.

Kujumpainya. Aku ulang-ulang membacanya .

“Pernahkah saat kau duduk santai dan menikmati dirimu, tiba-tiba terfikirkan olehmu ingin berbuat sesuatu kebaikan untuk seseorang? Itu adalah Allah yang sedang berbicara denganmu dan mengetuk pintu hatimu”

“Pernahkah saat kau sedang sedih, kecewa tetapi tidak ada orang di sekitarmu yang dapat kau jadikan tempat luahan hati? Itu adalah Allah yang sedang rindu padamu dan ingin agar kau berbicara pada-Nya”

“Pernahkah tanpa sengaja kau memikirkan seseorang yang sudah lama tidak bertemu, tiba-tiba orang tersebut muncul, atau kau bertemu dengannya, atau kau menerima telefon darinya? Itu adalah kuasa Allah yang sedang menghiburmu”

“Pernahkah kau mendapatkan sesuatu yang tidak terduga, yang selama ini kau inginkan tapi rasanya sulit untuk diperolehi? Itu adalah Allah yang mengetahui dan mendengar suara batinmu serta hasil dari benih kebaikan yang kau taburkan sebelumnya”

“Pernahkah kau berada dalam situasi yang buntu, semua terasa begitu sulit, begitu tidak menyenangkan, hambar, kosong bahkan menakutkan? Itu adalah saat Allah mengizinkan kau untuk diuji dan Allah ingin mendengar rintihan serta doamu agar kau menyedari akan keberadaan-Nya”

Kerana Ia tahu kau sudah mulai melupakan-Nya dalam kesenangan. Jika kau peka, akan sering kau sedari bahawa KASIH dan KUASA Allah selalu ada di saat manusia merasa dirinya tidak mampu.

“Apakah kau fikir tulisan ini, hanya sekadar gurauan tanpa tujuan yang terkirim padamu? Tidak! Sekali lagi tidak ada yang kebetulan …

Cuba rasakan kehadiran-Nya …

- USTAZAH FATIMAH SYARHA –


“Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih”

Amat terasa .. petikan-petikan ini begitu dekat sekali dengan diri ..


27 November 2015

Buat sesuatu biarlah dari hati ... kepuasan diri ..


20 hb November – bermula cuti akhir tahun bagi kebanyakan pelajar. Mereka semua dahpun melangkah riang semasa balik dari sekolah minggu lepas. Namun bagi pelajar SPM,  masih lagi rasa debar kerana masih kena melangkah ke dalam dewan peperiksaan. Mereka juga masih perlu mengulangkaji.  Ada beberapa lagi subjek SPM yang perlu diambil sebelum keluar dewan melompat riang. Merdeka!! hehe ..

Seminggu cuti sekolah, aku masih lagi pergi ke sekolah. Masih ada tugas perlu dilakukan - membuat rancangan kerja tahun depan. Sehari dua ni duk fokus kepada jadual, agihan waktu mengajar guru-guru bagi tahun 2016. Kena bagi seimbang dan adil seboleh mungkin. Bila difikir, ada 2 minggu saja untuk aku ‘rehatkan diri’ sebab mulai pertengahan Disember ini, akan terlibat dengan pelbagai jenis mesyuarat sehinggalah sesi persekolahan 2016 bermula.

Sebelum cuti, aku pernah ditanya oleh rakan sekerja.
"Syid, buat apa cuti ni? Tak pergi jalan-jalan ..  melancong ke?"

Aku senyum ..
"Yup!  nak juga pergi jalan-jalan. Tengoklah .. yang penting nak 'rehatkan diri' "

Sebenarnya aku dahpun ada rancangan, pelbagai perkara nak aku lakukan dan selesaikan masa cuti sekolah ni. Semuanya dah aku catat kat dalam buku kecik aku. Pertamanya aku nak jengah ‘rumah tamu’ yang aku bina 2 tahun lepas. Asyik-asyik bagi kat makcik je tolong uruskan. Aku pula hanya jengah 2 atau 3 minggu sekali je pergi sana. Maklumlah kerjakan. Masa cuti sekolah inilah aku rasa nak sambung balik tugas aku. Nak ‘hiasi’ mana yang perlu. Walaupun bukan aku yang duduk sana, dan hanya sekadar untuk singgahan tetamu bermalam semalam dua tapi itulah aku .. bila buatkan sesuatu biar ia dapat berikan kepuasan kepada hati. Kepuasan pada diri sendiri. 

Syukur Alhamdulillah ‘rumah tamu’ aku tu sering juga dibooking .. tetamu dari seluruh Malaysia.  Tapi bagi aku, apa yang lebih penting ia adalah aset untuk jangka masa panjang dan mendatang nanti.

















Kedua, tugas yang nak aku buat ialah nak pergi tengok kebun getah yang sekian lama aku tak jengah. Rasanya dah setahun lebih. Entah apa dah jadi agaknya dengan kebun getah aku tuu.. dah tumbuh lalang atau semak agaknya. Mungkin semak dah tinggi melepasi kepala? ermm entahlah. Tahun lepas aku tak risau sangat sebab masih ada ‘pakcik’ yang aku upah tu untuk jaga. Dialah yang duk jaga dan yang menoreh kat kebun getah aku tu. Tapi selepas banjir besar melanda tahun lepas, dan dengan harga yang masih lagi rendah maka pakcik itu pun taklah selalu pergi menoreh sekarang ni. Kasihan juga aku dengan pakcik tu. Tapi dengar khabar, pakcik tu dah dapat kerja kat kebun kelapa sawit. Syukurlah … tapi dia ada bagitau kat kawan dia, jika harga getah naik, dia masih nak menoreh getah aku tuu. hehe. Takper pakcik, cikgu ni tak kisah .. bila getah naik harga .. pergilah toreh k ..





Tugas ketiga aku masa cuti sekolah ni -  nak fikir apa nak dibuat dengan tanah dusun buah dokong aku. Kalau sebelum ini penuh dengan pokok dokong tapi selepas banjir melanda tahun lepas, habis rosak. Hanya beberapa pokok je yang masih lagi ‘panjang umur’. Harap-harap masih boleh berbuah. Bukannya aku nak sangat makan buahnya tapi lebih sebagai aktiviti ‘gembirakan hati’. Aku gembira bila dapat bawa kawan-kawan dan pelajar-pelajar pergi petik buah dokong kat sana. Seronok tengok gelagat mereka sebenarnya. 

Tahun lepas sempat aku ajak warden dan pelajar-pelajar asrama pergi ambik buah dokong. Macam-macam reaksi pelajar bila sampai di sana.  Ada yang petik je buah dari bawah. Ada juga yang memanjat. Bukan setakat lelaki, pelajar perempuan juga ada yang cuba memanjat. Apa yang seronoknya, bila ada pelajar perempuan menjerit-jerit kena gigit kerengga. Ada yang melompat-lompat sebab takutkan pacat. hehe. 

Aku sungguh gembira sekali bila melihat mereka memetik dan makan buah dokong ramai-ramai. Kegembiraan aku makin terasa bila pelajar-pelajar ini memetik, mengutip buah dokong  yang digugurkan sehingga penuh 3 bonet kereta untuk dibawa pulang ke asrama. Setiba di asrama pula, pelajar-pelajar lain dah siap menunggu nak makan buah .. 

Tapi itu sebelum banjir melanda. Sekarang dari 30 pokok dokong yang tinggal, hanya beberapa pokok je yang masih nampak okey .. ermm camana ek aku nak buat? Nak tanam balik buah dokong? Buah rambutan? Pisang? Nak kena buat pagar lagi tuu. Atau nak usahakan benda lain kat atas tanah tu? Nak bina rumah sewa dua tiga buah? ishh modal besar tuu … dushh dushh  ..





Kenangan tahun lepas sebelum banjir besar melanda Kelantan. Petik dari bawah je.



Hah!! itu baru 3 tugas .. banyak lagi nak buat ni .. ermm ..  takper catat dulu dalam buku kecik, buku yang selalu aku bawa bersama - buku 'senarai tugas yang nak aku buat'. Buku ni penting bagi aku, sebab apa saja idea yang hadir, sama ada aku berfikir dengannya atau ia hadir secara spontan, melalui bualan, dengar, lihat ..  jika ia penting bagi aku, pasti aku akan catatnya.  hehe


Inilah buku catatan yang sentiasa bersama  .. 


11 November 2015

Cara dan Gaya Sultan Kelantan menambat hati rakyat


Hrmm..  Hari ini seluruh rakyat Kelantan cuti sempena Perayaan Ulangtahun Hari  Keputeraan  ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke 46. Tema sambutan pada tahun 2015 ini “Syariat Allah Membimbing Raja dan Rakyat Sepanjang Zaman” .. ALLAHU AKBAR ..

Semua orang tahu, Sultan Muhammad V adalah Sultan berjiwa rakyat. Baginda suka membahasakan diri sebagai “ambo” dalam pertuturan. Ini buatkan rakyat tak kekok bila berbicara dengan baginda. Begitu juga dengan penampilan. Baginda sangat sederhana, suka berjubah putih dan berkopiah ketika berdamping dengan rakyat. Cara dan gaya baginda inilah yang membuatkan rakyat Kelantan suka, sentiasa senang dan tenang di bawah naungan payung baginda.

Oh ya baginda jugalah satu-satunya Sultan yang menukar perkataan ‘Daulat Tuanku’ kepada ‘ALLAHU AKBAR”. Sebab apa ya ditukar perkataan itu? Itu persoalan awal yang pernah menjengah dalam kepala aku. Rupa-rupanya baginda Sultan ada pendapatnya yang tersendiri. Bagi baginda, dengan mengungkapkan perkataan itu, maka rakyat akan beroleh pahala. Mudah. Simplekan. Hmm hmm tak terlintas di kepala aku akan semua ini. Apatah lagi dengan memikirkan kedudukan baginda sebagai seorang Sultan dan Yang DiPertuan bagi Negeri Kelantan.

Aku sabagai rakyat Kelantan turut berasa bangga dengan cara dan gaya baginda. Moga baginda Sultan sentiasa mendapat rahmat dan dilindungi Allah SWT dunia dan akhirat ..  ALLAHU AKBAR …

Sekilas gambar baginda Sultan Kelantan  ..













05 April 2015

Mentafsir bunga mawar


Kuamati bunga mawar …

Mentafsir bunga mawar. Mawar yang cantik dan harum itu memiliki duri tajam di tangkainya. Ada yang suka melihat keindahan kembangan bunga dari durinya. Ada juga yang suka melihat duri dan keperitan berbanding kuntuman bunganya. Mawar itu pastinya mudah layu tanpa tangkai durinya. Oleh itu, apabila mengamati keindahan mawar, perlu juga belajar dan menerima kebaikan durinya …






Selain kenangan, ada warna dan rasa yang bisa buatkan aku kembali rindu …




20 September 2014

“Sahabatku ..


Petang tadi, aku singgah satu kedai buku. Amati buku yang terhampar di atas rak sebelah kaunter. Dalam melirik pelbagai tajuk dan judul, aku agak tertarik dengan satu ungkapan pada satu cover buku. Ungkapannya tertulis:

Kita selalu minta apa yang kita mahu.
Tuhan memberi apa yang kita perlu.

Wow!! Termenung sekejap aku dibuatnya. Sungguh indah dan mendalam sekali maksud di sebalik ungkapan kata-kata itu. Agak simple tapi sungguh bermakna sekali. Ia membuatkan aku terus berfikir. Hati terus terdetik. 

Bagi aku, ungkapan ini terasa betul kena pada diri. Mungkin juga pada orang lain. Yup! semua orang selalu meminta. Meminta kerana mengimpikan sesuatu. Bagi yang sedang melalui jalan yang buntu, pasti meminta agar diberikan pencerahan dan dipermudahkan jalan olehNya. Diberikan ketenangan hati bagi yang sedang keresahan. Bagi yang sedang sakit, pasti akan meminta agar diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik. Bagi seorang tokoh korporat, pasti meminta agar sentiasa mendapat keuntungan dan berjaya mendapat tender juta-juta. Bagi makcik kedai di tepi jalan, pasti juga meminta agar jualannya laku pada hari itu. Dan bagi seorang yang bergelar pelajar, pasti meminta agar dapat menjawab semua soalan peperiksaan dan mendapat markah tertinggi, gred ‘A’.

Begitu juga, bagi yang masih single dan mampu tentunya ada kemahuannya. Seorang lelaki sampai satu masa, tentu mahukan seorang perempuan yang dapat dijadikan isteri dan suri hatinya. Begitu juga seorang perempuan, pastinya impikan seorang suami yang dapat bersamanya, melindunginya dan setia bersama hingga ke akhir hayat. Ke mana saja pasti ingin bersama, berkongsi kisah, ceria dan juga kesedihan. Mimpikan kebahagiaan dan keindahan alam berumahtangga dan berkeluarga. Gurauan dan usik-usikan, manja-manjaan antara suami-isteri dan juga bersama gelihati melihat gaya lincah anak-anak bermain. 

Yup! Semua orang ada mahunya dan akan meminta padaNya. Meminta agar keinginan dan impiannya tercapai dan dipenuhi. Tapi bila difikir-fikir, tak semuanya apa yang mahunya itu tercapai. Mengapa ya? Adakah kerana gagalnya seseorang itu untuk bertindak? Lemahnya daya usaha dan kudrat untuk mencapai sesuatu? Atau adakah kerana faktor sudah dinasibkan untuk mendapat sekadar apa dan sebegitu rupa? Atau kerana faktor diri yang alpa, tidak peduli dan terlalu mudah percaya, berserah segalanya yang akhirnya  mengundang pelbagai masalah dan krisis? Atau kerana keyakinan dan cinta 200% yang diberi tanpa adanya sekelumit rasa curiga menyebabkan diri terpedaya, tertipu dan akhirnya dikecewakan oleh yang tersayang?

Hati aku terus berbicara lagi … 

Kita selalu minta apa yang kita mahu.
Tuhan memberi apa yang kita perlu.

Itulah sebenarnya yang berlaku. Tapi jarang untuk kita renunginya dengan mata hati. Ini menyebabkan kita sering terlepas pandang. Sesungguhnya Allah s.w.t itu sangat mengasihi hambaNya. KetentuanNya itu ada bersebabnya. Usah kita persoalkan dan berduka hati. Sedih dan kecewa andainya apa yang kita mahu itu tidak tercapai. Apa yang kita impikan. Apa segala kebahagiaan yang kita kecapi akhirnya berakhir dengan situasi yang menyedihkan. Hati yang suka dan ceria berakhir dengan rasa marah dan kecewa. Usikan dan gurauan dari yang tersayang juga sudah tiada lagi. 



sahabatku .. bangkitlah ..

Kita seharusnya sedar, ‘Tuhan memberi apa yang kita perlu’. Moga dengan kesedaran ini, diri kita tidak mudah rasa kecewa, sedih dan rasa marah, sentiasa berlinang air mata dan merasakan seakan-akan dunia ini sudah berakhir. Renungilah diri dan lihatlah hikmahNya. Sesungguhnya Allah s.w.t itu maha Pengasih dan Penyayang. Allah s.w.t sangat sayang akan hambaNya yang redha dan sabar akan apa yang telah berlaku. Terima akan ketentuanNya. Apa yang pasti, sentiasalah terima segala ujian dariNya, dan anggaplah segala apa yang berlaku, segala ujian dariNya adalah kerana diri kita disayangiNya. Sesungguhnya beban yang diberiNya tidaklah akan menyebabkan kita tak terdaya untuk kita atasinya.

Kita kadangkala tak menduga, apa yang berlaku sebenarnya adalah kehendakNya. Itulah jalan terbaik sebenarnya.  Itulah jalan untuk diri tidak terus kecewa, memendam rasa dan sakit. Itulah jalan untuk diri tidak terus tertipu dan diperlakukan seolah-olah tidak adanya rasa kasih dan kasihan. Itulah jalan untuk diri berubah dan mendapat apa yang hak dan yang terbaik dalam hidup ini. Kan hari esok masih ada. Hari esok sentiasa menanti dengan senyuman. Hari esok merindui akan kamu …




Moga kita semua sentiasa diberikan kekuatan untuk terus melangkah, hati yang ceria dengan redhaNya.


19 September 2014

Cikgu .. saya selalu juga 'diusik'





gambar sekadar hiasan

Jam 8.15 malam. Aku terima sms dari seorang cikgu perempuan (dari sekolah lain).

“Cikgu ... saya ada hal sikit nak bual ngan cikgu. Cikgu sibuk ke? Bila boleh saya call cikgu .. masa cikgu free?”

Kebetulan masa terima sms itu aku nak pergi solat isyak.  Akupun balasnya.
“Za .. Jam 9.00 k ..  Sekarang saya nak gi solat Isyak”
“Okey” balasnya.

Tepat jam 9.00 malam, sebelum sempat dia call, aku terlebih dahulu telefonnya. Aku dapat rasakan tentu cikgu tu ada sesuatu yang penting. Kebiasaanya cikgu tu tak ‘bernada’ begitu dalam smsnya. Malah setiap kali dia nak tanya aku, terus dia call je.  Bualan pun berkisar  hal-hal sekolah je. 

“iya ada apa Za?”
“ermm … cikgu ... sebenarnya saya segan nak  bagitau cikgu. Tapi saya rasa cikgu je yang saya boleh percaya.”
“hmm hmm .. “
“Cikgupun tahukan saya ni single parent. Suami saya dah meninggal dunia. Saya ada 4 orang anak (terus diam) ..”
“K .. hmm hmm ..”

“Cikgu .. kat sekolah saya, saya selalu juga diusik. Maklumlah keadaan saya ni. Ada juga cikgu-cikgu laki cuba nak tackle saya tapi hati saya masih tak terbuka. Sebenarnya saya ni takut cikgu. Saya takut dipermainkan. Ini kerana ada juga yang nak ambil kesempatan ke atas saya … ”
“Cikgu ..  tapi kelmarin ada pengetua saya, dia datang jumpa saya. Dia tanya hal saya. Dia tanya masih tak ada lagi ke calon pengganti. Dia ada juga sebut seorang cikgu …  (diam lagi)“
“Sapa dia?” aku bersuara perlahan.
“Dia …  dia tu cikgu kat sekolah cikgu. Baru juga kematian isteri.  Pengetua saya kata cikgu tu baik orangnya”
“Okey..” (aku dah mula terbayang cikgu yang dimaksudkan)
“Saya tak kenal dia. tu lah saya telefon cikgu syid  ni. Saya duk fikir .. tiba-tiba terlintas nak kenal juga sapa dia cikgu tu.”
“Okey..” 


“Cikgu syid, saya sebenarnya malu nak bagitau cikgu ni. Kalau boleh saya nak cikgu tolong saya kenali dia .. camana dia .. sebab saya percayakan cikgu. Kalau cikgu syid kata okey … okeylah saya  ..”
“Okey za, insyaAllah nanti saya cuba selidiki dia. Sebenarnya cikgu tu memang baik. Dia seorang kaunselor. Baik sangat. Dia baru kematian isteri. Masa isteri dia sakit, dialah yang duk jaga isteri .. anak-anak ... ”

“Cikgu syid .. cikgu tuu ada berapa orang anak. Umur dia berapa?”
“Dia ada 6 orang anak  tapi masih muda. 48 gitu”
“Ramainya .. ”  (gelak ..)
“Takper, saya tak kisah cikgu syid. Sayapun dah umur 42 .. bagi saya yang penting dia dapat terima saya dan anak-anak saya ..”
“insyaAllah .. moga perkara yang baik ni akan dipermudahkanNya … ”

p/s – Kepada rakan-rakan alam maya, doakan saya untuk ketemukan dan ‘ikat’kan mereka k .. 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search