Followers

Showing posts with label Pengurusan Stress. Show all posts
Showing posts with label Pengurusan Stress. Show all posts

02 February 2013

80% ke hospital pakar adalah guru perempuan?



Pinjam gambar cikgu lelaki yang 'rileks' dari google ..

Pagi - duk sembang-sembang dengan seorang kawan. Menurut kawan aku itu, baru-baru ini dia ada pergi kat satu hospital pakar di Kota Bharu. Semasa sedang mengambil wuduk, kebetulan datang seorang doktor juga ingin mengambil wuduk. Dia sempat berbual dengan doktor tersebut. Dalam duk berbual tu, doktor tu bagitau kat kawan aku tu .. “hampir 80% yang datang kat hospital pakar itu adalah terdiri daripada guru wanita!” Menurut doktor itu lagi, kebanyakan guru wanita yang datang itu bukannya sakit dalam erti kata sakit sebenarnya tapi kebanyakan adalah disebabkan faktor ‘stress’. Stress menyebabkan ramai antara mereka mengadu lengguh bahu, sakit leher, rasa telinga dan hidung macam  ada ‘sesuatu yang tak kena’.

Apabila ditanya ubat yang diberi kepada guru wanita berkenaan, doktor itu bagitau kebanyakannya dengan memanggil seorang ‘kaunselor’ khas. Habis berkaunselor dengan sedikit ubat .. mereka akan rasa okey.

Menurut doktor itu lagi, kebanyakan guru wanita yang pergi kat hospital pakar itu adalah yang ada insuran dan merekalah antara  ‘penyumbang’  terbesar kat sana. Bayangkan 3 hari bermalam .. claim insuran ada menjangkau RM3,000.00  ke RM4,000.00 .

Aku tak tau sejauhmana benarnya kata doktor itu.

Bagi aku, mungkin juga ada benarnya. Hasil pemerhatian aku, memang ada le guru wanita yang mukanya sentiasa  ‘nampak agak stress’. Dapat kerja lebih sikit, lagi bertambah 'stress' muka. adoii ..
 
Berbeza dengan guru lelaki, kebanyakan mereka sentiasa nampak ‘rileks dan tenang’  je. Walau sesibuk manapun mereka, pada hujung minggu, mereka masih sempat pergi mengail, pergi main bowling, pergi kebun menebas apa yang perlu ..  sempat ajak pelajar pergi basuh dan mengecat apa yang perlu, sempat bergurau dan gelak-gelak dengan pelajar …  

Mungkin sebab itulah agaknya jawatan ketua biasanya orang lelaki yang pegang. hehe ..


14 May 2012

Petua hilangkan rasa diri tak bermaya tanpa ubat …


Lama sungguh tak contact Mohd Azian,  seorang kawan baik semasa belajar di UKM, juga semasa  sama-sama kerja dan jadi tutor kat UMS. Beliau kini menetap kat Muar, Johor.

Tadi aku telefon dia .. bual-bual ..

“Assalamualaikum .. Azian, apa khabar kau?”
“Waalaikumussalam .. Baik .. kau syid ... lama tak dengar khabar kau. Kau apa khabar syid?”
“Okey, baik. Masih smart .. kau macamana pula azian. Perut kau?”
“Perut aku maintain je. haha!! .. kau ni tak berubah le syid..”
“Azian kau ada contact kawan-kawan lama kita ... Tengku, Zubir, Sudin ... Arman?’
“alaa lama dah tak contact. Kau dapat hubungi mereka tak?’
“Ada juga walaupun setahun sekali ..”

“Azian kau masih ingat Ayob?”
“A’ahh macamana dia? Kau dapat jumpa dia ..”
“Ada. Minggu lepas masa aku bagi ceramah kat cikgu-cikgu daerah Tumpat dan Pasir Mas...”
“Owhh iyake ..”
“Kau tau tak Azian. Masa jumpa Ayob tu aku tak cam dia. Dia cam aku. Dia terkejut jumpa aku ... akupun terkejut juga. Dia makin smart le. Makin putih ..  berisi sikit ..’
“ooo .. dia jadi kan dengan  ..”
“a’ahh jadi ..”
 “Azian kau masih ingat kisah Ayob masa kat UKM .. “
“Ingat .. mana boleh tak ingat .. hehe” (kami sama-sama gelak, sama-sama faham)

“Azian, dua minggu lepas aku jumpa Tengku ..”
”Tengku, aaa .. apa khabar dia sekarang ni?’
“Dia terlebih berisi ... perut dia kalahkan kau … dia sekarang ni dah jadi PK HEM ..”
“PK HEM? ishh biar betul kau syid .. macam tak percaya aku ..”
“aaaa tu le kau. Sebenarnya akupun ..  tak sangkakan ...”
“Masa kat UKM dulu diakan slow je … selalu Si Sudin angkat dia. Dukung dia  ..  dia selalu jadi bahan gelak Sudin ..  bla bla bla ..“
“haha!! kau ni ..”

Lama juga kami mengimbau kisah semasa belajar kat UKM .. Setiap kali cakap, kami akan gelak ..

“Syid, bila aku borak dengan kau .. aku rasa seolah-olah kita masih kat UKM. Masih belajar kat sana. Seronok sangat ..”

“a’ahh le Azian. Aku rasa nak pergi belajar kat UKM lagi le .. jom kita sambung phD ..”
“haha!! aku dah tak larat le syid .. otak dah penuh .. jem ..” (ketawa ..)



p/s - Rasa badan tak bermaya, sedikit pening yang aku rasai tadi terus hilang bila dapat borak dengan Azian  .. borak-borak .. gelak-gelak. So nasihat saya kepada kawan-kawan blogger, kalau rasa badan tak berapa okey tuu jangan telan panadol dulu. Sebaliknya cuba hubungi kawan-kawan baik yang dah lama tak jumpa ..  boraklah, ceritalah kembali kisah-kisah lama, kisah yang menggembirakan, kisah yang menenangkan hati dan perasaan ..


11 January 2012

Aku bersama pelajar dirasuk jin


 sekadar gambar hiasan

Pagi tadi 9 orang pelajar histeria secara tiba-tiba di dalam kelas  ..
Seorang demi seorang dipapah ke surau sekolah ..
Jerit .. nangis ..
Jerit .. nangis ..

Seorang ustaz Darul Syifa dijemput ..
Aku iringi ustaz  ..
Aku perhatikan ustaz berkomunikasi dengan ‘pelajar’.  Pelajar tersebut meraung menangis.

“Mu datang dari mana?” (‘pelajar’ menunjukkan tangannya ke arah asrama)
“Keluar! pergi! Jangan ganggu budak-budak ni!”
“okey!! aku nak gi dah ..” (‘pelajar’ menjerit kuat)

“Panggil .. bawa sekali sahabat-sahabatmu!”
(Aku  bawa .. adoii sakit .. adoiii ..)

“Mu nak keluar dari mana? Dari kaki? okey keluar!!!”
“Ada lagi .. ni siapa ni? aku kata keluar!! keluar!!”
“Mu ni nak tipu aku .. aku kata keluar!  keluar!!!”

Jerit .. nangis ..
Jerit .. nangis ..

Rupanya ada ‘makhluk’ dari asrama yang datang ..

Akhirnya alhamdulillah. Semuanya reda. Pelajar beransur baik.


23 July 2011

Terfikir mau bunuh ayah ..


Tadi terbaca satu kisah berupa luahan hati  ..

Saya ingin pandangan dan nasihat untuk menghadapi ujian yang cukup berat ini. Sebenarnya ketika ini saya amat tertekan dengan sikap bapa yang panas baran dan ego. Sejak saya kecil lagi memang saya tahu dia seorang yang tegas dan garang. Namun sejak akhir-akhir ini, perangainya bertambah teruk. Pantang ada kesilapan walaupun kecil pasti maki-hamun keluar dari mulutnya.

Orang yang sering menjadi mangsa ialah ibu saya. Kadangkala hanya masalah remeh-temeh seperti gurauan, sembang-sembang mengenai politik bertukar menjadi perang dingin. Walaupun bapa yang bersalah, namun dia akan mengamuk jika ibu tidak meminta maaf. Sudah banyak kali air mata saya mengalir mengenangkan nasib ibu.

Ibu saya puas bersabar namun sesekali dia melawan juga. Tetapi jika dilawan, keadaan menjadi bertambah teruk. Apabila saya dan adik-adik cuba pertahankan ibu atau menegur perangainya, bapa mengamuk. Sampai satu tahap, bapa mahu membunuh adik saya dengan kerusi. Puas saya bersabar dengan perangainya yang mengalahkan orang gila.



Saya sering mendoakan bapa cepat mati. Sering juga saya ucapkan ‘takkan pedulikan dia apabila dia sakit terlantar’. Saya tahu saya menjadi anak derhaka dan berdosa besar. Neraka adalah tempat untuk anak derhaka seperti saya. Tapi kadangkala perasaan menguasai akal.

Pernah satu malam sewaktu saya melintasi tempat tidurnya, terngiang-ngiang di telinga bisikan menyuruh saya menekup mukanya dengan bantal hingga lemas. Pernah juga saya nekad mahu mencurah air panas di mukanya. Namun saya beristigfar. Apabila kewarasan datang semula, saya terfikir alangkah bodohnya saya jika membunuhnya.

Bacanya buatkan aku terfikir. Terfikir akan adanya lagi kisah seperti ini ..

Bila berdepan dengan kisah-kisah seperti ini buatkan aku termenung sekejap. Rasa sedih akan kehilangan ... Bersyukurlah pada mereka yang masih ada ayah.  Kadang tu dipukulnya diri. Dipukulnya itu tanda sayang. Ia bisa dan hanya difahami bila tiba waktunya ..  oleh itu usah biarkan perasaan marah dan sakit itu terus kekal dalam hati. Ia bisa dan boleh buatkan seseorang itu hilang rasa dan nilai kemanusiaannya.

27 April 2011

Sakit tapi ada nikmatnya …

Tadi baca majalah Al Islam keluaran Mei 2011, tertarik dengan satu artikel, “Nikmatnya rasa sakit”.

Rasanya semua orang tau, bagaimanakah rasa kaki apabila tertusuk duri? Bagaimanakah rasa tangan bila terkena api atau air panas? Bagaimanakah keadaan diri bila berada di kawasan antartika? Selembut manakah kain sutera bila disentuh?

Sakit! Panasnya! Sejuknya! ermm lembutnya!! Demikianlah reaksi spontan kita.

Namun bila kita amati, ramai juga di kalangan kita bila sakit je pasti akan mengeluh. Keluhan seolah-olah kita tidak tertahan dan redha dengan kesakitan itu. Malah bagi sesetengah orang mungkin ada suara hati yang marah dengan kesakitan yang dialami.

Sebenarnya rasa sakit juga satu anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Ia satu nikmat daripada Allah s.w.t. Ia satu nikmat di mana badan kita berupaya mengesan rasa sakit. Cuba bayangkanlah bagaimana agaknya jika kita tidak rasa sakit. Bayangkanlah jika Allah s.w.t mematikan semua deria rasa pada badan kita? Bayangkanlah kita tak rasa sakit apapun walaupun mengalami kecederaan …

Jom kita cuba bayangkan …

Bayangkahlah jika kemalangan. Tanpa rasa sakit mungkin kita tak sedar kita cedera kat bahagian-bahagian tertentu. Patah ke terseliuh ke .. terkoyak ke apa ke ..  tengok tengok tergolek sebelah kaki .. (sukar dan tak nak aku bayangkan!!)

Bayangkan kita tak rasa sakit bila tangan terkena pisau .. tengok-tengok darah dah berlumuran. Bayangkanlah kita tak rasa sikitpun sakit dada .. tengok-tengok dah rebah akibat kegagalan jantung berfungsi tanpa sempat diberikan bantuan. Bayangkanlah perempuan yang melahirkan bayi .. jika tak rasa sakit … (suka ke atau macamana ek?) 

Sesungguhnya bila direnungi ternyata amat besar sekali nikmat Allah s.w.t berikan kepada kita semua. Ia tak terhitung. Di sebalik kesakitan itupun tersembunyi penuh nikmat dariNya.

Itu bab sakit .. bila aku fikir-fikir ia belum masuk lagi bab keindahan bila mata memandang, akan kelembutan sentuhan, kemerduan telinga, kesedapan rasa ..  di sana juga tersembunyi akan nikmat dariNya.

Bayangkanlah jika makan tak rasa apa-apa ..
Bayangkanlah bila mata memandang .. kosong ..

Bayangkanlah bila bergambar .. hitam putihje .. takde warna-warnanya ..

 Snap jap. Lama tak bergambar .. 


17 April 2011

Dengan tenang mata kupejam rapat ...

6.45 pagi tadi - dengan berpakaian loreng tentera aku bertolak ke Pusat Kokurikulum Negeri Kelantan.

Mengajar kawad asas kepada bakal-bakal jurulatih pusat kokurikulum negeri ..

Gelihati aku melihat gelagat dan cara berkawad peserta. Apapun aku tabik dengan semangat berkawad yang ditunjukkan. Mereka sedia berpanas berpeluh.  Bagi aku bukan semua yang sanggup berkawad apatah lagi di bawah panas terik matahari. Kena pula perempuan anak manja atau yang suka manja manja ..  yang suka berhias make-up bagai .. hehe

2.00 petang - Terus ke Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kota Bharu. Bukan nak bayar cukai tapi nak bertemu dengan orang yang belum pernah aku temui, kakak Aiton Hamzah .. nak bincang pasal tanah .. nak bincang pasal perancangan nak bina rumah kedai .. harap-harap semuanya okey.

4.00 petang – singgah KB Mall – beli seluar jeans, kasut sukan & cool pad ..

Habis shopping terus drive - pulang rumah ..


Malam – hujan turun dengan lebatnya. Selepas solat isyak, terus rebahkan badan – dengan tenang mata kupejam rapat ..  sedang hati terus berkata-kata ..

“Tengoklah bila malam hadir .. sepi menjengah diri ...”
“Lihatlah bila esok menjelang pagi .. kesibukan mendatangi diri lagi ...”

05 March 2011

Bila hati resah ...

abaikan butang baju tu.. abaikan jambang tak 'shaved' ..


Malam tadi – hati resah. Terus keluar rumah. Pandu kereta … terus pusing bandar ..

Singgah satu restoran ..
Duduk baru fikir nak order apa .. (sebenarnya perut masih kenyang)

Nasi ayam ..
Nasi ikan siakap 3 rasa ..
Nasi paprik ..
Nasi tomyam .. sup ayam .. sup ekor ..
Nasi goreng kampung ..
Nasi goreng cina ..
Mee goreng ..
Mee goreng basah ..
Mee goreng mamak ..
Kuey teow ladna ..

Tapi semuanya takde selera ..

Terfikir nak pergi KFC ..

Takde mood ..

“Abang nak minum apa?” sapa adik pelayan .. lembut ..
“ermm ..  fresh oren ..”
“Makan?”
Aku sekadar menggeleng kepala ..

Habis minum fresh oren .. order lagi ..

“Adik ..bagi teh ais satu ..”


Balik rumah. Sambil baring-baring atas sofa buka laptop. Terus klik klik .. tengok clip video ..  6 dalam 1 skrin  .. 



Dalam hati.. begini rupanya bila hati resah. Tak tenang … adoii ..

15 February 2011

Otak wanita akan terangsang …

Baca satu dapatan kajian:

Menurut Dr John Marsden, pakar psikologi London, otak wanita akan terangsang dengan sempurna tatkala berbicara dengan individu yang disukai. Rangsangan tersebut mendorong jantung untuk berdegup tiga kali ganda lebih cepat berbanding keadaan biasa sekaligus menyihatkannya. Bukan itu saja, ia juga meningkatkan peredaran darah ke seluruh tubuh terutama di bahagian pipi dan organ seksual yang mewujudkan perasaan bahagia ke dalam diri wanita berkenaan.



Aku cuba mengamatinya. Rasanya agak setuju dengan kenyataan pakar psikologi itu. Bagi aku, otak sesiapapun biasanya akan segar bugar (terangsang?) dan aktif bila berbicara dengan seseorang yang disukainya. Bila berbual dengannya akan rasa gembira. Rasa bahagia. Pasti nak senyum .. dan ideapun datang je. Mengalir terus. Masa berbualpun tak terasa lamanya. Rasa sekejap je.

Kontrasnya bila berbicara dengan orang yang tak disukai (mungkin ada sebabnya tak berapa suka) tentu akan rasa tak selesa. Rasa resah gelisah. Bila berbicara rasa nak cepat je tamatkannya. Ada-ada je alasannya. Mukapun takde cerianya .. dan sudah tentu otakpun akan rasa kaku dan beku. Cepat mengantuk. hehe ..

Bagi aku, berbicara dengan orang yang kita suka tak semestinya berdepan muka. Tak semestinya perlu menatap mata …

Walau sekadar berbalas komen kat entripun kalau orang itu adalah orang yang kita sukai, ia akan berikan kita rasa ceria. Malah boleh buatkan kita senyum.  Seolah-olah sedang duduk berdepan dan dah kenal lama...

p/s – selalu juga senyum bila beri komen kat blog teman-teman …

13 February 2011

Sahabatku .. Ujian dariNya tanda kita disayangiNya

Jam 10.00 malam, aku selak helaian buku.

Seorang sejarawan dan sasterawan Mesir, Ahmad bin Yusuf dalam bukunya, Al-Mukafa’ah wa Husnul ‘Uqba pernah berkata:

“Manusia sebenarnya telah mengetahui bahawa lenyapnya kesedihan dan kesulitan adalah sesuatu hal yang pasti sebagaimana lenyapnya malam menandakan munculnya siang. Namun seringkali juga manusia mengiringi jiwa pada saat terjadinya bencana …”

Aku merenungi bait kata-kata tokoh di atas. Rasanya memang benar di saat kita berhadapan dengan masalah dan kesulitan, kita kadang-kadang terbawa dalam permasalahan dan ruang kesulitan itu sendiri. Kita diuji dengan pelbagai ujian, diusik dengan kata-kata yang kadang-kadang bisa buatkan hati kita terasa sakitnya. Terasa pedihnya. 


Dalam saat menghadapi kesulitan inilah jiwa kita sebenarnya harus diberi kekuatan. Jika tidak disuntik dengan kekuatan yang baru, jiwa akan terisi dengan rasa kesal, rasa marah dan mungkin juga rasa keputus asaan. Dunia akan dilihat seolah-olah lesu. Kosong. Tak ada warnanya. Cubaan dan ujian juga akan dilihat semakin besar. Rintangan dilihat seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.

Dalam saat menghadapi kesulitan ini, jika tidak ditangani dengan baik maka kerisauan akan semakin bertambah kuat. Perasaan juga akan bercampur baur antara kehendak dan detik hati, tanggungjawab dan rasa simpati.

Bagi aku, apa yang penting dalam menghadapi permasalahan dan kesulitan … hati perlu tabah. Semangat perlu kuat. Usaha perlu ada. Pada masa yang sama, siraminya dengan keikhlasan, nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

“Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan menguji diri kita kecuali bahawa ujian itu akan mendatangkan kebaikan dan hikmah …”

“Sesungguhnya juga Segala ujian dariNya itu tanda kita disayangiNya.”

19 December 2010

Mata ini merah pula. Nak kata mengintai ...

Pagi tadi – kat pasar tamu. Aku singgah satu warung untuk makan nasi berlauk. Semasa duk makan tu, mata melihat persekitaran. Sudah jadi kebiasaan - suka melihat gelagat orang.

Seorang pakcik berbual dengan tuan kedai. Aku agak-agak pakcik tu dah berumur 60-an gitu. Manakala tuan kedai, seorang kakak sekitar umur 40-an.

 Gambar sekadar hiasan

Suara pakcik itu agak kuat. Aku mendengarnya ...

“ishh mata ni merah pula. Nak kata mengintai .. takdelah pula. Orang tua …” selamba je pakcik tu bersuara sambil tersengih-sengih. Agak kuat volume suaranya. Rasa aku satu kedai boleh dengar.

“Itulah .. tengok ke tuan pun dah tau. Nak melangkah batang pinangpun tak larat ...” tuan kedai bersuara sambil senyum. Nada suaranya pun sama-sama kuat.

“Mana ada tu.. tengok gaya memanglah. Melangkah batang pinang tak larat. Tapi kalau angkat batang balak larat lagi tu ..” sampuk seorang lagi pakcik. Juga agak berumur. Mungkin kenalannya.

Aku senyum. Aku tengok pelanggan-pelanggan yang tengah duk makan di kedai itu juga senyum. Senyum tercuit dengan senda gurau orang tua-tua. Malah ada yang mengeleng-gelengkan kepala sambil senyum.

Dalam hati aku, mereka ini mungkin dah biasa. Dah kenal lama. Gurau-gurau .. menceriakan keadaan.

p/s – kan hidup ini tak boleh terlalu serius .. kena ada gurauan. Baik untuk kesihatan .. 

17 December 2010

Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu ...



Kelmarin, pergi kat Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu. 3 jam je perjalanan dari rumah. Sampai je terus cari hotel. Kali ini bermalam kat Hotel Tanjung Vista pula. Hotel ini murah tapi selesa sangat. RM150 lebih je untuk satu malam.


Sekadar untuk rehatkan diri. Ini kerana minggu depan, bermula 19 hb dah start mesyuarat sana sini. So sebelum kesibukan, baiknya pergi rehatkan diri. Tengok keindahan permandangan pantai, ombaknya, anginnya dan gelagat manusianya.  

Petang – habis ronda-ronda bandar, terus ke pantai. Seronok sangat.. ramainya orang..

Sempat snap …

 wah!! macam-macam rupa wau sekarang ni ya ... cari wau bulan tapi tak jumpa ..
 
Macam kat luar negara pula. Dewasa RM5.00, kanak-kanak RM3.00 sorang. Tolong promosi..

 Takde kerja. Snap bayang sendiri. Begini ke gambar hantu galah? hehe ..

11 December 2010

"Syid, kenapa isteri saya dah tak sukakan saya lagi?"

Kes cerai semakin meningkat saban tahun … angkanya begitu merisaukan sekali.

Kajian Jakim tahun 2007, sebanyak 32.2% perkahwinan bagi tempoh 5 tahun pertama mengalami perceraian, 27.7% berlaku untuk tempoh 6 hingga 10 tahun pertama perkahwinan. Pada tahun 2009, dalam 135,136 perkahwinan yang didaftarkan, sebanyak 27,116 kes perceraian direkodkan dalam tempoh tersebut!

Prof Madya, Dr. Muhd Suhaimi Osman, Pengarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UITM, berkata:

“Perkenalan suami isteri walaupun telah berlaku sejak sekian lama, ia sebenarnya tidak menjamin kesejahteraan rumah tangga yang bakal dibina. Kedua-dua pasangan perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai keadaan setelah bergelar suami isteri yang sah. Setelah tinggal sebumbung, pelbagai perkara tidak menjadi rahsia lagi. Di sinilah keadaan akan menguji sejauh mana persefahaman yang akan wujud antara kedua-dua suami isteri itu.”


Tiba-tiba aku teringat. Dua minggu lepas, aku didekati seorang kawan. Suaranya agak lemah.

“Syid, saya tak tau, kenapa isteri saya sekarang dah tak sukakan saya lagi. Dah 4 bulan kami tak tinggal bersama…”

“hmm hmm .. Camana boleh jadi macam tu? Tentu ada sebabnya..”

“Saya tak dapat pasti. Bulan puasa lalu, pernah ada panggilan kat handphone orang rumah. Masa tu jam 4 pagi. Saya angkat ..  saya dengar suara lelaki, “Sayang, belum bangun lagi. Tak bersahur ke?” Saya tak sempat bercakap, orang rumah bangun dari tidur, terus dia marah saya kerana angkat handphonenya...”

“Saya mula naik angin. Saya tanyanya .. tapi dia tak mau jawab. Saya marah sangat masa tu.”

“Ada sentuh dia .. pukul dia ke?”

“Tak. Saya tak pernah pukul dia. Sepanjang kami kahwin, tak pernah saya tampar dia sentuh dia ..”

“k ..”

“Bermula dari situlah hubungan kami renggang. Sehingga kini dia tak mau jumpa saya lagi. Dia asyik tanya saya, bila nak selesaikan semuanya. Dia kata dia dah tawar hati dengan saya. Keluarganya pun dah tak dapat buat apa-apa … ”

“Syid, orang rumah saya tu terlalu keras hati. Hitam katanya hitamlah. Putih katanya putihlah …”

“Keluarga sayapun dah tak kisah kalau saya lepaskannya. Tapi saya masih fikir .. fikirkan tentang anak. Anak baru berusia 6 bulan …”

“Maaf, ada tak selepas peristiwa itu… ada buatkan sesuatu yang buatkan orang rumah makin jauh diri. Jauh hati?”

“Iya syid. Saya mengaku. Saya pernah terkeluar kata .. ‘okey bagi saya RM25,000 kalau betul-betul nak saya lepaskan awak’. Masa tu saya hilang sabar. Saya amat marah kerana dia asyik tanya saya bila saya nak lepaskan dia … sayapun tak tau macamana saya boleh kata begitu padanya..”

“hmm hmm …”

18 November 2010

Kepada kaum wanita, bersimpatilah dengan orang lelaki ..


Pakar kesihatan lelaki, juga seorang penulis Helping Men Live Happier, More Fulfilling Lives dari Amerika, Will Courtnay mengatakan:

“Rata-rata lelaki meninggal dunia lima tahun lebih awal daripada wanita…”

Courtnay berpendapat demikian kerana menurut beliau, ramai lelaki kurang mengambil berat soal kesihatan mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka beranggapan tubuh mereka lebih ‘kebal’ berbanding wanita.

Aku baca lagi …

“Lelaki  hanya bertemu doktor apabila dirinya tidak mampu lagi menahan kesakitan …”


Baca lagi …

 “Jumlah lelaki yang mengalami masalah mental adalah 40% lebih tinggi daripada wanita …”

“Akibat tidak mampu menanggung tekanan hidup, ramai lelaki mengambil keputusan untuk membunuh diri …”


Kesimpulannya, kepada kaum wanita … orang perempuan … sila dan cuba fahami serta bersimpatilah dengan orang lelaki!!!  hehe


p/s – padanlah aku asyik terserempak dengan orang gila yang kebanyakannya adalah orang lelaki .. kasihan kan ..  kan ..


15 November 2010

Aku yang menkliknya pula terasa berdebar

Pagi tadi -  keputusan yang dinanti-nantikan sudah boleh dilihat. Mana-mana guru yang telah memohon pindah sekolah, baik antara negeri mahupun dalam negeri sudah boleh menyemak keputusannya secara online. Beberapa guru kat sekolah inipun ada yang memohon pindah. Mereka semua kelihatan resah gelisah.


Bilik aku diserbunya. Maklumlah bilik berinternet. Ada kabelnya.  Wireless internet sekolah ada tapi agak lemah linenya.

“Cikgu rashid, baca bismillah dulu ..” ujar salah seorang guru perempuan.

“Okey… sabar ek. Kalau dapat dapatlah. Kalau tak dapat terima je keputusannya. Tentu ada hikmahNya. Ada rezeki lagi kat sekolah sini ..” balasku perlahan. Cuba menenangkan keadaan.

Aku klik laman web Kementerian Pelajaran Malaysia. Kemudian klik bahagian e-GTukar.  Dimintanya ID Pengguna, Kata laluan dan No kad Pengenalan.

Aku yang menkliknya pula terasa debar. Seorang demi seorang aku semak keputusan permohonan mereka. Ada yang berjaya dan ada juga yang tidak berjaya. Dari air muka, jelas terbayang reaksi suka dan duka. Guru yang berjaya kelihatan begitu gembira sekali. Sebaliknya permohonan yang gagal,  tergambar kekecewaan pada airmuka.

Aku perhatikan reaksi seorang demi seorang …
Kasihan juga aku melihat guru yang beriya pindah tapi tak berjaya. Tentu ada sebab tersendiri mereka mohon pindah.

Tapi ketentuanNya tiada siapa yang tau …

Tahun depan cuba lagi ...

14 November 2010

Rahsia personaliti yang baik


Aku belek buku catatan kecil berwarna merah. Tercatat satu ungkapan tentang rahsia personaliti yang aku tulis semasa di tahun pertama belajar kat UKM.
Aku bacanya. Ungkapannya agak simple tapi sungguh bermakna rasanya.

Apabila ditanya mengenai rahsia personalitinya yang baik, seorang tokoh pemimpin yang berjaya pernah memberikan jawapannya;
“Saya tidak ada apa rahsia. Sebenarnya anda masih belum belajar mengenai hidup secara mendalam. Tidakkah anda perasan yang anda boleh memberi warna kepada kehidupan. Andalah yang boleh menentukan reaksi yang anda mahu dari orang yang anda temui…”

“Sememangnya amat mudah. Jika anda mahu mereka senyum pada anda, senyumlah dahulu. Jika anda mahu mereka mempunyai minat terhadap anda, tunjukkanlah yang anda juga berminat pada mereka. Jika anda mahu mereka memuji anda, pujilah mereka dahulu. Jika anda mahu mereka menaikkan suara mereka, naikkanlah suara anda dahulu. Mudahkan… Orang akan melayan anda seperti anda melayan mereka. Sememangnya tidak ada rahsia. Lihatlah diri anda. Anda akan dapat buktikannya apabila anda berjumpa dengan orang yang baru anda temui...”

03 November 2010

Wanita menjeling tajam ... Lelaki merenung tajam

Berita harian semalam memaparkan bagaimana dek dikuasai oleh perasaan cemburu, seorang lelaki memukul dan memijak isterinya sehingga mati. Kejadian tersebut berlaku di Bintulu. Lelaki berusia 33 tahun itu marah apabila isterinya yang berusia 34 tahun dilihat sedang minum bersama empat rakannya di rumah kongsi mereka.

Cemburu? rasanya semua orang ada perasaan cemburu. Apa yang membezakan ialah bagaimana perasaan cemburu itu berjaya ditangani dengan baik atau sebaliknya. Bagi aku, cemburu itu sebenarnya perlu ada. Ia tanda sayang akan sebuah perhubungan yang terjalin.  Namun cemburu itu biarlah ada tempatnya. Biarlah ada masanya dan bukannya sepanjang masa. Apa yang sangat penting, biarlah perasaan cemburu itu ditangani dengan cara penuh berhemah dan professional. Bukannya dengan mempamerkan kekuatan, keegoan dan kemarahan sehingga sanggup melukai dan mencederakan pasangan.



Tiba-tiba terlintas dalam fikiran aku, kalaulah dibandingkan antara seorang lelaki dan perempuan, rasanya yang mana satukah yang paling mudah dan kuat cemburu? Lelakikah atau perempuankah? Siapakah pula yang paling bahaya bila cemburu? Lelakikah atau perempuankah?

Rasanya pelbagai cara spontan ditunjukkan bila cemburu itu menguasai diri. Wanita biasanya menjeling tajam. Lelaki pula merenung tajam. Mungkin ada setengah tu menyindir dan berkias kata. Mungkin ada yang suka berterus-terang pada pasangannya. Mungkin ada juga yang buat ‘dhek’ je. Maklumlah dia rasa dia boleh mendapat ramai lagi pengganti. Seorang pergi berpuluh-puluh lagi yang sedia menanti.

p/s – Bagaimanakah pula cara yang pernah anda guna bila anda rasa cemburu pada pasangan anda?  Saja je nak korek rahsia sikit .. hehe

24 October 2010

Cinta mampu hilangkan kesakitan?

Petang semalam terbaca satu dapatan kajian yang telah disiarkan oleh salah sebuah akhbar tempatan. Laporan itu mengatakan tentang bagaimana rasa cinta boleh membantu mengurangkan kesakitan daripada penyakit yang dihadapi. Dapatan ini merupakan hasil kajian penyelidik di Universiti Stanford California. Mereka menyelidik mengenai perasaan cinta yang berkemungkinan boleh bertindak sebagai ubat penahan sakit.

Satu eksperimen khas membabitkan 15 orang pelajar yang mengaku sedang merasai ‘cinta mendalam’ dijalankan dengan menggunakan blok suhu dan gambar kekasih masing-masing untuk mengukur tahap kesakitan peserta. Blok suhu itu ditetapkan pada tahap yang menyebabkan peserta mengalami kesakitan sederhana, kesakitan tinggi dan tiada kesakitan.

Hasil kajian sungguh mengujakan sekali. Ia menunjukkan bagaimana perasaan cinta membantu menghilangkan kesakitan apabila bahagian otak yang boleh mengurangkan kesakitan menjadi aktif semasa peserta melihat gambar kekasih mereka.


bila tengok gambar tersenyum macam ini .. pasti hilang kesakitan ..

Terdetik hati aku akan betapa hebatnya perasaan cinta anugerahi Illahi ini. Ia bukan saja dapat memberikan kekuatan dan motivasi di kala kesedihan dan rasa diri tak bermaya, malah dapat mengurangkan kesakitan yang dialami.

Aku agak setuju dengan kajian ini. Ini kerana selalu juga kita dengar dan baca, bila diri mencintai (dicintai?), langkah kaki akan semakin gagah dan berani. Itu sebab ada yang sanggup ke Lombok dan sedia menanggung apa saja kekurangan dan kesakitan.

Tapi pastikanlah perasaan cinta itu cinta yang suci, indah, berbalas dan diredhai. Bukan apa, dibimbangi jika cinta sekadar cinta nafsu dan suka-suka maka kesakitan akan bertambah parah lukanya.

Nampaknya kepada mereka yang sakit yang masih single itu, di samping makan ubat bolehlah tengok gambar kekasih hati (tengok gambar yang duk tengah senyum … bukan yang serius masam semacam je. Nanti bertambah sakitnya)

Kepada yang ada suami @ isteri, genggaman tangan dan pelukan dikatakan ubat yang amat kuat penawarnya. Apatah lagi senyuman dan kucupan mesra.. opss!!

Sakit kepala akan hilang …
Demam akan kurang …
Perasaan risau akan tenang …

08 August 2010

Aku didatangi seorang pelajar perempuan ...


Jam 1.30 petang. Semasa kat bilik kerja, aku didatangi seorang pelajar perempuan. Pelajar tingkatan 5.  Amynina namanya.

“Assalamualaikum cikgu ...  Cikgu, saya nak minta maaf. Petang ini saya tak dapat hadir kelas tambahan cikgu.”
 “ishhh tak boleh. Semua pelajar kena hadir kelas cikgu. Tidak ada pengecualian seorangpun!”

“Cikgu… saya kena balik ....”
 “Kena balik? Ada apa masalah sebenar ni Amynina? Cuba bagitau cikgu ...”

Pelajar itu hanya mendiamkan diri. Mukanya seakan-akan nak menangis. Mungkin kerana suara aku yang sedikit tegas tadi (saja je aku tegaskan suara).

sekadar hiasan 


“Cuba bagitau cikgu. Apa sebab Amynina nak pulang awal ni? Cikgu tak akan benarkan jika Amynina tak bagitau sebabnya”, aku lembutkan sedikit suara.

Pelajar perempuan itu masih mendiamkan diri. Memandang sayu kat muka cikgunya ini. Aku perhatikan dirinya. Kelihatan sedikit resah. Macam tak selesa saja aku melihat gerak gerinya.

“Kenapa nak pulang awal? Amynina ‘uzur’ ke?” aku lembutkan lagi nada suara.
 “Iya cikgu.” perlahan je suaranya.

“Kenapa tak bagitau awal-awal yang Amynina uzur dan perlu balik?”
 “Saya segan nak bagitau cikgu. Malu kat cikgu ..”

“Uisss naper perlu malu. Okeylah …  kalau begitu cikgu benarkan Amynina pulang …”

p/s – Aku cuba memahami situasi pelajar perempuan …

25 July 2010

Genius nombor Malaysia kata orang lelaki sukakan visualisasi, suka wanita seksi?



Jam 1.00 petang tadi, aku tengok program ‘Apa Kata Wanita’ saluran TV1. Aku amat tertarik dengan kelebihan seorang genius nombor,  seorang pemuda cina (juara bertahan sejak beberapa tahun dalam pertandingan daya hafalan nombor seluruh Malaysia) telah diuji oleh zamzarina untuk mengingati nombor-nombor. Dengan angka-angka yang begitu banyak yang ditulis oleh zamzarina secara spontan, telah berjaya diingati oleh genius itu hanya dalam masa beberapa saat saja. Terpegun aku melihat cara dan gaya genius itu.  Malah dalam masa mengingati nombor-nombor itu sempat lagi dia berseloroh dengan penonton. Kalau kita, biasanya dalam proses menghafal, tentu tidak mahu ada sebarang gangguan suara-suara luar. Sebaliknya beliau tak kisahpun. Tak terganggupun.

Semakin menarik apabila genius nombor itu ditanya mengenai kaitan otak dan daya ingatan dalam hubungan lelaki dan perempuan. Genius itu mengatakan, orang lelaki dan perempuan mempunyai kuota yang berbeza. Orang lelaki biasanya mempunyai 8,000.00 kuota kata sehari. Manakala orang perempuan mempunyai lebih kurang 25,000.00 kuota kata sehari. Oleh itu, sudah tentu wujudnya perbezaan yang jelas antara mereka.

Mengikut genius nombor itu, orang lelaki biasanya sudah banyak menggunakan kuota semasa kat tempat kerja. Apabila balik ke rumah, biasanya orang lelaki akan agak ‘pendiam’ sikit. Tak banyak cakap, kerana kuota katanya telah banyak digunakan semasa bekerja. Berbeza dengan orang perempuan, mereka mempunyai kuota kata yang banyak. Oleh itu, walaupun dah balik dari kerja, kat rumahpun masih lagi nak bercakap. Masih banyak lagi nak diperkatakan.

Seperkara lagi, menurut genius nombor itu, orang lelaki hanya suka fikirkan perkara yang besar dan menyeluruh. Biasanya soal kerjaya. Mereka jenis visualisasi yang amat  sukakan gambaran (sebab itu mereka sukakan wanita yang seksi?). Manakala orang perempuan, lebih suka fikirkan sesuatu perkara dengan detail, halus dan terperinci. Orang perempuan suka diberi perhatian, suka dipuji dan bercakap soal yang sekecil sekalipun, misalnya soal anting-anting. Sedangkan orang lelaki tak berapa suka borak soal yang kecil sebegitu dan tak suka memuji.  Itulah yang biasanya antara penyumbang wujudnya permasalahan dalam sesuatu hubungan. Salah faham kerana masing-masing tidak memahami perbezaan ini.

p/s - yup! orang perempuan memang suka dipuji ..  akan lembut hati ...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Search