Followers

Showing posts with label kisah kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kisah kehidupan. Show all posts

27 June 2017

Hari raya ke-2 – didatangi sekumpulan jejaka handsome.




Bunyi deruman motor. Berhenti depan rumah. Aku terus keluar. Tengok. Masih tak cam.

“Assalamu ‘alaikum cikgu”
“Wa ‘alaikumus salam .. oooo ingatkan sapa tadi. Rupanya jejaka-jejaka handsome. Masuk … masuk .. ”
“hahaha. Cikgu ni …”

Lama tak jumpa pelajar-pelajar ini. Mereka bekas pelajar tingkatan 5. Rasanya 4 atau 5 tahun lepas. Tak sangka mereka datang beraya rumah tahun ini.

Borak-borak. Bangga sebab mereka dah berjaya. Ada yang telah bekerja di Kementerian Pertahanan (MINDEF) bahagian pergajian, ada yang baru habis belajar kat U .. ada yang sedang mengikuti kursus akhir Programming Komputer kat Cyber Jaya, ada yang ambil bahagian engineering .. bahagian biologi .. apa ntah, nak sebutpun payah … hehe.

Masuk je dalam rumah, salah seorang tanya:
“Cikgu, cikgu kenal tak sapa ni” (sambil tunjuk kat Edie)
“ishh sapa tak kenal ... Shah Rukh Khan ... (semua pakat ketawa). Dulu kat sekolah, aku selalu panggil Edie ni Shah Rukh Khan.
“Tuu cikgu .. (tunjuk kat Shafie)
“Tuu Aaron Aziz ...” (semua ketawa lagi) – Shafie memang aku panggil dia Aaron Aziz masa sekolah dulu. Sebab dia ada iras.


Rasa seronok betul berbual dengan mereka. Hampir 1 jam mereka kat rumah.
Masa nak balik, aku bagitau, “Jangan lupa datang rumah cikgu lagi. Tapi rumah baru cikgu la. Jangan mari sini pulak”
“Okey cikgu. Mesti pergi cikgu. Rumah besar cikgu tuuu …”
“Mana ada … kecik je ”

“Cikgu .. saya selalu baca facebook cikgu. Suka baca. Ada tuu kisah sedih cikgu … 20 tahun tak jumpa ... cikgu naik flight gi Sabah …”

Aku senyum je …


26 March 2017

"Dia sekarang di batu 2 cikgu"


Bila kita dah biasa menulis akan suatu kisah, terasa tak tenang sebenarnya jiwa jika sekadar membiarkan saja kisah yang didengari apatah lagi yang dialaminya sendiri atau dialami oleh insan di sekitarnya berlalu begitu saja.

Terasa lama dah tak menulis kat blog ini. Memang terasa nak menulis kembali cuma … yup! bila ada cuma itulah sebenarnya yang menjadi satu hambatan kepada semua kisah yang ingin dikongsi melalui alam maya. Kisah yang ingin ditulis hanya sekadar berlegar-legar dalam fikiran sahaja.

Tadi petang, masa rehat aku duk sembang dengan seorang cikgu perempuan. Diceritakan akan satu kisah di mana dia berjumpa dengan seorang bapa bekas salah seorang pelajarnya. Bapa pelajar tersebut menyapanya. Katanya dia kenal cikgu tu kerana pernah mengajar anaknya.

“Cikgu, saya ayah Azman. Cikgu pernah mengajar dia kan.  Masa tingkatan 5”  ujar bapa pelajar tersebut.

“oh ya .. Azman .. Di mana dia sekarang Pakcik?” Tanya cikgu tersebut.

“Dia sekarang di Batu 2 cikgu” jawab bapa  pelajar tersebut, dengan nada agak lain sikit.

“Batu 2. Di mana tu pakcik? Dia kerja apa sekarang?” Tanya cikgu  itu lagi. Tanpa ada rasa curiga apapun.  

“Cikgu, Azman  tu dah mati cikgu” balas pakcik tu dengan nada agak kurang senang dengan soalan cikgu tersebut.

“Dah meninggal?” terkejut cikgu itu dengan jawapan Pakcik, bapa bekas pelajarnya itu.
“Takkan cikgu tak tau?” balas Pakcik itu.

“ishh pakcik ni. Kalau saya tau takkan saya tanya pakcik ...” Agak terkilan cikgu tersebut dengan jawapan bapa bekas pelajarnya itu.

Rupanya bekas pelajarnya itu sudah meninggal. Terlibat dengan kemalangan. Pelajar itu pernah belajar di sekolah ini tapi dah berpindah sebaik tamat SPM.  Pelajar tersebut berjaya sambung belajar ke tingkatan 6 di sebuah sekolah, di daerah lain dan  terlibat dengan kemalangan semasa berulang alik ke sekolah tersebut.

Aku yang mendengar cerita cikgu perempuan tersebut sekadar menggelengkan kepala. Tak berapa faham dengan sikap dan situasi pakcik tu. Nak ketawapun ada juga.


Itulah kita. Terlalu cepat berprasangka dan berharap apa yang kita alami turut difahami oleh orang lain. Di situlah silapnya. Kita ni manusia  sebenarnya ada kehidupan tersendiri. Ada kisah dan masalah kehidupan masing-masing. Jadi, usah terlalu berharap orang lain akan turut serta dengan ‘kisah hidup’ kita. Apa yang penting, kita mesti bersikap tenang, usah cepat beremosi tanpa memahami situasi sebenar apabila berhadapan dengan sesuatu perkara.  Kita mesti sedar, apa yang kita alami tidak semestinya orang lain akan tahu, ambil tahu dan ingin tahu. Jadi apabila kita berhadapan dengan seseorang, berbicaralah dengan baik, berprasangkalah yang baik-baik moga situasi yang kita alami juga  akan menjadi baik. Kita tidak mahu, kerana kata-kata kita dan tanpa bersebab bisa buatkan orang lain turut terasa dan terguris hatinya.




26 May 2016

Aku mendengar kisah dari bekas pelajar - penagih pil kuda / ganja




Petang kelmarin, aku singgah kat kedai tepi jalan – nak minum air cendol pulut. Tiba-tiba disapa oleh seorang bekas pelajar aku. Memandangkan dia seorang diri, aku terus duduk bersamanya. Rupanya dia sekarang ni bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Semasa berborak dengan Hafiz tu, aku mengambil ruang untuk bertanyakan tentang kerjanya. Perkembangan tugas terbarunya. Katanya dia sekarang sedang buat operasi pergi ke sekolah-sekolah untuk adakan ujian air kencing ke atas pelajar yang terpilih. Pelajar-pelajar yang disyaki terlibat dengan bahan terlarang - dadah, ganja, pil kuda dan seumpamanya.

“Kat daerah ni, ramai ke pelajar terlibat fiz?” soalku

“Ramai juga cikgu. Tahun ni setakat yang kami buat .. empat puluh lebih yang terlibat. Mungkin lebih lagi. Bilangan itu melibatkan pelajar yang nama mereka diberi oleh cikgu, Bila kita test, positif air kencingnya. Tapi ada juga yang terlepas sebab kebetulan masa ujian dibuat tu, pelajar yang terlibat tak ambilnya. Oleh kerana tak sangkut, kami tak boleh buat apa-apa ...”

“Ada pelajar perempuan jugake yang terlibat?” soalku lagi.

“Kat sini tak ada cikgu. Cuma pelajar perempuan ni kes merokok je cikgu. Ramai juga yang merokok”

“Selain kat sekolah, kat mana lagi buat operasi?”

“Macam-macam cikgu. Rumah penduduk kampungpun ada juga kami pergi”

“Macam mana tau ada penduduk kampung yang terlibat, ada risikan ke atau terima laporan atau panggilan?”

“Sebenarnya cikgu ada ibu bapa yang telefon suruh datang ambil anaknya kat rumah. Biasanya anaknya terlibat dengan pil kuda, ganja dan sebagainya. Tapi kami dah boleh agak, ibubapa yang minta kami datang ambil anaknya sebenarnya disebabkan kes anaknya yang sudah di tahap membahayakan orang lain, mungkin ibubapa mereka sendiri. Ibu bapa ni selagi anak dia tak kacau atau membahayakan orang lain, atau ibu bapa mereka sendiri, biasanya tak akan buat laporan. Mereka diam je”

“Jadi bila kami terima panggilan daripada ibu bapa, kami dah boleh sedia, boleh agak anaknya penagih yang bahaya. Kami kena bersedia segala kemungkinan..”

“Ni tentu dah biasa berdepan dengan si penagih ni kan. Tak takutke dengan penagih ni?” Aku sekadar bertanya.

“Memang dah biasa cikgu. Takut tu ada juga. Tapi tugaskan. Cikgu nak tau, pernah beberapa kali saya digigit cikgu.”

“Digigit?”

“Iya cikgu. Semasa bergelut tu penagih ni biasanya suka gigit tangan, lengan kita cikgu” (sambil tunjuk bekas lengannya yang digigit).

“Puak penagih ni bila kita serbu dan nak tangkap, mereka biasanya akan lari. Jadi kami akan kejar. Tapi bergantung juga cikgu, kalau penagih pil kuda tuu kami dah boleh cam. Kami akan kejar la”

“Cikgu nak tau cara nak tangkap penagih yang lari?”

“Penagih ni cikgu, semasa lari tu, kami akan kejar dan tepuk je kat belakang, mereka biasanya mudah jatuh, rebah ... masa tu la kami akan pijak belakang dia, ambil tangan pulas ke belakang …”

 “Tapi kalau kami tau dia tuu penagih ganja, biasanya kami tak kejar la cikgu.”

“Mengapa tak kejar?” soal aku.

“Cikgu, puak penagih ganja ni biasanya besar kemungkinan ada HIV. Jadi kami tak kejar, takut bila kejar, berlaku pergelutan. Kami bimbang semasa bergelut tu, ada luka atau tercalar kat  tangan atau badan kami dan tanpa sedar terkena luka atau darah si penagih tu. Bahaya cikgu. HIV”

“owhh macam tu”

“Saya pernah berdepan dengan penagih yang membahaya cikgu . Pernah serbuan dibuat kat satu rumah, penagih tu lari dan panjat naik kat satu lubang kecil kat atas bumbung rumah. Bila saya naik, terus dilibasnya pedang samurai. Nasib baik saya sempat elak cikgu. Jadi orang macam tu kami tak cuba tangkap cikgu. Kami akan serahkan pada polis je. Biar polis urus. “

“Cikgu nak tau .. kami sebenarnya agak kecewa. Kami berdepan dengan puak penagih. Mereka ni dah hilang waras cikgu. Macam-macam senjata mereka ada, pisau, parang, pedang. Kami tak ada apa-apa cikgu. Tak ada satu pistolpun yang boleh kami guna untuk mempertahankan diri kami. Kadang tu kami terpaksa standby dengan kayu je .. “

“Cikgu .. kalau tengok dalam filem macam senang je nak tangkap penagih ni kan. Perkenalkan diri, lalu minta penagih tu serahkan diri. Sebenarnya cikgu, bila kita berdepan dengan penagih ni, tak ada masa la cikgu nak buat macam tu. Kadang apa yang kita jangka tak berlakupun. Yang diluar jangkaan yang berlaku. Bila berlaku tu, siapa cepat la cikgu. Kalau tak kita pula yang kena baham, ditumbuk, ditikam, dilibas oleh puak penagih ni.”

“Satu lagi cikgu, penagih pil kuda ni biasanya kuat. Tenaga mereka ni kuat. Tambahan kalau masa kita nak tangkap tu, mereka baru saja pekena pil kuda apa ke ..  Kalau setakat seorang je nak jatuh dan rebahkan .. payah cikgu ..”

Aku terus mendengar kisah … dan rasa bersyukur … aku sebagai cikgu tidak perlu berdepan dengan kes-kes macam ni. Kes yang berisiko.


“Aku bersyukur padaMu ya Allah …”


20 May 2016

Bicara Cermin dan Diri



Cermin:  Lama menghilang diri. Tanpa bicara. Ada sesuatu yang berlaku?

Diri:  ermm . tak ada. Masih ada. Masih menjengah. Cuma sekadar menjengah. Baca, ikuti apa yang masih ada.  Nampaknya masih ada yang pernah ada walaupun ramai yang sudah tidak ada walaupun ada.  

Cermin: Mengapa agak lama diam? Terlalu sibukkah atau dah tak mahu bicara lagi?

Diri: Diam itu sementara. Masih ada yang ingin bicara. Sentiasa ada. Ia hadir cuma hadirnya itu kalanya cepat berlalu.

Cermin: Mengapa tidak seperti dulu? Penuh bicara. Seronok bila baca bait-bait bicara. Bicara tentang kehidupan dan warna-warninya. Tentang pelbagai karenah manusia.  Tentang persekitaran. Tentang suka dan duka.  Penuh cerita, ceria  dan gelak tawa. 

Diri: Manusia penuh dengan keinginan dan rasa. Ingin bicara tapi diam lebih menguasai bicara. Bila diam terlalu lama tanpa bait kata, maka ia semakin  hilang rasa ingin bicaranya.

Cermin: Moga bicara itu masih ada dan terus ada. Usah dibiar apa yang dilalui, dialami tanpa dibicarakan, dikongsi untuk dijadikan sebahagian kisah kehidupan manusia. Sekurangnya masih ada yang dapat mengambil sesuatu dari kisahnya.

Diri: hmm hmm.. iya .. setiap manusia ada kisahnya. Cuma kisahnya itu ada yang berlalu tanpa ada yang tahu. Ada yang kisahnya berjaya dijadikan kisah dan dikongsi bersama yang lain. Apa yang penting, hendaknya kisah itu adalah bicara dari hati, dihayati penuh empati. Mungkin kisahnya boleh kita ikuti dan dekati. Mungkin juga dari kisah itu, kita perlu jarakkan diri dan jauhinya. Itulah keindahan kisah sebenarnya.

Cermin: Jadi sudah mula bicara lagi?

Diri: 

Cermin: Moga terus bicara …




20 September 2014

“Sahabatku ..


Petang tadi, aku singgah satu kedai buku. Amati buku yang terhampar di atas rak sebelah kaunter. Dalam melirik pelbagai tajuk dan judul, aku agak tertarik dengan satu ungkapan pada satu cover buku. Ungkapannya tertulis:

Kita selalu minta apa yang kita mahu.
Tuhan memberi apa yang kita perlu.

Wow!! Termenung sekejap aku dibuatnya. Sungguh indah dan mendalam sekali maksud di sebalik ungkapan kata-kata itu. Agak simple tapi sungguh bermakna sekali. Ia membuatkan aku terus berfikir. Hati terus terdetik. 

Bagi aku, ungkapan ini terasa betul kena pada diri. Mungkin juga pada orang lain. Yup! semua orang selalu meminta. Meminta kerana mengimpikan sesuatu. Bagi yang sedang melalui jalan yang buntu, pasti meminta agar diberikan pencerahan dan dipermudahkan jalan olehNya. Diberikan ketenangan hati bagi yang sedang keresahan. Bagi yang sedang sakit, pasti akan meminta agar diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik. Bagi seorang tokoh korporat, pasti meminta agar sentiasa mendapat keuntungan dan berjaya mendapat tender juta-juta. Bagi makcik kedai di tepi jalan, pasti juga meminta agar jualannya laku pada hari itu. Dan bagi seorang yang bergelar pelajar, pasti meminta agar dapat menjawab semua soalan peperiksaan dan mendapat markah tertinggi, gred ‘A’.

Begitu juga, bagi yang masih single dan mampu tentunya ada kemahuannya. Seorang lelaki sampai satu masa, tentu mahukan seorang perempuan yang dapat dijadikan isteri dan suri hatinya. Begitu juga seorang perempuan, pastinya impikan seorang suami yang dapat bersamanya, melindunginya dan setia bersama hingga ke akhir hayat. Ke mana saja pasti ingin bersama, berkongsi kisah, ceria dan juga kesedihan. Mimpikan kebahagiaan dan keindahan alam berumahtangga dan berkeluarga. Gurauan dan usik-usikan, manja-manjaan antara suami-isteri dan juga bersama gelihati melihat gaya lincah anak-anak bermain. 

Yup! Semua orang ada mahunya dan akan meminta padaNya. Meminta agar keinginan dan impiannya tercapai dan dipenuhi. Tapi bila difikir-fikir, tak semuanya apa yang mahunya itu tercapai. Mengapa ya? Adakah kerana gagalnya seseorang itu untuk bertindak? Lemahnya daya usaha dan kudrat untuk mencapai sesuatu? Atau adakah kerana faktor sudah dinasibkan untuk mendapat sekadar apa dan sebegitu rupa? Atau kerana faktor diri yang alpa, tidak peduli dan terlalu mudah percaya, berserah segalanya yang akhirnya  mengundang pelbagai masalah dan krisis? Atau kerana keyakinan dan cinta 200% yang diberi tanpa adanya sekelumit rasa curiga menyebabkan diri terpedaya, tertipu dan akhirnya dikecewakan oleh yang tersayang?

Hati aku terus berbicara lagi … 

Kita selalu minta apa yang kita mahu.
Tuhan memberi apa yang kita perlu.

Itulah sebenarnya yang berlaku. Tapi jarang untuk kita renunginya dengan mata hati. Ini menyebabkan kita sering terlepas pandang. Sesungguhnya Allah s.w.t itu sangat mengasihi hambaNya. KetentuanNya itu ada bersebabnya. Usah kita persoalkan dan berduka hati. Sedih dan kecewa andainya apa yang kita mahu itu tidak tercapai. Apa yang kita impikan. Apa segala kebahagiaan yang kita kecapi akhirnya berakhir dengan situasi yang menyedihkan. Hati yang suka dan ceria berakhir dengan rasa marah dan kecewa. Usikan dan gurauan dari yang tersayang juga sudah tiada lagi. 



sahabatku .. bangkitlah ..

Kita seharusnya sedar, ‘Tuhan memberi apa yang kita perlu’. Moga dengan kesedaran ini, diri kita tidak mudah rasa kecewa, sedih dan rasa marah, sentiasa berlinang air mata dan merasakan seakan-akan dunia ini sudah berakhir. Renungilah diri dan lihatlah hikmahNya. Sesungguhnya Allah s.w.t itu maha Pengasih dan Penyayang. Allah s.w.t sangat sayang akan hambaNya yang redha dan sabar akan apa yang telah berlaku. Terima akan ketentuanNya. Apa yang pasti, sentiasalah terima segala ujian dariNya, dan anggaplah segala apa yang berlaku, segala ujian dariNya adalah kerana diri kita disayangiNya. Sesungguhnya beban yang diberiNya tidaklah akan menyebabkan kita tak terdaya untuk kita atasinya.

Kita kadangkala tak menduga, apa yang berlaku sebenarnya adalah kehendakNya. Itulah jalan terbaik sebenarnya.  Itulah jalan untuk diri tidak terus kecewa, memendam rasa dan sakit. Itulah jalan untuk diri tidak terus tertipu dan diperlakukan seolah-olah tidak adanya rasa kasih dan kasihan. Itulah jalan untuk diri berubah dan mendapat apa yang hak dan yang terbaik dalam hidup ini. Kan hari esok masih ada. Hari esok sentiasa menanti dengan senyuman. Hari esok merindui akan kamu …




Moga kita semua sentiasa diberikan kekuatan untuk terus melangkah, hati yang ceria dengan redhaNya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search