Followers

26 March 2017

"Dia sekarang di batu 2 cikgu"


Bila kita dah biasa menulis akan suatu kisah, terasa tak tenang sebenarnya jiwa jika sekadar membiarkan saja kisah yang didengari apatah lagi yang dialaminya sendiri atau dialami oleh insan di sekitarnya berlalu begitu saja.

Terasa lama dah tak menulis kat blog ini. Memang terasa nak menulis kembali cuma … yup! bila ada cuma itulah sebenarnya yang menjadi satu hambatan kepada semua kisah yang ingin dikongsi melalui alam maya. Kisah yang ingin ditulis hanya sekadar berlegar-legar dalam fikiran sahaja.

Tadi petang, masa rehat aku duk sembang dengan seorang cikgu perempuan. Diceritakan akan satu kisah di mana dia berjumpa dengan seorang bapa bekas salah seorang pelajarnya. Bapa pelajar tersebut menyapanya. Katanya dia kenal cikgu tu kerana pernah mengajar anaknya.

“Cikgu, saya ayah Azman. Cikgu pernah mengajar dia kan.  Masa tingkatan 5”  ujar bapa pelajar tersebut.

“oh ya .. Azman .. Di mana dia sekarang Pakcik?” Tanya cikgu tersebut.

“Dia sekarang di Batu 2 cikgu” jawab bapa  pelajar tersebut, dengan nada agak lain sikit.

“Batu 2. Di mana tu pakcik? Dia kerja apa sekarang?” Tanya cikgu  itu lagi. Tanpa ada rasa curiga apapun.  

“Cikgu, Azman  tu dah mati cikgu” balas pakcik tu dengan nada agak kurang senang dengan soalan cikgu tersebut.

“Dah meninggal?” terkejut cikgu itu dengan jawapan Pakcik, bapa bekas pelajarnya itu.
“Takkan cikgu tak tau?” balas Pakcik itu.

“ishh pakcik ni. Kalau saya tau takkan saya tanya pakcik ...” Agak terkilan cikgu tersebut dengan jawapan bapa bekas pelajarnya itu.

Rupanya bekas pelajarnya itu sudah meninggal. Terlibat dengan kemalangan. Pelajar itu pernah belajar di sekolah ini tapi dah berpindah sebaik tamat SPM.  Pelajar tersebut berjaya sambung belajar ke tingkatan 6 di sebuah sekolah, di daerah lain dan  terlibat dengan kemalangan semasa berulang alik ke sekolah tersebut.

Aku yang mendengar cerita cikgu perempuan tersebut sekadar menggelengkan kepala. Tak berapa faham dengan sikap dan situasi pakcik tu. Nak ketawapun ada juga.


Itulah kita. Terlalu cepat berprasangka dan berharap apa yang kita alami turut difahami oleh orang lain. Di situlah silapnya. Kita ni manusia  sebenarnya ada kehidupan tersendiri. Ada kisah dan masalah kehidupan masing-masing. Jadi, usah terlalu berharap orang lain akan turut serta dengan ‘kisah hidup’ kita. Apa yang penting, kita mesti bersikap tenang, usah cepat beremosi tanpa memahami situasi sebenar apabila berhadapan dengan sesuatu perkara.  Kita mesti sedar, apa yang kita alami tidak semestinya orang lain akan tahu, ambil tahu dan ingin tahu. Jadi apabila kita berhadapan dengan seseorang, berbicaralah dengan baik, berprasangkalah yang baik-baik moga situasi yang kita alami juga  akan menjadi baik. Kita tidak mahu, kerana kata-kata kita dan tanpa bersebab bisa buatkan orang lain turut terasa dan terguris hatinya.




1 comment:

Anis Azalea said...

Kadang2 kita memang tak tahu cerita kenapa orang fikir kita tahu semuanya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search