Followers

Showing posts with label pelajar. Show all posts
Showing posts with label pelajar. Show all posts

10 April 2017

Aku intai pelajar, “apa agaknya pelajar ini sedang buat?"


Pagi – Masa relief, aku berjalan perlahan menghampiri kelas 1A3. Tiba-tiba terasa pula nak tau apa yang pelajar kelas pertengahan ini biasa buat semasa ketiadaan guru. 

Sebaik tiba di kelas ini, aku intainya melalui jendela kelas. “Apa agaknya pelajar ini sedang buat?”

Wah! Tak sangka. Aku perhatikan sebahagian besar pelajar kelas tersebut sedang buat kerja. Ada yang sedang menulis, menyiapkan tugasan – buat nota dan latihan agaknya. Ada yang tekun membaca. Ada juga yang melukis.

Aku masuk ke dalam kelas. Semua pelajar terus berdiri. Beri salam.

Sebaik saja membalas salam, aku terus menghampiri pelajar yang berada di barisan depan. Aku tengok mereka terus  sembunyikan buku yang sedang mereka baca tadi. Terasa nak tau pula aku, mengapa mereka cuba sembunyikan buku tersebut.

Aku perhatikan, bukan pelajar di barisan depan saja, ada 5 dan 6 orang lagi pelajar di barisan belakang turut sembunyikan buku.

“Mengapa sembunyikan buku daripada cikgu?. Tunjukkan buku tuu, cikgu nak tengok. Buku apa yang kamu tengah baca?”

Aku lihat semua pelajar memerhatikan aku dan kemudian saling memandang antara satu sama lain.

“Tunjukkan buku yang kamu masukkan dalam laci tadi. Cikgu tengok macam menarik je buku yang kamu baca”

Dalam keadaan teragak-agak, seorang pelajar perempuan di barisan hadapan kelas, mengeluarkan buku dari dalam laci meja, diberikan kepada aku. Rupanya novel.

Aku terus tatapi judul novel tersebut. Perhati dengan penuh minat sambil baca sinopsis di bahagian belakang novel.

“Wah!! Menarik novel yang kamu baca ni. Bila cikgu baca sinopsis, cikgu boleh agak novel ni bagus. Sedap jalan cerita dia …”

Pelajar di kelas itu masih lagi diam.

 “Kelas!! Dengar sini ... cikgu bangga dengan kawan kamu ni. Dia baca novel. Tebal pula ni. Cikgu tak sangka, rupanya pelajar kelas ni rajin membaca.”

“Bagus!! Kalau ginilah kamu amalkan masa relief, Walaupun cikgu tak ada, tapi kamu tak buang masa. Kamu buat kerja, kamu siapkan latihan, siapkan nota. Kamu baca buku. Baca novel .. cikgu percaya kamu akan jadi pelajar yang hebat suatu hari nanti”

“Cikgu teringat, masa cikgu sebaya dengan kamu. Masa cikgu di sekolah menengah dulupun, cikgu juga suka baca novel. Baca novel ni bagus. Ia boleh memperkayakan kita. Kita akan kaya dengan kosa kata. Kita akan mudah untuk buat ayat. Mudah untuk buat karangan.  Kita juga akan mudah untuk berbahasa … “

Sebaik saja aku bercakap, memuji pelajar yang membaca novel tersebut. Aku perhatikan, pelajar yang sembunyikan buku tadi semuanya keluarkan balik buku yang disembunyikan dari aku tadi. Bila aku dekati mereka dan memegang buku tersebut …  kebanyakannya adalah novel cinta. Antaranya novel Tika Cinta Berpaling, Percaya Ada Cinta, Siapa Di Hatimu, Antara Dendam Dengan Perjuangan …







Aku sekadar tersenyum …


15 July 2016

Sambutan Hari Raya Peringkat Sekolah 2016


Kelmarin 14 Julai 2016 – ada sambutan hari raya peringkat sekolah. Semua kelas adakan jamuan raya. Sungguh meriah dan ceria sekali. 

Hampir semua kelas aku terjah. Wow!! tak larat nak makan rasanya. Masuk kelas yang ke-5, aku dah mengaku kalah. Tak larat nak makan dah. Sekadar jalan-jalan masuk kelas dan berbual dengan pelajar je. Bayangkan lebih kurang 25 kelas semuanya.



“Cikgu kenapa tak makan? Alaaa cikgu ni ..” itulah soalan yang diajukan oleh pelajar -pelajar bila aku masuk kelas mereka.

Dan untuk tidak mengecewakan pelajar, aku jamahnya sikit, jamah keropok  .. kuih .. buah .. minum air seteguk dua. Hehe.  Padahal dah tak larat dah. Rasa nak menyandar kat kerusi  je.


Berikut sedikit gambar kenangan raya bersama rakan-rakan guru yang aku ambil dari WhatsApp sekolah. Sebagai kenangan indah .. 

Persahabatan sebagai rakan sejawat amat penting sekali. Ia tiada nilainya ... 







Cikgu-cikgu dan pelajar berpakaian raya, bergaya dan  anggun. oh ya nampaknya pada tahun ni, aku perhatikan ramai pelajar memakai jubah .. gaya terkini kot ..  hanya orang perempuan saja tau perkembangan pakaian sebegini ... 

19 August 2014

24 ribu lebih baca entri Kisah 18sx pelajar tingkatan 1


Kejap tadi buka blog. Lama juga tak jengah. 

Aku perhati blog yang sekian lama menemani aku. Blog yang menjadi tempat dan ruang untuk aku membicarakan sesuatu. Ruang untuk aku meluahkan sesuatu yang terbuku di hati, bermain di fikiran. Di blog ‘kerdipan bintang’ inilah aku berusaha untuk berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan di alam maya. Rakan-rakan yang pernah membuatkan hidup ini ceria. Rakan-rakan yang dapat  menenangkan hati dan fikiran yang kadang-kadang berbaur dengan pelbagai rencah karinya. 

Aku perhatikan sekali lagi blog ini. Oh ya, aku tabik kat beberapa orang blogger yang pernah bersama di alam maya. Masih kekal aktif . Tahniah!!! Aku pula kebelakangan ini agak slow sikit. Suka baca je. Idea itu ada tapi malas pula. Entah apa jenis penyakit datang menguasai diri. Yang jelas penyakit malas menaip ..

Tambahan lagi, sejak beberapa bulan ini duk sibuk dengan kerja sekolah. Sibuk hadir kursus dan bengkel sana sini. Sibuk beri ceramah berkenaan program dan bengkel akademik. Dalam masa yang sama sibuk juga ‘mengumpul dan mengurus aset’. Sibuk mengurus homestay. Sibuk mengurus tanah,  beli tanah dan nak jual tanah. Sibuk dengan beli rumah dan nak buat rumah.  Hehe.

Orang kata hidup ini kita perlu bijak merancang. Yup!! Kita harus bijak merancang perjalanan. Perjalanan kita masih jauh. Itupun jika diizin olehNya. 

Kita perlu melihat bintang-bintang di langit. Ia terlalu cantik dan indah. Itupun jika kita menghayati ciptaanNya. Betapa kita di dunia ini terlalu kerdil. Terlalu kecil. Tapi jangan kerana perasaan kekerdilan itu membuatkan kita rasa tak bermaya, terasa lemah dan membiarkan diri kita hanyut begitu saja. Hanyut ketinggalan. Kita harus berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Harus mampu menyumbangkan sesuatu kepada hidup ini.  Di situlah ada kunci kebahagiaan dan ketenangan hidup sebenarnya.



 sekali sekala terimbau kenangan zaman kanak-kanak .. berlari suka ..


Apapun ketika kita melihat keindahan bintang-bintang di langit,  jangan pula kita lupa untuk tengok  rumput di bumi …

Untuk semua rakan kenalan di alam maya, “Terima kasih dan teruskan berbicara di alam maya …”

p/s – aku tengok popular posts .. uisss  Kisah 18sx pelajar tingkatan 1 masih di tangga teratas. 24 ribu lebih yang baca entri Kisah 18sx pelajar tingkatan 1 .  Aku tertanya-tanya juga ..  dorang ni suka sangat ke dengan kisah-kisah begini? Tapi maaf le .. blog ini bukan kisah seks okey. Ia kisah kehidupan manusia dan juga kemanusiaan .. hehe

28 October 2013

Moga teman-teman alam maya sentiasa sihat ...



Wow!! sebulan tak update .. adoii ..

Apapun kepada teman-teman pembaca semua, moga sentiasa sihat, hati gembira dan ceria bahagia sentiasa. Jika ada sedikit kerumitan dan masalah yang melanda tu, anggaplah ia sebagai satu ujian dariNya. Ujian yang menandakan diri kita disayangiNya … kita diuji kerana disayangiNya. InsyaAllah setiap ujian pasti ada jalan penyelesaiannya okey.

Maaflah teman-teman yang hadir kat blog ni. Lama tak update. Sebulan dua ni tuan punya diri tengah sibuk bersama dengan pelajar-pelajar. Maklumlah SPM dah tak lama lagi. Enam November ni dah mula Peperiksaan SPM.
 
Aku .. macam biasalah. Makin hampir dengan Peperiksaan SPM semakin bertimbun le tugas. Dengan tugasan dalaman sekolah. Dengan bagi ceramah sana-sini. Buat bengkel sana-sini. Apapun kesibukan itu sebenarnya berikan satu kepuasan dalam diri. Letih tapi rasa puas … terasa diri ‘hidup’ .. ada je perlu fikir dan nak dibuat dengan pelajar-pelajar ni.



apa yang penting dalam melakukan sesuatu ialah kepuasan diri ..

Oh ya tahun ni subjek Sejarah adalah subjek wajib lulus selain Bahasa Melayu. Kalau pelajar gagal Sejarah maka diorang tak layak dapat sijil SPM. Dengan kata lain, bolehle dianggap gagal SPM. Oleh itu aku sebagai cikgu kena le buat sesuatu yang lebih sikit terutama dengan pelajar-pelajar yang ‘agak lemah’ dan yang ‘agak malas’ sikit tu. Iyalah kan .. ada sebahagian tu dah le agak lemah sikit tapi masalahnya acap kali juga tak hadir sekolah.

Apapun harapan mak ayah diorang terlalu tinggi … sebagai cikgu, aku kena le berusaha sedaya upaya dan setakat termampu untuk bantu pelajar-pelajar ni. Berusaha sehingga ke tarikh sebenar peperiksaan .. InsyaAllah …



 

23 September 2013

Pelajar ponteng sekolah kerana faktor guru?




Adake cikgu begini sekarang ini?

Seronok baca hasil kajian terkini ini:

“Personaliti atau sikap guru dikenal pasti sebagai faktor terpenting dalam mempengaruhi pelajar ponteng sekolah, menurut kajian yang dijalankan Universiti Malaya (UM) dan Institut Pendidikan Guru dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling UM, Dr. Zahari Ishak berkata, keperibadian guru yang digemari pelajar akan meningkatkan minat serta menggalakkan golongan itu hadir ke sekolah.

"Guru memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar ke sekolah. Hal ini kerana secara amnya pelajar suka berada di sekolah tetapi personaliti guru yang garang, marah-marah, suka membebel dan teknik pengajaran membosankan menyebabkan mereka tidak mahu ke sekolah.”

Nak komen sikit …

Bila aku amati. Memang ada benarnya. Benar bila melihat faktor guru! Sebenarnya banyak faktor lain lagi yang melingkari diri pelajar yang menjadi penyebab pelajar suka ponteng sekolah.

Apapun aku seronok juga dengan kajian ini. Aku nak ulas sikit berkenaan faktor guru garang, marah-marah dan suka membebel.

Adakah guru garang & suka marah-marah? Rasanya tak semua cikgu garang dan suka marah-marah. Memang aku akui ada cikgu yang garang. Tapi pada pandangan akule sebagai seorang cikgu, guru yang garang ini kebanyakannya garang bertempat. Mereka kadang tu terpaksa bersifat ‘garang’. Tujuan tak lain tak bukan, nak pastikan pelajar beri tumpuan dalam kelas. Beri perhatian semasa P&P berlangsung. Tak nak ada ganguan kelas. Bagi aku, kebanyakan cikgu amat kasih dan sayang kat pelajar-pelajarnya.  Aku dah lihat dan melaluinya.

Mungkinkah guru itu bersifat tegas tapi dipandang oleh ‘pelajar-pelajar bermasalah’ sebagai guru yang garang? Bagi aku, seorang guru perlu ada sifat tegas dalam diri. Tegas dalam memastikan keadaan kelas terkawal. Lihat jugale pelajar dan kelas yang diajarnya. Ada sesetengah kelas dan sebilangan pelajar tu wow bukan main ‘main-main’ lagi terutama pelajar lelaki (maaf, biasanya kelas belakang) dengan cikgu perempuan.  Boleh bawa nangis cikgu tuu ..   

Bagaimana dengan pelajar perempuan? mereka okeyke? tak ‘main-main’ ke? yup! terus-terang pelajar perempuan ada juga yang suka ‘main-main’ tapi biasanya tak ramai le dan biasanya mereka ni dapat dikawal dan dilembutkan dengan mudah. Ada caranya.

Adakah guru suka membebel? (membebel atau menasihati?) Rasanya tak sah kalau seorang cikgu tu tidak membebel terutama cikgu perempuan. Dah lumrah mereka gitu kan. hehe. Gurau jer. Pada pandangan aku le, kalau hari-hari cikgu duk membebel memang akan buatkan pelajar bosan. Panas telinga. Rasa nak keluar kelas je. Masalahnya pelajar jugale yang buatkan cikgu tu suka ‘membebel’. Suruh buat latihan tak buat atau tak siap. Suruh baca tapi balik rumah langsung tak baca. Bila ditanya tak tau hatta soalan senangpun tak tau juga pelajar tu nak jawab. Bebel le cikgu tu. Adakah bebelan cikgu tu salah? Atau mereka patut senyum? 

Berbeza dengan cikgu lelaki, cikgu lelaki biasanya tak suka membebel tapi mereka terus ‘sembur’ dengan ayat-ayat yang boleh buatkan pelajar terus diam ..  Nasihat mereka nasihat yang ‘tidak berlapik’ ..  Panas Pedas. 

Cikgu lelaki ada cara .. marah tetap marah ..  serius bila cikgu lelaki marah rasanya boleh bergegar bangunan sekolah tapi bila jumpa kat luar sekolah, macam biasa je. Cikgu dan pelajar tu okey jer. Sama-sama pakai jeans dan tshirt. Suka ajak pelajar makan, borak-borak. Suka ajak pelajar untuk temankan cikgu pergi kebun dan sebagainya. Itulah sebabnya pelajar yang bermasalah (tak kirale pelajar lelaki ke .. pelajar perempuan ke ..)  biasanya bila dah tamat sekolah, apabila berjumpa cikgu kat luar, mereka masih tegur dan tak segan untuk makan kat kedai dan berbual-bual dengan cikgunya … 
 
p/s – dunia ‘cikgu’ semakin seronok … sebab itu ramai lepasan ijazah nak jadi cikgu sekarang ni ..  beratus-ratus ribu setiap kali memohon …

Moga sesiapa saja yang nak jadi cikgu atau dah jadi cikgu ... jadilah cikgu yang "hatinya gembira dalam mendidik dan ketika bersama pelajar-pelajarnya". InsyaAllah baru seronok bila jadi cikgu!!



03 May 2013

Smart tapi suka meleleh dalam kelas



Aku terima sms dari seorang bekas pelajar SPM 3 tahun lepas.

“Salam .. cikgu, ni Jaafar kelas 5PD. Ada tanah 9 ekar 3 suku. Getah boleh ditoreh 6 ekar, 3 ekar baru ditanam. Kebun tepi jalan .. murah cikgu ..”

Aku senyum baca smsnya.

Terdetik hati. Bagus betul bekas pelajar aku ni. Orang lain duk sibuk pasang bendera sana-sini. Sibuk duk berarak kibarkan bendera parti. Berarak dengan bendera parti dapatle juga RM35.00 seorang. Dia ini tak .. duk sibuk dengan soal tanah dan kebun getah. Tak sangka dia masih ingatkan cikgunya ini. Malah sempat hantar sms bertanyakan khabar dengan tawaran yang hebat. Tawaran kebun getah. hehe ..

Tiba-tiba aku teringat, Jaafar ni seorang pelajar yang nakal. Suka tidur dalam kelas. Suka juga melawan guru. Malah pernah bergaduh dengan pelajar yang lain. Tapi dengan aku .. dia ni lain.  Mungkin dia hormat aku kerana aku ni suka bagi nasihat kat dia. Aku juga pernah melatihnya menjadi ketua keseluruhan semasa perbarisan unit beruniform sekolah.  Aku ajarnya beri ‘arahan’ kawad kepada semua pelajar. Walaupun peringkat awalnya dia takut dan tak ada keyakinan diri tapi selepas aku ajarnya dan beri keyakinan diri padanya akhirnya dia berjaya juga. Dia berjaya di mana dia pernah muncul sebagai ketua perbarisan terbaik semasa perkhemahan unit beruniform peringkat daerah.

Aku juga masih ingat di mana aku pernah bagi nasihat padanya di depan pelajar-pelajar lain dalam kelasnya:

“Cikgu ada terima laporan ..  betul ke Jaafar suka tidur dalam kelas?. Sebab cikgu tengok Jaafar ni okey je masa cikgu. Jaafar .. cikgu tengok Jaafar ni smart orangnya. Hidung mancung macam Akshay Kumar. Tapi .. kalau kita ni hanya smart je tapi duk suka meleleh air liur dalam kelas. Suka tidur. Malas belajar .. suka melawan guru .. apa gunanya. Tak ada nilainya ‘kesmartan itu’.  Ingat!!  smart je tak cukup. Smart  je tak boleh bawa kejayaan dalam hidup.  Bla bla bla .. "




p/s – Jaafar, berbaju hitam,  pernah aku bawa masuk ke kebun getah pada awal tahun 2009 dulu -   'Siapa yang nak ikut cikgu pergi kebun'.

Aku dengar khabar dia kini terlibat ngan bisnes ..  baguslah ..


01 April 2013

Kisah 18sx pelajar tingkatan 1




Semasa turun dari tangga, beberapa orang pelajar memanggil .. (mereka semua pelajar lelaki tingkatan 1)

“cikguuu .. cikgu .. ni Aznan ni cikgu .. dia tak bersunat lagi cikgu ..” ujar seorang pelajar sambil ketawa.  4 orang pelajar lain yang duk bersama turut ketawa.
“hah! biar betul ni?” aku senyum. Nak tergelak juga tengok gelagat mereka.
“Cikgu tanyalah dia cikgu ..” kata seorang pelajar lagi.

Aku perhatikan pelajar yang dikatakan ‘belum bersunat’ lagi tu. Pelajar itu buat dhek je dengan usikan kawan-kawannya. Matanya memandang aku.  

“Betul ke belum bersunat ni? Jom ikut cikgu. Ada gunting dalam bilik cikgu .. tumpul sikit tapi masih boleh guna” Aku sengaja bergurau.  Aku perhatikan pelajar yang dikatakan ‘belum bersunat’ tu kelihatan serba salah. Dia tak berganjak dari tempat duduknya, Matanya terus memandang aku.

“Mari ikut cikgu jap”, aku panggil pelajar ‘belum bersunat’ tersebut.
“Nama apa? Tingkatan?”
“Aznan. Tingkatan 1 ..”
“Aznan ni tinggal kat mana? Ayah nama apa?” aku bertanyakan soalan lagi.
“Tinggal kat Kampung Pasir cikgu ..  ayah .. Ibrahim ..”
“Ibrahim .. anak Mak Tua? Abang nama Ropi?” aku meneka.
“iya cikgu ..”
“ooo cikgu kenal. Cikgu selalu juga duk minum dengan ayah .. kedai Nuar”

“Ni cikgu nak tanya .. betul ke belum bersunat lagi ni?”
“iya cikgu .. belum lagi ..”
“ishh .. dah tingkatan 1 ni .. kenapa belum bersunat lagi? Takkan nak tunggu naik tingkatan 3. Payah nanti”

Pelajar tersebut diam ..

“Ayah tak oyat ke .. tak sebut ke hal-hal sunat ni” aku bertanya lagi.
“Tak cikgu ..”
“Okey .. balik bagitau kat ayah .. Aznan nak bersunat. Mungkin ayah tak ingat ke apa ke?”

“iya cikgu ..”





19 March 2013

Cikgu kena pandai tackle hati pelajarnya



 gambar yang aku sendiri snap .. sempat peace  V lagi tuu ..

Waktu tengahari - sebaik melangkah masuk kelas, baca bismillah, kemudian senyum kat semua pelajar.

Kali ini mengajar tajuk ‘Malayan Union’. Dalam usaha menguji ingatan lampau pelajar, aku kemukakan soalan.

“Siapa tau, apakah sebenarnya tujuan UMNO ditubuhkan?’
“BR1M” seorang pelajar lelaki dengan spontan bersuara. Nadanya agak perlahan. Seakan-akan berbisik.
“ishhh .. “

“Okey Ayu .. Farah .. ni Lukman .. apa tujuan utama UMNO ditubuhkan?”
“Cikgu .. tujuan dia .. Kedai rakyat 1 Malaysia, Klinik 1 Malaysia …” sahut seorang pelajar lelaki lain lagi. Semua pelajar ketawa. Aku sekadar senyum.

“Dah dah .. habis! serius!! cepat apa tujuan utama penubuhan UMNO. Dulukan dah belajar ..” Aku tekankan sikit nada suara. (sebenarnya aku nak tergelak juga. Iyalah kan diorang ni sajaaa je. Diorang ni dari kelas 5 Anggerik. Kelas depan. Ramai pelajar dalam kelas ini menjadi pelajar target sekolah)

“Cikgu. Saya cikgu .. Tujuan utama UMNO ditubuhkan adalah untuk menentang Malayan Union.” sahut seorang pelajar perempuan.
“Okey bagus Suraya. Itu jawapan yang paling tepat sekali ...” bla bla bla ..

p/s – Menjadi cikgu ni kena banyak bersabar, kena sentiasa tenang. Kena ceria. Kena pandai dekati pelajar. Biar diorang ni gembira semasa belajar .. gelak-gelak .. tapi ada ketikanya perlu juga ‘tegas’ supaya dapat kawal kelas. Maklumlah pelajar sekarang ni agak lain. Mereka berani dan agak terbuka. Oleh itu sebagai cikgu ..  kena pandai  tackle hati mereka.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search