Petang kelmarin, aku singgah
kat kedai tepi jalan – nak minum air cendol pulut. Tiba-tiba disapa oleh
seorang bekas pelajar aku. Memandangkan dia seorang diri, aku terus duduk bersamanya.
Rupanya dia sekarang ni bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Semasa berborak dengan Hafiz
tu, aku mengambil ruang untuk bertanyakan tentang kerjanya. Perkembangan tugas
terbarunya. Katanya dia sekarang sedang buat operasi pergi ke sekolah-sekolah
untuk adakan ujian air kencing ke atas pelajar yang terpilih. Pelajar-pelajar
yang disyaki terlibat dengan bahan terlarang - dadah, ganja, pil kuda dan seumpamanya.
“Kat daerah ni, ramai ke
pelajar terlibat fiz?” soalku
“Ramai juga cikgu. Tahun ni setakat yang kami buat .. empat puluh lebih yang terlibat. Mungkin lebih lagi. Bilangan itu melibatkan
pelajar yang nama mereka diberi oleh cikgu, Bila kita test, positif air
kencingnya. Tapi ada juga yang terlepas sebab kebetulan masa ujian dibuat tu,
pelajar yang terlibat tak ambilnya. Oleh kerana tak sangkut, kami tak boleh buat apa-apa ...”
“Ada pelajar perempuan jugake yang terlibat?” soalku
lagi.
“Kat sini tak ada cikgu. Cuma pelajar perempuan ni kes merokok je cikgu. Ramai
juga yang merokok”
“Selain kat sekolah, kat
mana lagi buat operasi?”
“Macam-macam cikgu. Rumah
penduduk kampungpun ada juga kami pergi”
“Macam mana tau ada penduduk kampung yang terlibat, ada risikan ke atau terima
laporan atau panggilan?”
“Sebenarnya cikgu ada ibu
bapa yang telefon suruh datang ambil anaknya kat rumah. Biasanya anaknya
terlibat dengan pil kuda, ganja dan sebagainya. Tapi kami dah boleh agak,
ibubapa yang minta kami datang ambil anaknya sebenarnya disebabkan kes anaknya
yang sudah di tahap membahayakan orang lain, mungkin ibubapa mereka sendiri.
Ibu bapa ni selagi anak dia tak kacau atau membahayakan orang lain, atau ibu
bapa mereka sendiri, biasanya tak akan buat laporan. Mereka diam je”
“Jadi bila kami terima
panggilan daripada ibu bapa, kami dah boleh sedia, boleh agak anaknya penagih
yang bahaya. Kami kena bersedia segala kemungkinan..”
“Ni tentu dah biasa berdepan
dengan si penagih ni kan. Tak takutke dengan penagih ni?” Aku sekadar bertanya.
“Memang dah biasa cikgu.
Takut tu ada juga. Tapi tugaskan. Cikgu nak tau, pernah beberapa kali saya digigit
cikgu.”
“Digigit?”
“Iya cikgu. Semasa bergelut
tu penagih ni biasanya suka gigit tangan, lengan kita cikgu” (sambil tunjuk bekas lengannya yang digigit).
“Puak penagih ni bila kita
serbu dan nak tangkap, mereka biasanya akan lari. Jadi kami akan kejar. Tapi
bergantung juga cikgu, kalau penagih pil kuda tuu kami dah boleh cam. Kami akan
kejar la”
“Cikgu nak tau cara nak
tangkap penagih yang lari?”
“Penagih ni cikgu, semasa
lari tu, kami akan kejar dan tepuk je kat belakang, mereka biasanya mudah
jatuh, rebah ... masa tu la kami akan pijak belakang dia, ambil tangan pulas ke
belakang …”
“Tapi kalau kami tau dia tuu penagih
ganja, biasanya kami tak kejar la cikgu.”
“Mengapa tak kejar?” soal
aku.
“Cikgu, puak penagih ganja
ni biasanya besar kemungkinan ada HIV. Jadi kami tak kejar, takut bila kejar,
berlaku pergelutan. Kami bimbang semasa bergelut tu, ada luka atau tercalar kat
tangan atau badan kami dan tanpa sedar
terkena luka atau darah si penagih tu. Bahaya cikgu. HIV”
“owhh macam tu”
“Saya pernah berdepan dengan
penagih yang membahaya cikgu . Pernah serbuan dibuat kat satu rumah, penagih tu
lari dan panjat naik kat satu lubang kecil kat atas bumbung rumah. Bila saya
naik, terus dilibasnya pedang samurai. Nasib baik saya sempat elak cikgu. Jadi
orang macam tu kami tak cuba tangkap cikgu. Kami akan serahkan pada polis je.
Biar polis urus. “
“Cikgu nak tau .. kami
sebenarnya agak kecewa. Kami berdepan dengan puak penagih. Mereka ni dah hilang
waras cikgu. Macam-macam senjata mereka ada, pisau, parang, pedang. Kami tak
ada apa-apa cikgu. Tak ada satu pistolpun yang boleh kami guna untuk
mempertahankan diri kami. Kadang tu kami terpaksa standby dengan kayu je .. “
“Cikgu .. kalau tengok dalam filem macam senang je nak tangkap penagih ni kan. Perkenalkan diri, lalu minta
penagih tu serahkan diri. Sebenarnya cikgu, bila kita berdepan dengan penagih
ni, tak ada masa la cikgu nak buat macam tu. Kadang apa yang kita jangka tak
berlakupun. Yang diluar jangkaan yang berlaku. Bila berlaku tu, siapa cepat la
cikgu. Kalau tak kita pula yang kena baham, ditumbuk, ditikam, dilibas oleh
puak penagih ni.”
“Satu lagi cikgu, penagih pil kuda ni biasanya kuat. Tenaga mereka ni kuat.
Tambahan kalau masa kita nak tangkap tu, mereka baru saja pekena pil kuda apa
ke .. Kalau setakat seorang je nak jatuh
dan rebahkan .. payah cikgu ..”
Aku terus mendengar kisah …
dan rasa bersyukur … aku sebagai cikgu tidak perlu berdepan dengan kes-kes
macam ni. Kes yang berisiko.
“Aku bersyukur padaMu ya
Allah …”